13 May, 2009

Masihkah Ada Telur?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi tagged , , , at 12:28 am by Ketua Perusuh

Maafkan saya sekiranya tajuk komentar saya kali ini agar kurang sopan bunyinya. Setelah seharian mencari satu tajuk yang sesuai, namun hanya inilah sahaja tajuk yang saya rasakan paling sesuai untuk menggambarkan senario dan isi kandungan komentar saya kali ini.

Zambry Kadir mengusulkan didalam rayuannya yang dibicarakan di Mahkamah Rayuan semalam agar perlunya ada satu penangguhan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahasa Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang sah. Alasan yang dikemukakan oleh para peguam Zambry Kadir adalah jika ianya dibenarkan, kemungkinan DUN Perak akan dibubarkan dan seterusnya kes rayuan beliau hanyalah akan menjadi satu nilaian akademik sahaja (sia-sia).

Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan menginginkan satu penyelesaian yang adil bagi semua rakyat Negeri Perak iaitu dengan membubarkan DUN Perak dan seterusnya memungkinkan satu piliharaya peringkat negeri diadakan secara menyeluruh. Dengan ini dapatlah rakyat (para pengundi) menentukan pilihan mereka sama ada mahukan Pakatan Rakyat memerintah Perak atau Barisan Nasional memerintah Perak.

Persoalan yang ingin saya kemukakan adalah kenapakah pihak Barisan Nasional bermati-matian berusaha untuk menghalang terjadinya pembubaran DUN Perak dan seterusnya memungkinkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan? Adakah kerana Barisan Nasional sedar bahawa jika DUN dibubarkan dan adanya pilihanraya, maka mereka pasti akan dikalahkan dengan seteruk yang mungkin (kemungkinan Barisan Nasional akan berkubur di Negeri Perak)? Ataupun mereka sebenarnya tidak berani untuk berhadapan secara “jantan” dengan rakyat?

Jika Barisan Nasional “masih ader telur”, tentunya mereka berani untuk berhadapan dengan satu pilihanraya peringkat negeri yang sepatutnya adil, telus dan saksama.

Yang pastinya saya beranggapan bahawa Zambry Kadir dan Najib Razak sememangnya telah “kecut telur” dalam melihat tindakbalas (respon) daripada rakyat marhaen yang menolak Barisan Nasional pada skala mega. Saya dapati jika Zambry Kadir dan Najib Razak berterusan mengusutkan lagi masalah di Negeri Perak Darul Ridzuan, janganlah kita terkejut bahawasanya pada PRU13 nanti, kemungkinan hanya tinggal 2 negeri sahaja dibawah Barisan Nasional (Johor dan Sarawak). Negeri yang lain mungkin akan kecundang tahap mega kepada Pakatan Rakyat.

Selagi kemelut ini tidak diselesaikan secara membubarkan DUN dan membuat satu pilihanraya peringkat negeri, selagi itulah saya beranggapan bahawa Zambry Kadir, Najib Razak dan Barisan Nasional umumnya sudah tidak “bertelur” lagi. Kalau anda (Zambry Kadir, Najib Razak dan Barisan Nasional) rasakan bahawa anda “masih ada telur”, silakan kita bersilat dipadang yang rata secara anak jantan.

Zambry Kadir, masihkah ada telur?

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

2 March, 2009

Semakin Biul Barisan Nasional

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , at 10:03 am by Ketua Perusuh

Kerana risaukan sidang tergempar DUN Perak dapat berlangsung pada keesokan (3 Mac) hari, maka pintu pagar utama Bangunan Perak Darul Ridzuan ditutup. Tindakan terdesak ini sekaligus memberi petunjuk bahawa Menteri Besar Haram (Zambry Kadir) tidak yakin bahawa beliau akan terus mengepalai Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Jika rakyat Malaysia berfikiran terbuka, tentulah mereka akan dapat menangkap maksud tindakan penutupan Bangunan Perak Darul Ridzuan dari semua tetamu sebagai usaha untuk menyekat diadakan satu sidang tergempar DUN Perak yang menyaksikan bahawa Menteri Besar Haram (Zambry Kadir) dan enam exco beliau tidak dibenarkan langsung untuk hadir (kerana digantung kehadirannya).

Tindakan menutup Bangunan Perak Darul Ridzuan sebenarnya menyalahi undang-undang kerana ianya menghina DUN Perak yang wajib bersidang secara tergempar esok hari. Dengan kuasa yang ada pada Speaker DUN Perak, maka beliau boleh mengarahkan pasukan keselamatan untuk membuka pintu Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan urusan dilaksanakan.

Mana-mana pihak yang bertegas tidak membenarkan Speaker DUN Perak untuk memasuki DUN boleh dikenakan tangkapan dan boleh dipenjara atas dasar menghalang penjawat sah daripada menjalankan tugas seperti yang termaktub didalam perlembangaan.

Bayangkan jika Pakatan Rakyat memang secara majoriti pada PRU13 nanti, namun pihak yang bersekongkol dengan Barisan Nasional mengambil jalan mudah menyekat urusan berkaitan Parlimen dilakukan dibangunan Parlimen. Mungkin juga kita boleh melihat akan ada satu lagi notis yang menyekat Parlimen digunakan mengikut hak-hak yang ditentukan didalam perlembagaan.

Episod yang berlaku di Perak pastinya akan dijadikan “precedence” (dahuluan kes) bagi mana-mana DUN dan Parlimen di Malaysia dikemudian hari.

Sepatutnya kuasa Legislatif, Eksekutif dan Judiciary tidak bercanggah dan saling tekan menekan diantara satu sama lain. Namun apa yang boleh kita lihat sekarang adalah Kuasa Eksekutif telah menekan kuasa legislatif dan judiciary daripada menunaikan hak-hak mereka yang termaktub didalam undang-undang dan perlembagaan Malaysia.

Sebagai rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan yang impikan kematangan demokrasi, adalah wajar jika kita semua membuat bantahan umum dan menggunakan kuasa-kuasa yang ada pada rakyat (seperti yang ditetapkan didalam undang-undang) untuk memastikan bahawa sidang tergempar DUN Perak dapat dilaksanakan dengan teratur.

Pihak Polis dan Keselamatan Bangunan Perak Darul Ridzuan tidak berhak sama sekali untuk menghalang Speaker dan ADUN untuk bersidang disitu. Jika mereka masih bersedia untuk menghalang sidang tergempar DUN ini dilaksanakan, maka sewajarnya episod hitam di Negeri Perak kali ini kita warwarkan di media-media antarabangsa agar dapat semua pihak mengenali hati budi dan sikap sebenar Barisan Nasional yang kononnya mengagungkan Demokrasi.


Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

26 February, 2009

Laporan Polis?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , , at 1:00 am by Ketua Perusuh

Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa pada dasarnya saya amat bersetuju jika mana-mana aduan untuk mana-mana pihak dibuat dan disiasat oleh Polis. Namun pihak Polis perlulah lebih professional dengan tidak membuat siasatan terpilih atas mana-mana aduan ini.

Sebagai contoh jika seorang petani membuat aduan mengenai JKKK yang disyaki melakukan salahguna kuasa, maka perlulah pihak Polis membuat siasatan walaupun pihak JKKK tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Polis sekalipun.

Amatlah tidak wajar sekiranya pihak Polis tidak mengambil tindakan untuk membuat siasatan mahupun tangkapan hanya kerana JKKK tersebut adalah saudara kepada Ketua Polis. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa terdapatnya unsur-unsur siasatan terpilih yang boleh juga diklasifikasikan sebagai satu salahguna kuasa.

Namun apa yang kita semua sedia maklum, pihak Polis di Malaysia sememangnya senantiasa melakukan siasatan terpilih. Sejak bertahun kita sendiri boleh lihat bahawa jika ada mana-mana aduan atau laporan yang berkait dengan pihak yang berkuasa, maka biasanya pihak Polis tidak akan memulakan apa-apa siasatan walaupun berlori-lori aduan dan laporan polis dibuat di merata tempat.

Malah kita boleh melihat senario ini menjadi tidak terkawal sejak akhir-akhir ini hanya kerana pihak Polis ditekan oleh pemerintah. Sepatutnya pihak polis berkecuali dalam segala hal, namun demi kepentingan beberapa pihak (didalam ataupun diluar institusi Polis itu sendiri) maka ianya menjadi semakin parah.

Dalam seminggu dua ini kita boleh lihat beratus-ratus laporan Polis yang dibuat oleh beberapa pihak (tidak kira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang), namun laporan Polis yang dibuat oleh pihak Pembangkang nyatanya tidak diambil tindakan oleh pihak Polis ataupun sengaja dilengah-lengahkan. Akan tetapi jika terdapatnya laporan Polis yang dibuat oleh parti pemerintah, maka dengan pantasnya pihak Polis akan mengambil tindakan.

Walaupun sesetengah laporan Polis tersebut tidak wajar disiasat atas kapasiti pengasingan kuasa (seperti contoh laporan Polis terhadap Speaker DUN Perak). Disini kita wajar mempersoalkan status kuasa yang ada pada pihak Polis yang membolehkan mereka menyiasat setiap keputusan muktamad yang dibuat oleh mana-mana Speaker DUN/Parlimen.

Mengikut perlembagaan Malaysia, status Speaker mana-mana DUN/Parlimen adalah kebal dari mana-mana tindakan sivil atau jenayah bagi setiap urusan atau keputusan yang berkaitan dengan DUN/Parlimen. begitu juga mana-mana Ahli DUN/Parlimen semasa sidang DUN/Parlimen. Speaker DUN/Parlimen adalah dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh ditahan, didakwa atau dipenjara sama ada melalui prosiding sivil atau jenayah bagi semua Negara Komanwel

Oleh yang demikian, tindakan Polis yang menyiasat Speaker DUN Perak berasaskan kepada laporan Polis yang dibuat oleh agen-agen Barisan Nasional adalah bersalahan dengan kuasa yang ada padanya. Jika pihak Polis dibenarkan berterusan membuat siasatan keatas kuasa Speaker, maka tidak mustahil sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia akan runtuh.

Tindakan pihak Polis ini sebenarnya boleh dicabar di Mahkamah atas dasar mencabuli hak-hak dan status dalam Perlembangaan Malaysia. Perkara yang sama juga boleh dilakukan terhadap SPRM (dahulunya dikenali sebagai BPR) yang khabarnya sedang menyiasat keputusan Speaker DUN Perak. Tindakan Polis dan SPRM ini nampaknya seperti mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kuasa “absolute” kepada Speaker DUN/Parlimen dalam membuat keputusan yang dikira muktamad.

Jika ini dibenarkan berterusan dilakukan (Siasatan Polis dan SPRM terhadap Speaker), maka sudah pastinya selepas ini kita boleh lihat akan ada banyak lagi laporan polis terhadap keputusan Speaker di DUN-DUN yang lain ataupun Parlimen. Namun jika siasatan terpilih dilakukan (hanya terhadap Speaker DUN/Parlimen dari pihak Pakatan Rakyat), maka sewajarnya kita (Rakyat Malaysia yang prihatin) mengambil tindakan menyaman ataupun membubarkan sahaja PDRM dan SPRM.

Bola ada dikaki semua rakyat Malaysia yang prihatin.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS