27 May, 2009

Malaysia Negara Komunis Terkawal (2)

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi at 1:23 am by Ketua Perusuh

Bagi yang tidak berkesempatan membaca artikel saya yang bertajuk Malaysia Negara Komunis Terkawal (bertarikh 4 Ogos 2007), saya nasihatkan anda mengimbas kembali dengan membacanya disini.

Sekilas pandang, telah terbukti bahawa Rais Yatim (Menteri Penerangan Malaysia) nampaknya seperti buta sejarah (ataupun menilai sejarah dari satu sudut sahaja) dan mempunyai tahap akademik yang rendah walaupun beliau dikhabarkan mempunyai status PHD.

Saya berasa pelik bilamana isu komunis ini dibangkitkan semula dalam situasi Kerajaan Barisan Nasional telah kurang mendapat kepercayaan daripada sebilangan besar rakyat Malaysia. Namun setelah difikirkan kembali, sentimen anti komunis inilah yang akan menjadi satu pemangkin untuk mendapatkan sokongan rakyat (terutamanya bagi waris-waris anggota keselamatan Malaysia) untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional yang dilihat sedang berada dalam situasi “seperti telur dihujung tanduk”.

Didalam mana-mana peperangan, pastilah ada yang menjadi mangsa. Begitu jugalah apa yang berlaku di didalam negara. Jika kita ambil situasi “Perang Dunia Kedua” antara Britain dan Jerman, tentulah kita boleh lihat bagaimana tentera Jerman membunuh ramai rakyat Britain. Namun kini Britain dan Jerman telah bersahabat dibawah naungan Kesatuan Eropah. Oleh itu cuba kita bayangkan, adakah masih ada lagi rakyat Britain yang berdendam dengan rakyat Jerman?

Bagi kes diatas ianya melibatkan dua negara yang berlainan rakyat dan kewarganegaraan, namun bagi kes di Malaysia yang dimomokkan oleh Rais Yatim, Zahid Hamidi dan beberapa pihak lain, tentulah kita boleh merasakan bahawa ada sesuatu perkara lain yang sebenarnya cuba diterapkan sebagai satu pengalihan minda. Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi adalah warga Malaya (seterusnya secara otomatik berhak menjadi warga Malaysia atas dasar lahir di Malaysia sebelum Malaya merdeka). Oleh yang demikian perang saudara di Malaysia ini menyebabkan masih ada yang berdendam tidak berkesudahan.

Bukanlah tujuan saya menulis untuk menidakkan kekejaman Bintang Tiga ketika zaman dharurat, namun apa yang saya ingin tegaskan ialah sewajarnya bagi mana-mana ahli Bintang Tiga yang bersalah, perlulah kita bawa kehadapan Mahkamah Malaysia untuk dibicarakan atas dasar jenayah perangnya. Jika didapati dan dibuktikan bersalah, maka bolehlah mereka ini dihukum mengikut undang-undang di Malaysia. Secara tidak langsung dendam waris-waris anggota keselamatan Malaysia dahulu akan dapat dibalas.

Namun jika Kerajaan Barisan Nasional masih lagi bersandiwara dengan berselindung dibalik isu dendam waris-waris anggota keselamatan Malaysia, maka jangan terkejut bilamana satu masa nanti Barisan Nasional juga akan dilabelkan sebagai satu gabungan parti berfahaman komunis oleh rakyat Malaysia.

Satu persoalan yang ingin saya kemukakan disini hasil perbincangan dengan rakan-rakan adalah apakah agaknya perasaan waris-waris mangsa kekejaman PDRM dan anggota keselamatan Malaysia di Memali. Tentulah mereka juga berhak untuk berdendam dengan PDRM dan Kerajaan Malaysia (dibawah pimpinan Barisan Nasional) atas dasar jenayah perang yang dilakukan oleh PDRM bagi kes pembunuhan beramai-ramai di Memali. Adakah waris-waris anggota PDRM yang terlibat (yang meninggal dunia) ketika kejadian di Memali akan berdendam dengan penduduk Baling dan Memali?

Seingat saya sehingga kehari ini (setelah lebih 20 tahun), Kerajaan Malaysia masih lagi berlengah dalam urusan kehakiman yang berkait dengan isu Memali (rayuan demi rayuan kes telah tertunggak sejak sekian lama) dan keputusan Mahkamah Malaysia masih lagi tidak dapat diketahui.

Jika Rais Yatim, Zahid Hamidi dan Kerajaan Barisan Nasional mempunyai telur (maaf agak kurang sopan), apa kata kita selesaikan dahulu kes Memali yang telah tertunggak lebih 20 tahun ini. Selepas selesai, maka bolehlah Mahkamah kita bersidang untuk kes jenayah perang Bintang Tiga. Adakah anda dan wakil-wakil anda bersetuju?

22 May, 2009

Calon BN Di Penanti?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi at 5:54 pm by Ketua Perusuh

Kali ini izinkan saya memberikan komentar yang paling ringkas dan padat.

Barisan Nasional (BN) akan tetap bertanding pada PRK DUN Penanti. Ini sudah pasti walaupun pihak BN bermati-matian mengatakan sebaliknya. Oleh yang demikian, siapakah agaknya calon dari Barisan Nasional di PRK DUN Penanti?

Untuk memudahkan anda, disini saya sertakan beberapa petanda untuk mengenal pasti calon harapan Barisan Nasional di PRK DUN Penanti.

1. Calon bebas yang paling banyak mendapat liputan di dalam media cetak dan elektronik
2. Calon bebas yang paling banyak modal untuk membuat poster, kemeja T dan pelbagai peralatan kempen
3. Calon bebas yang paling ramai penyokong (dan membuat kempen secara meluas)

Dengan panduan serba ringkas yang saya berikan diatas, maka bolehlah anda mengenal pasti siapakah calon Barisan Nasional di PRK DUN Penanti.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

14 May, 2009

Bubar Atau Tidak?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi tagged , , , , , , at 10:20 am by Ketua Perusuh

Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawasanya pada pandangan saya jalan penyelesaian bagi kemelut di Negeri Perak Darul Ridzuan hanyalah melalui pembubaran DUN Perak dan seterusnya membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri dijalankan.

Namun jika Zambry Kadir dan Barisan Nasional masih lagi berdegil tidak mahu membenarkan pembubaran DUN Perak, maka satu jalan penyelesaian tengah perlulah diambil bagi kepentingan semua rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Oleh yang demikian, ingin saya cadangkan satu lagi jalan penyelesaian yang releven bagi mengatasi semua kemelut ini iaitu dengan menggantung kedua-dua pakatan parti Politik (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat) daripada menduduki kuasa Menteri Besar Perak. Kedua-dua pihak (Zambry Kadir dan Nizar Jamaluddin) ditegah daripada menjawat kedudukan Menteri Besar Perak.

Maka sebagai satu penyelesaian, jawatan Menteri Besar Perak (sementara) perlulah diberikan kepada Nazrin Shah selaku Raja Muda Perak untuk menjawatnya. Jawatan Menteri Besar Perak (sementara) ini perlulah dipikul oleh Raja Muda Perak sehingga sampai tarikh PRU13 (iaitu lebih kurang 3 tahun dari sekarang). Dengan cara ini maka dapatlah rakyat Negeri Perak menjalankan urusan pentadbiran negeri tanpa kacau bilau (atas sebab tindakan bangang yang dilakukan oleh Barisan Nasional).

Saya rasa rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan dapat menerima pandangan saya ini. Pastinya inilah satu jalan penyelesaian terbaik sekiranya pihak Sultan Perak (Sultan Azlan Muhibbuddin Shah) tidak mahu membubarkan DUN Perak.

Namun kesan langsung daripada tindakan ini pastinya akan memberikan satu lagi momentum besar kepada Pakatan Rakyat dari segi impak politik dimana pastinya suara rakyat marhaen akan digembleng sebaik mungkin bagi memastikan Barisan Nasional tersungkur habis-habisan pada PRU13.

Untuk pengetahuan semua, Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan hanya mahukan pembubaran DUN Perak dan pastinya tidak juga mahukan ujudnya Menteri Besar Sementara yang dijawat oleh Raja Muda Perak walaupun inilah antara penyelesaian yang paling munasabah.

Persoalannya sekarang, adakah Barisan Nasional berani untuk membubarkan DUN Perak, atau adakah sanggup Raja Muda Perak menjawat jawatan Menteri Besar Perak secara sementara? Dalam kedua-dua senario, pemenang yang pasti adalah suara rakyat yang pastinya akan menyebelahi Pakatan Rakyat dalam semua keadaan. Akhir kata, kemenangan nampaknya lebih terserlah kepada Pakatan Rakyat.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

13 May, 2009

Masihkah Ada Telur?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi tagged , , , at 12:28 am by Ketua Perusuh

Maafkan saya sekiranya tajuk komentar saya kali ini agar kurang sopan bunyinya. Setelah seharian mencari satu tajuk yang sesuai, namun hanya inilah sahaja tajuk yang saya rasakan paling sesuai untuk menggambarkan senario dan isi kandungan komentar saya kali ini.

Zambry Kadir mengusulkan didalam rayuannya yang dibicarakan di Mahkamah Rayuan semalam agar perlunya ada satu penangguhan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahasa Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang sah. Alasan yang dikemukakan oleh para peguam Zambry Kadir adalah jika ianya dibenarkan, kemungkinan DUN Perak akan dibubarkan dan seterusnya kes rayuan beliau hanyalah akan menjadi satu nilaian akademik sahaja (sia-sia).

Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan menginginkan satu penyelesaian yang adil bagi semua rakyat Negeri Perak iaitu dengan membubarkan DUN Perak dan seterusnya memungkinkan satu piliharaya peringkat negeri diadakan secara menyeluruh. Dengan ini dapatlah rakyat (para pengundi) menentukan pilihan mereka sama ada mahukan Pakatan Rakyat memerintah Perak atau Barisan Nasional memerintah Perak.

Persoalan yang ingin saya kemukakan adalah kenapakah pihak Barisan Nasional bermati-matian berusaha untuk menghalang terjadinya pembubaran DUN Perak dan seterusnya memungkinkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan? Adakah kerana Barisan Nasional sedar bahawa jika DUN dibubarkan dan adanya pilihanraya, maka mereka pasti akan dikalahkan dengan seteruk yang mungkin (kemungkinan Barisan Nasional akan berkubur di Negeri Perak)? Ataupun mereka sebenarnya tidak berani untuk berhadapan secara “jantan” dengan rakyat?

Jika Barisan Nasional “masih ader telur”, tentunya mereka berani untuk berhadapan dengan satu pilihanraya peringkat negeri yang sepatutnya adil, telus dan saksama.

Yang pastinya saya beranggapan bahawa Zambry Kadir dan Najib Razak sememangnya telah “kecut telur” dalam melihat tindakbalas (respon) daripada rakyat marhaen yang menolak Barisan Nasional pada skala mega. Saya dapati jika Zambry Kadir dan Najib Razak berterusan mengusutkan lagi masalah di Negeri Perak Darul Ridzuan, janganlah kita terkejut bahawasanya pada PRU13 nanti, kemungkinan hanya tinggal 2 negeri sahaja dibawah Barisan Nasional (Johor dan Sarawak). Negeri yang lain mungkin akan kecundang tahap mega kepada Pakatan Rakyat.

Selagi kemelut ini tidak diselesaikan secara membubarkan DUN dan membuat satu pilihanraya peringkat negeri, selagi itulah saya beranggapan bahawa Zambry Kadir, Najib Razak dan Barisan Nasional umumnya sudah tidak “bertelur” lagi. Kalau anda (Zambry Kadir, Najib Razak dan Barisan Nasional) rasakan bahawa anda “masih ada telur”, silakan kita bersilat dipadang yang rata secara anak jantan.

Zambry Kadir, masihkah ada telur?

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

Next page