18 December, 2007

Swastakan Sahaja Mahkamah Malaysia?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , , at 3:46 am by Ketua Perusuh

Ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi “Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi”. Saya tahu ramai yang mengerti makna disebalik peribahasa tersebut. Bagi mana-mana pihak yang tidak mengetahui makna peribahasa tersebut, sila rujuk di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semakin hari semakin banyak kes berkaitan dengan undang-undang dapat dilihat berlaku di Malaysia. Selain dari Kanun Keseksaan yang selalu kita dengar di media elektronik, kita juga berkesempatan mendengar mengenai Seksyen 73 dan Sekysen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selama ini, kalau kita ingin tahu bagaimana undang-undang dilaksanakan, kita boleh menonton beberapa siri televisyen seperti LA LAW, Law & Orders dan beberapa siri komedi murahan yang membicarakan mengenai undang-undang. Kita juga boleh menonton filem Hindustan atau Tamil yang selalunya akan membicarakan permasalan undang-undang.

Kini kita juga boleh menonton beberapa siri undang-undang yang boleh diklasifikasikan lebih rendah mutunya daripada filem Hindustan atau Tamil hanya dengan melihat perjalanan kes berkaitan yang dijalankan di Mahkamah Malaysia. Bukan tujuan tulisan saya ini untuk menghina atau merendahkan martabat hakim-hakim dan pegawai undang-undang dengan penulisan ini.

Namun pada pandangan saya, kemelut perundangan di Malaysia kini lebih teruk daripada apa yang dipaparkan dalam filem Hindustan atau Tamil. Kemelut perundangan di Malaysia kini teruk dilacurkan, disalah gunakan dan diugut oleh pelbagai pihak sama ada oleh individu perseorangan, peniaga mahupun ahli politik.

Malah terdapat salah guna yang terang lagi bersuluh yang telah dilakukan oleh pimpinan negara seperti yang ditunjukkan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co terhadap kes perbicaraan 31 orang (Hindraf) yang dituduh cubaan membunuh. Dengan pengaruh (ugutan atau arahan) yang diberikan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co kepada Peguam Negara, maka pertuduhan tersebut ditarik balik dan semua tertuduh dibebaskan.

Jika inilah contoh yang dibuat oleh pimpinan negara, maka tidak mustahil bahawa banyak lagi kes berkaitan undang-undang yang saya rasa sama ada di diamkan ataupun di hilangkan sama sekali. Sebagai contoh. anda boleh lihat kenyataan Abdullah Ahmad Badawi bahawa tidak ada seorang pun ahli politik yang boleh didakwa atas Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 sedangkan pada masa yang sama sebenarnya terlalu ramai ahli politik dan kakitangan awam yang boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah ini.

Anda tentu tidak pernah lupa akan kes Zakaria Mad Derus di Kelang, yang membina Istana dimana tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kelang. Tentunya anda ingat akan kes ini. Bayangkan jika orang seperti Zakaria Mad Derus boleh didapati bebas dari mana-mana tuduhan rasuah atau salah guna kuasa, tentunya ramai lagi yang boleh terlepas bebas.

Begitu mudahnya undang-undang di Malaysia boleh dilacurkan dan disalahgunakan mengikut kehendak dan keperluan pemerintah Malaysia (Abdullah Ahmad Badawi & Co). Jangan terkejut bila pada satu masa nanti, tiada siapa yang ingin menggunakan Mahkamah di Malaysia kerana Mahkamah boleh dibeli dan dicaturkan mengikut nilai matawang.

Oleh itu apa kata jika saya cadangkan bahawa institusi Mahkamah, Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijual dipasaran terbuka atau diswastakan. Tentu ramai pihak yang sanggup membida dan seterusnya menguasai institusi tersebut. Tentu nilainya boleh mencecah ratusan jutaan ringgit dan seterusnya boleh membawa keuntungan kepada pemiliknya.

Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa saya ingin membeli syer (saham) dalam institusi ini jika ianya diswastakan. Adalah wajar sekiranya pihak Kerajaan Malaysia menswastakan institusi Mahkamah, Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan seberapa segera.

Berapa nilai seunit saham institusi Mahkamah, Polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang anda rasakan sesuai? Sila letakkan bidaan anda sekarang.

16 December, 2007

Hebatnya Berbelanja?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 6:56 am by Ketua Perusuh

Dalam diam beberapa pihak kini sedang bersedia untuk mengira jumlah keuntungan yang mereka akan dapat dari beberapa projek berskala besar (mega) di Malaysia. Rata-rata beberapa inisiatif Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co memperlihatkan angka-angka yang amat besar (berskala mega juga).

Mana tidaknya, dengan pelancaran beberapa koridor ekonomi yang membabitkan nilaian berbilion ringgit serta jambatan kedua Pulau Pinang, rasanya kita boleh melihat akan kesungguhan Kerajaan Malaysia berbelanja. Persoalan yang selalu bermain diminda saya ialah bagaimana Kerajaan Malaysia akan membiayaai perbelanjaan tersebut.

Jika anda masih ingat mengenai inisiatif pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang melibatkan kos sehingga RM3 Bilion, anda tentu terkejut “beruk” apabila mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah meluluskan pembinaan Landasan Keretapi Berkembar dari Ipoh ke Padang Besar yang melibatkan jumlah sebesar RM12.5 Bilion.

Jambatan Kedua Pulau Pinang tersebut mendapat suntikan modal dari EXIM Bank of China kerana dikhabarkan Kerajaan Malaysia tidak mampu untuk membiayai nilai keseluruhan perojek tersebut yang bernilai RM3 Bilion. Tapi kini untuk Landasan Keretapi Berkembar yang bernilai RM12.5 Bilion, Abdullah Ahmad Badawi & Co telah menyakinkan semua bahawa kerajaan mampu untuk membiayai projek tersebut tanpa bantuan pihak swasta.

Inilah yang ajaibnya dengan perbelanjaan pembangunan di Malaysia. Saya dapat rasakan bahawa akan terdapat pihak yang mengambil laba yang besar pada kes Jambatan Kedua Pulau Pinang. Malah saya juga merasakan sesuatu yang amat pelik apabila Landasan Keretapi Berkembar ini telah dinilaikan pada RM 36,944 untuk setiap meter.

Pada saya kos yang dicadangkan ini terlalulah mahal dan tidak berpadanan. Malah boleh dikatakan bahawa kos yang dicadangkan ini amat luar biasa dan penuh dengan tanda-tanda rasuah didalamnya. Malah peningkatan kos dari RM8 bilion pada empat tahun yang lalu kepada RM12.5 bilion adalah satu peningkatan yang tidak masuk akal.

Abdullah Ahmad Badawi amat gemar berbelanja malah perbelanjaan yang dilakukan olehnya berkali ganda berbanding dengan Tun Mahathir ketika dipuncak kuasa. Kalau dinisbahkan kegilaan Abdullah Ahmad Badawi berbelanja dengan Tun Mahathir, kita boleh mendapat nisbah 5:1.

Persoalan yang sepatutnya semua rakyat Malaysia persoalkan adalah bagaimana kita (Malaysia) akan mampu membayar semua perbelanjaan ini jika pendapatan kasar negara kurang dari separuh daripada kos perbelanjaan yang dilakukan. Perlukah kita membayar semua perbelanjaan gila ini dengan kulit kerang atau daun pisang? Kalaulah kita boleh membayar dengan kulit kerang atau daun pisang, tentulah ianya amat bagus.

Namun yang pasti tiada siapa pun didalam dunia ini ingin menerima kulit kerang sebagai bayaran. Pada zaman batu memang ramai yang menerima kulit kerang sebagai matawang. Sampai bilakah Abdullah Ahmad Badawi akan berbelanja? Adakah sehingga kantung negara kempis ataupun negara ini terjual kepada pihak asing barulah Abdullah Ahmad Badawi akan berhenti berbelanja secara mewah.

Saya bukanlah tidak suka (menentang) pembangunan akan tetapi saya amat risau bagaimana kita boleh membiayai kos pembangunan tersebut. Seperti pepatah melayu “Ukurlah baju dibadan sendiri” amatlah bertepatan ditanya kepada Abdullah Ahmad Badawi & Co. Janganlah berbelanja seperti orang yang menggunakan kad kredit yang akhirnya akan mengikat diri mereka sendiri. Lebih baik berbelanja seperti orang yang menggunakan kad debit dimana mereka akan berbelanja mengikut kemampuan.

Jadi, fikir-fikirkanlah.

11 December, 2007

Masa Depan Malaysia Yang Malap?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 4:50 am by Ketua Perusuh

Dewasa ini kita semua boleh melihat situasi pentadbiran dan kewangan negara Malaysia yang semakin berkecamuk dan kacau bilau. Dari segi kewangan, walaupun matawang Malaysia didagangkan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, namun ini tidak bermakna ekonomi Malaysia sebenarnya kukuh dan stabil.

Beberapa projek pembangunan negara telah, sedang dan akan mengalami masalah kerana kedudukan aliran tunai dan kewangan negara yang semakin parah. Dana awam termasuk dari dana Petronas telah digunapakai untuk menyuntik aliran tunai kepada pasaran demi untuk menaikkan Indeks Komposit Bursa Malaysia. Malah beberapa GLC memain peranan melakukan “operational syndicate trading” pada Bursa Malaysia sebagai usaha untuk memulihkan keyakinan para pelabur asing.

Beberapa insiden yang berlaku di Malaysia dewasa ini termasuklah Perarakan Awam BERSIH dan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam telah berjaya menyedarkan masyarakat awam tentang kepincangan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi & Co serta ketelusan Institusi Kehakiman. Malah dunia luar kini dapat melihat “disebalik tabir” wajar sebenar pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi & Co yang boleh diklasifikasikan sebagai satu pentadbiran yang kalut dan boneka.

Malah beberapa insiden penangkapan individu sosial awam serta pemimpin politik pembangkan memperlihatkan bahawa pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co sebenarnya tidak jauh bezanya dengan Kerajaan Komunis. Walaupun telah berkali-kali pihak Kerajaan Malaysia memperkatakan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi, namun semua pihak yang waras akal fikiran akan dapat menyaksikan bahawa ini semua adalah lakonan demi untuk kesinambungan kuasa mutlak Abdullah Ahmad Badawi & Co.

Saya telah tegaskan beberapa kali bahawa Malaysia sebenarnya adalah sebuah Negara Komunis. Malaysia telah lama menjadi Negara Komunis walaupun dahulunya Malaysia mengamalkan doktrin Komunisma secara berselindung. Kini Abdullah Ahmad Badawi & Co telah memperlihatkan bahawa keperluan untuk menzahirkan doktrin Komunisma Malaysia telah sampai keperingkat pelaksanaannya.

Didalam negara komunis, adalah perlu diujudkan beberapa agensi penguatkuasa yang mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Cuba anda lihat bagaimana PDRM telah memperlihatkan kekuasaan mereka dalam mengintrepitasi Akta Polis sehingga Akta Polis lebih berkuasa daripada Perlembagaan Malaysia, sedangkan sepatutnya Pelembagaan Malaysia adalah kuasa yang terulung. Mana-mana akta atau undang-undang lain yang bercanggah dengan Perlembagaan secara “otomatis”nya terbatal. Tapi kini Akta Polis adalah melangkaui kuasa Perlembagaan Malaysia.

Akta Polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekarang ini dipergunakan secara meluas sehinggakan Perlembagaan Negara kini dilihat sebagai satu “koran buruk” yang tidak bermakna. Institusi Kehakiman pula kini telah dilacurkan dan dilihat penuh dengan kudis-kudis berpenyakit HIV+ didalamnya. Malah jika ada mana-mana hakim / peguam yang bagus, maka mereka biasanya akan dilenyapkan dari arus perdana.

Institusi Beraja juga cuba untuk dilacurkan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co. Namun kita (warga Malaysia yang berdaulat) amat berharap agar usaha Abdullah Ahmad Badawi & CO untuk meminggirkan (melenyapkan) Institusi ini tidak akan dapat dilakukan. InsyaAllah.

Kerajaan Barisan Nasional (dan UMNO khususnya) kini semakin terdesak untuk mempertahankan kuasa mereka sehinggakan mereka sanggup untuk melaga-lagakan dan melihat perbalahan kaum berlaku di Malaysia. Malah diberitakan mereka jugalah yang menjadi dalang utama dalam beberapa insiden huru-hara yang kononnya dilakukan oleh pihak HINDRAF. Walaupun saya tidak bersetuju dengan isu Hindraf, namun saya merasakan kaum India di Malaysia perlu mendapatkan hak-hak mereka sewajarnya.

Memang MIC kononnya menjadi juara bagi kaum India di Malaysia, namun merekalah juga yang menjadi parasit dan mempergunakan kaum India serta menganaktirikannya selama ini. Malah dalam kes MAIKA Holding, pihak MIC adalah dalang utama disebalik kekalutan korupsi yang berlaku didalam syarikat tersebut.

Jika Malaysia masih terus dipimpin dan ditadbir secara “BANGANG” oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co, maka janganlah anda terkejut jika pada akhirnya Malaysia akan menjadi salah satu daripada berikut:

1. Dijual kepada negara asing (dijajah)
2. Bankrap
3. Menjadi Negara Komunis secara “TOTAL”

4 December, 2007

Sekatan Peringkat Pertama

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:19 pm by Ketua Perusuh

Kepada semua pengunjung setia laman blog ini, saya ingin meminta maaf atas kelambatan kemaskini laman ini. Ianya disebabkan oleh urusan perniagaan yang amat memerlukan keperihatinan saya.

TMNET adalah penyedia laluan internet tersohor di Malaysia kini telah memulakan langkah pertama mereka untuk menyekat dan memeriksa semua penghantaran e-mel yang dilakukan di Malaysia. Ini telah dimulakan dengan tersiarnya memo “MITIGATING SPAM IN TM NETWORK” di laman web TMNET.

Apa yang dirisaukan oleh sebahagian besar pengguna Internet kini telah menjadi nyata. TMNET dengan kuasa dan teknologi yang mereka miliki kini bersiap sedia menggunakan semuanya sama ada untuk menyekat atau menyaring semua penghantaran e-mel. Mengikut “BILL OF GUARANTEE” semasa penubuhan Multimedia Super Corridor (MSC), kerajaan bertanggung jawab untuk memastikan tiada sekatan dilakukan atas semua kemudahan komunikasi Internet di Malaysia.

Namun apa yang dikesalkan, pihak TMNET dikenalpasti telah diarahkan oleh peringkat tertinggi dalam Kerajaan Malaysia telah memulakan sekatan peringkat pertama keatas akses Internet di Malaysia. Ini sekaligus telah bercanggah dengan kehendak “BILL OF GUARANTEE” yang termaktub dalam Akta MSC.

Kemungkinan semua saringan dan tapisan keatas kandungan e-mel ini akan dilakukan dengan lebih terancang dan lengkap hingga membolehkan pihak Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan semua Akta yang ada demi untuk meneruskan kelangsungan pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi & Co.

Oleh itu saya ingin menyarankan kepada semua rakan Internet agar berhati-hati menggunakan khidmat pelayan proxy bagi penghantaran e-mel seperti yang disarankan oleh pihak TMNET. TMNET tidak berhak sama sekali menyekat semua penggunaan pelayan e-mel lain walau atas apa alasan sekalipun.

Saya juga ingin menyarankan kepada semua syarikat atau firma asing yang berada di Malaysia agar menghantar nota bantahan kepada pihak MCMC dan TMNET agar membatalkan segera sekatan ini.

%d bloggers like this: