18 December, 2013

Syabas, Syabas

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, PEMANDU, Reformasi, Swasta tagged , , , , at 12:25 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

SYABAS adalah entiti yang diberikan kuasa untuk menguruskan bekalan air bagi para penduduk di Lembah Kelang. Sejak dari awal lagi penubuhan SYABAS, ramai pihak yang merasa pelik bilamana SYABAS mendapat konsesi ini secara percuma diatas angin (setelah semua prasarana disiapkan oleh Jabatan Bekalan Air Selangor) akan tetapi mula mengenakan caj yang tidak masuk akal kononnya atas pelaburan yang dibuat dari masa ke semasa.

Pada pandangan saya, apa yang berlaku hari ini iaitu bilamana hampir sejuta orang warga KL dan Selangor yang mendapat bekalan air dari SYABAS terjejas akibat dari penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 sepatutnya dapat dielakkan dari menjadi lebih kronik.

Satu daripada elemen penting dalam mana-mana pengurusan utiliti adalah penyampaian maklumat kepada semua pihak yang terlibat. Jika penyampaian maklumat ini gagal diberikan dengan berkesan, akan timbulnya keadaan panik kepada semua yang terlibat. Malah mungkin akan terbit khabar angin yang akhirnya menjadikan keadaan lebih parah.

Proses penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 sebenarnya boleh dijalankan dengan lebih sempurnya jika SYABAS mengambil pendekatan proaktif dalam segala urusan penyelenggaraan. SYABAS tidak sepatutnya menunggu sehingga penyelenggaraan sudah sampai ke tahap kronik barulah menggerakkan unit penyelenggaraan. “Preventive Maintenance” perlulah dibuat dengan lebih kerap dan teratur agar kesan impak kepada pengguna bekalan air adalah minimum.

Mungkin sudah sampai masanya pengurusan SYABAS ditukar kepada yang lebih berdaya maju. Tidak guna ada seorang CEO dalam SYABAS yang mendapat gaji dan emolumen pada kadar tidak masuk akal tetapi hasil kerjanya langsung tidak setimpal dengan gaji dan emolumen tersebut. Adakah pemberian gaji dan emolumen itu berdasarkan khidmat cemerlang CEO SYABAS (Rozali Ismail) ataupun ianya sekadar untuk memenuhkan poket pihak terbabit. Kita semua tahu yang CEO SYABAS mempunyai pegangang saham majoriti dalam SYABAS. Jadi kenapa perlu lagi CEO SYABAS ini mendapat gaji dan emolumen yang terlalu tinggi.

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang cuba untuk mengambilalih kembali perkhidmatan pembekalan air bersih kepada seluruh warga Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pandangan saya adalah tindakan yang terbaik. Ini kerana ianya akan menjadikan pengurusan bekalan air lebih telus dan boleh dipantau oleh seluruh masyarakat. Malah dengan ini satu proses “check and balance” dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Semoga masa depan para pengguna air di Lembah Kelang akan lebih elok dan teratur.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Leave a comment