4 September, 2014

Membiakkan Penentang Senyap

Posted in Barisan Nasional, BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, PDRM, Penentang, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 2:12 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Tidak dapat tidak saya terpaksa juga mengulas mengenai senario yang sedang berlaku dalam negara ini terutamanya tindakan PDRM yang kelihatan berat sebelah dalam melakukan tugas hakiki mereka. Saya tahu bahawa kaki dan tangan pimpinan utama PDRM terikat dengan kuasa politik. Namun sepatutnya sebagai pihak yang berkuasa dalam keselamatan, mereka sewajarnya dapat membebaskan diri daripada kekangan kuasa politik.

Malah dalam senario terkini, nampaknya tindakan PDRM lebih mendahului arahan politik semacam kepimpinan utama PDRM sudah cenderung kepada satu pihak sahaja semata-mata. Dari apa yang saya lihat dan ketahui, malang bagi rakyat Malaysia bilamana PDRM sudah mencemar institusi mereka dengan condong berpihak kepada UMNO/BN.

Tan Sri KPN pernah menjadi anak murid saya satu masa dahulu ketika saya masih lagi didalam perkhidmatan. Dikala itu beliau saya rasakan lebih bersikap dan bertindak professional malah tidak bias. Namun kebelakangan ini saya berasa sedih bilamana beliau saya lihat sudah jauh berubah sikap tidak seperti 20 tahun dahulu. Sungguh jauh berbeza.

Apa pun ini bukannya salah Tan Sri KPN semata-mata. Ini kerana indoktrinasi Melayu yang kuat dimainkan oleh pihak BTN yang dikuasai oleh UMNO sepenuhnya telah berjaya sedikit sebanyak mengubah sikap dan perangai seorang “mata-mata” yang baik kepada mengikut acuan BTN. BTN yang penuh dengan sentimen “Ketuanan Melayu” dan elemen menghasut.

Pada pandangan peribadi saya, tindakan akhir-akhir ini oleh pihak PDRM yang dikepalai oleh Ketua Polis Negara walaupun nampak berjaya menakut-nakutkan rakyat marhaen dengan menggunakan pelbagai akta “drakonian” dan ugutan soal-siasat, tidak dapat tidak berjaya membenihkan satu sikap kebencian “total” kepada UMNO/BN. Benih ini nampaknya tidak akan dapat dibendung dengan ugutan, akta dan undang-undang tetapi secara realistiknya akan membiakkan penentang senyap.

Revolusi Bolshevik bermula secara bawah tanah sepuluh tahun lebih awal daripada tarikh kejadian revolusi. Ianya dibentuk dengan jayanya oleh golongan kiri yang berjaya mengindoktrinasikan rakyat marhaen menjadi penentang senyap. Malah penentang senyap ini bukan sahaja bakal mencetuskan revolusi secara hakiki namun berkemungkinannya akan menyebabkan “public disobedient”

Tindakan PDRM kepada PPS di Pulau Pinang bukanlah akan memberikan satu lonjakan kepada UMNO/BN untuk dapat menguasai Pulau Pinang pada PRU14 namun saya jangkakan Pulau Pinang akan terus kekal ditangan Pakatan Rakyat untuk satu jangkamasa yang lama. Walaupun kita tahu Pakatan Rakyat nampak tidak bersungguh untuk mengekalkan kesepakatan mereka, namun penentang senyap yang telah diujudkan oleh tindakan pilih kasih PDRM akan menyebabkan susah bagi UMNO/BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Saya juga berpandangan jika DUN Selangor dibubarkan oleh Sultan Selangor, berkemungkinan besar UMNO tidak akan dapat menguasai Selangor dengan mudah hanya kerana ramainya kumpulan penentang senyap ini yang tidak berparti tapi tidak akan mahu memberikan UMNO/BN kuasa mudah untuk memenangi Pilihanraya Negeri.

Kesimpulannya, tindakan PDRM yang berat sebelah dan bias kepada UMNO/BN sebenarnya adalah satu rahmat kepada rakyat Marhaen agar tidak akan memberikan UMNO/BN kuasa dengan mudah. Fikir-fikirkanlah.

Khas buat Tan Sri KPN, anda adalah salah seorang bekas pelajar saya yang saya fikir boleh bertindak lebih rasional dan tidak bias. Harap jangan hampakan harapan saya.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Siapa Penasihat Sultan Dan Raja?

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, UMNO at 6:16 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa dalam perkara yang melibatkan Istana, sudah barang tentu akan ada penasihat kepada Sultan dan Raja dalam semua tindakan sama ada dalam bentuk pentadbiran mahupun penghakiman. Jika 500 tahun dahulu, pastinya yang akan menasihatkan para Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah terdiri daripada Bendahara yang biasanya menjadi pengurus dalam urusan pentadbiran negeri.

Kuasa Bendahara ini amatlah kuat sehinggakan apa sahaja saranan dari Bendahara akan diterima pakai oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu tanpa dolak dalihnya. Ini kerana walaupun para Sultan dan Raja-Raja Melayu memang mendapat pendidikan formal, namun atas dasar hormat kepada Bendahara, maka banyak keputusan Bendahara diterimaa pakai tanpa banyak bicara.

Namun tidak semua keadaan Sultan dan Raja-Raja Melayu akan mengambil saranan dari Bendahara. Pernah terjadi dalam Sejarah Melayu yang Bendahara dihukum hanya kerana kurang warasnya Sultan dan Raja-Raja yang memerintah. Kita semua sedia maklum orang Melayu rata-rata tidak mahu menongkah arah melawan kehendak Sultan dan Raja-Raja Melayu hanya kerana berpandangan bahawa Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah seumpama “Bayangan Tuhan Di Muka Bumi”, namun ini tidaklah bermaksud bahawa pandangan dan arahan dari Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah bebas daripada kekhilafan.

Dalam kes di Selangor, kita boleh lihat bahawa Bendahara (dalam konteks moden dikenali sebagai Menteri Besar) ingin diganti dengan orang lain yang juga sepatutnya layak berada ditempat tersebut. Namun perjalanan untuk menukarkan Bendahara ini menjadi sukar kerana adanya “nasihat” dari pihak-pihak yang berkepentingan kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Persoalannya sekarang ini, kita semua tahu bahawa tidak ada satu Sultan dan Raja-Raja Melayu pon yang dapat mengelakkan daripada dikuasai oleh UMNO. Malah ianya semacam “open secret” @ rahsia terbuka bahawa Sultan dan Raja-Raja Melayu sememangnya cenderung kepada UMNO. Bukanlah kerana UMNO itu adalah yang terbaik bagi orang Melayu mengikut pandangan Sultan dan Raja-Raja Melayu namun yang sebenarnya UMNO telah berjaya memulas tangan para Sultan dan Raja-Raja Melayu sejak sekian lama.

Jika Sultan dan Raja-Raja Melayu melawan cadangan dan nasihat UMNO, pastinya sama ada gaji, elaun serta imbuhan yang selayaknya dapat kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu serta kaum kerabat mereka akan dikurangkan atau perniagaan yang dipunyai oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu akan diganggu gugat serta disekat. Jadi demi mengelakkan masalah kewangan, maka kita faham kenapa para Sultan dan Raja-Raja Melayu terpaksa membiarkan diri mereka diperkudakan oleh UMNO sekian lama.

Belum pernah ada seorang Sultan dan Raja-Raja Melayu yang dapat menjarakkan diri mereka dari kongkongan dan belitan UMNO. Biarpun rakyat diperlihatkan bahawa ada Sultan dan Raja-Raja Melatu yang “kononnya” tidak tunduk kepada UMNO namun realitinya kita semua sedia maklum.

Oleh yang demikian, dalam kemelut yang berlaku di Selangor, saya berpendapat sudah pasti setiap tindakan Sultan Selangor sebenarnya ada nasihat dari pihak UMNO sama ada secara jelas mahupun tersembunyi. Bukanlah tujuan saya untuk menidakkan kemampuan Sultan Selangor untuk membuat keputusan, namun tindakan yang dibuat semenjak kes ini bermula memang memperlihatkan bahawa ada suara-suara dari UMNO yang menasihatkan Sultan.

Jelas yang akan mendapat laba sebenarnya dari kemelut di Selangor adalah UMNO dan yang akan menjadi mangsa “selamanya” adalah Sultan Selangor. Ini kerana jika Sultan Selangor membubarkan DUN hanya kerana tidak berpuas hati atas sebab Dr Wan Azizah yang mendapat sokongan majoriti serta tidak mahukan Dr Wan Azizah menjadi MB, pastinya rakyat Selangor yang mengundi Pakatan Rakyat (majoriti) akan sentiasa memandang serong kepada Sultan dan mungkin akan mencemuh (tidak menghormati) Sultan didalam diam. Penyakit dalam diam inilah yang amat bahaya kepada Kesultanan Selangor.

Hanya kerana laba yang sedikit Sultan dapat daripada UMNO akan menyebabkan keabsahan dan kehormatan Institusi Diraja Selangor akan dipandang lekeh oleh Rakyat Selangor tidak kira dari bangsa dan kaum apa pun. Haruslah diingatkan bahawa tidak selamanya orang-orang Melayu akan menyokong “membuta tuli”  serta taksub atas apa sahaja tindakan Sultan. Sejarah telah memperlihatkan “yang adil disembah, yang zalim disanggah”.

Mahukah dan mampukah agaknya Kesultanan Selangor dipandang serong selamanya dalam sejarah Melayu seperti mana yang berlaku kepada Sultan Mahmud (Sultan Melaka) yang mangkat dijulang dibunuh oleh Laksamana Megat Sri Rama.

Peluang ada ditangan Sultan Selangor, ibarat ditelan mati emak diluah mati bapak.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

25 August, 2014

Bila Mahu Sedar?

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pilihanraya, Politik, Reformasi at 2:15 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa Partai Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang menekankan Islam sebagai tunjang utama kekuatannya malah perlembagaan PAS didasarkan kepada kesyumulan Islam dan mentauhidkan Allah Taala semata-mata. Tidak dapat tidak, segala tindakan PAS memperlihatkan Islam itu sendiri. Malah kalau ditanya (dicula) dan dibuat kajiselidik dikalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama, pastinya isu keagamaan PAS menjadi persoalan paling utama.

Namun kita boleh dapati PAS kini semakin hari semakin terhakis ke”integriti”an partai tersebut yang asasnya didasarkan kepada Islam.

Ini kerana telah cukup banyak kes salahlaku (tatatertib ataupun undang-undang) yang dilakukan oleh ramai pimpinan PAS yang disapukan dibawah karpet. Saya boleh namakan beberapa kes, namun untuk menjaga aib pemimpin PAS tersebut, biarlah ianya hanya ada dalam makluman saya sahaja. Anda semua jangan ingat pimpinan PAS itu maksum. Tidak. Mereka juga banyak yang terlibat dengan kerja maksiat dan dosa.

Cuma bezanya mereka melakukan dibalik tabir dan dalam banyak situasi, kalaupun ianya bocor kepada pengetahuan awam pastinya ianya akan dinafikan tanpa apa-apa fakta sokongan oleh pimpinan tertentu dan akhirnya akan masuk dibawah karpet juga. Ini yang menjelikkan pada pandangan peribadi saya. Ramai pimpinan PAS yang tidak berbuat seperti apa yang selalu dicakapkan oleh mereka. Perkara ini serupa juga dengan sesetengah pakar motivasi yang hanya pandai memberikan motivasi walhal dirinya sendiri tidak betah untuk mengikut apa yang disarankan olehnya.

Dalam kes yang berlaku di Selangor pula, kita dapat lihat bagaimana ada pimpinan PAS yang tanpa segan silu membelakangkan keputusan Muktamar PAS yang sebelumnya (yang mana mereka sendiri juga pernah bersetuju dengan keputusan Muktamar PAS ini). Tindakan membelakangkan keputusan Muktamar PAS oleh sesetengah pimpinan ini menunjukkan PAS begitu kucar kacir. Ianya juga memperlihatkan bahawa ada pimpinan PAS yang bertindak keluar dari kerangka persetujuan yang dimuktamadkan di Muktamar PAS dan mereka ini sanggup pula mempergunakan pelbagai cara untuk menghalang sesiapa yang ingin mempastikan keputusan Muktamar PAS menjadi relevan.

Tidak dinafikan ada pimpinan PAS yang gelap mata dengan habuan dunia. Malah ada pimpinan utama juga yang mudah dipengaruhi oleh orang terdekat dengan mereka yang semakin hari semakin hanyut dengan keduniaan. Ahli Parlimen dan ADUN PAS patutnya mendahulukan dan mengutamakan rakyat, namun ada ramai yang cukup susah untuk dapat dilihat dikawasan yang mereka wakili melainkan pada waktu kempen pilihanraya sahaja.

Sikap sebegini sebenarnya menjauhkan PAS dari rakyat marhaen dan seterusnya akan memberikan persepsi buruk dikemudian hari. Amatlah malang jika sekiranya pada PRU14 nanti Parti Islam SeMalaysia (PAS) ditolak oleh ramai pengundi atas pagar hanya kerana sikap dan perangai beberapa orang pimpinan PAS yang tidak mesra rakyat. Persoalan yang kita semua ingin bertanya. Bila PAS mahu sedar?

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

18 December, 2013

Syabas, Syabas

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, PEMANDU, Reformasi, Swasta tagged , , , , at 12:25 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

SYABAS adalah entiti yang diberikan kuasa untuk menguruskan bekalan air bagi para penduduk di Lembah Kelang. Sejak dari awal lagi penubuhan SYABAS, ramai pihak yang merasa pelik bilamana SYABAS mendapat konsesi ini secara percuma diatas angin (setelah semua prasarana disiapkan oleh Jabatan Bekalan Air Selangor) akan tetapi mula mengenakan caj yang tidak masuk akal kononnya atas pelaburan yang dibuat dari masa ke semasa.

Pada pandangan saya, apa yang berlaku hari ini iaitu bilamana hampir sejuta orang warga KL dan Selangor yang mendapat bekalan air dari SYABAS terjejas akibat dari penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 sepatutnya dapat dielakkan dari menjadi lebih kronik.

Satu daripada elemen penting dalam mana-mana pengurusan utiliti adalah penyampaian maklumat kepada semua pihak yang terlibat. Jika penyampaian maklumat ini gagal diberikan dengan berkesan, akan timbulnya keadaan panik kepada semua yang terlibat. Malah mungkin akan terbit khabar angin yang akhirnya menjadikan keadaan lebih parah.

Proses penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 sebenarnya boleh dijalankan dengan lebih sempurnya jika SYABAS mengambil pendekatan proaktif dalam segala urusan penyelenggaraan. SYABAS tidak sepatutnya menunggu sehingga penyelenggaraan sudah sampai ke tahap kronik barulah menggerakkan unit penyelenggaraan. “Preventive Maintenance” perlulah dibuat dengan lebih kerap dan teratur agar kesan impak kepada pengguna bekalan air adalah minimum.

Mungkin sudah sampai masanya pengurusan SYABAS ditukar kepada yang lebih berdaya maju. Tidak guna ada seorang CEO dalam SYABAS yang mendapat gaji dan emolumen pada kadar tidak masuk akal tetapi hasil kerjanya langsung tidak setimpal dengan gaji dan emolumen tersebut. Adakah pemberian gaji dan emolumen itu berdasarkan khidmat cemerlang CEO SYABAS (Rozali Ismail) ataupun ianya sekadar untuk memenuhkan poket pihak terbabit. Kita semua tahu yang CEO SYABAS mempunyai pegangang saham majoriti dalam SYABAS. Jadi kenapa perlu lagi CEO SYABAS ini mendapat gaji dan emolumen yang terlalu tinggi.

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang cuba untuk mengambilalih kembali perkhidmatan pembekalan air bersih kepada seluruh warga Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pandangan saya adalah tindakan yang terbaik. Ini kerana ianya akan menjadikan pengurusan bekalan air lebih telus dan boleh dipantau oleh seluruh masyarakat. Malah dengan ini satu proses “check and balance” dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Semoga masa depan para pengguna air di Lembah Kelang akan lebih elok dan teratur.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Next page

%d bloggers like this: