17 December, 2013

UMNO Pasca PRU13

Posted in Barisan Nasional, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pilihanraya, Reformasi, UMNO at 3:19 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Ramai rakan-rakan saya yang masih lagi berkhidmat dalam perkhidmatan awam cuba mencungkil pandangan saya mengenai UMNO Pasca PRU13. Semua mereka mahu tahu apa pandangan dan analisis saya mengenai UMNO.

Sepertimana ramai yang tahu, saya tidak berkecenderungan kepada UMNO mahupun PAS ataupun PKR. Ini kerana saya lebih suka melihat politik Malaysia dari perspektif warga marhaen yang diatas pagar. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, setelah sekian lama saya berkhidmat dalam perkhidmatan awam hanya satu sahaja masalah yang saya dapat lihat.

Masalah ini adalah UMNO selaku parti politik Pro-Melayu yang memegang pengaruh besar dalam Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara parti dan perkhidmatan awam. UMNO amat kerap memperkudakan perkhidmatan awam dengan menggunakan pengaruh para Menteri dan Timbalan Menteri yang berkiblatkan parti UMNO. Malah beberapa tindak tanduk perkhidmatan awam lebih tunduk kepada desakan dari UMNO.

Selagi mana UMNO masih bertindak sebegini, saya pasti orang awam terutamanya pengundi berdaftar yang tidak pro kepada mana-mana cabang parti politik akan memandang sinis malah merasakan benci kepada UMNO. Sepatutnya UMNO mengambil iktibar atas kekalahan mereka untuk mendapatkan sokongan dan majoriti besar orang Melayu mengundi mereka pada PRU12 dan PRU13. Tetapi seperti biasa UMNO masih kekal berperasan bagus dan rasa hebat. Keegoan UMNO memang terserlah,

Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana UMNO menggunakan kuasa mereka dalam menentukan Naib Canselor sesebuah Universiti Awam. Malah bukan sahaja pentadbiran dan akademik sesebuah Universiti Awam diganggu kacau oleh orang-orang UMNO, tapi termasuk juga urusan pilihanraya kampus yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar.

Kita boleh lihat bagaimana UMNO telah menentukan siapa yang akan menjadi peneraju dan Naib Canselor di UITM yang mana “ranking” UITM adalah pada paras 800 dalam penilaian QS. Sepatutnya jika UITM diterajui oleh Naib Canselor yang bebas tanpa pengaruh parti politik, saya berani jamin UITM boleh mendapat nilai “ranking” sekurang-kurangnya pada paras 500 atau lebih baik.

Berbalik kepada persoalan halatuju UMNO Pasca PRU13, saya lihat UMNO akan menghadapi masalah yang lebih besar pada PRU14 jika sekiranya pandangan dan luahan hari warga belia dan muda tidak didengari dan dianggap enteng. Silap gaya UMNO mungkin bungkus pada PRU14. UMNO perlukan satu idea yang dapat menarik perhatian golongan muda untuk dekat dengan UMNO. UMNO kena ingat, golongan muda yang jenis kaki fiesta dan pesta, belum tentu menjadi pengundi berdaftar. Pemuda dan Pemudi K-Pop biasanya bukanlah telah mendaftar sebagai pengundi. Malah ada yang tidak mahu ambil bahagian dalam proses menentukan hala tuju negara.

Jadi kesimpulannya UMNO perlu berubah. Begitu juga dengan PAS dan PKR jika ingin pergi jauh dan berjaya selepas PRU13 dan pada PRU14.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Leave a comment