29 March, 2008

Masihkah Ada Maruah?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:53 pm by Ketua Perusuh

22 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (rata-ratanya ahli UMNO) pernah menegaskan bahawa mereka akan memboikot majlis perlantikan dan angkat sumpah MB Terengganu jika bukan Idris Jusoh yang dilantik. Malah mereka mengugut mahu meletak jawatan kerana kononnya bersetia dengan kepimpinan Idris Jusoh.

Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid telah menjadi jurucakap dan ketua bagi kumpulan ADUN yang bertelagah ini. Malah merekalah juga yang beriya-iya membantah malah menderhaka kepada Paduka Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) yang melalui Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) membuat keputusan melantik Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu.

Malah tindakan mereka ini dilihat telah mendapat sokongan Abdullah Ahmad Badawi dan juga Peguam Negara Malaysia (Abdul Gani Patail) menyebabkan mereka berasa besar kepala sehingga ada dikalangan penyokong mereka telah terang-terangan mempamerkan kain rentang yang bersifat fitnah dan menghina.

Kini setelah Abdullah Ahmad Badawi dipanggil mengadap YDP Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, maka dikhabarkan pula melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) bahawa MT UMNO telah menerima keputusan YDP Agong itu. Hasilnya 22 ADUN Terengganu tersebut nampaknya telah berubah sikap dan kini menerima keputusan Istana dalam menentukan jawatan Menteri Besar Terengganu ini.

Apa yang dapat disimpulkan dari episod ini adalah sikap “Mulut Tiada Insuran” dan “Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya” yang dilakukan oleh pimpinan UMNO disegenap peringkat yang rata-rata menghina dan boleh diklasifikasikan menderhaka Raja. Umum mengetahui bahawa biasanya orang Melayu tidak akan menderhaka kepada Rajanya namun UMNO telah membuktikan bahawa merekalah Raja yang sebenarnya dan mereka boleh (mendapat lesen besar) menghina Raja Yang Berdaulat.

Kini rakyat Terengganu rata-rata sedang menunggu tindakan 22 ADUN BN Terengganu untuk beramai-ramai meletak jawatan ADUN mereka bagi melunaskan apa yang pernah mereka katakan. Itupun kalau mereka (22 ADUN Terengganu) berani atau ada “TELUR” dalam melaksanakan motto yang mereka pernah gunakan pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu “Bukan Cakap, Kami Buat”

Tapi apa yang pastinya kesemua 22 ADUN Terengganu ini yang diketuai oleh Rosol Wahid memang terkenal sebagai pengecut dan “TIADA TELUR” malah selalu “Cakap Tak Serupa Bikin”. Kalau beginilah sikap mereka ini, maka pada pandangan saya adalah sia-sia sahaja rakyat Terengganu mengundi mereka pada PRU12 dahulu. ADUN sebegini memang hanya tahu mementingkan “perut” mereka sahaja dan tidak akan ambil peduli rakyat yang telah memilih mereka.

Oleh itu disini ingin saya cabar kesemua 22 ADUN Terengganu tersebut beserta Idris Jusoh supaya meletak jawatan dengan kadar segera supaya anda semua tidak akan dilabel selamanya sebagai orang yang “TIADA TELUR“.

Eksperimen 2008

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:49 am by Ketua Perusuh

Menteri Pelajaran Malaysia masih dikekalkan kepada pundak Hishamuddin Hussein. Setelah memenangi kerusi parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) di Johor (dinegeri yang biasanya kalau kita letak seketul berhala berlambang Barisan Nasional @ BN pun pastinya akan menang) beliau diangkat menjadi Menteri Pelajaran sekali lagi.

Hishamuddin Hussein memang terkenal sebagai orang yang mudah berubah pendirian (seperti sesumpah) hanya untuk memastikan beliau mengekalkan kuasa, malah banyak pihak telah memberikan pelbagai gelaran kepada beliau. Beliau juga dikenalpasti mudah dipergunakan oleh isterinya untuk kepentingan peribadi dan rakan-rakan isterinya. Malah ianya bukan lagi rahsia bilamana pelbagai arahan (yang selalunya berbaur kepentingan) datang dari pejabat Menteri Pelajaran terus kepada bahagian pertadbiran dan pengurusan Kementerian Pelajaran.

Semenjak Hishamuddin Hussein menduduki kerusi Menteri Pelajaran, kita dapat lihat beberapa eksperimen yang tidak matang telah dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan dijayakan oleh pelbagai “balachi” di Kementerian tersebut. Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana idea Sekolah Kluster dicadangkan dan dilaksanakan tanpa ada apa-apa kajian mendalam terhadapnya terlebih dahulu. Malah tiada input yang pernah diminta dari kalangan ibubapa mengenai idea Sekolah Kluster dan ramai guru-guru yang terpinga-pinga akan apakah sebenarnya Sekolah Kluster.

Kita juga boleh lihat eksperimen yang nyata tidak menepati kehendak pendidikan nasional seperti penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang akhirnya telah menjadikan ramai pelajar kita yang makin bertambah kurang pengetahuan dalam ketiga-tiga subjek tersebut. Saya nasihatkan semua pihak agar meluangkan masa melawat dan perhatikan mana-mana sekolah diluar bandar terutamanya dikawasan nelayan yang rata-rata murid-muridnya kurang mampu untuk belajar Sains dan Matematik didalam Bahasa Inggeris. Saya telah pergi melawat lebih dari 30 sekolah dan saya dapati idea ini tidak mampu dijayakan dikalangan pelajar terutamannya Melayu dan Orang Asli. Oleh itu saya masih lagi berpegang kepada pengajaran Sains dan Matematik sewajarnya dikendalikan dalam bahasa ibunda para pelajar untuk memantapkan lagi ilmu mereka.

Malah isu melambakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) didalam cabang pendidikan juga tidak mengambilkira pandangan dan teguran warga pendidik dan pentadbir institusi pendidikan. Dan tindakan seperti menukarkan perkataan “YURAN” kepada “PAKEJ A, B dan C” semata-mata untuk memastikan kata-kata Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan bahawa pada tahun 2008 yuran sekolah dimansuhkan menampakkan ketidakmatangan pentadbiran Kementerian Pelajaran. Tindakan menipu inilah yang menjadi barah bertahap kronik kepada sistem pendidikan negara. Walaupun ramai dikalangan pegawai atasan di Kementerian Pelajaran terdiri daripada kalangan bekas guru dan pentadbir sekolah yang berkelulusan tinggi, namun idea “bangang” yang datang dari Menteri Pelajaran (Hishamuddin Hussein) masih lagi ditatang dan dijunjung dengan penuh hormat.

Ini menunjukkan bahawa telah hilang sikap kritis dan elemen kajian mendalam dari hati dan kepala para pegawai di Kementerian Pelajaran. Malah ianya juga menampakkan sikap berlepas tangan dan “mandom” yang ketara dikalangan pegawai di Kementerian Pelajaran.

Kita juga pernah mendengar cadangan bertahap “bangang” yang dikemukakan oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk memulakan persekolahan satu sesi (waktu persekolahan dipanjangkan sehingga pukul 5) sedangkan umum mengetahui bahawa prasarana sekolah tidak mampu memenuhi cadangan tersebut. Cadangan Abdullah Ahmad Badawi (bukan seorang yang dikenali sebagai intelek) ini cepat-cepat mendapat sokongan Hishamuddin Hussein walaupun rakyat sedia maklum bahawa tiada sebarang kajian mendalam pernah dibuat mengenai cadangan tersebut.

Bagi mana-mana pihak yang percaya ianya boleh dilakukan (sekolah satu sesi) disini saya unjurkan anda membuat kajian ilmiah dan terperinci disebuah sekolah di pinggir Bandaraya Shah Alam iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang yang mana bilangan murid-muridnya adalah paling ramai bagi sebuah sekolah sepertinya di Malaysia. Dengan kapasiti murid lebih dari 45 orang murid bagi satu-satu kelas tentunya idea sekolah satu sesi tidak mungkin boleh dijalankan disini. Buatlah lawatan dan kaji sendiri. Jangan jadi tunggul kayu dan percaya bulat-bulat idea “tergesa-gesa” Abdullah Ahmad Badawi ini.

Semenjak lebih 40 tahun kita dapat lihat beberapa eksperimen dilakukan kepada sistem pendidikan kita yang hampir kesemuanya gagal dan tidak mendapat respon yang baik darinya. Malah eksperimen ini lebih bertujuan untuk menguntungkan beberapa pihak yang rapat dengan Menteri Pelajaran @ Pendidikan dan mengabaikan kepentingan kepada para pelajar. Sudah lebih 40 tahun tiada satu suruhanjaya atau penyata awam yang ditubuhkan untuk mengkaji mana-mana cadangan eksperimen pada para pelajar peringkat rendah, menengah mahupun tinggi.

Apa yang ada cuma keputusan segera yang tidak mencapai kehendak “konsensus” dalam ertikata sebenarnya. Kini dengan berkuasanya Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Pelajaran sekali lagi, kita semua boleh andaikan terdapat beberapa eksperiment berskala besar bermula pada tahun 2008 yang pastinya tidak akan dapat meningkatkan tahap pelajaran, pendidikan, sahsiah dan sebagainya seperti yang kita kehendaki.

Sebagai bapa dan bekas pelajar, maka saya amat berharap agar eksperimen 2008 dan seterusnya tidaklah dilakukan tergesa-gesa demi keuntungan kewangan dan politik Menteri Pelajaran (Hishamuddin Hussein) dan juak-juaknya. Jika ianya masih lagi dilakukan tanpa kajian mendalam maka kesan buruk yang akan didapati akan kekal dan tidak mampu diperbaiki dimasa akan datang. Jelas beberapa eksperimen yang telah, sedang dan akan dilakukan menyebabkan sistem pendidikan negara tidak dapat bergerak pada landasan yang betul. Semuanya seperti peribahasa “seperti tikus membaiki labu”.

Kepada para pengawai di Kementerian Pelajaran, sila buka minda dan hati anda bilamana terdapat cadangan dari pihak Menteri Pelajaran dan juak-juaknya demi untuk kepentingan para pelajar semua. Janganlah anda semua menjadi pengecut (bacul) yang biasanya dikaitkan dengan “pondan”. Hidupkan kembali pandangan kritis setiap kali anda menjalankan tugas anda sebagai kakitangan Kerajaan Malaysia. Ingatlah bahawa anda bekerja dengan Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia dan bukannya dengan Barisan Nasional.

28 March, 2008

Kalaulah Dia Intelektual?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:45 am by Ketua Perusuh

Dr Nordin Kardi adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Sebelum beliau berada di UUM, beliau adalah ketua Biro Tatanegara (BTN), iaitu satu “think tank” dan “brainwash agency” bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional (lebih kepada keperluan dan kehendak UMNO).

Dua hari lepas beliau telah memenangi kes saman fitnah terhadap beberapa individu, organisasi dan parti politik yang bernilai lebih RM7 juta dan 4 juta dari nilai tersebut dituntut dari YM Raja Petra Raja Kamarudin. Dari maklumat yang dititipkan oleh beberapa rakan, sewajarnya Dr Nordin Kardi boleh memenangi lebih dari RM85 juta untuk kes ini, namun nampaknya pihak Mahkamah telah membuat keputusan bahawa nilai yang layak diterima oleh Dr Nordin Kardi cuma RM2 juta sahaja.

Saya bukanlah mahu mempersoalkan mengenai nilai RM yang dituntut dari semua defenden melainkan saya ingin mempersoalkan tahap keintelektual Dr Nordin Kardi.

1. Adakah Dr Nordin Kardi faham akan konsep internet dan komputer?
2. Adakah Dr Nordin Kardi faham akan perbezaan antara laman web (website), laman blog (weblog) dan laman portal (web portal)?
3. Adakah Dr Nordin Kardi faham akan konsep saman fitnah?
4. Adakah Dr Nordin Kardi faham akan istilah intelektual?

Baiklah untuk pemahaman Dr Nordin Kardi disini saya maklumkan jawapan kepada empat (4) soalan diatas;

1. Internet adalah satu medium perantaraan yang membolehkan data (maklumat) dihantar, dikongsi serta digabungkan untuk kegunaan semua. Ianya memerlukan pekakasan komputer untuk mengoperasikannya. Oleh yang demikian, secara tidak langsung ianya memudahkan para pengkarya memantau mana-mana pihak yang cuba untuk memplagiat karya mereka walau dimana pun ianya berada.

2. Bagi kes Malaysia Today yang dikendalikan oleh YM Raja Petra Raja Kamarudin, ianya bukahlah satu laman blog dan YM Raja Petra Raja Kamarudin bukanlah penulis blog. Beliau adalah pengendali satu laman berasaskan portal yang bersumberkan kepada berita dan dari segi teknikalnya Malaysia Today bukan laman blog. Malaysia Today adalah tidak sama seperti laman blog (weblog) saya ini dimana laman saya ini berasaskan sistem blog. Untuk laman web (website) pula sila rujuk kepada laman web WarkahUntukPM sebagai contoh. Jika anda (Dr Nordin Kardi) seorang intelektual tentunya anda dapat memahami konsep ini.

3. Sepatutnya anda (Dr Nordin Kardi) menyaman penulis artikel tersebut iaitu Muhtar bin Hj. Suhaili (Mantan Presiden MPP UIAM 2003/2004) dalam saman fitnah yang anda buat. Namun atas sebab kekurangan tahap intelektual yang ada pada anda (Dr Nordin Kardi) maka anda terlupa (atau memang tidak tahu) untuk menyaman Muhtar bin Hj. Suhaili tersebut. Ini menunjukkan bahawa memang anda (Dr Nordin Kardi) bukan seorang yang Intelektual seperti yang anda dan ramai sangkakan. Mungkin juga para peguam anda turut sama tidak Intelektual. Kalaulah peguam anda juga tidak intelektual, maka nampaknya buat rugi sahaja anda membayar khidmat mereka.

4. Intelektual adalah satu senario, keadaan atau sikap yang menunjukkan seorang manusia itu faham dan waras dalam mentafsir maklumat, data, idea dan sebagainya. Jika anda (Dr Nordin Kardi) merasakan bahawa anda adalah seorang Intelektual, maka sewajarnya anda boleh membezakan antara yang baik dan buruk, yang benar dan yang salah serta lain-lain lagi. Jadi berasaskan sidang akhbar yang anda buat sesudah memenangi kes saman finah ini, maka terserlah sikap dan taraf keilmuan anda (Dr Nordin Kardi) yang rendah. Oleh yang demikian ingin saya cadangkan anda (Dr Nordin Kardi) belajar lagi bermula dari asas kerana saya rasakan anda masih lagi mempunyai tahap pemikiran kreatif dan lateral yang rendah.

Yang nyata setiap kali anda membuka mulut maka makin terserlah tahap “kebangangan” anda dan bukannya tahap “keintelektual” anda. Tolonglah, jangan buat malu institusi akademik dan strategi. Pergilah belajar di INTAN atau Institut Aminuddin Baki (IAB) dan mantapkan lagi “keintelektual” anda.

27 March, 2008

Strategi Ahmad Said?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:21 am by Ketua Perusuh

Waktu makan tengahari adalah satu waktu yang paling saya suka bila mana saya dapat berjumpa dengan ramai rakan-rakan yang “satu kepala”. Maklumlah waktu ini sahaja tiada fahaman politik dapat memisahkan rakan taulan dan sahabat handai. Tidak kira pro pembangkang mahupun pro kerajaan, semuanya boleh duduk semeja sambil bergelak ketawa waktu menjamah hidangan.

Tengahari tadi saya dapat berjumpa dengan enam orang rakan (berlainan fahaman politik) dan bersama-sama makan nasi kandar ala penang. Memang sedap makan kari kepala ikan dengan papadam. Bukan selalu dapat makan nasi kandar, paling banyak cuma sekali seminggu.

Baiklah berbalik kepada tajuk komentar saya kali ini, ianya berkisar kepada perbincangan bersama rakan-rakan waktu makan tengahari tadi. Dari apa yang saya dapat simpulkan rata-rata rakan-rakan saya bersetuju akan satu hujah berkaitan dengan strategi Ahmad Said dalam meneruskan kepimpinan beliau di jawatan Menteri Besar Terengganu.

Hujah yang saya ingin terangkan disini adalah datangnya dari tiga orang rakan saya (seorang Ahli UMNO, seorang Ahli DAP, seorang lagi Ahli PAS).

Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu pastinya akan dicabar (undi tidak percaya) pada sidang dewan undangan negeri (DUN) bilamana ianya berlangsung kelak. Namun sebagai seorang Menteri Besar beliau mempunyai kuasa untuk menempatkan sebilangan wakil rakyat (ADUN) menjadi ahli EXCO Kerajaan Negeri Terengganu.

Dikhabarkan seramai 22 (tidak termasuk Idris Jusoh) telah bertindak tidak mahu menyokong beliau (Ahmad Said) dan bersetia dengan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

Oleh yang demikian sebelum sidang DUN dijalankan Ahmad Said boleh pada bila-bila masa mengumumkan senarai Ahli EXCO yang dikehendaki oleh beliau. Mengikut undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, bilangan Ahli EXCO yang diperuntukkan hanyalah 10 orang. Maka jika 10 jawatan ini diberikan kepada 22 orang ADUN BN yang bersetia kepada Idris Jusoh maknanya hanya tinggal 12 orang sahaja yang pasti akan kekal dengan Idris Jusoh.

Katakanlah satu jawatan Timbalan Menteri Besar diujudkan, maka tentulah berkurangan seorang lagi penyokong Idris Jusoh menjadikannya cuma 11 orang sahaja. Ahmad Said pula boleh melantik 2 orang lagi sebagai Speaker dan Timbalan Speaker DUN dari kalangan ADUN yang masih lagi bersetia dengan Idris Jusoh. Dengan ini maka yang tinggal cuma 9 orang sahaja tidak termasuk Idris Jusoh.

Oleh yang demikian, pastinya Ahmad Said akan mendapat sokongan majoriti ADUN BN (UMNO) sebelum persidangan DUN Negeri Terengganu dijalankan. Dengan ini maka tindakan undi tidak percaya yang mungkin anda dan saya jangkakan akan terjadi, tidak akan terjadi sama sekali kerana Idris Jusoh tidak mendapat mandat majoriti ADUN.

Bagaimana ini boleh berlaku. Jangan terkejut bahawa semua ini boleh berlaku kerana ADUN-ADUN BN (UMNO) biasanya “kelapaq” jawatan, pangkat dan wang. Maka jika mereka ditawarkan jawatan, pangkat dan wang pastinya bila-bila masa sahaja mereka boleh berubah fikiran dan ber”baiah” dengan ketua yang baru.

Apa yang ada pada Idris Jusoh dan tidak ada pada Ahmad Said? Memang Abdullah Ahmad Badawi amat suka jika Idris Jusoh menjadi MB Terengganu, tapi apa yang Abdullah Ahmad Badawi boleh buat. Kuasa negeri terletak kepada Sultan dan diwakilkan kepada MPPR. Kuasa Persekutuan tidak boleh melangkaui apa yang diperuntukkan kepadanya.

Kini Ahmad Said dan juak-juaknya pasti boleh bergelak ketawa mengenangkan nasib Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam dalam kemelut Menteri Besar Terengganu.

Walau apa pun, kita amat berharap agar Ahmad Said berubah dan tidak menjadi lebih teruk dari perangai dan feel Idris Jusoh dalam mentadbir Negeri Terengganu. Ingat, bahawa rakyat Terengganu dan Sultan memerhatikan apa sahaja yang anda lakukan.

Next page

%d bloggers like this: