25 August, 2014

Bila Mahu Sedar?

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pilihanraya, Politik, Reformasi at 2:15 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa Partai Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang menekankan Islam sebagai tunjang utama kekuatannya malah perlembagaan PAS didasarkan kepada kesyumulan Islam dan mentauhidkan Allah Taala semata-mata. Tidak dapat tidak, segala tindakan PAS memperlihatkan Islam itu sendiri. Malah kalau ditanya (dicula) dan dibuat kajiselidik dikalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama, pastinya isu keagamaan PAS menjadi persoalan paling utama.

Namun kita boleh dapati PAS kini semakin hari semakin terhakis ke”integriti”an partai tersebut yang asasnya didasarkan kepada Islam.

Ini kerana telah cukup banyak kes salahlaku (tatatertib ataupun undang-undang) yang dilakukan oleh ramai pimpinan PAS yang disapukan dibawah karpet. Saya boleh namakan beberapa kes, namun untuk menjaga aib pemimpin PAS tersebut, biarlah ianya hanya ada dalam makluman saya sahaja. Anda semua jangan ingat pimpinan PAS itu maksum. Tidak. Mereka juga banyak yang terlibat dengan kerja maksiat dan dosa.

Cuma bezanya mereka melakukan dibalik tabir dan dalam banyak situasi, kalaupun ianya bocor kepada pengetahuan awam pastinya ianya akan dinafikan tanpa apa-apa fakta sokongan oleh pimpinan tertentu dan akhirnya akan masuk dibawah karpet juga. Ini yang menjelikkan pada pandangan peribadi saya. Ramai pimpinan PAS yang tidak berbuat seperti apa yang selalu dicakapkan oleh mereka. Perkara ini serupa juga dengan sesetengah pakar motivasi yang hanya pandai memberikan motivasi walhal dirinya sendiri tidak betah untuk mengikut apa yang disarankan olehnya.

Dalam kes yang berlaku di Selangor pula, kita dapat lihat bagaimana ada pimpinan PAS yang tanpa segan silu membelakangkan keputusan Muktamar PAS yang sebelumnya (yang mana mereka sendiri juga pernah bersetuju dengan keputusan Muktamar PAS ini). Tindakan membelakangkan keputusan Muktamar PAS oleh sesetengah pimpinan ini menunjukkan PAS begitu kucar kacir. Ianya juga memperlihatkan bahawa ada pimpinan PAS yang bertindak keluar dari kerangka persetujuan yang dimuktamadkan di Muktamar PAS dan mereka ini sanggup pula mempergunakan pelbagai cara untuk menghalang sesiapa yang ingin mempastikan keputusan Muktamar PAS menjadi relevan.

Tidak dinafikan ada pimpinan PAS yang gelap mata dengan habuan dunia. Malah ada pimpinan utama juga yang mudah dipengaruhi oleh orang terdekat dengan mereka yang semakin hari semakin hanyut dengan keduniaan. Ahli Parlimen dan ADUN PAS patutnya mendahulukan dan mengutamakan rakyat, namun ada ramai yang cukup susah untuk dapat dilihat dikawasan yang mereka wakili melainkan pada waktu kempen pilihanraya sahaja.

Sikap sebegini sebenarnya menjauhkan PAS dari rakyat marhaen dan seterusnya akan memberikan persepsi buruk dikemudian hari. Amatlah malang jika sekiranya pada PRU14 nanti Parti Islam SeMalaysia (PAS) ditolak oleh ramai pengundi atas pagar hanya kerana sikap dan perangai beberapa orang pimpinan PAS yang tidak mesra rakyat. Persoalan yang kita semua ingin bertanya. Bila PAS mahu sedar?

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Leave a comment