4 September, 2014

Membiakkan Penentang Senyap

Posted in Barisan Nasional, BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, PDRM, Penentang, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 2:12 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Tidak dapat tidak saya terpaksa juga mengulas mengenai senario yang sedang berlaku dalam negara ini terutamanya tindakan PDRM yang kelihatan berat sebelah dalam melakukan tugas hakiki mereka. Saya tahu bahawa kaki dan tangan pimpinan utama PDRM terikat dengan kuasa politik. Namun sepatutnya sebagai pihak yang berkuasa dalam keselamatan, mereka sewajarnya dapat membebaskan diri daripada kekangan kuasa politik.

Malah dalam senario terkini, nampaknya tindakan PDRM lebih mendahului arahan politik semacam kepimpinan utama PDRM sudah cenderung kepada satu pihak sahaja semata-mata. Dari apa yang saya lihat dan ketahui, malang bagi rakyat Malaysia bilamana PDRM sudah mencemar institusi mereka dengan condong berpihak kepada UMNO/BN.

Tan Sri KPN pernah menjadi anak murid saya satu masa dahulu ketika saya masih lagi didalam perkhidmatan. Dikala itu beliau saya rasakan lebih bersikap dan bertindak professional malah tidak bias. Namun kebelakangan ini saya berasa sedih bilamana beliau saya lihat sudah jauh berubah sikap tidak seperti 20 tahun dahulu. Sungguh jauh berbeza.

Apa pun ini bukannya salah Tan Sri KPN semata-mata. Ini kerana indoktrinasi Melayu yang kuat dimainkan oleh pihak BTN yang dikuasai oleh UMNO sepenuhnya telah berjaya sedikit sebanyak mengubah sikap dan perangai seorang “mata-mata” yang baik kepada mengikut acuan BTN. BTN yang penuh dengan sentimen “Ketuanan Melayu” dan elemen menghasut.

Pada pandangan peribadi saya, tindakan akhir-akhir ini oleh pihak PDRM yang dikepalai oleh Ketua Polis Negara walaupun nampak berjaya menakut-nakutkan rakyat marhaen dengan menggunakan pelbagai akta “drakonian” dan ugutan soal-siasat, tidak dapat tidak berjaya membenihkan satu sikap kebencian “total” kepada UMNO/BN. Benih ini nampaknya tidak akan dapat dibendung dengan ugutan, akta dan undang-undang tetapi secara realistiknya akan membiakkan penentang senyap.

Revolusi Bolshevik bermula secara bawah tanah sepuluh tahun lebih awal daripada tarikh kejadian revolusi. Ianya dibentuk dengan jayanya oleh golongan kiri yang berjaya mengindoktrinasikan rakyat marhaen menjadi penentang senyap. Malah penentang senyap ini bukan sahaja bakal mencetuskan revolusi secara hakiki namun berkemungkinannya akan menyebabkan “public disobedient”

Tindakan PDRM kepada PPS di Pulau Pinang bukanlah akan memberikan satu lonjakan kepada UMNO/BN untuk dapat menguasai Pulau Pinang pada PRU14 namun saya jangkakan Pulau Pinang akan terus kekal ditangan Pakatan Rakyat untuk satu jangkamasa yang lama. Walaupun kita tahu Pakatan Rakyat nampak tidak bersungguh untuk mengekalkan kesepakatan mereka, namun penentang senyap yang telah diujudkan oleh tindakan pilih kasih PDRM akan menyebabkan susah bagi UMNO/BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Saya juga berpandangan jika DUN Selangor dibubarkan oleh Sultan Selangor, berkemungkinan besar UMNO tidak akan dapat menguasai Selangor dengan mudah hanya kerana ramainya kumpulan penentang senyap ini yang tidak berparti tapi tidak akan mahu memberikan UMNO/BN kuasa mudah untuk memenangi Pilihanraya Negeri.

Kesimpulannya, tindakan PDRM yang berat sebelah dan bias kepada UMNO/BN sebenarnya adalah satu rahmat kepada rakyat Marhaen agar tidak akan memberikan UMNO/BN kuasa dengan mudah. Fikir-fikirkanlah.

Khas buat Tan Sri KPN, anda adalah salah seorang bekas pelajar saya yang saya fikir boleh bertindak lebih rasional dan tidak bias. Harap jangan hampakan harapan saya.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Leave a comment