26 October, 2008

Tiada Ehsan?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , at 1:18 am by Ketua Perusuh

Bayangkan jika anda adalah seorang kakitangan perkhidmatan awam Kerajaan Malaysia yang bertugas dengan Jabatan Pendidikan sebagai seorang kerani. Anda telah berkhidmat dengan baik selama 30 tahun (sejak awal anda menjawat jawatan ini ketika berumur 25 tahun). Namun status perkhidmatan anda dibawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukanlah jawatan tetap, akan tetapi satu jawatan kontrak yang akan dikaji dan disambung setiap setahun perkhidmatan.

Anda memang membuat potongan KWSP selama ini, malah tidak pernah anda cuai menjalankan tugasan anda dengan baik. Walaupun telah lama anda berkhidmat dalam perkhidmatan awam, namun anda tidak layak untuk mendapat skim pencen atas alasan anda berjawatan kontrak. Akan tetapi pada tahun depan (2009) perkhidmatan anda akan ditamatkan bersama-sama 49.999 orang kakitangan perkhidmatan awam yang sama seperti anda (jawatan kontrak).

Apakah yang anda akan rasa. Tentulah anda kecewa kerana khidmat anda tidak dihargai oleh Kerajaan Malaysia walaupun anda telah berkhidmat lebih dari 30 tahun. Oleh itu apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan mendapat pembelaan?

Fikir-fikirkanlah.

Sebagai ingatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Amirsham Aziz) pernah berkata tiada berlakunya aliran keluar besar-besaran FDI di Malaysia dan Menteri Kewangan (Najib Razak) pula ada mengatakan bahawa Malaysia tidak akan menghadapi situasi kegawatan kewangan dalam tahun ini atas alasan rezab negara kekal utuh.

Sila rujuk – SINI

“Selamatkanlah Malaysia”

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

22 October, 2008

Bila Hakim Berpihak?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:47 am by Ketua Perusuh

Tahniah saya ucapkan kepada Zaki Azmi kerana akhirnya berjaya juga menjadi Ketua Hakim Negara Malaysia (Chief Justice). Tahniah juga saya ucapkan kepada Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia bilamana calon yang ditunjukkan olehnya mendapat kepercayaan Majlis Raja-Raja Melayu. Tahniah juga kepada Raja-Raja Melayu kerana prihatin terhadap rakyat.

Tahniah seribu kali tahniah. Mungkin boleh saya ucapkan berjuta-juta tahniah.

Artikel kali ini boleh diklasifikasikan sebagai hasutan. Oleh yang demikian ingin saya nasihatkan anda supaya tidak terhasut dengan isi kandungan artikel ini. Jika anda mudah terhasut, sila abaikan kandungan artikel ini.

Pertama sekali, ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan sama sekali bersetuju untuk bersekongkol dengan pilihan dan tindakan Majlis Raja-Raja Melayu. Biarlah saya dikatakan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu, namun jika Raja-Raja Melayu tidak berminat untuk menerima dan mendengar pandangan rakyat, maka pada saya apa perlunya lagi institusi ini dipertahankan.

Raja memerlukan rakyat. Rakyat juga memerlukan Raja. Belum pernah terdengar dimana-mana pun diseluruh dunia ada Raja yang bersemayam ditakhta namun tidak mempunyai walau seorangpun rakyat untuk diperintah. Orang Melayu akan kekal beraja. Biarpun seluruh kepulauan Melayu (Malay Archipelago) dijajah bangsa lain, namun biasanya institusi Raja dipertahankan. Pantang anak melayu tidak beraja. Pantang juga anak melayu menderhaka.

Namun kini tindakan yang diambil oleh Raja-Raja Melayu tidak sealiran dengan pandangan dan aspirasi rakyat. Adakah Raja-Raja Melayu ingin membuat tindakan sepertimana yang pernah Sultan Mahmud Syah (Raja dan Pemerintah Kesultanan Melayu Melaka) pada satu masa dahulu yang membuat keputusan tanpa memikirkan akibatnya. Kita semua tahu bahawa Sultan Mahmud Syah mangkat semasa dijulang. Bagi yang tidak tahu akan cerita ini, sila rujuk mana-mana dokumen mengenai sejarah Melaka.

Pada pandangan saya, adalah wajar Majlis Raja-Raja Melayu memperbetulkan perkara ini. Memilih seorang Ketua Hakim yang dikenalpasti bersikap seperti syaitan bertopengkan malaikat wajar ditolak. Buat kali ini wajarlah para Raja-Raja Melayu mendengar keluhan dan pandangan seluruh rakyat. Zaki Azmi memang dikenalpasti sebagai seorang hakim yang pastinya akan berpihak (tidak neutral) dan ini sekaligus menyebabkan institusi Kehakiman Malaysia akan menjadi bahan lawak.

Jika majoriti rakyat tidak mempercayai Ketua Hakim ini, maka bagaimanakah beliau akan menggalas tugasnya.

Oleh yang demikian, janganlah ada pihak (termasuk Raja-Raja Melayu) yang akan marah atas tindakan saya ini. Ini kerana jika Raja pun boleh belot kepada rakyatnya, bagaimana pula rakyat tidak belot pula kepada Rajanya.

Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah


Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

p/s: Ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak semestinya anda perlu bersetuju dengan pandangan saya.

21 October, 2008

Aliran Keluar FDI

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:51 am by Ketua Perusuh

Amirsham Abdul Aziz (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) adalah seorang bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd., kumpulan perbankan terbesar Malaysia. Dari dunia korporat beliau dilantik dan diangkat kejawatan berkaitan politik. Ramai yang mengenali beliau mengaku bahawa beliau amat hebat dalam bidang kewangan dan pelaburan.

Namun komentar beliau yang saya dapat lihat sepintas lalu di TV dan baca di media cetak melambangkan kehebatan beliau dalam bidang kewangan dan pelaburan hanyalah satu cerita-cerita kosong. Semalam beliau ada menyatakan bahawa dalam krisis ekonomi serantau ini, tiada langsung pengaliran keluar besar-besaran FDI (Foreign Direct Investment) dari bumi Malaysia. Apa yang ada katanya adalah lebih kepada dana portfolio jangka pendek.

FDI adalah satu indikator yang menunjukkan bahawa sesebuah negara tersebut sesuai untuk pelaburan asing dan iklim ekonominya agak kukuh dibandingkan dengan kos buruh yang agak rendah. Oleh yang demikian FDI kerap digunakan sebagai satu petunjuk oleh para pelabur asing sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Keputusan untuk melabur di negara asing biasanya diaktifkan oleh pasaran semasa, petunjuk ekonomi, “rating” dari penganalisa pelaburan, dan pelbagai “micro sentiment”. Oleh itu dalam kegawatan ekonomi dunia yang kian mencabar, beberapa agensi penganalisa pasaran kini terpaksa mengkaji semula semua faktor dan portfolio pelaburan di banyak negara terutamanya negara membangun.

Hasil dari kajian semula ini menunjukkan bahawa adalah lebih sesuai (untung) bagi mana-mana pelaburang asing masuk ke negara-negara dunia ketiga seperti Vietnam, Laos, Kampuchea, Singapura, China dan India. Negara-negara yang saya sebutkan tadi adalah negara-negara yang mana kos buruh dan politiknya agak stabil pada masa ini.

Bagi rakyat yang kerja dalam bidang perindustrian memang telah mengetahui bahawa banyak syarikat (kilang-kilang) besar yang dahulunya bertapak di Pulau Pinang, Sungai Petani, Ipoh, Petaling Jaya, Shah Alam, Johor Bharu dan beberapa kawasan lain sedang dan telah menutup operasinya dan berpindah ke negara-negara yang saya sebutkan tadi terutamanya ke Vietnam dan Laos.

Aliran keluar besar-besaran FDI ini sebenarnya telah lama berlaku iaitu diawal pemerintahan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Malah ianya telah pun sampai ke kemuncaknya sekarang ini apabila iklim ekonomi dan politik tempatan nampaknya kacau bilau hasil daripada tangan-tangan dalam Pakatan Barisan Nasional.

Semua ini sebenarnya ada tangan ajaibnya yang menyebabkan aliran keluar FDI dari Malaysia. Agak-agak anda, siapakah (agensi manakah) sebenarnya yang menjadi dalang yang menyebabkan aliran keluar FDI dari Malaysia secara besar-besaran? Anda mungkin tidak percaya jika saya khabarkan siapakah dalang ini.

Buat masa ini kita biarkan dulu cerita siapa dalangnya. Yang penting sekarang ini bagaimana seorang yang kononnya mahir dan berpengetahuan dalam bidang kewangan dan pelaburan seperti Amirsham Abdul Aziz boleh mengeluarkan pandangan bahawa tiada aliran keluar besar-besaran FDI dari Malaysia. Siapakah agaknya yang hendak ditipu oleh Amirsham Abdul Aziz ini? Anda, saya atau para pemimpin Pakatan Barisan Nasional?

20 October, 2008

Shamsiah Fakeh

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 8:37 am by Ketua Perusuh

Al Fatihah

Saya ingin meminta berbanyak-banyak maaf atas komentar ini.

Susah rasanya untuk saya menulis mengenai perkara ini. Apa yang pasti, Shamsiah Fakeh (salah seorang pejuang kemerdekaan tulin negara) telah kembali kerahmatullah. Apa yang mampu saya buat adalah berdoa semoga Almarhumah berada didalam rahmat Allah S.W.T senantiasa, diampunkan dosa dan ditempatkan didalam syurga bersama pada syuhada.

Kepada anak-anak dan cucu-cicit Almarhumah, bersabarlah menempuh dugaan ini. Tiap-tiap yang hidup akan menghadapi kematian.

Al Fatihah

Ketua Perusuh,
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

Next page

%d bloggers like this: