30 June, 2008

Siapa Yang Kena?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 4:17 am by Ketua Perusuh

Nampak gayanya skrip lama diolah dan dikitar semua sekali lagi. Kalau dahulu skrip adalah lengkap dengan segala macam idea dan pelakon pembantu. Kini nampaknya skrip masih lagi caca-marba. Penulis skrip pun masih lagi meninjau-ninjau idea dan jalan cerita yang akan diolah mengikut keadaan.

Bila kita kenangkan kembali kes 1997 dahulu, mungkin kita boleh lihat ianya satu skrip yang mantap dan diolah dengan begitu sempurna sehinggakan ramai dikalangan “penonton” terpaku dengan tayangan yang dipertontonkan. Walaupun skrip tersebut mantap, namun akhirnya ada juga ruang-ruang ralat yang telah dikenalpasti dan seterusnya menyebabkan tayangan tersebut ditamatkan. Namun tayangan tersebut masih lagi kekal menjadi “box office”.

Kini kita diberi peluang untuk menonton satu lagi episod “sekuel” (sambungan) bagi tayangan tahun 1997 dahulu. Watak utama masih lagi melibatkan pelakon yang sama, namun beberapa watak sampingan baru telah ditampilkan untuk meninggikan “rating” tayangan ini. Skrip dan pengarahan pula berkemungkinan diolah oleh orang lain namun masih bersandarkan daripada skrip asal 1997.

Apa yang pasti, para “penonton” sedang mengagak-agak apakah kesudahan tayangan 2008 ini. Bagaimanakah ianya diolah? Siapakah pengarahnya? Adakah watak tambahan ini kekal atau akan ditambah bilangannya diseparuh masa kedua tayangan ini? Mungkinkah ada watak yang akan ditamatkan secara paksa?

Nampak gayanya para penerbit filem sama ada di Hollywood, Bollywood atau Greenwood perlu mengkaji skrip lakonan yang kini ditayangkan di Malaysia demi untuk mencari percambahan idea menerbitkan satu filem berskala mega untuk tayangan seluruh dunia. Bak kata orang muda-muda “Apa kelas skrip Telenovela Latin, Malaysia ada lebih dari itu”. Semua elemen ada tidak kira seks, pembunuhan, politik, rasuah, salahguna kuasa, perniagaan, perbankan, dendam dan pelbagai lagi. “Macam-macam ada”

Bayangkanlah skrip yang sedang ditayangkan ini lebih bersifat global melibatkan banyak negara seperti Singapura, Itali, Russia, Peranchis, Hong Kong/China, Mongolia, England, Amerika Syarikat, Libya, Iraq, Indonesia, Cayman Island, India, Switzerland, Israel, Arab Saudi, Jepun dan mungkin juga Thailand. Apa yang pasti tentu ramai pelakon tambahan diperlukan (warga negara asing) demi untuk menjayakan skrip bertahap “mega” ini.

Berapakah agaknya modal biaya untuk menerbitkan tayangan ini? Adakah lebih dari RM1 bilion? Siapakah yang akan untung dari tayangan ini? Bila agaknya tayangan ini akan ditamatkan? Akan adakah “sekuel” dimasa akan datang?

Walau bagaimana pun, kita rakyat biasa sudah agak bosan melihatkan idea skrip lama dijadikan tayangan umum. Kalau begini bagai mana industri filem di Malaysia akan dapat berkembang. Tolonglah jangan biarkan rakyat termuntah hijau melihatkan tayangan yang meloyakan ini. Hentikanlah. Buatlah satu tayangan yang lebih patriotik ataupun lebih mencambahkan minda rakyat. Jangan buat kami (rakyat) seperti patung. Kami (rakyat) semua yang mengeluarkan biaya membayar tayangan ini dalam bentuk cukai dan sebagainya. Jangan ingat kami (rakyat) semua bodoh.

Nampak gayanya semua hasil pemotongan subsidi minyak akan habis digunakan untuk menampung kos penerbitan tayangan “BANGANG” ini.

22 June, 2008

Songkok Oh Songkok!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , at 1:38 am by Ketua Perusuh

Sebenarnya saya tidak ingin menambahkan polemik dalam isu songkok yang khabarnya tidak mahu dipakai (atas alasan ianya budaya Melayu) oleh para wakil rakyat bukan Melayu di pihak Pakatan Rakyat terutamanya dari Parti DAP. Namun atas pandangan rakan-rakan maka saya akan memberikan sedikit pandangan saya mengenai isu ini.

Pertama sekali, kita warga Malaysia (atau orang timur) penuh dengan adat-adat dan sopan santun. Sebagai contoh, jika kita pergi ke Jepun dan singgah melawat rakan kita disana maka kebiasaannya kita akan mengikut adat resam budaya orang India agar kita tidak canggung. Di Jepun kita akan berhadapan dengan budaya membongkokkan sedikit badan ketika berjumpa (semacam bersalam) sebagai tanda hormat dan mengikut budaya masyarakat disana. Bayangkanlah apa pandangan orang Jepun sekiranya kita tidak langsung mahu membongkokkan badan malah mengeluarkan pandangan memperlekehkan adat resam dan budaya tersebut. Tentulah kita akan dianggap sebagai orang yang sombong.

Jika kita (walau siapa pun kita) tidak menghormati adat resam budaya masyarakat setempat maka sewajarnyalah kita boleh diklasifikasikan sebagai orang yang tidak bertamadun. Oleh yang demikian maka tindakan tidak sopan yang kita lakukan (tidak hormat budaya setempat) wajar diambil perhatian dan dielakkan.

Oleh itu tindakan wakil rakyat dari DAP yang tidak mahu memakai songkok (atau apa-apa pakaian istiadat) didalam majlis rasmi adalah seperti orang yang tidak bertamadun. Waima pihak British pun menghormati adat resam dan budaya majlis rasmi pada masa dahulu biarpun mereka sedang menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Peribahasa “ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya” amat bertepatan dengan tindakan kita menghormati adat resam dan budaya masyarakat setempat tidak kita dimana juga kita berada. Janganlah kita menjadi seperti orang yang tidak bertamadun. Alangkan orang “Bushman” di Gurun Kalahari pun tahu bagaimana untuk menghormati adat resam dan budaya masyarakat setempat. Inikan pula kita yang kononnya berpendidikan tinggi dan menjadi wakil rakyat.

Anda adalah wakil kepada rakyat dan setiap tindakan yang ingin anda lakukan perlulah bertunjangkan kepada aspirasi rakyat. Jangan fikir diri anda besar (kerana anda telah menang pilihanraya dan menjadi wakil rakyat) sehinggakan anda lupa bahawa tindakan anda tersebut mengundang petaka untuk anda (pastinya jangkahayat perkhidmatan anda tidak akan bertahan lama).

Jika anda rasa anda hebat (kerana melawan arus), maka tunggulah saat dan ketika anda dijatuhkan dalam pilihanraya akan datang. Orang Malaysia terkenal dengan adat resam, budaya dan kesopanan. Jika anda tidak ada ciri-ciri sebegini, maka sewajarnya anda keluar dari Malaysia.

21 June, 2008

Talam Dua Muka

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:01 am by Ketua Perusuh

Pertama sekali saya ingin tegaskan bahawa saya amat kesal dengan sikap ketidakperihatinan Kerajaan Malaysia (lepas tangan @ sambil lewa) terhadap isu kedaulatan negara ini. Malah beberapa tindakan yang Kerajaan Malaysia lakukan amat bercanggah dengan prinsip mempertahankan hak-hak dan kedaulatan negara.

Berkaitan dengan isu Pulau Batu Puteh atau lebih dikenali sebagai “Pedra Branca”, saya mendapat maklumat bahawa beberapa bahan hujah-hujah para peguam di pihak Malaysia dan dokumen-dokumen sokongan pembelaan telah dibocorkan terlebih dahulu kepada pihak Singapura oleh beberapa pembelot (talam dua muka) dari Malaysia.

Malah usaha-usaha pihak Singapura untuk mendapatkan maklumat-maklumat tambahan khabarnya dibantu oleh beberapa pembelot (talam dua muka) yang sedang berada dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia. Hanya kerana dibayar dengan wang ringgit yang banyak mereka sanggup menjual negara kepada pihak asing.

Pergerakan pembelot dan agen risikan asing di Malaysia nampak gayanya tidak mampu dipantau dan disekat oleh agensi risikan tempatan seperti Cawangan Khas (SB) melalui unit E3M mereka. Kini agen-agen risikan asing mampu pula meletakkan aset-aset mereka jauh kedalam organisasi penting negara.

Malah dokumen yang menjadi penentu menangnya Republik Singapura keatas Pulau Batu Puteh khabarnya dibekalkan oleh aset agensi risikan Singapura seawal 2004 lagi dan dokumen ini tidak dikenalpasti oleh pihak Malaysia sehinggalah didedahkan di ICJ. Jika beginilah mudahnya dokumen penting dilarikan (diseludup keluar) tanpa pemantauan, maka jangan terkejut jika semua minit mesyuarat kabinet Kerajaan Malaysia mampu sampai ketangan pentadbiran Singapura seawal setengah jam setelah selesai setiap mesyuarat tersebut.

Setakat ini kemampuan unit E3M dalam Cawangan Khas (SB) amat terhad dan perlukan satu perubahan besar dilakukan kepada organisasi ini. Saya amat berharap agar pihak risikan tempatan mengambil satu tindakan pro-aktif dalam menyediakan aset-aset (agen-agen senyap) untuk memudahkan pemantauan dan tindakan susulan. Kita sewajarnya mampu mengekang pergerakan aset-aset agensi risikan asing terutamanya Singapura dari bergerak mudah di Malaysia pada setiap masa.

Pada pandangan saya, Malaysia tidak kurang dengan rakyat yang patriotik yang mampu untuk kita jadikan sebagai aset agensi risikan tempatan kita. Cuma kita perlu mengembleng usaha kearah memantapkan lagi rangkaian aset-aset kita diluar negara.

Saya petik artikel dari laman blog Kuda-Kepang

Antaranya, sebelum menghadiri sessi akhir ICJ mengenai Pulau Batu Puteh di The Hague, Belanda, pertengahan Mei 2008 lalu, saya difahamkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dipercayai telah menerima daripada Sultan Johor satu scroll dan dokumen sejarah yang sangat penting mengenai pulau tersebut.

Dokumen dan scroll ini dikatakan akan digunakan sebagai “senjata terakhir” dalam perbicaraan ICJ bagi menjamin serta mempertahankan kedaulatan Pulau Puteh terus kekal dimiliki oleh Malaysia.

Berasaskan scroll serta dokumen tersebut, Rais dikatakan telah memberitahu Sultan Johor bahawa kemungkinan besar keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.

Persoalannya di sini, adakah scroll dan dokumen penting ini telah benar-benar digunakan sebagai “senjata terakhir” Malaysia dalam perbicaraan ICJ? Jika tidak, mengapakah jadi begitu? Kemanakah perginya scroll dan dokumen ini sekarang?

5 June, 2008

Minyak Oh Minyak!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 1:47 am by Ketua Perusuh

Sesungguhnya saya tidak mampu untuk menahan diri daripada ketawa besar petang semalam sewaktu mendapat berita mengenai kenaikan harga bahan bakar (minyak petrol dan diesel) yang dinaikkan sehingga 41%. Jangan pula anda semua salah sangka. Saya ketawa kerana telahan (ramalan) mengenai kenaikan harga minyak yang pernah saya buat nampaknya hampir tepat daripada apa yang diumumkan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Saya cuma menjangkakan kenaikan setinggi RM2.60 seliter bagi minyak petrol namun Abdullah Ahmad Badawi berjaya menaikkan harga minyak petrol sehingga RM2.70. Nampak gayanya Abdullah Ahmad Badawi mungkin ada membaca (bolehkah anda percaya Abdullah Ahmad Badawi suka membaca?) artikel di laman ini.

Cuma apa yang saya terlepas pandang adalah tarikh sebenar kenaikan harga minyak dimana saya pernah menjangkakan ianya naik sebelum suku kedua 2009. Nampaknya harga minyak dinaikkan lebih awal (12 bulan awal). Efek dari kenaikan harga minyak pastinya anda semua boleh jangkakan. Kos sara hidup akan naik dan yang pastinya yang tertekan adalah semua rakyat Malaysia tidak kira yang kaya mahupun yang miskin.

Yang miskin pastinya akan lebih sengsara manakala yang dahulunya kaya mungkin sudah turun tarafnya kepada sederhana. Teori domino tidak dapat dielak bagi mana-mana elemen ekonomi. Jika kos bahan bakar naik, maka kos operasi akan naik dan tentunya harga pengeluaran akan naik dan sekaligus menaikkan semua harga barangan dipasaran.

Kepada semua rakyat Malaysia, saya amat berharap anda semua jangan terkejut apabila Kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi akan menaikkan harga minyak petrol sekali lagi sekitar Ogos ini pada kadar RM0.30 seliter. Ini adalah bagi menampung kekurangan nilaian yang perlu untuk meletakkan harga minyak hanya sedikit dibawah harga pasaran dunia iaitu RM3.80 seliter (jangkaan).

Saya jangkakan teknik yang sama juga akan digunapakai bagi mengesahkan kenaikan harga minyak petrol pada Ogos 2008 ini. Teknik dan manipulasi yang sama dengan bantuan semua akhbar-akhbar harian tempatan.

Tahniah juga saya ingin ucapkan bagi anda (sesiapa pun) yang telah memberikan kemenangan mutlak kepada Barisan Nasional yang mana telah membalas jasa anda dengan menaikkan harga bahan bakar dan seterusnya akan menaikkan harga barangan keperluan asas.

Jangan risau kerana jika anda terus menerus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui Malaysia, harga minyak pasti akan naik terutamanya minyak petrol yang pastinya akan mencecah RM5 seliter (seawal 2012).

%d bloggers like this: