19 November, 2007

Empangan Bakun?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:04 am by Ketua Perusuh

Adakah anda masih ingat akan kisah Empangan Bakun? Jika ada yang telah terlupa, saya ingin memberikan anda peluang untuk mengimbau kisah tersebut. Empangan Bakun adalah sebuah empangan berskala besar yang bertujuan untuk menjanakan tenaga elektrik menggunakan teknologi elektrik hidro.

Pada tahun 70’an, telah terdapat sebuah empangan bersaiz besar iaitu Empangan Temenggor di Perak yang dibina dimana bermanfaat menjanakan sehingga 384 MW tenaga elektrik. Empangan Temenggor dibina dengan cara mengepung air sungai yang menyebabkan kawasan berhampiran ditenggelami air sehingga membentuk Tasik Temenggor (Tasik Banding). Teknik yang digunakan ini amatlah tidak mesra alam dimana kemusnahan hutan secara kekal telah berlaku.

Kemudian pada awal tahun 1990 pula Tenaga Nasional Berhad membina satu lagi empangan yang tidak mengganggu alam sekitar dimana aliran air sungai disekat dan dipindahkan kedalam satu sistem terowong bawah tanah yang canggih (stesen penjana hidro terletak di dalam tanah) yang dikenali sebagai Empangan Sg Piah di Sungai Siput Perak. Empangan ini bina dengan oleh Ret Ser Engineering Agency (Ret Ser) serta Kerjaya Balfour Beatty Cementation (KBBC) International dengan kawalselia sebuah syarikat dari Kanada (Shawinigan-Lavalin). Empangan ini berjaya menjanakan tenaga elektrik sehingga 54 MW pada Sg Piah Lower Power Station dan 14.6 MW pada Sg Piah Upper Power Station.

Projek Empangan Sg Piah sememangnya berjaya dan menjadi satu model kepada sebuah lagi empangan iaitu Empangan Pergau di Kuala Yong, Kelantan. Namun pembinaan Empangan Pergau tercalar dengan satu insiden peringkat antarabangsa yang mana melibatkan Kerajaan Britain dan Malaysia. Empangan Pergau yang menjanakan kuasa sehingga 600 MW telah menjadi satu insiden yang memalukan kerajaan Margaret Thatcher kerana nilai bantuan sebanyak 234 Juta Pound untuk projek tersebut adalah datangnya dari perbuatan “tumbuk rusuk” (rasuah) dalam pembelian jet pejuang Hawk yang bernilai 1.3 Bilion Pound pada bulan March 1988. Pada November 1994, Mahkamah Tinggi Britain telah menetapkan bahawa tindakan menyalurkan 234 Juta Pound tersebut (oleh Setiausaha Luar Britain Douglas Hurd) adalah salah dari segi undang-undang British.

Teknik pembinaan yang sama juga digunakan sebahagiannya untuk membina sebuah lagi empangan di Sarawak iaitu Empangan Bakun. Rekabentuk empangan tersebut menggabungkan kedua-dua konsep empangan iaitu Empangan Temenggor dan Empangan Pergau. Namun kos yang dicadangkan untuk membinanya amatlah tidak rasional kerana bernilai lebih dari 7 Bilion Dolar yang mana secara tidak langsung akan menyebabkan ianya akan menjadi empangan yang paling besar di Asia Tenggara (2400 MW janaan elektrik). Konsesi pembinaannya diberikan secara terus kepada Konsortium Ekran Berhad yang juga dianggotai oleh Kerajaan Sawarak, TNB, SESCO, MMC dan beberapa syarikat lain. Ekran Berhad pula kemudiannya dengan keizinan Kerajaan Malaysia telah melantik syarikat Asea dari Sweden dan Brown Boveri dari Switzerland (yang akhirnya membentuk syarikat ABB) untuk menyelia dan menjalankan kerja kejuruteraan dan agihan tenaga pada bulan Jun 1996.

Pihak ABB pula telah meminta sebuah syarikat iaitu Companhia Brasileira de Projetos e Obras (CBPO) dari Brazil untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan awam, malah projek ini dijalankan dengan seliaan perundingan dari syarikat Lahmeyer dari Jerman dan Harza dari Amerika Syarikat.

Atas bantahan beberapa pihak termasuklah aktivis alam sekitar dan kegawatan ekonomi 1997, projek Empangan Bakun ini terhenti sehingga menyebabkan pihak ABB telah membuat “write off” sebanyak 100 Juta Dolar atas suku ketiga akaun mereka. Pada Disember 1997, Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu) telah mengeluarkan arahan supaya pemberhentian semua projek mega demi untuk menyelamatkan aliran tunai dan kewangan negara.

Pada penghujung 1999 projek Empangan Bakun ini dimulakan semula dengan segala beban diletakkan dibawah Tenaga Nasional Berhad (TNB). Malah beberapa siri pembayaran pampasan telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia kepada Bakun Hydroelectric Corp (diketuai oleh Ekran Berhad) sebanyak lebih dari 250 Juta Dolar. Namun kemudiannya projek tersebut terhenti sekali lagi sehingga diambil alih oleh Kumpulan Sime Darby Berhad dengan kerjasama dari Malaysian China Hydro Consortium pada Ogos 2003. Malah sebuah konsortium lain iaitu Gulf International Investment Group (GIIG Capital) juga telah meletakkan deposit sebanyak 500 Juta Dolar untuk mengambil 60 % kepentingan dalam empangan ini.

Kini Empangan Bakun diserahkan pula kepada Synergy Drive Berhad (November 2007) sebagai usaha (kononnya) untuk mengerakkan projek berskala mega yang beberapa kali terbengkalai ini. Projek ini sejak dari awal lagi tidak pernah menepati keperluan alam sekitar (EIA) dan membahayakan kepentingan kaum Penan di Sarawak.

Dari apa yang dapat kita lihat, kemungkinan Synergy Drive Berhad akan membuat beberapa siri pembayaran pampasan lagi kepada beberapa pihak yang seterusnya menunjukkan bahawa tindakan ini tidak lebih dari satu usaha untuk mengaburi mata rakyat akan satu proses “bail-out” sekali lagi. Malah kini dengan dana yang amat besar adalah dikhuatiri Synergy Drive Berhad akan menjadi seperti Khazanah Nasional atau Danaharta yang memungkinkan akan menyebabkan rakyat (secara umumnya) akan menjadi rugi sekali lagi.

Yang pastinya pihak yang akan untung dalam insiden Empangan Bakun ini tidak lain dan tidak bukan ialah Ekran Berhad dan beberapa kroni yang berkaitan. Nilai pampasan yang telah mereka terima selama ini sebenarnya tidak wajar diberikan kepada mereka jika dibandingkan dengan kerja yang telah mereka lakukan.

Jika salah percaturan Synergy Drive Berhad akan pastinya terjual kepada pihak lain seperti yang pernah saya tulis dalam artikel sebelum ini. Temasek Group memang menunggu peluang dengan meletakkan beberapa orang kepercayaan mereka didalam beberapa industri tempatan dan bersedia untuk memindah-milikkan aset dan kepentingan Synergy Drive Berhad pada bila-bila masa. Malah proksi Temasek Group kini dikenalpasti telah berada didalam Synergy Drive Berhad.

18 November, 2007

Siapa Sebenarnya Yang Murka?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:19 am by Ketua Perusuh

Rata-rata rakyat Malaysia yang menonton rancangan Buletin Utama di TV3 dan Berita Perdana di RTM1 beberapa hari lalu telah menyaksikan bahawa Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin telah murka atas tindakan rakyat berhimpun pada 10 November di perkarangan Istana Negara untuk mempersembahkan memorandum BERSIH.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan telah mengeluarkan kenyataan akhbar (pada satu sidang akhbar) menyatakan bahawa Tuanku telah murka atas tindakan para rakyat berhimpun pada 10 November 2007 dan “konon”nya mendakwa Baginda menyokong Perhimpunan Haram tersebut.

Persoalannya disini ialah kenapa Dato Pengelola Bijaya Diraja pula yang mengeluarkan kenyataan akhbar siap dengan sidang akhbar sedangkan beliau tidak diberikan kuasa untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan akhbar bagi pihak Istana Negara? Adakah ada pihak-pihak tertentu yang telah mengarahkannya untuk mengeluarkan kenyataan akhbar tersebut.

Untuk pengetahuan umum, pegawai Istana yang sewajarnya mengeluarkan kenyataan akhbar mewakili Istana Negara tentunya adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu (Royal Seal Keeper). Selama ini hanya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu sahaja yang terus menerus mengeluarkan kenyataan akhbar mengikut aturan protokol Istana yang telah ditetapkan.

Jika kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato Pengelola Bijaya Diraja tidak datangnya daripada Baginda Tuanku, maka tentunya ada pihak lain yang sebenarnya “murka” akan perhimpunan yang dianjurkan oleh BERSIH tersebut. Buat masa ini cuma ada satu pihak sahaja yang dikenalpasti “murka” atas perhimpunan rakyat 10 November yang dianjurkan oleh Bersih tersebut.

Pihak yang “murka” tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah Abdullah Ahmad Badawi & Co. Abdullah Ahmad Badawi & Co teramat “murka” akan perhimpunan ini sehinggakan beliau telah mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu “Saya Pantang Di Cabar” pada perhimpunan agung UMNO yang berakhir pada 9 November 2007.

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia telah dapat mengenalpasti pihak mana yang sebenarnya “murka” akan perhimpunan aman BERSIH pada 10 November 2007 yang telah lalu. Malah Abdullah Ahmad Badawi & Co sanggup mempergunakan Istana Negara dengan mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menunjukkan bahawa sebenarnya yang “murka” bukannya Baginda Tuanku Sultan Mizan, sebaliknya Abdullah Ahmad Badawi & Co.

Kini kita sebagai rakyat Malaysia telah dapat mengenalpasti siapakah sebenarnya yang “Beraja Di Mata dan Bersultan Di Hati”. Nampak gayanya tidak lama lagi kita akan mendapat seorang “SULTAN” baharu yang bukan berdarah raja (kerabat) melainkan hanya diberikan pingat Darjah Kerabat semata-mana.

“Sultan” baharu ini akan pastinya dikenali sebagai “Sultan Abdullah Al-Ahmad Badawi Al-Mengarutbillah Shah”.

Ingat, bahawa “murka” Sultan baharu ini amatlah bahaya yang boleh menyebabkan hamba rakyat dihumban didalam penjara (dungeon) tanpa bicara atas sebab-sebab yang mungkin tidak munasabah (dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA)

7 November, 2007

Maskot DIGI?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:58 am by Ketua Perusuh

10 November 2007 akan pastinya dikenang dalam sejarah negara apabila berhimpunnya warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dalam satu perhimpunan mega di Dataran Merdeka. Perhimpunan yang dijangkakan akan disertai seramai 100 ribu orang akan pastinya mengubah senario di Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka yang pastinya akan mendapat liputan luas dari media antarabangsa.

Khabarnya banyak media antarabangsa (cetak dan elektronik) telah menghantar “correspondent” mereka untuk membuat liputan ini secara langsung dan ramai juga para pemerhati luar dijangkakan hadir. Perhimpunan yang pertama kalinya diadakan bertujuan untuk menyerahkan memorandum rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menggariskan keperluan untuk membuat perubahan kepada perjalanan sistem pilihanraya di Malaysia.

Sebagai ketua negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Sultan Mizan Zainal Abidin berhak untuk menerima perhimpunan dan kunjungan rakyatnya dan tidak ada pihak lain yang perlu untuk menggagalkan perhimpunan dan kunjungan tersebut. Malah sewajarnya pihak Polis tidak akan menyekat Seri Paduka Baginda dari bertemu dengan rakyatnya.

Perhimpunan yang akan dilakukan nanti tentunya akan memberikan seri kekuningan (dimana semua peserta dikehendaki untuk memakai pakaian berwarna kuning) yang melambangkan kedaulatan dan hormat rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung serta Raja-Raja Melayu.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sememangnya diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri Malaysia manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diletakkan dibawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Sehubungan dengan itu, amatlah diharapkan agar khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya setia dan berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung agar dapat memberikan khidmat keselamatan pada semua rakyat yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda.

Sehingga kehari ini, rakyat amat menyanjungi dan menghormati perkhidmatan ketenteraan lebih dari perkhidmatan kepolisan kerana sikap Tentera yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik melainkan hanyalah berkhidmat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Pihak Polis pula sememangnya dikenalpasti telah dilacurkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.

Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan agar pihak Angkatan Tentera Malaysia (jika mereka masih setia kepada Agung dan Raja-Raja Melayu) agar bertindak untuk memberikan perlindungan kepada semua rakyat yang berhimpun pada 10 November 2007 ini di Dataran Merdeka dari tindakan serta provokasi yang pastinya dilakukan oleh pihak Polis (PDRM) dibawah telunjuk Kerajaan Barisan Nasional.

Kepada semua yang berhimpun (anda semua akan nampak seperti maskot DIGI), ingatlah bahawasanya DIGI bersama anda dengan motto mereka “Masa Untuk Berubah”. Kita jumpa disana.