29 September, 2008

Jalan Jalan Hujung Minggu

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:05 am by Ketua Perusuh

Pastinya ramai dikalangan warga Malaysia yang berasal dari Semenanjung Malaysia tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki mereka ke Sabah atau Sarawak. Kalau ada yang pernah pergi ke Sabah atau Sarawak, pastinya mereka akan dapat melihat perbezaan yang nyata di dua negeri (berstatus negara sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963) dari segi sosio ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Sabah dan Sarawak walaupun telah lama bersama dalam Malaysia, namun kemudahan infrastruktur mereka adalah ditahap yang amat menyedihkan. Kita hanya dapat melihat kemudahan infrastruktuk yang agak baik hanya tertumpu dikawasan bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Seri Aman, Sibu, Kota Kinabalu, Kudat dan sebagainya namun hampir 70% kawasan lain di Sabah dan Sarawak masih lagi jauh daripada pembangunan.

Barisan Nasional telah lama memegang tampuk kuasa di kedua-dua negeri ini namun nampaknya tidak perubahan yang dilakukan oleh mereka melainkan semua hasil masyhul bumi tercinta ini dikeringkan untuk memenuhkan poket mereka dan rakan taulan mereka.

Malah terdapat ramai pemimpin Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang acapkali mempergunakan undang-undang dan POLIS demi untuk memastikan bahawa semua keuntungan dari hasil bumi mengalir ke akaun bank pemimpin tersebut. Tanah adat dan tanah asal kaum pribumi sewenang-wenangnya ditukarmilik kepada mereka malah pembalakan haram yang dilakukan oleh mereka ini terlepas pandang oleh badan penguatkuasa.

Kaum Penan dan lain-lainnya telah menjadi mangsa atas sikap rakus yang ditunjukkan oleh para pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroni mereka. Mungkin satu masa dahulu maklumat mengenai salahguna kuasa oleh para pemimpin Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak tidak sampai kepengetahuan media namun kini kita boleh mendapatkannya di semua media alternatif.

Kepada rakyat Sabah dan Sarawak, apakah yang anda semua tunggu lagi? Adakah anda mahu menunggu sehingga licin dan gondol tanah subur Sabah dan Sarawak dikerjakan oleh para pemimpin Barisan Nasional dan kroni mereka?

Setelah lebih 45 tahun bersama dalam Malaysia, masih tidak ada perubahan lagi yang boleh dibanggakan. Malah jalanraya dari Kudat ke Kota Kinabalu masih lagi berstatus jalan kampung (satu lorong sebelah) walhal sewajarnya sudah ada satu lebuh raya yang menyambungkan dua bandar utama ini. Jarak perjalanan empat (4) jam menaiki kereta dari Kudat ke Kota Kinabalu sewajarnya boleh disingkatkan kepada dua (2) jam atau kurang.

Begitu juga di Sarawak yang masih tidak dilengkapi dengan jaluran landasan keretapi yang baik walhal jika diperbuat satu landasan keretapi berkembar yang boleh menyambungkan Bandar Pontianak di Kalimantan dengan Kuching dan seterusnya disambungkan ke Bandar Seri Begawan serta melalui Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan berakhir di Semporna tentulah lebih baik. Ianya secara tidak langsung mampu mengubah landskap sosio ekonomi dan pembangunan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh keretapi tersebut.

Saya telah lama mencadangkan bahawa sewajarnya diujudkan satu sistem landasan keretapi rentas borneo yang diseiringkan dengan satu jalinan lebuhraya “Trans Borneo” yang mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) lorong sepertimana yang kita boleh lihat pada projek Lebuhraya Utara-Selatan. Kemudahan perubatan seperti pembinaan Hospital dan klinik awam perlu juga diperbanyakkan dan akses kepadanya perlu diberi perhatian.

Rakyat Sabah dan Sarawak berhak untuk mendapat kemudahan infrastruktur yang baik dan teratur kerana telah lama menyumbang pemerolehan kepada Kerajaan Barisan Nasional. Dalam senario politik semasa yang sedang hangat diperbincangkan dewasa ini, saya rasakan amat bertepatan jika semua warga Sabah dan Sarawak menuntut hak mereka daripada Barisan Nasional. Jika Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia mengambil sikap menutup telinga dari mendengar rintihan rakyat di Sabah dan Sarawak, adalah wajar dijatuhkan sahaja pimpinan Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang sedia ada dalam Pilihanraya Negeri yang akan datang tidak lama lagi.

Kearah Malaysia Baru” dan “Selamat Menyambut Aidilfitri

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

Advertisements

28 September, 2008

Nak Cakap Salah Tak Cakap Salah!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 6:29 pm by Ketua Perusuh

Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan menghiraukan apa komen pembaca terhadap setiap artikel yang saya terbitkan. Sebab adalah menjadi hak semua orang untuk memberikan komen. Ada komen yang baik, ada pula yang mengancam malah ada pula yang menghina. Setiap pembaca berhak untuk memberikan komen mereka dan sebagai seorang yang mengamalkan “Free Speech” saya membenarkan ianya dilakukan diblog saya.

Satu perkara yang saya nampak semakin hari semakin menjadi-jadi berlaku didalam Pakatan Rakyat adalah bilamana ramai dikalangan anggotanya yang semakin condong untuk bersikap seperti Barisan Nasional. Penuh dengan hasad dengki, khianat, korup, rasuah, meminta-minta malah ada yang lebih teruk perangainya daripada ahli Barisan Nasional.

Boleh dikatakan saban hari saya dihujani pertanyaan mengenai sikap, perangai dan tindakan ahli Pakatan rakyat yang khabarnya menyeleweng dari matlamat asal. Bukan setakat ahli diperingkat bawahan namun ada maklumat yang sampai ketangan saya menunjukkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang teruk menyeleweng.

Sikap sebegini secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat akan menjadi goyah jika tidak diambil peduli oleh Pimpinan Atasan Pakatan Rakyat. Yang paling ditakuti adalah terdapat juga beberapa pimpinan tertinggi yang bersikap lebih teruk dari pemimpin peringkat bahagian Barisan Nasional.

Budaya rasuah dan meminta projek telah dikhabarkan menular sehingga keparas yang boleh dikatakan teruk. Ingin saya nasihatkan anda supaya cepat-cepat berubah sebelum saya paparkan nama-nama anda dilaman ini. Saya tahu jika saya dedahkan nama-nama ini tentunya akan ada para penyokong mereka ini yang akan melenting dan seterusnya akan menuduh saya berniat untuk menjatuhkan mereka.

Demi Allah, Tuhan Semesta Alam, saya tidak berniat untuk menjatuhkan anda melainkan anda sendiri yang sebenarnya meletakkan diri anda ditebing jurang kebinasaan. Sebelum Pakatan Rakyat ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia, adalah lebih baik anda dijatuhkan terlebih dahulu.

Kepada Pemimpin Pakatan Rakyat diperingkat atasan, sila gunakan akal dan ilmu sebelum mengeluarkan arahan, tindakan serta komentar sama ada di media tempatan atau luar negara. Jika tidak semakin hari semakin banyak kerosakan yang akan anda lakukan (seperti contoh apa yang Teressa Kok lakukan) yang secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan rakyat berubah.

Kepada Anwar Ibrahim, sila nyatakan fakta serta dokumentasi untuk menyokong setiap idea atau ucapan anda terutamanya mengenai kemasukan FDI ke Malaysia (sebanyak 1 Trilion) jika anda ingin terus mendapat sokongan dari ramai para professional tempatan.

Kearah Malaysia Baru

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

23 September, 2008

Inilah Masanya?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:44 am by Ketua Perusuh

Beberapa pihak yang kini sedang bersaing untuk mengambilalih tampuk kuasa yang utama didalam UMNO kini nampaknya sedang berusaha untuk menunjukkan taring mereka. Walaupun ramai yang menjangkakan bahawa Abdullah Ahmad Badawi hanya disaingi oleh Najib Razak dan Tengku Razaleigh, namun dalam diam khabarnya beberapa lagi nama khabarnya sedang melobi diperingkat akar umbi untuk mendapatkan pencalonan yang cukup agar boleh mencabar kuasa Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun mesyuarat bahagian UMNO masih belum dilaksanakan, namun beberapa pelobi telah mula berjumpa (bermesyuarat) dengan akar umbi untuk memastikan bahawa tuan mereka berjaya mendapat pencalonan yang cukup. Agen-agen pelobi Muhyidin Yassin diberitakan telah mula menggerakkan aktiviti sejak dua minggu ini.

Ramai dikalangan akar umbi mungkin tidak mengetahui bahawa gerakan untuk memastikan Abdullah Ahmad Badawi menang besar dan kekal ditampuk kuasa telah pun digerakkan seawal bulan Februari 2008 dan kini khabarnya ianya sedang memasuki fasa ketiga dimana imbuhan-imbuhan sedang diagih-agihkan kepada cawangan dan bahagian yang terlibat.

Nilai imbuhan yang diberikan kali ini agak besar yang menjangkau lebih lima angka bagi setiap penerima. Imbuhan kali ini nampaknya tidak mampu dikesan oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana ianya beredar di akaun luar negara. Bagi para pelobi, nilai imbuhan ini adalah kecil berbanding dengan jika Abdullah Ahmad Badawi dapat terus mengekalkan kuasa memerintah. Secara tepat peralihan kuasa ini mungkin tidak akan terjadi kerana ramai pelobi telah mengeluarkan dana yang besar untuk memastikan Abdullah Ahmad Badawi kekal.

Bagi para pelobi Abdullah Ahmad Badawi, bantuan kewangan untuk memastikan imbuhan boleh terus disediakan tidak perlu digusarkan kerana ianya telah dan akan disalurkan melalui beberapa entiti yang telah ditugaskan dimana dalang disebalik penyediaan dana ini adalah dari Singapura.

Hasil maklumat dipihak akar umbi, peratusan ahli UMNO yang menolak Abdullah Ahmad Badawi kini mencecah 60% namun ianya boleh berubah sebelum Persidangan UMNO yang akan datang. Mengikut kajian para pelobi Abdullah Ahmad Badawi akan berjaya menurunkan peratusan ini kepada sekitar 40% ~ 45% dengan kemampuan dana yang sedia ada. Namun dengan tambahan dana imbuhan untuk kegunaan lobi, kemungkinan peratusan ini akan kekal dibawah 30% adalah lebih tinggi.

Jadi jika Abdullah Ahmad Badawi ingin terus membuktikan bahawa beliau masih realistik dalam memimpin UMNO, beliau perlulah mengambil tindakan proaktif dalam usaha lobi disegenap peringkat. Masanya semakin singkat dan Abdullah Ahmad Badawi masih perlu menyekat Najib Razak, Tengku Razaleigh dan Muhyiddin Yassin dari merentap tampuk kekuasaan beliau.

Jika Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat mengekalkan kuasa, bagaimana pula Singapura ingin mendapat laba? Najib Razak, Tengku Razaleigh bukan proksi Singapura. Singapura hanya boleh mengharapkan kepada Muhyiddin Yassin sahaja.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

18 September, 2008

Langkah Pertama?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:36 am by Ketua Perusuh

Semalam sewaktu sedang menunggu sampainya waktu untuk berbuka puasa, ada seorang rakan yang menanyakan pandangan saya mengenai tindakan seterusnya yang mungkin diambil oleh Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani situasi semasa.

Rakan saya ini adalah seorang ahli UMNO yang berjawatan tinggi diperingkat Bahagian. Selalu juga saya lihat beliau diberikan peluang untuk berada diatas pentas untuk berucap ketika persidangan UMNO di PWTC. Walaupun beliau berada dekat dengan kepimpinan atasan Barisan Nasional namun beliau masih boleh rajin bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain dipihak NGO dan Pembangkang.

Saya katakan kepada beliau bahawa saya ada pandangan peribadi saya sendiri yang mungkin akan digunapakai oleh Abdullah Ahmad Badawi untuk menangani situasi serba kecoh didalam UMNO, Barisan Nasional dan dirinya sendiri.

Saya mendapat khabar bahawa Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan teraju Menteri Kewangan 1 kepada Najib Razak. Alasannya ialah kerana untuk menyediakan satu inisiatif awal untuk peralihan kuasa kepada Timbalannya. Secara logik akal, ianya nampak boleh diterima baik oleh para penyokong Najib Razak dan ahli UMNO diperingkat akar umbi. Namun apa yang sebenarnya saya jangkakan ada dibenak Abdullah Ahmad Badawi ialah inilah satu cara untuk menyerlahkan kelemahan pengurusan Najib Razak.

Dikala ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda tenat dan diancam oleh kegawatan ekonomi serantau dan dunia (Krisis Kewangan di Amerika Syarikat), inilah waktu paling sesuai untuk Abdullah Ahmad Badawi mengenakan Najib Razak. Tentunya Najib Razak tidak akan mampu untuk bertahan dalam mengendalikan inisiatif kewangan dalam situasi yang boleh dikatakan tidak menentu ini. Jika Najib Razak tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik, maka Abdullah Ahmad Badawi boleh mencanangkan diseluruh negara betapa Najib Razak tidak berkemampuan untuk menjadi Perdana Menteri.

Abdullah Ahmad Badawi pula telah mengambil portfolio Menteri Pertahanan dari Najib Razak. Seperti yang saya jangka sejak dari awal lagi, inilah satu-satunya tindakan bijak yang telah dibuat oleh Abdullah Ahmad Badawi (dikhabarkan bahawa ianya dicadangkan oleh Khairy Jamaluddin). Dengan cara ini Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan menggunakan Angkatan Tentera Malaysia sebagai pelindung kepada kerusi politik yang didudukinya.

Sekarang ini Abdullah Ahmad Badawi boleh mengeluarkan arahan darurat (MAGERAN) dengan cara menggantung Parlimen dan institusi Kehakiman. Dengan kuasa yang beliau ada pada Angkatan Tentera Malaysia, maka tindakan ini mampu digerakkan tanpa campurtangan pihak ketiga (Najib Razak). Jika sekiranya Najib Razak masih lagi memegang portfolio Menteri Pertahanan, kemungkinan besar Abdullah Ahmad Badawi tidak akan dapat memujuk Najib Razak untuk memperkudakan Angkatan Tentera Malaysia.

Kini telah dapat usaha-usaha yang selari dengan tindakan yang dijangkakan akan dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi demi untuk mengekalkan kuasanya walaupun secara langsung mencabar sistem perlembagaan Malaysia. Walaupun tidak mungkin akan ada darurat secara fizikal, namun Abdullah Ahmad Badawi akan mempunyai satu kuasa yang total dalam menentukan politik negara. Akta ISA dan lain-lain lagi pastinya akan diperkudakan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa media elektronik dan akhbar sedang cuba mengindoktrinasikan rakyat umumnya bahawa akan ada kekacauan (rusuhan) yang mungkin dianjurkan oleh Parti Pembangkang walaupun semua rakyat tahu bahawa tiada apa yang akan berlaku. TV1, TV2, TV3, BernamaTV, Astro Awani kini sedang bekerjasama untuk mengujudkan situasi tegang dengan kempen-kempen mereka yang nampaknya boleh mencetuskan kekacauan. Malah mereka telah mendapat kerjasama dengan beberapa pakar penganalisis politik (kuda kayu) untuk mencanangkan isu kemungkinan akan berlakunya ancaman keselamatan.

Beberapa tangkapan dibawah ISA juga telah dan sedang diaturkan oleh Abdullah Ahmad Badawi demi untuk mewujudkan situasi tegang didalam Malaysia. Kemungkinan besar akan terdapat lebih ramai lagi rakyat yang akan ditangkap dan didakwa dibawah ISA atau Akta Hasutan demi untuk menyelamatkan kekuasaan politik Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Abdullah Ahmad Badawi juga telah menunjukkan belang beliau dengan mengatakan Anwar Ibrahim dan Parti Pembangkang adalah merupakan ancaman kepada ekonomi dan kestabilan negara. Beliau juga telah menegaskan bahawa beliau sedang mengkaji untuk mengambil tindakan kepada Anwar Ibrahim dan Parti Pembangkang sewaktu ditemuramah semalam.

Jika ianya berlaku, kekacauan dan huru-hara sebenarnya bukanlah berpunca dari Anwar Ibrahim dan Parti Pembangkang namun ianya dimulakan sendiri oleh Abdullah Ahmad Badawi yang pastinya hasil idea Khairy Jamaluddin dan Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri.

Rata-rata rakyat di Malaysia sedar bahawa situasi ketika ini didalam negara adalah terkawal dan aman damai, cuma yang tidak terkawal dan huru-hara hanyalah diri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarganya sahaja. Jadi kesimpulannya, ancaman sebenar negara ini hanyalah dari Abdullah Ahmad Badawi dan Khairy Jamaluddin.

“Yang Merusuh Hanyalah Abdullah Ahmad Badawi dan Khairy Jamaluddin”


Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

Next page

%d bloggers like this: