10 July, 2011

BERSIH 3.0

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia, Pakatan Rakyat, Reformasi at 11:35 am by Ketua Perusuh

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua para peserta, penyokong dan pendokong BERSIH 2.0. Anda semua telah berjaya membuktikan bahawasanya satu solidarity dapat dibentuk dalam membawa agenda kenegaraan tanpa membezakan bangsa, agama dan budaya. Anda juga telah berjaya membuktikan bahawa semangat kenegaraan yang mantap memang ada dalam diri kebanyakan golongan muda pasca Facebook.

Keberjayaan BERSIH 2.0 bukanlah terletak kepada sampainya memorendum Tuntutan 8 Perkara BERSIH 2.0 akan tetapi keberjayaan BERSIH 2.0 sebenarnya terletak kepada sampainya maklumat yang dikehendaki kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda dibawah umur 35 tahun yang biasanya kurang melibatkan diri dengan agenda kenegaraan.

Kini walaupun BERSIH 2.0 baru sahaja selesai dilaksanakan, saya harap momentum sedia ada dapat kita gemblengkan untuk meneruskan agenda BERSIH kepada BERSIH 3.0. Saya amat berharap agar BERSIH 3.0 dapat kita semua janakan sebagai satu penggerak secara dalaman dan konsisten. Sebagai contoh, adalah lebih wajar kita gerakkan promosi penerangan bersih secara konsisten disegenap daerah mahupun mukim. Malah sebagai satu usaha terancang, kita wajar menjadikan setiap hari Sabtu sebagai hari BERSIH 3.0 dimana semua penyokong dan pendokong BERSIH 3.0 memakai baju atau apa-apa yang berwarna kuning sepanjang hari.

Saya ingin menggalakkan semua agar dapat memasang bendera kecil berwarna kuning pada kenderaan masing-masing sebagai sokongan kepada agenda BERSIH 3.0. Ini semua kita kena lakukan dengan lebih terancang dan berkesan bagi meningkatkan momentum BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 sehingga berjaya membuka mata semua para pengundi pada Pilihanraya Umum Ke 13 yang saya jangkakan akan dibuat sebelum hujung tahun ini.

Oleh itu, saya ingin memohon kerjasama semua agar kita dapat meneruskan lagi agenda BERSIH pada peringkat 3.0. Sebarang cadangan lain amatlah saya alu-alukan.

Salam BERSIH dari saya

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

%d bloggers like this: