26 June, 2007

CTOS dan CCRIS?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 4:24 am by Ketua Perusuh

Isu ini sudah agak lama. Malah lebih dari dua puluh tahun isu yang dibawa senyap tanpa mendapat pengadilan yang sewajarnya. Pandangan peribadi saya mengatakan bahawa hampir 70% atau mungkin 80% warga dewasa di Malaysia mempunyai “kredit rating” di kedua-dua badan ini (CTOS dan CCRIS).

Jika anda adalah pelanggan, peminjam, penjamin mana-mana bank termasuklah pengguna kad kredit dan kad caj di Malaysia maka anda akan dapati rekod peribadi anda disimpan di kedua-dua organisasi ini. Masalahnya kebanyakan rekod ini lambat dikemaskinikan dan kadang-kadang rekod ini tidak melambangkan status kewangan pemunya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini mempertikaikan bagaimana CTOS beroperasi dan lesen yang diperlukanya. Malah dia berkata bahawa pihak Kerajaan tidak pernah meluluskan mana-mana lesen untuk menyimpan data peribadi orang ramai.

Bagaimana CTOS boleh beroperasi sekian lama dan menyimpan begitu banyak data peribadi orang ramai tanpa pengetahuan Kerajaan. Adakah wajar maklumat peribadi orang ramai yang sewajarnya dirahsiakan (akta privasi) terletak ditangan sebuah syarikat Sendirian Berhad.

Untuk pengetahuan anda semua, Bank Negara Malaysia pernah mengeluarkan garis panduan penyimpanan “credit rating” ini melalui Akta Bank Negara 1958 (Rujuk Sini) yang mana hasil daripada akta ini menyebabkan tertubuhnya CCRIS (Central Credit Reference Information System) yang dikawalselia oleh Bank Negara.

Persoalannya sekarang ini adakah masih lagi perlu ujudnya CTOS yang dikendalikan oleh sebuah syarikat Sendirian Berhad (Credit Tip Off Service Sdn. Bhd) yang mana maklumat yang disimpan meragukan ataupun hanya CCRIS sahaja yang perlu menjadi rujukan semua institusi kewangan.

Siapakah yang disebalik CTOS dan bagaimana CTOS beroperasi sehingga membolehkan ianya mendapat semua maklumat peribadi orang ramai? Inilah yang menjadi keraguan bagi banyak pihak.

Pihak institusi kewangan, along, pemungut wang (berlesen atau tidak) serta pihak berkuasa tempatan bukan sahaja menggunakan maklumat peribadi dari CTOS untuk mengesahkan status individu namun saya dapati mereka juga menggunakan “hantu-hantu” mereka untuk mendapatkan maklumat tambahan dari KSWP, LHDN dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Malah jangan anda terkejut jika mereka-mereka ini (pihak institusi kewangan, along, pemungut wang (berlesen atau tidak) serta pihak berkuasa tempatan) boleh mendapatkan salinan penyata KWSP dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada bila-bila masa sahaja.

Bukan itu sahaja, mereka juga amat mudah untuk mendapatkan maklumat mengenai akaun bank anda hanya dengan satu panggilan telefon sahaja. Adakah kita ingin membenarkan maklumat peribadi kita menjadi tontonan dan status kewangan kita ditentukan oleh mereka tanpa satu piawaian yang telus dan sahih.

Kesimpulannya, perlukah CTOS dibenarkan terus beroperasi tanpa kawalan?

20 June, 2007

Bursa Malaysia, Apa Sudah Jadi?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:28 am by Ketua Perusuh

Baru-baru ini Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan kekesalannya atas bangkangan awam yang menjurus kepada penyahsenaraian beberapa syarikat berkepentingan awam yang seterusnya dimilikperibadikan oleh individu tertentu.

Malah Abdullah Ahmad Badawi juga menegaskan bahawa tindakan bangkangan awam ini akan menyebabkan penyusutan transaksi dalam Bursa Malaysia atas tindakan berhati-hati pelabur asing dan tempatan. Beliau juga mahukan tindakan bangkangan awam ini dihentikan kerana menurutnya tindakan penyahsenaraian dan pemilik-peribadian ini adalah perlu untuk kesinambungan perniagaan organisasi terbabit.

Abdullah Ahmad Badawi memberitahu bahawa jika tindakan ini disekat, maka nilai dagangan di Bursa Malaysia tidak akan mampu untuk bertahan pada 1300 mata lebih dan seterusnya akan menyebabkan kekuatan ekonomi tidak dijana.

Perosalannya sekarang, adakah Abdullah Ahmad Badawi sedar dan mendapat maklumat yang tepat atas dasar dirinya adalah Menteri Kewangan ataupun dia mendapat maklumat dikala sedang diulit mimpi disiang hari. Walaupun Abdullah Ahmad Badawi tidak mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi secara asasi, namun atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan sewajarnya dia membuat sedikit pembelajaran dam kajian serta jangan hanya menjadi tukang cakap bagi pihak-pihak tertentu seperti dari Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri.

Yang pastinya, banyak pihak terutamanya rakyat Malaysia melihat bahawa tindakan penyahsenaraian dan pemilik-peribadian ini adalah menyalahi etika (walaupun undang-undang berkaitan menunjukkan sebaliknya) yang secara halus menunjukkan bahawa ada kuasa asing yang sedang dalam proses menjajah secara ekonomi.

Semua sedia maklum terdapat beberapa individu besar (tokoh korporat) yang telah, sedang dan akan membuat tindakan yang sama iaitu melakukan penyahsenaraian dan kemudiannya memilik-peribadikan beberapa syarikat berkepentingan awam. Malah nama-nama individu ini terkenal sebagai satu “dedalu” (parasit) yang sedia untuk melompat ke dahan pokok yang lain demi untuk kepentingan peribadi mereka dan mereka-mereka ini tidak dapat dikenalpasti tahap patriotisma mereka.

Ini dapat dilihat dalam tindakan mereka menjual beberapa aset dalaman negara kepada pihak asing seperti Singapura dan sebagainya demi keuntungan segera sedangkan sebelum ini mereka mendapat segala kemudahan dan hak monopoli daripada Kerajaan Malaysia. Beberapa nama yang telah dikenalpasti adalah seperti Tan Sri Robert Kuok dan Tan Sri Ananda Krishnan.

Nama-nama tersebut amat sinonim dengan kuasa korporat yang besar namun jangan pula disangka bahawa tiada individu yang berbangsa Melayu (bukan isu perkauman) yang juga menjadi parasit yang sama. Malah anda boleh lihat akan terdapat beberapa nama tokoh korporat berbangsa Melayu yang akhirnya akan menjadi proksi kepada negara asing.

Sewajarnya Bursa Malaysia jika ingin mengukuhkan penguasaan pelaburan dalam rantau ini perlulah menguatkuasakan satu ketetapan yang membolehkan setiap urusan penyahsenaraian dan pemilik-peribadian dikaji dan disiasat sepenuhnya sebelum kelulusan diberikan. Malah kerjasama dari Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah perlu untuk memantau tindakan ini demi untuk kepentingan umum.

Apa yang pasti tindakan penyahsenaraian dan pemilik-peribadian tersebut mengundang beberapa masalah yang akhirnya akan merugikan negara pada jangkamasa panjang dan menguntungkan negara asing terutamanya unit pelaburan mereka yang sanggup untuk berbuat apa sahaja demi untuk menyelamatkan negara mereka.

Kini ada beberapa usaha sedang dijalankan secara dibelakang tabir dalam usaha menjadikan satu lagi unit perladangan negara (TH Plantation) dialihkan sahamnya kepada beberapa individu tertentu yang dikenalpasti sebagai proksi asing. Usaha ini khabarnya sedang giat dilakukan oleh beberapa individu yang ditaja oleh beberapa syarikat dalam Malaysia yang dikuasai oleh entiti asing.

Persoalannya sekarang, adakah kita akan membenarkan usaha ini terjadi demi untuk kepentingan umum di Malaysia.

17 June, 2007

Piawaian Akreditasi?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:08 am by Ketua Perusuh

Maaf kata, memang selama ini tiada satu piawaian khusus (yang mantap dan berkesan) dalam melakukan akreditasi keatas sistem pendidikan negara sama ada di IPTA dan IPTS. Memanglah ujud Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam namun piawaian yang sesuai yang diterima pakai semua (LAN dan JPA) hampir-hampir tidak ada.

Ada sesetengah kursus yang dijalankan di IPTA dan IPTS mendapat kelulusan LAN namun JPA tidak memberikan pengesahan dan kelulusan. Malah ada yang mendapat kelulusan JPA namun tidak pula menepati piawaian asas LAN. Bagaimanakah ini boleh terjadi. Kini kita pula berusaha untuk mengujudkan Agensi Kelayakan Malaysia (AKM). Adakah mungkin AKM akan menjadi satu piawaian yang terulung diantara semua. Tentunya tidak kerana JPA mungkin akan tidak bersetuju dengan beberapa piawaian yang ditetapkan.

Bagaimana pula dengan IPTA dan IPTS yang menawarkan kursus yang tidak mendapat kedua-dua kelulusan piawaian tersebut namun masih menawarkan kursus tersebut untuk ambilan pelajar? Bagaimana ini boleh berlaku? Malah PTPTN pula seakan bersekongkol dengan penipuan ini (kursus yang tiada kelulusan piawaian) dengan menyediakan pinjaman kepada pelajar. Apakah nasib para pelajar ini yang mana sijil yang akan mereka terima kelak tidak laku seumpama sehelai kertas tisu sahaja.?

Sewajarnya PTPTN tidak meluluskan mana-mana pinjaman untuk pelajar-pelajar mengikuti kursus-kursus yang tidak mendapat kelulusan piawaian ini. Inilah satu cara yang terbaik untuk menyekat mana-mana pihak yang berkepentingan yang “menjual” kursus yang tidak mendapat kelulusan piawaian LAN dan JPA. Ini adalah untuk menyelamatkan para pelajar dimasa depan.

Tapi anda jangan terkejut jika beberapa IPTS hanya dijadikan lubuk emas oleh beberapa individu yang berpengaruh dalam usaha mereka mengaut keuntungan segera menghasilkan IPTS yang tidak bermutu dan tidak menepati piawaian. Anda sendiri pun boleh mengenalpasti individu tersebut yang IPTSnya dijadikan lubuk emas. Mereka-mereka ini sebenarnya ialah parasit yang menghisap darah intitusi pendidikan negara. Malah boleh dikatakan mereka inilah sebenarnya yang menjadikan piawaian LAN dan JPA caca-marba.

Apa yang pasti selagi mana kita membenarkan mana-mana IPTA dan IPTS dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjual kursus yang tidak mendapat piawaian LAN dan JPA selagi itulah sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir.

Akhir kata, adakah wajar kita memberikan kuasa menentukan piawaian akreditasi pendidikan kepada AKM ataupun kepada agensi piawaian kebangsaan iaitu SIRIM? Bolehkan SIRIM melakukannya sekiranya kita meletakkan kuasa tersebut kepadanya? Bukankan SIRIM mahir dalam menentukan piawaian? Fikir-fikirkanlah.

14 June, 2007

Agensi Kelayakan Malaysia (AKM)?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:14 am by Ketua Perusuh

Logo LANSetelah bertahun intitusi pendidikan tinggi tempatan dikawalselia dan ditentusahkan secara piawai oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) kini Menteri Pengajian Tinggi (Mustapa Muhamed) telah mendapatkan kelulusan kabinet untuk menubuhkan satu lagi agensi untuk menggantikan fungsi LAN.

Agensi yang dimaksudkan itu ialah Agensi Kelayakan Malaysia (AKM). Apa yang menarik disini untuk kita (warga Malaysia yang prihatin) bahaskan ialah bagaimana AKM akan dapat menyelesaikan beberapa masalah besar yang selama ini menghantui Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Banyak IPTA dan IPTS begitu susah untuk mendapatkan kelulusan LAN malah ada beberapa kursus telah ditarikbalik akreditasinya atas sebab-sebab tertentu.

Malah terdapat juga beberapa IPTS yang menipu para pelanggannya (pelajar dan ibubapa pelajar) dengan cara membuat hebahan kononnya mereka mendapat pengiktirafan LAN. Kes akreditasi ini hampir menyamai kes piawaian halal oleh JAKIM. Bayangkan dalam kes logo tanda halal pun banyak pihak yang mengambil kesempatan membuat pemalsuan, bagaimana pula dengan sijil akreditasi dari LAN dan kini AKM pula.

Setelah AKM diujudkan, apa pula yang akan terjadi dengan LAN. Adakah lembaga ini akan dibubarkan (ditutup operasinya) ataupun ianya diserap kedalam AKM. Jika diserap, maka alangkah baiknya. Namun jika LAN dibiarkan beroperasi, maka rugilah wang pembayar cukai digunakan untuk operasi LAN yang tidak manfaatkan lagi.

Akreditasi LAN sedikit sebanyak tidak juga memberi makna pada mana-mana pemegang sijil/diploma/ijazah IPTA dan IPTS tempatan. Ini kerana walaupun sijil/diploma/ijazah mereka diakreditasikan oleh LAN dibawah piawaiannya namun jika Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) tidak mengesahkannya, maka sijil-sijil tersebut masih lagi sia-sia dalam konteks untuk mendapatkan tempat dalam perkhidmatan awam.

Adakah anda ingat lagi akan kes JPA yang tidak mahu mengiktiraf satu kursus di Universiti Malaya yang dikendalikan oleh Dr Chandra Muzaffar. Jika anda masih ingat baguslah. Ini kerana kursus tersebut telahpun mendapat kelulusan akreditasi dari LAN dan pentadbiran Universiti Malaya.

Oleh itu apakah perlu kita menubuhkan satu lagi agensi atau jabatan sedangkan agensi atau jabatan sedia ada masih tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan operasinya masih caca-marba. Malah kini saya lihat terdapatnya beberapa kecenderungan banyak kementerian yang tidak mengambil tahu akan pandangan umum melainkan hanya pandangan sebelah pihak mereka sahaja.

Adalah lebih baik jika LAN diperkemaskan dan diberikan kuasa yang mutlak dan diseiringkan operasinya dengan JPA demi untuk memperbaiki mutu dan piawaian akreditasi pendidikan tempatan. Janganlah demi untuk mempromosikan diri sendiri (dalam mood pilihanraya bagi Menteri Pengajian Tinggi) pelbagai cadangan setengah masak dibuat yang akhirnya akan merugikan pelajar sendiri.

Oleh itu kesimpulannya, “Janganlah menimbus lubang dengan cara mengorek lubang yang lain“.

Next page

%d bloggers like this: