28 August, 2008

Lobi Melobi

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:38 am by Ketua Perusuh

Saya mendapat maklumat terkini bahawa perkhidmatan Mohd Hassan Marican (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas) kini sedang menghampiri tempoh akhirnya. Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, kemungkinan besar Mohd Hassan Marican tidak akan disambung tempoh perkhidmatannya walaupun beliau berupaya melakukannya.

Beberapa pihak telah menunjukkan hasrat mereka untuk mengambilalih kedudukan Mohd Hassan Marican ini dan kini sedang dalam proses melakukan lobi (berskala mega). Semua lobi-melobi ini tertumpu kepada Abdullah Ahmad Badawi. Ada yang melobi dengan wang dan ada pula yang melobi dengan cara-cara yang lain.

Tetapi ada dua orang calon telah bersaing diantara mereka dan dikhabarkan bahawa kedua-dua mereka mendapat restu daripada Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambilalih kedudukan Mohd Hassan Marican sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas. Salah satu dari dua calon ini dijangkakan akan dilantik menggantikan Mohd Hassan Marican manakala seorang lagi dijangkakan akan menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

Calon yang begitu kuat melobi untuk menggantikan tempat Mohd Hassan Marican dikenalpasti adalah Khairy Jamaludin. Beliau khabarnya telah berjaya meyakinkan Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau mampu untuk menerajui Petronas dan memangkinkan pertumbuhan dan pemerolehan Petronas dalam jangka masa singkat. Abdullah Ahmad Badawi juga dikhabarkan telah bersetuju jika Khairy Jamaludin dilantik kejawatan tersebut dan sedia mengarahkan Petronas untuk membuat perlantikan tersebut sebaik tempoh akhir perkhidmatan Mohd Hassan Marican tamat.

Dengan pengaruh wang dan lobi yang besar, Khairy Jamaludin percaya bahawa beliau dapat menerajui Petronas dalam masa terdekat. Ini dibantu dengan sokongan berterusan (wang dan kuasa) yang datangnya dari Singapura melalui Temasek Group.

Berdasarkan kepada analisis semasa dan pasaran Asia Tenggara, Temasek Group amat berminat untuk menguasai Petronas demi untuk mengukuhkan aliran tunai dan kewangan mereka. Buat masa ini hanya cabang industri Minyak dan Gas sahaja yang masih belum dikuasai sepenuhnya oleh Temasek Group. Beberapa transaksi kewangan berskala besar telah dikesan dibiayai oleh Temasek Group kepada beberapa individu dalam industri Minyak dan Gas tempatan termasuklah kepada pihak yang membekalkan khidmat sokongan kepada industri yang sama.

Dengan penguasaan dalam industri Pelabuhan (seperti masa telah dikenalpasti bahawa beberapa pelabuhan utama di Malaysia kini telah dipindahkan sahamnya kepada proksi Temasek Group) tempatan, maka dapat dijangkakan bahawa Temasek Group kini sedang berusaha membuat beberapa pemerolehan lagi demi memantapkan organisasi mereka.

Proksi-Proksi Temasek Group di Malaysia kini nampaknya sedang ditimbunkan dengan wang ringgit dan jaminan keselamatan sehinggakan mereka sanggup menggadaikan aset negara. Berdasarkan kepada senario semasa, SCOMI Group juga dikenalpasti telah mendapat laba daripada usahasama haram dengan Temasek Group.

Jika Khairy Jamaludin dibenarkan menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, maka jangan kita terkejut jika akhirnya Petronas dikuasai oleh Temasek Group (Singapura). Kita wajar menyekat perkara ini daripada menjadi kenyataan. Abdullah Ahmad Badawi memang mudah dikuasai oleh Khairy Jamaludin. Jangan pula kita biarkan Kamaludin Abdullah Ahmad Badawi menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas kerana ini juga akan menguatkan pengaruh Temasek Group kedalam Petronas.

Petronas adalah hak Malaysia dan bukannya Singapura. Jangan gadaikan aset negara.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

27 August, 2008

Lompat Si Katak Lompat

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 3:55 am by Ketua Perusuh

“Lompat Si Katak Lompat, Lompat LAH Tinggi-Tinggi”

Mungkin dalam sehari dua ini kita akan dapat lihat beberapa ekor “KATAK” yang akan melompat dari tempat yang tidak selamat ke tempat yang lebih selamat. Kita juga boleh lihat beberapa ekor “KATAK” akan bertempiaran lari dan melompat bila mana daun keladi tempat mereka berehat kelihatan dimasuki air. Terdapat kemungkinan bahawa ketua segala katak ini akan dapat menonjolkan diri sebelum kumpulan katak ini akan melompat ke daun keladi yang lain.

Bagi sesiapa yang tidak memahami metafora ini, ingin saya jelaskan bahawa ianya saya tujukan khusus buat mana-mana Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang pastinya akan melakukan lompatan bersejarah ini demi kelangsungan politik mereka.

Ketua bagi kumpulan yang akan melompat ini saya ramalkan adalah Khairy Jamaludin. Walaupun mungkin beliau adalah yang paling akhir sekali yang akan melompat, namun dijangkakan bahawa kumpulan melompat ini diketuai oleh beliau.

Bagi Ibrahim Ali (BEBAS) yang lebih dikenali sebagai raja katak, saya perhatikan bahawa sebab asal beliau (Ibrahim Ali) bertegas bahawa beliau adalah Wakil Rakyat Bebas kerana beliau tidak yakin akan kekuatan Pakatan Rakyat akan menerajui negara Malaysia tercinta.

Jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia dengan “majoriti mudah”, maka pastinya Ibrahim Ali akan bersama dengan Pakatan Rakyat. Begitulah juga sebaliknya bilamana Barisan Nasional kembali kukuh, Ibrahim Ali akan pasti bersama dengan kepimpinan Barisan Nasional. Ibrahim Ali boleh diklasifikasikan sebagai “SESUMKAT” (gabungan antara profil sesumpah dengan katak).

Beberapa katak hitam dan putih telah dikenalpasti akan melompat. Jadi inilah peluang kita untuk melihat lompatan katak berskala mega. Kalau boleh adalah wajar bagi rancangan “Animal Planet” atau “National Geographic” dapat merakam penghijrahan beramai-ramai katak supaya ianya boleh menjadi tontonan dan kajian dikemudian hari.


Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

Plan B

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:47 am by Ketua Perusuh

Anwar Ibrahim telah berjaya memenangi Piliharaya kecil P44 Permatang Pauh dengan majoriti yang agak besar. Kemenangan ini agak selesa dan menghidupkan semangat bahawa Anwar Ibrahim akan menerajui pemerintahan Malaysia sebagai Perdana Menteri seawal 16 September 2008.

Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Barisan Nasional nampaknya menghadapi satu tekanan yang agak besar yang boleh menyebabkan kedudukannya sebagai Pemimpin Utama Malaysia menjadi goyah. Adalah dijangkakan bahawa Abdullah Ahmad Badawi kini terpaksa memulakan “Plan B” bagi memastikan kedudukan beliau tidak akan dicabar (ditumbangkan) oleh Anwar Ibrahim.

Antara beberapa “pelan kontigensi” yang telah disediakan dan akan digunakan untuk menyekat kemaraan Anwar Ibrahim adalah seperti berikut;

1. Kes Liwat Saiful Bukhari Azlan
2. Rang Undang-Undang Identifikasi DNA
3. Rasuah Magnum Corporation (dibawakan oleh Nallakaruppan)
4. Kehilangan Dokumen Kementerian Kewangan (dicanangkan oleh Khairy Jamaludin)

Diantara beberapa pelan ini, didapati peluang Anwar untuk ditahan, dibicarakan dan akhirnya disabitkan dengan pertuduhan adalah agak besar dan ianya memungkinkan kemaraan Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya sebagai Perdana Menteri dapat disekat.

Abdullah Ahmad Badawi pastikan tidak akan mengambil mudah akan kedudukannya dan beliau dijangkakan akan mengorbankan sesiapa sahaja demi untuk kelangsungan pemerintahannya dan peralihan kuasa pemerintahan kepada menantunya Khairy Jamaludin.

Yang pastinya jika dengan keempat-empat pelan kontigensi diatas tidak mampu untuk menyebabkan Anwar Ibrahim disekat, Abdullah Ahmad Badawi pasti akan mengorbankan Najib Razak sebagai bidak dalam permainan caturnya. Najib Razak (dan isterinya Rosmah Mansor) pula akan dikaitkan dan akhirnya disabitkan dengan kesalahan bersubahat merancang membunuh Altantuya.

Khairy Jamaludin khabarnya sedang berusaha untuk memastikan Abdullah Ahmad Badawi selamat dipuncak kuasa. Namun dikhabarkan juga bahawa jika Abdullah Ahmad Badawi tersingkir dan Anwar Ibrahim pula berkuasa, Khairy Jamaludin pastinya akan mengisytiharkan dirinya berpaling dari UMNO kepada PKR.

Manusia seperti Khairy Jamaludin akan menggunakan pelbagai helah demi memastikan keselamatan politiknya terjamin dan beliau dapat kepuncak kuasa pada umur 40 tahun.

Walau apa pun senario politik tempatan, yang menjadi mangsa adalah kita semua rakyat marhaen. Oleh itu pastikan kita letak pemimpin yang akan membantu kita dan bukannya kroni mereka. Jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan kemudian belot, kita jatuhkan dia. Kalau Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya membantu rakyat dari kemelut ekonomi, kita bantulah dia.

“KEARAH MALAYSIA BARU”

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

24 August, 2008

Sumpah Sesumpah!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:06 am by Ketua Perusuh

Anda tahu apakah itu Sesumpah? Sesumpah adalah sejenis binatang reptilia seperti cicak yang boleh bertukar warna mengikut keadaan sekitarnya demi untuk keselamatan dan kepentingannya. Binatang sesumpah ini sebenarnya tidaklah boleh melakukan “sumpah” terhadap mana-mana binatang atau manusia lain walaupun namanya hampir sama dengan perkataan “sumpah”. Malah sesumpah tidak mempunyai kuasa untuk menyumpah sepertimana yang ada pada “Sang Kelembai” (satu makhluk lagenda yang kononnya ujud didalam hutan di Semenanjung Tanah Melayu ini satu masa dahulu).

Oleh yang demikian, apakah agaknya kena mengena perkataan “Sumpah” dengan binatang “Sesumpah”? Bukalah minda dan buat pemerhatian anda sendiri.

Akhir-akhir ini, kita boleh lihat budaya bersumpah (terutamanya sumpah mubahalah) seperti mengucapkan kalimat “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” digunakan dengan mudah oleh banyak pihak. Malah kita boleh pula melihat episod sumpah ini dilakukan dimedia elektronik terutamanya di televisyen. Orang-orang seperti Ezzam Mohd Noor, Anwar Ibrahim, Lokman Noor Adam, Saiful Bukhari Azlan, Najib Tun Razak, Syed Abdul Rahman Al Habshi (Konsul Jeneral Mongolia di Malaysia), dan yang terkini adalah Tajol Rosli (bekas Menteri Besar Perak Darul Ridzuan) pun menggunakan sumpah sebagai bahan untuk menguatkan hujah mereka.

Persoalannya disini, adakah mereka ini dan anda faham akan kesan dan akibat daripada membuat sumpah “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” ini. Sumpah yang bersandarkan kepada kalimat ini tidak boleh ditarik balik dengan mudah (walaupun boleh bertaubat dan membayar kifarah). Ini kerana hanya Allah S.W.T sahaja yang boleh memperkenankan penarikan kembali sumpah ini. Yang pastinya ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan dan digunakan sewenang-wenangnya.

Jika berterusan budaya bersumpah ini dilakukan, maka dikhuatiri akan menyebabkan tidak akan ada orang yang akan percaya akan keberkesanan dan kehebatan sumpah “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” ini. Oleh itu saya amat tidak menggalakkan penggunaan sumpah ini dengan sewenang-wenangnya.

Semalam di TV3, saya menonton berita yang memaparkan bahawa Tajol Rosli bersumpah menggunakan kalimat “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” dengan sewenang-wenangnya dan kemudian beliau ketawa gembira ketika bersumpah. Ini jelas menunjukkan bahawa pada diri beliau bahawa kalimat “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” ini boleh dipermainkan. Sikap tidak serius beliau ketika melafazkan kalimat sumpah “Wallahi, Wabillahi, Wata’llahi” amatlah saya kesali.

Inilah yang ditonjolkan oleh Tajol Rosli (yang kononnya tinggi juga ilmu agamanya), maka pada pandangan peribadi saya, ilmu agama yang beliau ada mungkin hanya setaraf dengan budak Tadika KEMAS sahaja. Begitu cetek ilmu agama yang beliau ada. Penat sungguh ibubapanya mendidik beliau dengan pengetahuan agama.

Akhir kata, malulah sedikit kepada binatang sesumpah yang tidak pernah sekalipun melafazkan “sumpah”

%d bloggers like this: