27 February, 2007

Siapa Lebih Untung?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:41 am by Ketua Perusuh

Perniagaan memang memerlukan untung. Semua orang yang berniaga mahukan untung. Orang yang kurang waras sahaja yang tidak mahukan untung. Rasulullah s.a.w berniaga kain pun mendapat untung. Begitulah nisbahnya perniagaan dengan untung.

Ada banyak cara untuk mendapatkan keuntungan. Ada yang mendapatkannya dengan membuka kedai atau gedung. Ada yang mendapatkannya dengan urusan saham. Ada yang mendapatkannya dengan menjadi broker. Ada yang mendapatkannya dengan cara menipu dan manipulasi.

Jika SJER (atau lebih dikenali dengan WPI) berjaya dilaksanakan, pihak yang akan mendapat manfaat dan laba yang amat besar adalah Singapura. Ini kerana ramai pelabur yang akan menggunakan Singapura sebagai hub perbankan dan transit. Malah jika pihak kerajaan Malaysia membenarkan pembukaan laluan udara KL – Singapura dalam waktu terdekat, ini akan menguntungkan Singapura.

Jika laluan keretapi laju KL – Singapura dilaksanakan juga, maka pihak Singapura yang akan mendapat laba paling besar. Malah sistem radar bagi ruang udara di Semenanjung Tanah Melayu ini dikawalselia oleh pihak Singapura. Dari sudut logistik, Pelabuhan Keppel dan Lapangan Terbang Changi lebih efektif dan berdaya saing berbanding dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lapangan Terbang Senai jika SJER (WPI) dilaksanakan.

Penjualan beberapa aset utama Malaysia telah menyebabkan pihak Singapura mendapat untung yang besar. Setelah terlepasnya Pantai Holding di tangan Singapura pada harga yang murah, pihak Khazanah diarahkan untuk membeli balik dari tangan Singapura dengan harga yang mahal. Ini menunjukkan kebodohan dan dangkalnya ilmu ekonomi Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi.

Singapura sedang dalam proses menyediakan beberapa proksi mereka di Malaysia yang akan memudahkan proses mengaut keuntungan dan sekaligus memiliki beberapa lagi aset penting Malaysia. Beberapa tindakan Abdullah Ahmad Badawi & Co menunjukkan ada beberapa foktor kukuh mengenai perkara ini. Malah beberapa keputusan yang berat sebelah kepada Singapura telah dan akan dilaksanakan.

Umum telah mengetahui bahawa Kalimullah Hassan (NSTP) adalah proksi dan agen Singapura. Malah ECM Libra yang dikaitkan dengan pengambilalihan beberapa aset dikenalpasti sebagai agen Singapura. Baru-baru ini ECM Libra telah bekerjasama dengan Tabung Haji. Kita khuatir beberapa aset yang dimiliki oleh Tabung Haji pula akan dilupuskan dan seterusnya dimiliki oleh proksi Temasek Group.

Kita tunggu dan lihat…

25 February, 2007

Air Oh Air?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:24 am by Ketua Perusuh

Johor, Melaka dan Pahang mempunyai beberapa empangan bertujuan untuk pengairan dan juga simpanan air. Air adalah satu komoditi yang paling bernilai. Dalam sejarah dunia, banyak negara, kaum atau puak yang sanggup berperang atas sebab komoditi ini.

Singapura adalah sebuah pulau kecil yang mempunyai kawasan tadahan hujan yang agak kecil. Terdapat dua empangan di sana (Yishun atau Seletar dan Kranji) yang memberikan sedikit simpanan air untuk kegunaan mereka. Malah disebabkan oleh kekurangan bekalan air di sana, Singapura terpaksa mengitar semula air buangan dan dijadikan air minuman (NEWATER).

Sebelum merdeka, Tanah Melayu membekalkan air melalui paip di Tambak Johor untuk kegunaan Singapura. Ianya telah dimulakan oleh pihak British. Selepas merdeka, Kerajaan Malaysia telah membuat satu perjanjian untuk membekalkan air kepada Singapura secara berterusan. Malah beberapa empangan di Johor telah dijadikan empangan utama membekalkan air kepada Singapura.

Walaupun perjanjian air tersebut telah lama dan harga yang ditetapkan didalam perjanjian tersebut tidak munasabah mengikut peredaran masa, namun atas dasar berbaik sangka Malaysia masih membekalkannya kepada Singapura. Singapura begitu bongkak dalam beberapa perbincangan mengenai air malah membuat ugutan kepada Malaysia sekiranya Malaysia mengambil tindakan menaikkan harga kos air.

Sepertimana berniaga, adakah anda ada dengar bahawa pembeli yang menetapkan harga barangan dan bukannya peniaga atau pembekal. Tentulah tidak namun itulah yang terpaksa kita hadapi dalam isu air dengan Singapura.

Kini dengan adanya projek SJER atau lebih dikenali dengan nama Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), maka ianya akan memudahkan malah menguntungkan Singapura atas isu air. Anda semua tahu berapakah harga yang dibayar oleh Singapura atas 1200 gelen bekalan air yang dibekalkan oleh Malaysia. Harga yang tidak masuk akal langsung. RM0.03 bagi setiap 1200 gelen. Sila layari laman web ini http://www.mofa.gov.my/malay/air.htm

Pernah satu ketika dahulu bandar Batu Pahat kering kontang tanpa air selama beberapa hari. Heboh diperkatakan bahawa kononnya empangan telah kering. Malah Syarikat Air Johor (SAJ) terpaksa bermain silap mata dengan warga Batu Pahat. Sedangkan kisah sebenarnya adalah pihak Singapura mengepam air secara berlebihan untuk kegunaan mereka.

Jadi kini SJER atau WPI memudahkan Singapura mendapat air tanpa had dari Malaysia. Malah warga mereka juga mudah masuk dan keluar tanpa pemeriksaan sempadan. Ini akan menyebabkan beberapa isu sensitif seperti keselamatan negara, perisikan dan sebagainya akan mudah dicapai oleh pihak Singapura.

Anda janganlah sedih atas duduk perkara ini kerana pimpinan negara yang diketuai oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co sedang gigih berusaha untuk memudahkan pihak Singapura menjajah Malaysia secara proksi. Kita tunggu dan lihat apa tindakan Singapura (proksi mereka) dalam proses mengambil alih urusan pentadbiran negara ini secara senyap.

Selepas tambak, air, tanah, ruang udara dan kini ada rancangan untuk membina satu rangkaian keretapi laju menghubungkan KL dengan Singapura. Projek ini semestinya akan menguntungkan ekonomi Singapura dan bukannya Malaysia. Sepatutnya adalah lebih baik Malaysia membangunkan satu sistem pengangkutan laju antara Pulau Pinang ke KL, KL ke Kuantan, Kuantan ke Kota Bharu.

Kita tunggu dan lihat…

24 February, 2007

Kenapa Johor?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:42 am by Ketua Perusuh

Johor adalah sebuah negeri paling selatan Semenanjung Tanah Melayu. Suatu masa dahulu, Johor merupakan kawasan perlindungan kepada Sultan Melaka selepas Portugis mengalahkan Melaka. Perlindungan ini hanyalah sementara sehingga Sultan Melaka berpindah ke Riau.

Johor juga terkenal sebagai pintu masuk utama pelancong asing yang datang dari Singapura dan Indonesia, malah kesibukan tambak Johor membuktikan kemasukan pelancong asing ini. Johor juga terkenal sebagai satu negeri yang masih kuat berpegang kepada fahaman “Hanya BN sahaja yang mampu memerintah”. Ini kerana di Johor, parti pembangkang cuma dapat memegang paling banyak satu DUN sahaja pada satu-satu masa.

Jadi kenapa Abdullah Ahmad Badawi & Co begitu rancak dan rajin sekali ingin memajukan Singapura? Banyak persoalan yang bermain difikiran kita. Semua persoalan ini jika dikaji dengan secara mendalam, akan kita ketahui punca asal dan jawaban baginya.

Tambak Johor (dibina oleh British) pada sebelum Merdeka dahulu menjadi penyambung kepada dua negara, Malaysia dan Singapura. Tujuan asalnya adalah untuk memudahkan perhubungan darat antara kedua negara. Dewasa ini berlaku kesesakan yang amat dahsyat kepada laluan ini sehingga menyebabkan Linkedua diujudkan. Namun kepentingan Tambak Johor masih diperlukan pada lokasi yang asal. Tun Mahathir Mohamed telah memberikan arahan agar dibina satu jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang usang dan sempit itu.

Namun atas dolak-dalik Singapura dan kemudiannya di”amin”kan oleh Abdullah Ahmad Badawi, maka projek jambatan tersebut dibatalkan. Apakah rasionalnya Singapura berdolak-dalik atas isu Tambak Johor. Umum mengetahui Tambak Johor hanyalah sebuah tambak penghubung, namun sebenarnya pihak British ada menyediakan satu laluan khas dibawah tambak tersebut untuk memudahkan mereka melarikan diri jika berlakunya ancaman perang di Semenanjung Tanah Melayu. Laluan ini sudah lama, malah majoriti rakyat Malaysia tidak pernah tahu akan kewujudannya. Hanya pihak Singapura sahaja yang mengetahuinya akan lokasi sebenar serta pelan lakaran bagi laluan tersebut.

Abdullah Ahmad Badawi & Co mengatakan bahawa akan ada masalah perundangan sekiranya jambatan pengganti Tambak Johor diadakan. Kononnya ianya akan merugikan Malaysia. Namun kini dengan perkembangan terkini, beberapa projek mega sedang dan akan dimajukan di kawasan yang berhampiran dengan Singapura yang mana akan memberikan akses dan keuntungan kepada pihak Singapura.

Dahulu kala kita pernah mendengar peribahasa “Seperti Belanda Mintak Tanah”, begitulah apa yang dilakukan oleh pihak Singapura. Abdullah Ahmad Badawi & Co kini beroperasi sebagai proksi Singapura dan beberapa tindakan yang dilakukannya menguntungkan pihak Singapura. Jika projek SJER dilakukan, warga Singapura akan mempunyai akses kepada aset dan keluar masuk tanpa sekatan. Malah SJER membolehkan perluasan kawasan Singapura tanpa Singapura perlu menjajah secara terang.

Kini projek Nusajaya sedang dalam proses untuk dimajukan. Ini akan melibatkan pemindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor dari kawasan sediaada ke Nusajaya. Nusajaya akan dibangunkan oleh UEM Land yang mana pihak UEM Land diberikan kuasa penuh untuk memajukan kawasan ini. Sejak bila pula anda dan saya ada mendengar bahawa UEM Land ada memenangi tender bagi pembangunan Nusajaya. Tentunya tidak ada kerana UEM Land mendapat projek ini secara “by-hand” @ “DaddyKasi”.

Siapa yang akan mengeluarkan modal untuk membiayai projek Nusajaya ini? Adakah nanti harga TOL akan dinaikkan lagi untuk menampung kos pembangunan Nusajaya? UEM Land adalah anak syarikat UEM Berhad yang memegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Jadi perhatikan disini bagaimana UEM Land akan mendapatkan dana.

Namun janganlah kita risau, UEM Land akan mendapat dana daripada proksi Temasek Group di Malaysia iaitu ECM Libra dan sebagainya. Dan jangan terkejut jika suatu hari nanti (tidak lama lagi), anda akan dapati bahawa CIMB Bank sebenarnya dibawah kawalan dan dana dari Temasek Group melalui beberapa proksi lain. Itulah sebabnya kenapa CIMB Bank benar-benar berharap agar projek Synergy Drive akan berjaya menyatukan tiga konglomerat perladangan dibawah satu payung (Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby). Ini kerana ianya akan memudahkan Temasek Group mengambilalih keseluruhan aset perladangan ini dengan mudah dan cepat melalui beberapa proksi mereka. Kita tunggu dan lihat…

21 February, 2007

Sumpah Setia?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:14 am by Ketua Perusuh

Sebagai warga negara Malaysia yang tercinta, kita semua sememangnya diwajibkan bersumpah setia untuk mendaulatkan negara ini, undang-undangnya, parlimennya, institusi raja dan sultan. Sedari lahir kita di negara ini, kita ditanamkan semangat patriotik terhadap negara ini.

Kita sedia maklum bahawa negara ini pernah dijajah beberapa kali. Kebanyakan dari kes penjajahan adalah sebenarnya disebabkan oleh kelemahan diri kita sendiri. Mana tidaknya, Portugis menjajah Melaka disebabkan oleh kerana ada pembelotan dipihak Melaka iaitu Raja Mendaliar.

Inggeris pula menjajah disebabkan kerana ada pihak yang mahukan kuasa tapi sanggup mendapatkan kuasa itu secara dibonekakan oleh pihak Inggeris. Begitu juga dengan kedatangan dan penjajahan Jepun.

Kini negara kita bakal dijajah kembali sedikit masa lagi jika kita (warga Malaysia) tidak mengambil sikap proaktif untuk menyelamatkannya. Kita bakal dijajah secara “virtual” oleh pihak Singapura jika kita membenarkan banyak aset negara ditukar milik dan dibeli secara pukal oleh proksi mereka.

Singapura melalui syarikat pelaburan utama mereka (Temasek Group) sedang giat memperkudakan ECM Libra mengukuhkan kedudukan aset mereka di Malaysia. Ini dipermudahkan oleh Abdullah Ahmad Badawi serta Khairy Jamaluddin. Dengan terbelinya kumpulan Pantai Holding yang mana FOMEMA dibawahnya dan lain-lain lagi sehinggakan projek SJER yang lebih menguntungkan Singapura dijayakan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co.

Jangan pula kita terkejut jika seawal tahun 2008 kita akan kehilangan beberapa aset negara yang pastinya akan dibeli secara proksi oleh Temasek Group. Satu daripada aset negara yang mungkin akan terjual adalah Kumpulan Synergy Drive. Kita tunggu dan lihat.

Next page

%d bloggers like this: