20 September, 2011

Gendang Perang Sudah Dipalu

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pilihanraya, Reformasi at 4:29 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Nampaknya gendang perang sudah dipalu. Walaupun ianya mungkin nampak kabur dikalangan rakyat jelata, namum bagi ramai penganalisis politik ianya sudah semakin ketara. Untuk makluman semua, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mengedarkan beberapa memo dan surat berkaitan dengan persediaan pusat-pusat pembuangan undi serta panggilan untuk pegawai pusat mengundi.

Sebagai warganegara yang patriotik adalah wajar sekiranya anda semua bersedia untuk sekali lagi membuang undi dengan membuat pilihan yang tepat dan waras tanpa dipengaruhi oleh mana-mana sentimen pengundian. Ini adalah kerana setiap undi anda akan menentukan masa depan negara ini dari segi kedaulatan, kenegaraan malah termasuk juga jati diri.

Hak anda untuk mengundi (bagi warganegara yang telah mendaftar) adalah dijamin oleh Perlembagaan. Anda berhak untuk mengambil masa anda untuk membuang undi. Tiada tekanan kepada anda. Pihak majikan tidak boleh membuang anda dari pekerjaan anda semata-mata anda mengambil masa untuk keluar membuang undi. Saya cuma nasihatkan anda supaya memaklumkan kepada majikan anda sekiranya anda ingin keluar membuang undi.

Tuan Perdana Menteri Malaysia (Najib Razak) telahpun mula berkempen secara tidak formal. Malah tindakan yang sama juga telah mula dibuat oleh Tuan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Muhyiddin Yassin). Malah tidak terasa janggal sekiranya saya boleh meletakkan satu petunjuk dimana sebenarnya Tuan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Muhyiddin Yassin) telah lebih awal memulakan langkah.

Saya akan bentangkan satu kajian saya dalam seminggu dua lagi terhadap pola pengundian yang telah dianalisa, dikaji selidik serta telah dibincangkan secara tertutup bersama beberapa bekas rakan saya didalam Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). Dari kajian tersebut anda bolehlah membuat penilaian sendiri.

Sekian Terima Kasih,

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS)

4 September, 2011

Dikala Rakyat Menentang Penjajahan

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Reformasi at 5:25 am by Ketua Perusuh

Tuan/Puan semua,

Dikala rakyat marhaen di tanah air tercinta ini menentang penjajahan (terakhir dari British), dimana agaknya golongan bangsawan dan istana yang bersama dengan rakyat menentang penjajahan ini.

Kita semua selalu dimomokkan dengan cerita-cerita perjuangan “Dato’ Sagor”, “Dato’ Maharaja Lela”, “Dato’ Ngah Ibrahim” dan ramai lagi golongan pembesar, bangsawan dan istana. Kita diberitahu bahawa penentangan yang dilakukan oleh mereka-mereka inilah yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat menentang penjajahan British.

Tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah golongan ini menentang Inggeris (British) bukan atas sebab untuk membebaskan tanah air ini dari penjajahan Inggeris (British) tetapi lebih kepada penentangan untuk memastikan bahawa urusan mengutip cukai dan sebagainya kekal ditangan mereka. Mungkin ada dikalangan kita yang tidak sedar bahawa JWW Birch dahulu telah mengambil alih urusan pengutipan cukai daripada tangan golongan pembesar ini, malah telah menguatkuasakan satu arahan berkaitan cukai pada 24 Julai 1875.

Inilah yang sebenarnya berlaku. Sultan Abdullah yang marah kerana dipaksa menandatangani arahan cukai ini telah berpakat dengan beberapa pembesar lain untuk menentang Inggeris (British). Semua ini dibuat hanya kerana isu wang (laba) dan bukannya menentang penjajahan atas dasar membebaskan tanah air. Jikalau pihak Inggeris tidak mengambil tindakan mengambil alih urusan cukai ini, saya merasakan bahawa tidak akan berlaku satu pun penentangan kepada Inggeris (British) pada masa itu, malah mungkin golongan pembesar dan istana ini akan terus selamanya bersekongkol dengan pihak penjajah.

Jika kita mengkaji balik sejarah tanah air ini, kita akan dapati beberapa kejadian yang memperlihatkan sikap buruk para pembesar dan golongan istana yang berebutkan kawasan, kuasa dan cukai. Malah berlakunya beberapa perang saudara dikalangan golongan pembesar dan istana ini lebih menjurus kepada perebutan kuasa, pengaruh dan kewangan.

Setakat ini hasil kajian saya lebih cenderung mendapati bahawa golongan rakyat marhaen yang tiada kepentingan peribadi seperti Rosli Dhobi, Pahlawan Rentap, Tok Janggut, Mat Kilau, Mat Indera, Si Puntum, dan ramai lagi adalah perjuangan sejati untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajahan dan bukannya dari golongan bangsawan dan istana. Setakat hari ini saya belum pernah mendapat maklumat tentang golongan pembesar, bangsawan dan istana yang menentang penjajahan tanpa ada agenda yang terselindung.

Sepatutnya para Sultan dan Raja lah yang menjadi kepala (leader – dengan izin) dalam mengepalai perjuangan menentang penjajahan namun apa yang dapat dilihat, para Sultan dan Raja inilah yang mengambil sikap berkecuali malah lebih mengambil sikap selamat dengan tidak menentang penjajahan secara berdepan. Semua ini berlaku kerana para Sultan dan Raja tidak mahu kedudukan mereka dibubarkan oleh pihak penjajah Inggeris (British). Sehingga hari ini pun para Sultan dan Raja masih lagi mengambil sikap tidak peduli malah tidak ingin mengepalai rakyat dalam melakukan perubahan untuk memastikan tanah air ini bebas dari segala macam unsur rasuah, salah guna kuasa, pencabulan demokrasi dan sebagainya. Semua tindakan ini dilakukan demi kedudukan dan pengaruh wang yang menyebabkan para Sultan dan Raja bersikap sedemikian.

Sejarah sebenarnya ditulis oleh orang yang menang. Oleh yang demikian sebelum anda menyanggah dan mempertikaikan tulisan saya kali ini, sila semak dan teliti semua susur galur sejarah kita (tanpa prejudis) dengan minda terbuka. InsyaAllah kita akan dapat melihat yang mana benar dan yang mana jauh tersasar.

Selamat Menyambut Ulangtahun Penjajahan Baharu ke 54

Ketua Perusuh
bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

%d bloggers like this: