31 July, 2007

NCER

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:17 am by Ketua Perusuh

Umum sedia mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co sedang rancak mempromosikan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara). Setiap malam di semua stesen televisyen sejak awal bulan Julai ada memaparkan isu NCER ini. Malah boleh dikatakan semua yang muluk-muluk belaka dihidangkan untuk tatapan umum agar NCER dipandang elok oleh semua rakyat.

NCER pada dasarnya memanglah satu inisiatif pembangunan ekonomi yang baik sementelah dengan pergerakan Rancangan Malaysia Kesembilan yang sepatutnya memangkinkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan lebih dari 30%. Namun banyak teka-teki mengenai NCER yang bermain difikiran saya ketika ini. Bukanlah tujuan saya menulis komentar ini untuk merendahkah (discredit) pembangunan NCER, cuma sekadar untuk memberikan satu pandangan alternatif terhadap NCER. Itupun jika pembaca dapat memahami isi komentar saya ini.

Semalam sewaktu menonton Buletin Utama (waktu saya makan malam bersama keluarga), saya hampir tersedak kerana terkejut akan nilai pelaburan yang diperlukan oleh NCER. Sebelum ini saya ada menulis mengenai kemungkinan nilai pelaburan bagi NCER yang mencecah ratusan bilion ringgit. Nampaknya kemungkinan tersebut menjadi asas kepada pelaburan NCER.

Persoalan pertama yang bermain diminda saya ketika itu ialah bagaimana pihak kerajaan dapat menyediakan modal untuk membiayai pelaburan tersebut. Dikatakan bahawa pihak kerajaan akan menyediakan 1/3 daripada nilai pelaburan tersebut.

Jika dilihat dari kedudukan kewangan sedia ada, adalah mustahil kerajaan mampu untuk menyediakan modal untuk pelaburan tersebut. Ini kerana pada masa yang sama WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) juga sedang giat dibangunkan. WPI juga memerlukan satu peruntukan pelaburan yang besar dari pihak kerajaan. Jika kita mencampurkan kedua-dua kos koridor tersebut yang akan ditanggung oleh Kerajaan Malaysia, ianya pasti mencecah nilai ratusan bilion ringgit.

Setiap tahun apabila Kerajaan Malaysia memperincikan belanjawan negara (bajet), kita akan dapat lihat bahawa Kerajaan Malaysia hanya mampu menjanakan kewangan pada sekitar 30 ~ 80 bilion ringgit itupun setelah dikira sekali royalti dari industri minyak dan gas. Nilai ini belum ditolak dari segala macam belanja pengurusan dan sebagainya. Oleh yang demikian dari manakah modal untuk dua koridor tersebut dapat dikenalpasti.

Persoalan kedua yang bermain difikiran saya ialah mengenai kesan sosio ekonomi terhadap penduduk dikawasan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara). Apa yang pasti ianya akan meningkatkan kos sara hidup pada jangka masa panjang bagi semua penduduk dikawasan tersebut. Nilai hartanah dijangka akan meningkat. Oleh yang demikian, pastinya ada penduduk (terutamanya bumiputera dan melayu) yang akan menjual tanah mereka demi untuk mengaut keuntungan dengan kadar segera.

Umum mengetahui bahawa Koridor Utara ini mempunyai banyak tanah yang masih dimiliki oleh bumiputera dan melayu. Malah terlalu banyak tanah rezab Melayu yang ada dikawasan ini. Yang pasti akan ada beberapa inisiatif daripada pihak swasta (atau agen asing) yang akan membeli dan seterusnya menguasai tanah tersebut. Ini akan menyebabkan orang Melayu khususnya yang akan menjadi mangsa dan seterusnya terpinggir sepertimana yang berlaku di WPI, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kemungkinan tanah-tanah ini akan dibeli oleh Sime Darby Berhad adalah tinggi. Sime Darby Berhad pula adalah satu entiti dalam Synergy Drive yang dikenalpasti sedang dalam proses pembelian kepentingan oleh pihak Temasek Group melalui beberapa proksi yang dikenalpasti. Persoalan kenapa Sime Darby diberikan kuasa mutlak untuk membangunkan NCER juga menimbulkan tanda tanya. Kenapa perlu Sime Darby Berhad menguasai NCER sedangkan bukankah lebih baik ianya diberikan kepada Synergy Drive secara langsung. Atau ianya adalah sebahagian daripada perancangan untuk mengaburi mata rakyat.

Persoalan ketiga yang bermain difikiran saya adalah bagaimana mungkin kita membangunkan NCER sedangkan pada masa yang sama banyak syarikat bertaraf multinasional yang melabur di Pulau Pinang sedang dan telah bersedia untuk berpindah keluar dari Pulau Pinang atas sebab kos pengeluaran yang meningkat dan iklim pelaburan yang tidak menyenangkan. Syarikat-syarikat ini kebanyakannya terlibat dalam industri elektronik dan kini menumpukan untuk memindahkan sayap organisasi mereka ke negara lain seperti Thailand, China, Taiwan dan Vietnam.

Jika pelabur sedia ada di kawasan NCER telah dan bersedia untuk berpindah, bagaimana kita dapat memastikan ianya tidak akan berlaku. Antara perkara yang disuarakan oleh syarikat tersebut adalah seperti kos penggajian yang tinggi, karenah birokrasi dan imigresen, kadar cukai dan insentif serta kos logistik. Apakah tindakan pantas yang akan dilakukan NCER untuk memastikan pelaburan asing ini tidak berpindah keluar dari Malaysia?

Banyak lagi perkara yang lain yang bermain difikiran saya, namun apa yang pastinya saya ingin melihat NCER ditadbir dengan baik oleh Malaysia dan tidak sama sekali terjual dalam senyap kepada pihak asing seperti Temasek Group. Tapi dari pemerhatian saya, saya dapati kemungkinan besar NCER akan menjadi seperti WPI adalah tinggi.

Akhir kata, adakah penubuhan NCER sebenarnya adalah sebagai pengalih minda rakyat akan isu WPI yang pastinya terjual secara terang-terangan kepada Singapura melalui sayap pelaburan mereka iaitu Temasek Group? Saya pasti NCER cuma “mind diversion” bagi kes WPI.

Kita tungu dan lihat.

29 July, 2007

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:34 am by Ketua Perusuh

Amat menarik sekali apabila kita membicarakan kenapa dan bagaimana Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi ini berusaha untuk membangunkan beberapa wilayar koridor dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9). Banyak spekulasi ujud dalam usaha membangunkan kawasan-kawasan ini. Sehingga komentar ini ditulis, belum ada sesiapa lagi yang memberikan komentar terhadap satu koridor baru yang akan dibangunkan iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau lebih dikenali sebagai NCER.

Apa yang menarik sekali tentang NCER adalah ianya adalah satu kawasan wilayah koridor yang amat besar (lebih dari 4 kali ganda Singapura). NCER adalah bertujuan untuk membawa satu bentuk transformasi dan pengembangan terhadap sektor pertanian, pembuatan, logistik dan pelancongan di wilayah utara Semenanjung Malaysia, yang mana merangkumi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak yang akan dimajukan dalam tempoh lebih 20 tahun.

Persoalan yang bermain difikiran saya adalah berkisar kepada perkara-perkara dibawah ini.

1. Dari manakah agaknya pembiayaan modal pembangunan kawasan ini akan diambil. Adakah ianya telah dimasukkan dalam bajet Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) atau ianya hanyalah cakap-cakap yang tidak bersandarkan kepada kedudukan kewangan yang dimiliki oleh negara. Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan sewajarnya memberikan satu perincian yang lengkap bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai akan kebolehjayaan projek yang akan dibangunkan. Untuk membangunkan koridor ini memerlukan kos berpuluh bilion ringgit dan mungkin mencecah ratusan bilion. Siapa yang akan membiayainya? Bayangkan jika pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang yang mencecah RM2.7 bilion pun kita terpaksa meminjam dari EXIM Bank di China, adakah untuk NCER kita akan meminjam lagi. Biasanya dalam urusan pinjaman, tentunya ada cagaran yang dipinta. Apakah agaknya cagaran yang mungkin Abdullah Ahmad Badawi & Co serta orang-orang di Tingkat 4 JPM akan berikan? Siapakah yang akan memberikan pinjaman, China atau Singapura?

2. Siapakah yang akan mendapat untung (laba) berskala besar kali ini dengan menjadi peneraju dalam urusan pembangunan NCER. Setakat yang diketahui Sime Darby Berhad telah dilantik secara terus untuk membangunkan NCER namun siapakah sebenarnya disebalik semua inisiatif ini. Perlu diingat bahawa Sime Darby Berhad adalah dibawah pemilikan Synergy Drive dan Synergy Drive ini dimiliki sepenuhnya oleh CIMB Berhad. Saya pernah menulis tentang Synergy Drive yang didalangi oleh beberapa tokoh yang kurang patriotik yang mana mereka ini adalah proksi kepada Temasek Group. Oleh yang demikian, mengikut percaturan kuasa yang ada, WPI dan NCER memiliki satu dalang yang sama. Oleh itu tepatlah apa yang dikatakan perluasan kuasa oleh Singapura melalui sayap pelaburan mereka iaitu Temasek Group.

3. Apakah tujuan sebenarnya NCER dibangunkan? Persoalan ini banyak berkisar kepada penguasaan pelabuhan dan kemudahan logistik yang diperlukan oleh Singapura jika mereka ingin mengekalkan kuasa dalam sektor perkapalan, ekonomi dan logistik. Dengan pemilikan kuasa dalam NCER, maka Pelabuhan Pulau Pinang dapat dikuasai oleh Temasek Group dengan mudah. Koridor WPI pula memudahkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang dimiliki oleh Temasek Group. Ini secara otomatisnya akan menyebabkan penguasaan pelabuhan kita akan terlepas kepada pihak asing. Tentunya anda ingat akan kes Westport yang dimiliki kepentingannya oleh pihak ketiga seperti yang didedahkan didalam blog in sedikit masa dahulu.

4. Adakah mungkin NCER dibangunkan kerana pihak Singapura amat risau akan ujudnya satu Terusan Segenting Kra yang secara otomatisnya akan menyebabkan ekonomi dan kepentingan Singapura akan tergugat. Ini kerana dalam pelan perancangan Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) pernah ada ura-ura untuk membangunkan Terusan Segenting Kra ini yang akan memberikan manfaat yang besar kepada ekonomi Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Oleh yang demikian, apakah NCER sebuah pembangunan komprehensif yang akan memberikan keuntungan kepada Malaysia atau ianya adalah satu lagi perancangan kotor yang didalangi oleh Temasek Group yang mewakili Kerajaan Singapura. Abdullah Ahmad Badawi & Co serta beberapa pihak memang dikenalpasti mudah tunduk dengan permintaan dan arahan Singapura malah menantunya (Khairy Jamaludin) dianggap sebagai proksi utama Kerajaan Singapura di Malaysia.

Terlalu banyak sebenarnya rahsia didalam perancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang rakyat umumnya tidak sedar. Namun janganlah sampai tergadai satu lagi kawasan (tanah) milik kita kepada entiti asing.

Kepada Menteri Penerangan Zainudin Maidin, saya ingin menegaskan bahawa penulis blog yang anda labelkan sebagai alat kepada anasir asing sebenarnya adalah pejuang negara. Ini kerana alat kepada anasir asing yang perlu anda lihat dan kenalpasti adalah Abdullah Ahmad Badawi & Co serta mereka-mereka yang berada di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri. Mereka inilah sebenarnya alat kepada anasir asing yang perlu kita awasi.

Semoga Malaysia kekal aman, selamat, sentosa dan merdeka selamanya.

24 July, 2007

Operasi Lalang 3 (Ops Blogger)

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:08 am by Ketua Perusuh

Kesibukan dalam seminggu dua ini menyebabkan saya tidak mempunyai masa terluang untuk menulis komentar saya berkenaan isu-isu dalaman negara sama ada yang berkaitan dengan ekonomi, korporat, legislatif dan eksekutif. Walaupun begitu saya masih berkesempatan melihat dan membaca isu-isu yang dilontarkan sama ada di media cetak atau elektronik.

Kesibukan menguruskan perniagaan serta khidmat rundingcara menjadikan saya kesempitan waktu. Tapi atas dasar ingin memperjuangkan hak rakyat serta hak warganegara, saya terpaksa mengambil sedikit waktu untuk menulis.

Beberapa hari lepas seorang blogger tempatan telah ditangkap oleh pihak PDRM atas Akta Rahsia Rasmi. Selepas itu satu laporan polis telah dibuat kepada sebuah lagi laman blog politik (Malaysia Today). Mungkin lepas ini saya pula akan dijadikan sasaran. Kita tunggu dan lihat.

Persoalannya, memang dari satu segi, PDRM berhak untuk membuat siasatan jika terdapat laporan polis yang dibuat serta jika boleh dalam pada masa yang sama pihak polis boleh membuat tangkapan reman untuk memudahkan siasatan. Namun ini tidak bermakna pihak polis boleh membuat tangkapan sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh.

Anda berhak untuk mendapatkan khidmat guaman apabila anda ditangkap oleh polis. Anda juga berhak untuk tidak menjawab mana-mana soalan polis terhadap anda jika anda tidak mendapat akses kepada khidmat guaman. Anda juga berhak mendapatkan kepastian atas tuduhan yang dikenakan keatas anda. Malah anda berhak meminta untuk tidak digari (jika tujuan tangkapan keatas anda cuma atas arahan membantu siasatan semata-mata). Anda juga berhak untuk membuat panggilan telefon kepada peguam anda dan juga kepada ahli keluarga anda pada masa tangkapan dilakukan. Pihak Polis mestilah memaklumkan kepada ahli keluarga anda mengenai situasi anda.

Oleh yang demikian, dari apa yang saya lihat berlaku dalam seminggu dua ini lebih menjurus kepada tindakan tangkap muat (tanpa bukti kukuh – sekadar “hearsay” sahaja) telah dilakukan oleh pihak polis. Kecelaruan pihak polis menjalankan tugasan serta arahan tangkap memperlihatkan sikap tidak professional polis. Malah ada beberapa senator serta ahli Parlimen yang memperlihatkan kelemahan serta kekurang tahap akademik yang mereka miliki.

Malah senator dan ahli Parlimen ini dilihat bercakap tanpa membuat kajian mendalam sehinggakan ujudnya ucapan “jenayah siber” yang kononnya dilakukan oleh pihak yang dituduh (Nat dan Raja Petra). Adakah senator dan ahli Parlimen ini mengetahui akan makna asal “jenayah siber”? Jika mereka tidak tahu, saya ingin nasihatkan kepada mereka agar mendapatkan maklumat yang lebih lanjut serta lengkap dari mana-mana IPTA atau “GOOGLE”.

Berbalik kepada tajuk diatas, apa yang saya lihat adalah tindakan yang telah dilakukan oleh pihak polis seumpama satu operasi yang pernah dilakukan pada tahun 1987 dahulu yang dikenali sebagai Operasi Lalang (27 October 1987). Ianya dilakukan adalah untuk mengekang maklumat penting sampai kepada orang awam. Malah tindakan ini diyakini hanyalah sebagai satu usaha untuk memastikan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan mendatang.

Jika ianya benar berlaku (Operasi Lalang 3) maka anda akan dapat lihat berbondong-bondong blogger dan yang seangkatan dengannya ditangkap dan dipaksa menghuni beberapa lokasi tahanan politik terutamanya di Kamunting, Taiping. Jangan terkejut jika anda dapat menyaksikan bahawa episod ini akan menjadi tatapan harian kita dalam masa yang terdekat ini.

Malah beberapa tindakan susulan sedang dalam pelan kajian dan akan dilaksanakan oleh pihak Bukit Aman dalam usaha mengekang maklumat bocor kepada awam dan menggugat kepimpinan kerajaan sedia ada dan seterusnya melondehkan seluar beberapa pimpinan besar dalam Barisan Nasional.

Jangan pula anda terkejut jika tiba-tiba episod seperti Al-Maunah ditayangkan dimuka semua akhbar dalam sedikit masa lagi. Apa yang pasti, semua tindakan nampaknya tidak lagi bersandarkan kepada realiti tetapi lebih kepada untuk memastikan kepentingan dan pengukuhan kekuasaan Barisan Nasional terhadap negara Malaysia.

Kepada blogger yang menulis artikel yang melawan arus, anda perlu bersedia dengan pelan tindakan (Pelan B) sekiranya pihak PDRM datang melawat anda bila-bila masa sahaja. Kepada pihak PDRM, pastikanlah anda jangan menjadi pak turut yang diperbodohkan oleh mereka-mereka yang berada ditampuk kuasa. Kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sila gunakan akal fikiran anda yang waras dan bukannya menurut perintah membabi-buta semata-mata.

Akhir kata, semoga Malaysia berjaya dan bebas dari semua korupsi, kronisma, nepotisma serta salah guna kuasa dalam semua segi. Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang maju dari sudut ekonomi, kepimpinan dan akhlak.

Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia Yang Kelima Puluh. Merdeka-Merdeka-Merdeka.

16 July, 2007

Apakah Rasionalnya Arahan SPR?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:24 am by Ketua Perusuh

Pengurusan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memang penuh dengan lawak jenakanya. Manakan tidak arahan terkini daripada Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya, Kamaruzaman Mohd. Noor “menitahkan” bahawa mana-mana pengundi yang masih menggunakan kad pengenalan lama tidak akan dibenarkan mengundi.

Lawak jenaka ini memang membiulkan kepala pakar-pakar perundangan negara. Disini saya ingin jelaskan kepada anda kepada saya katakan ianya hanyalah lawak jenaka biul.

1. Sejak bilakah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membatalkan penggunaan kad pengenalan lama dalam semua urusan. Adakah pihak JPN telah membuat satu siaraya umum berkenaan dengan perkara ini. Selagi mana JPN tidak membuat siaraya umum, maka kad pengenalan lama, surat beranak dan mana-mana dokumen pengenalan diri adalah sah digunakan pada bila-bila masa.

2. Sebagai pengundi berdaftar, anda berhak untuk membangkang cadangan ini kerana SPR tidak mendapat kelulusan Parlimen dan Kabinet untuk melaksanakan arahan ini. Jika SPR melaksanakan arahan ini maka secara otomatisnya SPR telah melanggar undang-undang negara yang membenarkan penggunaan semua dokumen pengenalan diri yang sah yang telah dikeluarkan oleh JPN dan Imigresen.

3. Untuk pengetahuan umum, sebagai warganegara Malaysia, anda boleh menggunakan dokumen pengenalan diri (PASPORT antarabangsa anda) sebagai satu dokumen pengenalan diri pada mana-mana pilihanraya kerana dokumen tersebut sah dan diterima pakai. Ini kerana nombor kad pengenalan dan surat beranak anda tertera dalam pangkalan data “pasport” tersebut.

4. Sebagai pelengkapan kepada mana-mana dokumen pengenalan diri, anda juga boleh menyertakan lesen memandu anda yang mana memang tertera nombor kad pengenalan anda. Lesen memandu yang sah ini sememangnya boleh digunakan sebagai satu dokumen pengenalan diri.

Oleh yang demikian, arahan Setiausaha SPR secara otomatisnya terbatal dan adalah jika SPR berterusan melaksanakan arahan tersebut, maka SPR boleh dicabar di mana-mana Mahkamah di Malaysia.

Saya dapati tindakan SPR ini mungkin didalangi oleh beberapa individu dan syarikat yang dikenalpasti akan mengaut keuntungan segera atas pemerolehan kad pengenalan baru. Terdapat unsur-unsur rasuah disini yang sepatutnya Badan Pencegah Rasuah mengambil tindakan untuk bertindak.

Mungkin juga ianya adalah disebabkan oleh kerana ketidakupayaan serta ketidakyakinan Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya yang akan datang dengan majoriti besar.

Walau apa pun tindakan yang SPR lakukan ianya perlulah mendapat mandat Parlimen dan semua parti dalam Malaysia. Jika tidak tindakan tersebut boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah di Malaysia.

Next page

%d bloggers like this: