30 April, 2007

Strategi Temasek Group?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:30 am by Ketua Perusuh

Temasek Group adalah satu sayap pelaburan utama Kerajaan Singapura. Ianya menguasai sebahagian besar entiti perniagaan di Singapura. Malah dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, Temasek Group telah melebarkan sayap pelaburan mereka ke serata pelusuk Asia Tenggara.

Pembelian aset dan kepentingan dalam Shin Corp (Thailand) telah menyebabkan Temasek Group dilihat sedang mencampuri serta mengawal ekonomi jiran-jirannya. Dengan pengawalan ekonomi, maka ini akan membolehkan Singapura mengawal tindak-tanduk serta geopolitik negara jirannya.

Temasek Group juga dilihat sedang dalam usaha (malah telah berjaya) memiliki beberapa saham mewah entiti korporat Malaysia. Malah saham syarikat utiliti utama Malaysia seperti Telekom dan Tenaga Nasional kini dimiliki oleh mereka. Malah mereka juga pernah memiliki satu jaringan perniagaan kesihatan milik Malaysia (Kumpulan Pantai).

Beberapa pihak di Malaysia melihat bahawa dibawah pentadbiran kerajaan Abdullah Ahmad Badawi & Co, beberapa syarikat konglomerat dan yang berkaitan dengan kepentingan negara kini sedang dalam proses pengambilalihan saham mereka oleh Temasek Group.

Bangkangan dari beberapa pihak tidak mendapat apa-apa reaksi positif daripada pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi & Co. Untuk mengalihkan tumpuan rakyat Malaysia atas penguasaan Temasek Group, maka satu proksi mereka di Malaysia (ECM-Libra) telah diamanahkan untuk membuat pemerolehan saham bagi pihak Temasek Group.

Dalam masa kurang dari setahun selepas Khairy Jamaludin dan konconya Kalimullah kononnya telah melepaskan pegangan saham miliknya di ECM-Libra, kini Kalimullah muncul kembali menguasai ECM-Libra dalam satu pusingan kedua yang telah dijangkakan oleh banyak pihak.

Persoalannya disini ialah apakah sebenarnya motif dan agenda ECM-Libra. Mungkinkah ianya sedang bersiap sedia untuk membuat satu pemerolehan saham yang berskala besar? Mungkin akan ada satu lagi entiti besar didalam Malaysia yang akan menjadi milik Singapura dibawah Temasek Group tidak lama lagi. Apakah entiti tersebut?

Mungkinkah mana-mana satu daripada senarai dibawah yang menjadi sasaran ECM-Libra (yang ditaja jamin oleh Temasek Group)?

1. Synergy Drive
2. CIMB Group
3. MIMB
4. AmInvestment
5. Kumpulan Felda
6. Kumpulan Tabung Haji
7. MISC
8. Telekom Malaysia
9. Tenaga Nasional

atau mana-mana entiti gabungan yang lain yang mungkin akan terjual sahamnya.

Kita berharap agar pihak kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan pemerolehan secara besar-besaran yang mungkin dilakukan oleh Temasek Group melalui proksi mereka ECM-Libra pada bila-bila masa sekalipun.

Tapi apakan daya, Khazanah Nasional yang dibawah teraju Kementerian Kewangan (Abdullah Ahmad Badawi & Co) mungkin juga akan dikawal oleh ECM-Libra dalam sedikit masa lagi. Abdullah Ahmad Badawi & Co sememangnya bersikap tidak patriotik terhadap kedaulatan dan kepentingan negara sejak dari mula dia menaiki tahta Perdana Menteri Malaysia.

Jadi, kita amat berharap agar Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan dapat mengekang strategi Temasek Group dalam masa terdekat ini. Namun kita hanya mampu berharap sahaja.

Akhir kata, jangan jadi “Menang Sorak Kampung Tergadai”. Mari kita awasi dan kekang pergerakan ECM-Libra dan Temasek Group jika kita semua masih lagi patriotik.

29 April, 2007

Pembangkang Perlukan Perubahan?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:25 am by Ketua Perusuh

Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengulas panjang mengenai topik ini kerana ianya banyak diulas oleh rakan-rakan siber seperti Dato’ Ron, Raja Petra dan sebagainya. Namun saya beranggapan perlu juga saya meluahkan idea pemikiran saya agar ianya boleh ditakrifkan sebagai pemangkin perubahan dalam partai pembangkang.

Partai Pembangkang (bergantung kepada dimana lokasi mereka berada) seperti DAP, PAS, PKR dan lain-lain lagi perlulah berubah. Berubah dari ertikata fizikal dan mental. Perubahan adalah perlu untuk memastikan kejayaan perjuangan mereka dimasa akan datang. Kelangsungan perjuangan pembangkang perlulah ditakrifkan sebagai suatu “check and balance” yang diperlukan oleh tanah air yang tercinta ini.

Sejak dari bermulanya kemerdekaan Malaysia, partai pembangkang telah ujud. Ada yang melebelkan parti pembangkang sebagai puak kiri malah ada juga yang melebelkan pembangkang sebagai subversif. Namun rasional pembentukan dan perjuangan pembangkang adalah sesuai dengan naluri manusia yang kritis atas banyak isu.

Dengan berakhirnya pilihanraya kecil DUN Ijok semalam, maka kita akan dapat lihat bagaimana tidak berupayanya partai pembangkang memantapkan organisasi serta kesefahaman diantara mereka. Malah banyak juga insiden yang tidak terkawal dikatakan dilakukan oleh pembangkang. Pada pandangan saya (anda berhak untuk menyanggah komentar saya ini), sewajarnya pimpinan pembangkang memerlukan satu revolusi dalam pentadbiran dan pengawalan.

Malah jika mereka di”provoke” oleh hantu-hantu didalam Barisan Nasional, mereka sepatutnya tidak melatah malah adalah lebih baik mereka (partai pembangkang) bersikap professional. Para pemimpin dan pengikut mereka (parti pembangkang) perlulah mengawal tindakan mereka serta bertindak menjauhi provokasi tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa beberapa insiden di Ijok didalangi sekumpulan ahli dan pemimpin Barisan Nasional yang tidak professional (anda boleh kenalpasti sendiri) namun kemampuan pimpinan atasan mereka mengawal (malah “blackout”kan isu ini) dari pengetahuan pengundi. Kemampuan pimpinan atasan Barisan Nasional memperkudakan semua media termasuklah syarikat pengendali telekomunikasi amatlah berjaya sehinggakan para pengundi terpedaya.

Tan Sri Khalid Ibrahim contohnya tidak mempunyai satu kemampuan menangani asakan soalan daripada wartawan (yang selalunya memanipulasikan soalan dan jawapan) sehinggakan terserlah kepincangan, kelemahan serta kekalutan beliau. Sewajarnya dimasa akan datang calon sepatutnya membiarkan pegawai PR mereka (atau pimpinan atasan mereka) memberikan komentar.

Di pihak Parthiban pula, dia amat kurang memberikan komentar didalam televisyen malah imej tersenyumnya (dia memang bukan suka tersenyum tetapi ianya adalah efek dari aturan gigi yang dimiliki olehnya) sahaja yang menjadi tumpuan. Semua komentar serta ulasan diulas serta diwarwarkan oleh Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, Najib Tun Razak ataupun Abdullah Ahmad Badawi. Jadi kekurangan Parthiban tidak dapat dikesan oleh pengundi dan ini menyelamatkan imejnya.

Oleh yang demikian jika dimasa akan datang ada berlakunya mana-mana pilihanraya kecil (tumpuan yang biasanya besar berbanding pilihanraya umum), adalah diharapkan calon yang dikemukakan oleh partai pembangkan perlu melalui satu siri latihan “Public Relation” (PR) dan semua komentar perlu dikawal agar tidak berlaku kesilapan dimata pengundi.

Pengundi berhak untuk memilih siapa juga walaupun mereka tahu bahawa calon yang mereka pilih adalah pengamal rasuah. Biasanya pengundi sanggup dijamu dengan segala kemewahan sementara. Ini bukanlah perkara pelik kerana ianya juga berlaku diseluruh dunia.

Jadi kesimpulannya ialah partai pembangkang perlu menilai semula semua bakal-bakal calon yang akan mereka letak sama ada didalam pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum jika mereka berhasrat untuk memerintah Malaysia. Jangan biarkan calon yang kurang sesuai serta mempunyai banyak kesilapan semasa diwawancara menjadi ayam tambatan. Semua partai pembangkang perlulah menubuhkan satu “collaboration” diantara mereka demi untuk menjayakan misi mereka.

Tahniah kepada Barisan Nasional (atas kemenangan yang mungkin juga disebabkan oleh pengundi virtual @ hantu). Tahniah kepada Parthiban kerana menjadi wakil virtual @ wakil hantu kerana daftar pemilih yang ternyata kotor. Tahniah juga kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana berjaya menjual maruah anda sebagai suruhanjaya bebas.

Sekalung tahniah juga kepada semua perayu undi dari kedua-dua belah pihak (parti pembangkang dan kerajaan) kerana anda berjaya dalam tugas anda. Cuma satu ingatan dari saya, jika anda rasuah, menipu atau memanipulasi maklumat, sila sediakan jawapan anda apabila disoal nanti dihadapan Allah, Tuhan Rabbul Jalil.

25 April, 2007

Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:09 am by Ketua Perusuh

Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah satu gergasi pelaburan yang ditubuhkan khusus oleh pihak Kerajaan Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan pegangan saham bumiputera (pada asasnya) dalam syarikat-syarikat milik kerajaan, swasta malah juga dalam entiti asing.

Dengan adanya PNB maka beberapa konglomerat yang dahulunya dimiliki oleh entiti asing berjaya dimiliki sepenuhnya (seperti Guthre, Sime Darby, Malaysia Mining Corp dan sebagainya) termasuklah juga beberapa syarikat asing yang kini mempunyai peratusan pelaburan bumiputera yang agak baik.

Kini PNB bercadang untuk membuat pelaburan secara besar-besaran di luar negara. Utusan Malaysia melaporkan (BACA SINI) bahawa PNB sedang bercadang untuk membuat penambahan modal dana pelaburan di luar negara sehingga 25 peratus.

Saya gembira melihatkan PNB mempunyai rancangan sedemikian. Sewajarnya PNB melakukannya dengan bijaksana agar dapat menjaga kepentingan semua pelabur yang melabur modal didalam organisasinya. Kepentingan pelabur minoriti juga perlu diambil kira dalam semua aspek.

Walaupun begitu, saya amat berharap agar PNB lebih menumpukan usaha untuk membeli (memiliki) sepenuhnya pegangan terhadap beberapa syarikat tempatan yang telah terjual sahamnya kepada Temasek Group. Malah PNB boleh memulakannya dengan membeli semua saham milik Telekom Malaysia yang telah terlepas ke tangan Temasek Group atas daya usaha ECM Libra dahulu.

Jika PNB berjaya memiliki kembali saham-saham tersebut (semua saham-saham yang telah terjual) maka barulah PNB boleh memulakan usaha mereka untuk meningkatkan dana pelaburan mereka diluar negara. Cara terbaik yang boleh PNB buat ialah dengan membeli beberapa saham berkaitan telekomunikasi seperti ShinSat dan Indosat.

Malah PNB juga sewajarnya membeli beberapa aset penting luar negara (yang mana boleh menguntungkan Malaysia pada jangkamasa panjang) yang memberikan pulangan yang kukuh dimasa depan. Panel pelaburan PNB perlulah diterajui oleh pegawai-pegawai yang adil, telus dan bersikap patriotik kepada negara. Ini adalah penting demi memastikan hala tuju PNB tidak terpesong dan boleh menyebabkan kerugian seperti yang berlaku didalam organisasi lain.

Dengan dana yang sedia ada, PNB mempunyai satu kekuatan untuk membuat pelaburan yang agak besar dan mantap demi untuk kepentingan negara dan pelabur-pelaburnya. Adalah diharapkan juga agar tidak agak berlaku kejadian pecah amanah dan rasuah dalam PNB demi kelangsungan PNB dimata rakyat.

Rakyat amat berharap agar PNB tidak akan terburu-buru membuat mana-mana keputusan (sama ada diarahkan oleh pihak tertentu atau dipaksa melakukannya demi kepentingan sesetengah pihak) dalam membuat pelaburan. Perlu diingat bahawa PNB lebih besar dan mantap pengurusannya dan tidak perlukan ECM Libra (masih berhingus lagi) atau CIMB (Ular Lidi Menelan Naga) sebagai penasihat PNB.

Akhir kata, PNB perlu bergerak seiring dengan masa, namun jangan menjadi “seperti lembu dicucuk hidungnya”. Fikir-fikirkanlah…

23 April, 2007

Yang Hak Tetap Hak?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:51 am by Ketua Perusuh

Apabila kita membicarakan topik seperti tajuk diatas, kita selalu mengambilkira pandangan dari pelbagai sudut, sama ada dari sudut ekonomi, perundangan, kedaulatan dan sebagainya. Sebagai sebuah negara yang berjiran dengan lebih dari dua buah negara, tentunya isu yang berkaitan dengan kedaulatan dan sempadan negara diambilkira.

Malaysia dipisahkan dengan Singapura hanya pada jarak lebih kurang 1000 meter sahaja. Itu pun bergantung kepada sempadan yang mana anda ukur. Jika anda menggunapakai sempadai perairan antarabangsa, mungkin agak jauh sedikit. Namun yang pastinya ianya masih dekat dan rapat.

Singapura (sebagai sebuah negara berdaulat) berhak untuk membangunkan negara mereka mengikut acuan yang ditetapkan oleh pemerintahnya bersesuaian dengan kehendak ekonomi dan sebagainya. Begitu juga dengan Malaysia. Kita berhak untuk membangunkan negara kita mengikut rentak yang kita kehendaki.

Namun dalam beberapa kes, Singapura seolah-olah menyekat dan menghalang kehendak dan keperluan negara kita untuk membangun mengikut acuan kita sendiri. Singapura dengan pengaruh dan ugutan mereka telah menggagalkan beberapa projek infrastruktur yang penting untuk negara Malaysia semata-mata atas alasan yang remeh dan boleh diklasifikasikan sebagai tidak masuk akal.

Tambak Johor (Causeway) sepatutnya boleh digantikan dengan satu jambatan yang sesuai dengan peredaran masa dan kesesakan laluan tersebut. Malah jika Singapura tidak bersetuju Tambak Johor dirobohkan, maka kita (Malaysia) berhak untuk merobohkan mana-mana bahagian Tambak tersebut yang berada didalam kawasan kita.

Begitu juga untuk membangunkan satu jambatan, kita berhak untuk membuat apa sahaja bentuk jambatan yang kita rasakan sesuai dikawasan kita. Terpulanglah kepada Singapura sama ada untuk menyambung jambatan itu ataupun tidak. Kita juga berhak untuk memotong (merobohkan) mana-mana bahagian Tambak Johor yang berada dikawasan kita dan membiarkannya tergantung sebegitu sahaja tanpa sambungan kalau perlu.

Kita juag berhak untuk menyekat dan melarang mana-mana pesawat tentera Singapura daripada memasuki kawasan kita tanpa kebenaran awal. Malah kita juga berhak untuk menembak jatuh mana-mana pesawat yang mengingkari arahan unit keselamatan kita.

Kita juga berhak untuk menyekat mana-mana kenderaan dari Singapura dari memasuki kawasan kita pada bila-bila masa yang kita rasakan perlu. Kita juga berhak untuk mengenakan levi atau caj bagi setiap kenderaan yang memasuki negara kita dari Singapura. Malah kita sepatunya berhak untuk tidak membenarkan mana-mana pemandu Singapura menggunakan kenderaan mereka sendiri di Malaysia melainkan dengan menggunakan kenderaan sewa yang ditetapkan oleh kita (disewa dari kita).

Kita juga berhak untuk menetapkan kadar caj bayaran air yang sepatutnya dibayar oleh Singapura (sekarang kita dibayar RM0.03 bagi setiap 1200 gelen air) kepada kita pada kadar piawai antarabangsa. Malah kita juga berhak untuk tidak membekalkan air kepada mereka selagi mana mereka tidak mahu untuk menerima kadar yang kita tetapkan.

Malah kita paling berhak untuk mengkaji semula dan mengubah mana-mana bahagian didalam perjanjian air yang termeterai sejak sekian lama. Kita juga berhak untuk menyekat Singapura daripada menambak tanah dikawasan yang berhampiran dengan perairan kita yang pastinya akan menyebabkan garisan sempadan kedua negara akan berubah.

Mengenai WPI, kita berhak untuk menetapkan beberapa sekatan kepada warga Singapura termasuklah mengubah semua perjanjian yang melibatkan pembelian hartanah (diubah menjadi cuma pajakan 60 atau 99 tahun sahaja) pada bila-bila masa yang kita rasakan perlu.

Malah kita berhak untuk berbuat apa sahaja yang kita kehendaki di Tanahair Tercinta ini.

Next page

%d bloggers like this: