30 April, 2008

Persijilan Halal Jakim Ke HDC

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:30 am by Ketua Perusuh

Nampak gayanya ada pihak akan untung atas angin diatas persijilan halal. Dijangkakan bahawa usaha menentusahkan halalnya sesuatu barangan atau perkhidmatan mungkin akan dijadikan satu peluang niaga yang menguntungkan.

Persijilan Halal oleh JAKIM selama ini memang diragukan oleh banyak pihak. Malah saya sendiri sehingga kini tidak mempercayai persijilan halal Jakim. Saya lebih mempercayai tanda halal “Halalan Tayyiban” atau “Kosher”. Malah pada pandangan saya persijilan halal Jakim terlalu banyak yang diragukan sehinggakan usaha DAPAT (32728) mengendalikan SMS HALAL nampaknya tidak dapat merungkai permasalahan ini.

Kini Jakim telah memindahkan persijilan halal kepada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC). Walaupun usaha ini dilihat mungkin dapat menyelesaikan masalah persijilan halal namun rakyat (orang Islam umumnya) kurang yakin. Ini kerana masalah utama persijilan halal di Malaysia adalah lebih kepada kurangnya kakitangan penguatkuasaan serta nisbah kompaun atau denda yang dikenakan bagi setiap kes penipuan berkaitan dengan persijilan halal.

Malah sistem penentusah kehalalan sesuatu produk atau perkhidmatan boleh dikatakan lemah dan mudah dibolosi. Sebagai contoh, sepatutnya Jakim mengeluarkan sijil halal bagi setiap barangan atau perkhidmatan dengan cara satu barang @ perkhidmatan diberikan satu sijil halal siap dengan nombor siri serta tag. Namun apa yang dilakukan oleh Jakim adalah dengan memberikan satu sijil umum yang menyertakan semua produk atau perkhidmatan bagi sesebuah syarikat.

Jika satu daripada produk atau perkhidmatan telah dikenalpasti tidak halal, pihak syarikat masih boleh menggunakan sijil tersebut kerana ianya menyenaraikan banyak lagi produk atau perkhidmatan yang masih halal.

Inilah masalah utama yang dihadapi oleh persijilan halal Jakim. Penguatkuasaan yang agak terhad dan minima serta kurangkan nisbah hukuman yang boleh dikenakan menjadikan perkara ini sesuatu yang merisaukan. Apa yang pasti kini HDC akan dapat memanfaatkan persijilan halal ini dan seterusnya menjadikan satu lagi lembu tenusu (cash cow) yang dapat memberikan sumber kewangan yang tetap kepada HDC.

Jika dihari kemudian persijilan halal HDC juga diragui, dimanakah boleh kita (orang Islam) mendapatkan satu persijilan halal yang diyakini. Terlalu banyak perkara yang musykil dalam persijilan halal ini dan InsyaAllah dimasa akan datang akan saya dedahkan untuk menjadi perdebatan sihat kita (orang Islam).

“Mencari yang halal itu wajib bagi setiap orang mukmin”

21 April, 2008

Bank Data Profil DNA

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:33 am by Ketua Perusuh

Akhirnya ada juga inisiatif dipihak berwajib untuk menyediakan satu platform (Rang Undang-Undang) bagi merealisasikan satu pangkalan data profil DNA (Deoxyribo Nucleic Acid). Inisiatif ini wajar kita semua sokong demi untuk memudahkan pengecaman dalam beberapa kes berkaitan dengan jenayah dan undang-undang.

Memang banyak pihak telah lama menyuarakan kepentingan satu pangkalan data diujudkan untuk menyimpan profil DNA semua rakyat Malaysia. Malah pangkalan data ini juga boleh diperluaskan untuk menyimpan profil DNA semua warga asing yang bekerja di Malaysia (expatriate) demi memudahkan segala urusan berkaitan dengan undang-undang.

Kita amat berharap dengan keujudan Rang Undang-Undang ini maka pangkalan data profil DNA ini dapat disediakan dalam jangka masa terdekat. Ianya sekaligus dapat membantu menyelesaikan beberapa kes berkaitan jenayah (seperti pembunuhan, rogol dan sebagainya). Malah ianya juga pasti dapat merungkaikan beberapa kes misteri seperti kes bunuh Noritta Shamsudin dimana satu daripada DNA yang diambil dari tapak kes tidak dapat dikesan siapakah pemiliknya.

Apa yang saya ingin cadangkan adalah Rang Undang-Undang ini perlulah dilaksanakan secara mandatori dimana semua rakyat Malaysia (tiada pengecualian sama sekali) perlu memberikan sampel DNA mereka untuk disimpan disini. Jangan pula dengan ujudnya pangkalan data profil DNA ini, maka ada pihak yang mendapat pengecualian terutamanya para VVIP.

Namun apa yang dikhuatiri adalah perkara-perkara seperti berikut.

1. VVIP (orang tertentu) membayar untuk melenyapkan atau mengubahsuaikandata profil DNA
2. Jika VVIP terbabit kes jenayah, usaha untuk mengubahsuai data mungkin akan berlaku
3. VVIP tidak akan bersetuju perlaksanaan pangkalan data profil DNA
4. Ada pihak yang mengambil keuntungan segera (menyediakan pangkalan data DNA yang bermutu rendah).
5. Data profil DNA jatuh ketangan pihak ketiga dan akhirnya digunakan untuk men”sabotaj” orang lain.

Oleh yang demikian, saya amat berharap agar Pangkalan Data Profil DNA ini dapat dikawal dengan rapi dan selamat serta memudahkan urusan pengecaman bagi kes jenayah dan sebagainya. Harapan saya juga biarlah peralatan forensik dan makmal yang terbaik digunapakai dalam membantu menyediakan pangkalan data profil DNA ini.

Janganlah pula Pangkalan Data Profil DNA ini menjadi seperti projek “Gajah Putih” sebagaimana yang berlaku pada makmal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat diseluruh Malaysia yang sehingga kini tidak digunakan (sedangkan nilai peralatan yang dibekalkan beratus juta) yang khabarnya telah dibayar pada harga 3 kali ganda harga pasaran. Berapa ramaikah ahli kimia bertauliah (Certified Chemist) yang telah diambil kerja oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengendalikan makmal forensik ini?

Adakah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih lagi menggunapakai khidmat pegawai dari Jabatan Kimia untuk membantu mereka mengendalikan satu atau dua makmal ini? Bagi kes makmal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, siapakah yang untung dan siapakah yang rugi? Mari kita semua dedahkan.

15 April, 2008

Media MSM Juga Perlu Bertanggungjawab

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:29 am by Ketua Perusuh

Seronok juga bila mana membaca petikan berita dari media aliran perdana (MSM) seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya. Seronok kerana kita boleh lihat arah mana teknik pemberitaan media ini dijuruskan. Biasanya teknik pemberitaan media aliran perdana lebih menjurus kepada bodek dan ampu dalam setiap berita yang disiarkan. Semua bodek dan ampu ini hanyalah kepada Kerajaan Barisan Nasional (terutamanya parti UMNO) dan yang berkaitan dengannya.

Media aliran perdana kini nampaknya tergugat dengan kemunculan terlalu banyak media alternatif. Malah langganan, jualan serta rating media aliran perdana agak tergugat disebabkan oleh media alternatif. Umum mengetahui bahawa media alternatif tidak dibatasi dengan kekangan politik mahupun sosial, namun hampir kesemua media alternatif bertanggungjawab atas setiap berita yang diwarwarkan.

Menteri Penerangan yang baru (Ahmad Shabery Cheek) menegaskan bahawa media alternatif seperti blog dan portal perlu lebih bertanggungjawab dan mereka tidak kebal daripada tindakan undang-undang. Beliau berkata sungguhpun orang ramai ada hak untuk menulis apa sahaja secara dalam talian seperti penulis blog, kerajaan juga ada hak untuk membela orang lain daripada penulisan yang tidak benar dan memfitnah.

Persoalan yang bermain di minda kita semua sekarang ini ialah adakah media aliran perdana (MSM) sedia ada kini bertanggungjawab atas setiap pemberitaan yang mereka bawa? Seperti yang kita semua maklum, dewasa ini beberapa media aliran perdana kerap mengeluarkan berita berunsur fitnah terhadap pihak-pihak yang tidak selari aliran politiknya dengan Kerajaan Barisan Nasional.

Malah terlalu banyak pula berita-berita penting digelapkan ataupun dihilangkan pemberitaannya oleh media aliran perdana (MSM) ini sehinggakan hanya yang berita dari Kerajaan Barisan Nasional sahaja yang kerap diwarwarkan.

Kalau ada pun berita penting dari pihak yang berlawanan dengan Kerajaan Barisan Nasional, berita tersebut pastinya akan di”ubahsuai” semata-mata untuk menonjolkan masalah dalam berita tersebut. Sebagai contoh kita semua boleh lihat bagaimana pihak TV3 memanipulasikan berita berkenaan Pakatan Rakyat dan juga Perhimpunan Awam Bersih pada tahun lepas.

Disini saya ingin mengingatkan kepada Ahmad Shabery Cheek supaya berhati-hati mengeluarkan kata-kata agar ianya tidak menyerlahkan kebodohan beliau. Seperti peribahasa Melayu dahulu kala iaitu “Seperti menepuk air didalam dulang, akan terpercik ke muka sendiri”. Sebelum beliau menasihatkan media alternatif, sila nasihatkan dahulu media aliran perdana.

Kata-kata beliau seperti “Pada hakikatnya ialah reputasi dan kredibiliti. Jika anda ada itu dan anda melaporkan berdasarkan kebenaran, hakikatnya orang ramai akan terus membaca artikel anda. Ini adalah cabaran baru untuk surat khabar dan bagi sebarang bentuk media yang ada,” jelas menunjukkan bahawa kenapa orang ramai kini tidak lagi mahu membaca atau mempercayai maklumat dari media aliran perdana. Ini kerana media aliran perdana kerap kali tidak melaporkan berdasarkan kebenaran malah selalu mengubahsuai berita mengikut kehendak dan nafsu mereka.

Jadi kepada media aliran perdana, “terus-teruslah melaporkan secara pembohongan”. Lagi lama anda meneruskan pembohongan dan tidak bertanggungjawab atas berita anda, lagi cepat anda akan “bungkus”.

14 April, 2008

Mana Mau Lari?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:00 am by Ketua Perusuh

Kasihan saya melihatkan ADUN-ADUN Selangor (termasuk bekas ADUN) daripada Barisan Nasional yang sebelum ini menguasai Selangor. Manakan tidak, sudahlah kalah dikawasan yang ditandingi, kini berpeluang pula untuk dimalukan atas sebab yang nampaknya boleh menggugat terus hayat politik mereka.

Mereka kini sedang disiasat oleh pihak Kerajaan Selangor bilamana didapati wang peruntukan tahunan sebanyak RM500 ribu bagi setiap DUN di Selangor didapati telahpun habis pada bulan Januari dan Februari. Malah ada yang telah kosong sepenuhnya pada hari pembuangan undi.

The Star melaporkan EXCO Kerajaan Selangor (Ronnie Liu) pimpinan Pakatan Rakyat telah mendedahkan perkara ini kepada wartawan ketika beliau membuat lawatan ke Majlis Perbandaran Klang.

Agaknya inilah perkara-perkara yang amat dirunsingkan oleh ramai ADUN dan bekas ADUN BN di Selangor selama ini. Mungkin inilah juga yang telah menyebabkan kematian Zakaria Mat Deros akibat sakit jantung. Manakan tidak kena sakit jantung, siasatan pastinya akan dapat mendedahkan kepincangan pengurusan kewangan oleh ADUN di Selangor.

Nampak gayanya Khir Toyo pastinya tidak mampu untuk meneruskan agenda beliau untuk menawarkan diri menjadi Ketua Pemuda UMNO. Situasi sekarang amat tidak memberangsangkan baginya. Pastinya akan ada siasatan yang sangkut kepada Khir Toyo.

Nampak gayanya akan ada beberapa pilihanraya kecil di Selangor gara-gara beberapa ADUN BN sedia akan akan mati kerana sakit jantung (atau bunuh diri). Jadi mudahlah Anwar untuk mendapat peluang untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil ini. Kita semua boleh tunggu dan lihat.

Next page