10 September, 2014

Menghasut Dihasut?

Posted in Bloggers-United, Islam, Malaysia Baru, PDRM, Pendidikan, Pentadbiran, Politik, Reformasi at 5:18 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan sekiranya tuan-tuan dan puan-puan sekalian terhasut oleh artikel saya ini. Bukanlah tujuan saya untuk menghasut tuan-tuan dan puan-puan sekalian tetapi sekadar saya ingin membuka mata dan hati semua mengenai isu ini.

Sekarang ini kecoh di Malaysia PDRM membuat tangkapan borong “kononnya” atas Akta Hasutan 1948 terhadap ramai dikalangan rakyat Malaysia. Namun apa yang dikesalkan tindakan PDRM ini amat kelihatan berat sebelah. Kebanyakan yang ditahan kononnya atas Akta Hasutan 1948 terdiri daripada pihak-pihak yang menegur dan memperkatakan yang haq walaupun sedikit kasar. Sebagai contoh kes tangkapan dibawah Akta Hasutan 1948 terhadap Ustaz Wan Ji Al-Bakistani.

Kalau kita kaji dan selidik serta mendalami apa yang Ustaz Wan Ji lontarkan itu, kita akan dapat lihat bahawa nyata ianya benar dan tepat. Kalaulah kita sabitkan semua tindakan yang dilakukan oleh Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai seorang Ketua Agama Islam secara borong, kita akan dapat lihat ada tindakan yang dilakukan oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu yang jauh dari Agama Islam itu sendiri.

Sebagai contoh dalam kes Sultan Selangor merasmikan pusat maksiat “HardRock Cafe” di Melaka tempohari yang urusan perniagaannya melibatkan benda-benda haram dan syubahat seperti arak dan khinzir serta tarian dan nyanyian yang bebas bercampur gaul antara bukan mahram. Adakah tindakan ini boleh kita katakan sebagai satu tindakan selayaknya dibuat oleh seorang Ketua Agama Islam.

Kita semua sedia maklum mengenai ramainya para Mufti Kerajaan Negeri yang tidak berani menegur mungkin kerana lebih memikirkan tentang wang ringgit serta pangkat yang mereka dapat daripada kerjasama mereka dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu. Pada pandangan saya, ulama dan mufti sebegini adalah bahan bakar api neraka sahaja selayaknya.

Itu baharu satu contoh bagaimana seorang Sultan dan Raja-Raja Melayu yang dikatakan sebagai Ketua Agama Islam melakukan tindakan yang jauh menyimpang daripada Islam itu sendiri. Ada banyak lagi yang boleh saya tuliskan seperti bagaimana seorang Ketua Agama Islam boleh pula terlibat dengan judi dan zina. Ini adalah realiti sebenar dan sebagai seorang Ustaz dan penceramah bebas, Ustaz Wan Ji berhak menukilkan perkara ini sebagai membuktikan bahawa tidak selayaknya seorang Ketua Monarki dikira secara borong adalah Ketua Agama Islam.

Pada pandangan saya, tindakan Sultan dan Raja-Raja Melayu yang katanya Ketua Agama Islam tetapi melakukan perkara yang menghina Islam itu sendiri selayaknya diambil tindakan siasatan dan hukuman. Tapi siapakah yang akan menyiasat dan menghukum para Sultan dan Raja-Raja Melayu yang menghina Islam? Nyatanya tiada siapa pun yang akan berbuat demikian dalam konteks Malaysia.

Oleh yang demikian, tidaklah layak PDRM menahan Ustaz Wan Ji dan mendakwanya di Mahkamah atas hujahan realiti yang dikemukakan olehnya. Untuk itu PDRM sebenarnya sudah mengambil tindakan yang tidak selari dengan Akta Hasutan itu sendiri.

Saya tetap berpegang bahawa tidak seseorang pun di Malaysia ini layak untuk memegang status sebagai Ketua Agama Islam walaupun beliau adalah pemimpin masyarakat atau pemimpin negara. Islam tidak perlu ada ketua. Malah Rasulullah s.a.w jugak bukanlah Ketua Agama Islam melainkan dia hanyalah Rasul Allah.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

 

6 September, 2014

Bertahun Dibina Diruntuh Semalaman

Posted in Barisan Nasional, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Penentang, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 3:40 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa Partai Islam SeMalaysia (PAS) telah mengambil masa yang cukup lama untuk menjadi seperti sebelum PRU13. PAS cukup lama dimomokkan sebagai sebuah Parti yang “anti-establishment”. PAS juga cukup lama dikatakan sebagai sebuah parti kampung yang ekstrim serta susah untuk bercampurgaul dengan parti lain. Malah orang-orang bukan Islam amat memandang serong kepada PAS selama ini.

Namun hasil dari usaha berterusan golongan pembaharuan dalam PAS yang saling melengkapi dikalangan golongan pemimpin muda (baharu) yang rata-ratanya dari golongan professional dan juga ahli-ahli baru yang muda belia, maka PAS sedikit sebanyak dapat mengambil tempat yang baik dalam arena politik Malaysia.

Malah tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang bukan Islam cukup menyanjungi dan menghormati PAS kerana PAS dilihat lebih mesra dan prihatin terhadap masalah rakyat Marhaen. Malah apabila PAS dan DAP dapat bekerjasama tanpa masalah, maka ramai dikalangan orang bukan Islam melihat ini adalah cara baru berpolitik yang matang untuk pembaharuan Malaysia.

Malaysia Pasca Millenia adalah Malaysia yang lebih majmuk dimana kesamarataan politik dapat menjadi pemangkin satu bangsa Malaysia. Masyarakat Malaysia yang berkapasiti 28 juta orang perlukan satu kesamarataan yang baik demi menjamin Malaysia dapat menjadi kuasa besar di Asia dan bukannya hanya di Asia Tenggara.

Namun apa yang berlaku kini, nampaknya ada pihak yang merasakan dengki serta khianat malah mungkin ada pandangan rasis yang menebal didalam diri mereka terhadap kaum lain yang bukan beragama Islam di Malaysia yang telah dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS. PAS yang menggunapakai slogan “PAS For All” nampaknya sudah dimulut lain dihati lain.

“PAS For All” sudah menjadi “PAS For Malay Muslim”.

Inilah masalahnya yang dilihat terlalu ketara sekarang. Bertahun lamanya PAS cuba membentuk satu persepsi yang baik terhadapnya namun atas kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri maka imej dan persepsi PAS diruntuh semalaman.

Tidak dapat tidak kita boleh lihat bahawa perkara ini terjadi apabila Tuan Presiden PAS sendiri mempunyai agenda peribadi yang nampaknya lebih mengikut nasihat “setengah masak” dari penasihat tidak bertauliah yang mengelilingi Tuan Presiden itu sendiri. Tuan Guru Hadi Awang sendiri nampaknya mudah dihasut oleh pihak-pihak tertentu sehinggakan acap kali membuat keputusan sendiri tanpa syura (mesyuarat). Dan setiap kali itu juga keputusan yang dibuat oleh Tuan Presiden PAS seperti memberikan bola tanggung kepada pihak lawan.

PAS kini jadi berceramuk hanya kerana Tuan Presiden PAS dilihat ada kepentingan dan agenda peribadi dimana ianya tidak menguntungkan PAS pada jangka masa panjang mahupun pendek. Seperti tajuk artikel ini “BERTAHUN DIBINA, DIRUNTUH SEMALAMAN” saya rasa amat bersesuaian dengan apa yang berlaku didalam PAS sekarang ini.

Tolong jangan memperlihatkan golongan agamawan sebagai golongan munafik yang mudah memungkiri janji.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

4 September, 2014

Membiakkan Penentang Senyap

Posted in Barisan Nasional, BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, PDRM, Penentang, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 2:12 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Tidak dapat tidak saya terpaksa juga mengulas mengenai senario yang sedang berlaku dalam negara ini terutamanya tindakan PDRM yang kelihatan berat sebelah dalam melakukan tugas hakiki mereka. Saya tahu bahawa kaki dan tangan pimpinan utama PDRM terikat dengan kuasa politik. Namun sepatutnya sebagai pihak yang berkuasa dalam keselamatan, mereka sewajarnya dapat membebaskan diri daripada kekangan kuasa politik.

Malah dalam senario terkini, nampaknya tindakan PDRM lebih mendahului arahan politik semacam kepimpinan utama PDRM sudah cenderung kepada satu pihak sahaja semata-mata. Dari apa yang saya lihat dan ketahui, malang bagi rakyat Malaysia bilamana PDRM sudah mencemar institusi mereka dengan condong berpihak kepada UMNO/BN.

Tan Sri KPN pernah menjadi anak murid saya satu masa dahulu ketika saya masih lagi didalam perkhidmatan. Dikala itu beliau saya rasakan lebih bersikap dan bertindak professional malah tidak bias. Namun kebelakangan ini saya berasa sedih bilamana beliau saya lihat sudah jauh berubah sikap tidak seperti 20 tahun dahulu. Sungguh jauh berbeza.

Apa pun ini bukannya salah Tan Sri KPN semata-mata. Ini kerana indoktrinasi Melayu yang kuat dimainkan oleh pihak BTN yang dikuasai oleh UMNO sepenuhnya telah berjaya sedikit sebanyak mengubah sikap dan perangai seorang “mata-mata” yang baik kepada mengikut acuan BTN. BTN yang penuh dengan sentimen “Ketuanan Melayu” dan elemen menghasut.

Pada pandangan peribadi saya, tindakan akhir-akhir ini oleh pihak PDRM yang dikepalai oleh Ketua Polis Negara walaupun nampak berjaya menakut-nakutkan rakyat marhaen dengan menggunakan pelbagai akta “drakonian” dan ugutan soal-siasat, tidak dapat tidak berjaya membenihkan satu sikap kebencian “total” kepada UMNO/BN. Benih ini nampaknya tidak akan dapat dibendung dengan ugutan, akta dan undang-undang tetapi secara realistiknya akan membiakkan penentang senyap.

Revolusi Bolshevik bermula secara bawah tanah sepuluh tahun lebih awal daripada tarikh kejadian revolusi. Ianya dibentuk dengan jayanya oleh golongan kiri yang berjaya mengindoktrinasikan rakyat marhaen menjadi penentang senyap. Malah penentang senyap ini bukan sahaja bakal mencetuskan revolusi secara hakiki namun berkemungkinannya akan menyebabkan “public disobedient”

Tindakan PDRM kepada PPS di Pulau Pinang bukanlah akan memberikan satu lonjakan kepada UMNO/BN untuk dapat menguasai Pulau Pinang pada PRU14 namun saya jangkakan Pulau Pinang akan terus kekal ditangan Pakatan Rakyat untuk satu jangkamasa yang lama. Walaupun kita tahu Pakatan Rakyat nampak tidak bersungguh untuk mengekalkan kesepakatan mereka, namun penentang senyap yang telah diujudkan oleh tindakan pilih kasih PDRM akan menyebabkan susah bagi UMNO/BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Saya juga berpandangan jika DUN Selangor dibubarkan oleh Sultan Selangor, berkemungkinan besar UMNO tidak akan dapat menguasai Selangor dengan mudah hanya kerana ramainya kumpulan penentang senyap ini yang tidak berparti tapi tidak akan mahu memberikan UMNO/BN kuasa mudah untuk memenangi Pilihanraya Negeri.

Kesimpulannya, tindakan PDRM yang berat sebelah dan bias kepada UMNO/BN sebenarnya adalah satu rahmat kepada rakyat Marhaen agar tidak akan memberikan UMNO/BN kuasa dengan mudah. Fikir-fikirkanlah.

Khas buat Tan Sri KPN, anda adalah salah seorang bekas pelajar saya yang saya fikir boleh bertindak lebih rasional dan tidak bias. Harap jangan hampakan harapan saya.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Siapa Penasihat Sultan Dan Raja?

Posted in BERSIH, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, UMNO at 6:16 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa dalam perkara yang melibatkan Istana, sudah barang tentu akan ada penasihat kepada Sultan dan Raja dalam semua tindakan sama ada dalam bentuk pentadbiran mahupun penghakiman. Jika 500 tahun dahulu, pastinya yang akan menasihatkan para Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah terdiri daripada Bendahara yang biasanya menjadi pengurus dalam urusan pentadbiran negeri.

Kuasa Bendahara ini amatlah kuat sehinggakan apa sahaja saranan dari Bendahara akan diterima pakai oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu tanpa dolak dalihnya. Ini kerana walaupun para Sultan dan Raja-Raja Melayu memang mendapat pendidikan formal, namun atas dasar hormat kepada Bendahara, maka banyak keputusan Bendahara diterimaa pakai tanpa banyak bicara.

Namun tidak semua keadaan Sultan dan Raja-Raja Melayu akan mengambil saranan dari Bendahara. Pernah terjadi dalam Sejarah Melayu yang Bendahara dihukum hanya kerana kurang warasnya Sultan dan Raja-Raja yang memerintah. Kita semua sedia maklum orang Melayu rata-rata tidak mahu menongkah arah melawan kehendak Sultan dan Raja-Raja Melayu hanya kerana berpandangan bahawa Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah seumpama “Bayangan Tuhan Di Muka Bumi”, namun ini tidaklah bermaksud bahawa pandangan dan arahan dari Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah bebas daripada kekhilafan.

Dalam kes di Selangor, kita boleh lihat bahawa Bendahara (dalam konteks moden dikenali sebagai Menteri Besar) ingin diganti dengan orang lain yang juga sepatutnya layak berada ditempat tersebut. Namun perjalanan untuk menukarkan Bendahara ini menjadi sukar kerana adanya “nasihat” dari pihak-pihak yang berkepentingan kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Persoalannya sekarang ini, kita semua tahu bahawa tidak ada satu Sultan dan Raja-Raja Melayu pon yang dapat mengelakkan daripada dikuasai oleh UMNO. Malah ianya semacam “open secret” @ rahsia terbuka bahawa Sultan dan Raja-Raja Melayu sememangnya cenderung kepada UMNO. Bukanlah kerana UMNO itu adalah yang terbaik bagi orang Melayu mengikut pandangan Sultan dan Raja-Raja Melayu namun yang sebenarnya UMNO telah berjaya memulas tangan para Sultan dan Raja-Raja Melayu sejak sekian lama.

Jika Sultan dan Raja-Raja Melayu melawan cadangan dan nasihat UMNO, pastinya sama ada gaji, elaun serta imbuhan yang selayaknya dapat kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu serta kaum kerabat mereka akan dikurangkan atau perniagaan yang dipunyai oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu akan diganggu gugat serta disekat. Jadi demi mengelakkan masalah kewangan, maka kita faham kenapa para Sultan dan Raja-Raja Melayu terpaksa membiarkan diri mereka diperkudakan oleh UMNO sekian lama.

Belum pernah ada seorang Sultan dan Raja-Raja Melayu yang dapat menjarakkan diri mereka dari kongkongan dan belitan UMNO. Biarpun rakyat diperlihatkan bahawa ada Sultan dan Raja-Raja Melatu yang “kononnya” tidak tunduk kepada UMNO namun realitinya kita semua sedia maklum.

Oleh yang demikian, dalam kemelut yang berlaku di Selangor, saya berpendapat sudah pasti setiap tindakan Sultan Selangor sebenarnya ada nasihat dari pihak UMNO sama ada secara jelas mahupun tersembunyi. Bukanlah tujuan saya untuk menidakkan kemampuan Sultan Selangor untuk membuat keputusan, namun tindakan yang dibuat semenjak kes ini bermula memang memperlihatkan bahawa ada suara-suara dari UMNO yang menasihatkan Sultan.

Jelas yang akan mendapat laba sebenarnya dari kemelut di Selangor adalah UMNO dan yang akan menjadi mangsa “selamanya” adalah Sultan Selangor. Ini kerana jika Sultan Selangor membubarkan DUN hanya kerana tidak berpuas hati atas sebab Dr Wan Azizah yang mendapat sokongan majoriti serta tidak mahukan Dr Wan Azizah menjadi MB, pastinya rakyat Selangor yang mengundi Pakatan Rakyat (majoriti) akan sentiasa memandang serong kepada Sultan dan mungkin akan mencemuh (tidak menghormati) Sultan didalam diam. Penyakit dalam diam inilah yang amat bahaya kepada Kesultanan Selangor.

Hanya kerana laba yang sedikit Sultan dapat daripada UMNO akan menyebabkan keabsahan dan kehormatan Institusi Diraja Selangor akan dipandang lekeh oleh Rakyat Selangor tidak kira dari bangsa dan kaum apa pun. Haruslah diingatkan bahawa tidak selamanya orang-orang Melayu akan menyokong “membuta tuli”  serta taksub atas apa sahaja tindakan Sultan. Sejarah telah memperlihatkan “yang adil disembah, yang zalim disanggah”.

Mahukah dan mampukah agaknya Kesultanan Selangor dipandang serong selamanya dalam sejarah Melayu seperti mana yang berlaku kepada Sultan Mahmud (Sultan Melaka) yang mangkat dijulang dibunuh oleh Laksamana Megat Sri Rama.

Peluang ada ditangan Sultan Selangor, ibarat ditelan mati emak diluah mati bapak.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)