21 April, 2015

Rosak Dari Dalam

Posted in Bloggers-United, Islam, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, PAS, Pilihanraya, Politik, Reformasi at 1:16 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Partai PAS yang selama ini dilihat sebagai satu wadah terbaik bagi umat Islam dalam berpolitik nampaknya semakin hari semakin bercelaru dan kacau bilau. Jika dulu walaupun ahli PAS hormatkan pimpinan mereka, tetapi tidaklah sampai begitu ketara ketaksuban seperti mana yang berlaku dewasa ini.

Jika 30 tahun dahulu ada ahli-ahli yang membuat onar dengan menaburkan fitnah dan sebagainya. Lembaga Disiplin PAS dengan cepat dan tuntas akan mengambil tindakan. Malah pimpinan utama dan Majlis Syura Ulaam cukup bertegas akan perkara sebegini. Tapi kini apabila PAS dibawah pimpinan Tuan Guru Hadi Awang, nyata tiada teguran yang dilakukan oleh beliau atas perkara ini. Tindakannya berdiam diri dilihat seumpama membenarkan fitnah dan label melabel dibuat.

Kepimpinan Hadi Awang yang kini dipertikaikan atas asbab integriti dan pegangan telah menyebabkan PAS kini rosak dari dalam. PAS dilihat telah berpecah kepada tiga (3) kumpulan.

Kumpulan pertama adalah kumpulan yang dilihat taksub dan wala’ melampau kepada kepimpinan Hadi Awang tanpa ada pemikiran yang rasional. Kumpulan ini nampak agresif dengan tindakan melabel-labelkan serta menjatuhkan hukum sempit kepada pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Malah kumpulan ini dilihat menguasai sepenuhnya ruang didalam media sosial. Fakta dan bukti bukanlah menjadi hujah utama mereka melainkan daripada emosi dan fitnah semata-mata serta caci maki yang menjadi tunjang utama kumpulan ini. Kumpulan ini dilihat agak ekstrem dalam urusan mereka sehinggakan menakutkan orang bukan Islam untuk mendekati dan menerima Islam sebagai Ad-Deen. Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Ustaz, Ustaz Group atau Ulama Group.

Kumpulan kedua pula adalah kumpulan yang melihat kemenjadian PAS dan hala tuju PAS secara rasional dalam konteks berfikiran terbuka dan masyarakat Malaysia yang majmuk. Kumpulan ini dilihat cuba melakukan dakwah Islamiyah secara lembut kepada masyarakat yang bukan beragama Islam. Kumpulan ini melihat hala tuju PAS dalam kerangka masyarakat berbilang bangsa dan kaum serta agama. Mereka ini lebih dipercayai oleh kaum Cina dan India serta lain-lain bangsa atas sebab kumpulan ini menonjolkan Islam itu agama yang rasional dan bukan ekstrem. Kumpulan ini dikenali sebagai Professional

Kumpulan ketiga pula adalah kumpulan yang tidak tahu yang mana satu kumpulan yang betul-betul membawa PAS kearah kebaikan dan menjadi mainstream. Kumpulan ini cukup besar keahliannya tetapi mereka boleh condong kepada mana-mana kumpulan lain hanya dengan melihat kumpulan mana yang menang. Tindakan kumpulan ini boleh dikatakan seperti lalang.

Apa yang pasti. Jika pimpinan utama PAS tidak mengambil sikap proaktif dalam menangani masalah in, saya beranggapan PAS mungkin akan terkubur dari persada politik mainstream negara pada PRU15 dan selepas itu. Sukar untuk PAS bangkit kembali jika PAS memilih untuk menjadikan Kumpulan pertama sebagai kumpulan yang mendominasi kepimpinan PAS.

Dari sini kita boleh lihat jika PAS tersalah buat pilihan maka masa depan gelaplah yang akan menunggu PAS.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Advertisements

10 September, 2014

Menghasut Dihasut?

Posted in Bloggers-United, Islam, Malaysia Baru, PDRM, Pendidikan, Pentadbiran, Politik, Reformasi at 5:18 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan sekiranya tuan-tuan dan puan-puan sekalian terhasut oleh artikel saya ini. Bukanlah tujuan saya untuk menghasut tuan-tuan dan puan-puan sekalian tetapi sekadar saya ingin membuka mata dan hati semua mengenai isu ini.

Sekarang ini kecoh di Malaysia PDRM membuat tangkapan borong “kononnya” atas Akta Hasutan 1948 terhadap ramai dikalangan rakyat Malaysia. Namun apa yang dikesalkan tindakan PDRM ini amat kelihatan berat sebelah. Kebanyakan yang ditahan kononnya atas Akta Hasutan 1948 terdiri daripada pihak-pihak yang menegur dan memperkatakan yang haq walaupun sedikit kasar. Sebagai contoh kes tangkapan dibawah Akta Hasutan 1948 terhadap Ustaz Wan Ji Al-Bakistani.

Kalau kita kaji dan selidik serta mendalami apa yang Ustaz Wan Ji lontarkan itu, kita akan dapat lihat bahawa nyata ianya benar dan tepat. Kalaulah kita sabitkan semua tindakan yang dilakukan oleh Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai seorang Ketua Agama Islam secara borong, kita akan dapat lihat ada tindakan yang dilakukan oleh para Sultan dan Raja-Raja Melayu yang jauh dari Agama Islam itu sendiri.

Sebagai contoh dalam kes Sultan Selangor merasmikan pusat maksiat “HardRock Cafe” di Melaka tempohari yang urusan perniagaannya melibatkan benda-benda haram dan syubahat seperti arak dan khinzir serta tarian dan nyanyian yang bebas bercampur gaul antara bukan mahram. Adakah tindakan ini boleh kita katakan sebagai satu tindakan selayaknya dibuat oleh seorang Ketua Agama Islam.

Kita semua sedia maklum mengenai ramainya para Mufti Kerajaan Negeri yang tidak berani menegur mungkin kerana lebih memikirkan tentang wang ringgit serta pangkat yang mereka dapat daripada kerjasama mereka dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu. Pada pandangan saya, ulama dan mufti sebegini adalah bahan bakar api neraka sahaja selayaknya.

Itu baharu satu contoh bagaimana seorang Sultan dan Raja-Raja Melayu yang dikatakan sebagai Ketua Agama Islam melakukan tindakan yang jauh menyimpang daripada Islam itu sendiri. Ada banyak lagi yang boleh saya tuliskan seperti bagaimana seorang Ketua Agama Islam boleh pula terlibat dengan judi dan zina. Ini adalah realiti sebenar dan sebagai seorang Ustaz dan penceramah bebas, Ustaz Wan Ji berhak menukilkan perkara ini sebagai membuktikan bahawa tidak selayaknya seorang Ketua Monarki dikira secara borong adalah Ketua Agama Islam.

Pada pandangan saya, tindakan Sultan dan Raja-Raja Melayu yang katanya Ketua Agama Islam tetapi melakukan perkara yang menghina Islam itu sendiri selayaknya diambil tindakan siasatan dan hukuman. Tapi siapakah yang akan menyiasat dan menghukum para Sultan dan Raja-Raja Melayu yang menghina Islam? Nyatanya tiada siapa pun yang akan berbuat demikian dalam konteks Malaysia.

Oleh yang demikian, tidaklah layak PDRM menahan Ustaz Wan Ji dan mendakwanya di Mahkamah atas hujahan realiti yang dikemukakan olehnya. Untuk itu PDRM sebenarnya sudah mengambil tindakan yang tidak selari dengan Akta Hasutan itu sendiri.

Saya tetap berpegang bahawa tidak seseorang pun di Malaysia ini layak untuk memegang status sebagai Ketua Agama Islam walaupun beliau adalah pemimpin masyarakat atau pemimpin negara. Islam tidak perlu ada ketua. Malah Rasulullah s.a.w jugak bukanlah Ketua Agama Islam melainkan dia hanyalah Rasul Allah.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

 

%d bloggers like this: