6 September, 2014

Bertahun Dibina Diruntuh Semalaman

Posted in Barisan Nasional, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Penentang, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 3:40 am by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Kita semua sedia maklum bahawa Partai Islam SeMalaysia (PAS) telah mengambil masa yang cukup lama untuk menjadi seperti sebelum PRU13. PAS cukup lama dimomokkan sebagai sebuah Parti yang “anti-establishment”. PAS juga cukup lama dikatakan sebagai sebuah parti kampung yang ekstrim serta susah untuk bercampurgaul dengan parti lain. Malah orang-orang bukan Islam amat memandang serong kepada PAS selama ini.

Namun hasil dari usaha berterusan golongan pembaharuan dalam PAS yang saling melengkapi dikalangan golongan pemimpin muda (baharu) yang rata-ratanya dari golongan professional dan juga ahli-ahli baru yang muda belia, maka PAS sedikit sebanyak dapat mengambil tempat yang baik dalam arena politik Malaysia.

Malah tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang bukan Islam cukup menyanjungi dan menghormati PAS kerana PAS dilihat lebih mesra dan prihatin terhadap masalah rakyat Marhaen. Malah apabila PAS dan DAP dapat bekerjasama tanpa masalah, maka ramai dikalangan orang bukan Islam melihat ini adalah cara baru berpolitik yang matang untuk pembaharuan Malaysia.

Malaysia Pasca Millenia adalah Malaysia yang lebih majmuk dimana kesamarataan politik dapat menjadi pemangkin satu bangsa Malaysia. Masyarakat Malaysia yang berkapasiti 28 juta orang perlukan satu kesamarataan yang baik demi menjamin Malaysia dapat menjadi kuasa besar di Asia dan bukannya hanya di Asia Tenggara.

Namun apa yang berlaku kini, nampaknya ada pihak yang merasakan dengki serta khianat malah mungkin ada pandangan rasis yang menebal didalam diri mereka terhadap kaum lain yang bukan beragama Islam di Malaysia yang telah dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS. PAS yang menggunapakai slogan “PAS For All” nampaknya sudah dimulut lain dihati lain.

“PAS For All” sudah menjadi “PAS For Malay Muslim”.

Inilah masalahnya yang dilihat terlalu ketara sekarang. Bertahun lamanya PAS cuba membentuk satu persepsi yang baik terhadapnya namun atas kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri maka imej dan persepsi PAS diruntuh semalaman.

Tidak dapat tidak kita boleh lihat bahawa perkara ini terjadi apabila Tuan Presiden PAS sendiri mempunyai agenda peribadi yang nampaknya lebih mengikut nasihat “setengah masak” dari penasihat tidak bertauliah yang mengelilingi Tuan Presiden itu sendiri. Tuan Guru Hadi Awang sendiri nampaknya mudah dihasut oleh pihak-pihak tertentu sehinggakan acap kali membuat keputusan sendiri tanpa syura (mesyuarat). Dan setiap kali itu juga keputusan yang dibuat oleh Tuan Presiden PAS seperti memberikan bola tanggung kepada pihak lawan.

PAS kini jadi berceramuk hanya kerana Tuan Presiden PAS dilihat ada kepentingan dan agenda peribadi dimana ianya tidak menguntungkan PAS pada jangka masa panjang mahupun pendek. Seperti tajuk artikel ini “BERTAHUN DIBINA, DIRUNTUH SEMALAMAN” saya rasa amat bersesuaian dengan apa yang berlaku didalam PAS sekarang ini.

Tolong jangan memperlihatkan golongan agamawan sebagai golongan munafik yang mudah memungkiri janji.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

4 September, 2014

Membiakkan Penentang Senyap

Posted in Barisan Nasional, BERSIH, Bloggers-United, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, PDRM, Penentang, Pentadbiran, Pilihanraya, Politik, Reformasi, UMNO at 2:12 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Tidak dapat tidak saya terpaksa juga mengulas mengenai senario yang sedang berlaku dalam negara ini terutamanya tindakan PDRM yang kelihatan berat sebelah dalam melakukan tugas hakiki mereka. Saya tahu bahawa kaki dan tangan pimpinan utama PDRM terikat dengan kuasa politik. Namun sepatutnya sebagai pihak yang berkuasa dalam keselamatan, mereka sewajarnya dapat membebaskan diri daripada kekangan kuasa politik.

Malah dalam senario terkini, nampaknya tindakan PDRM lebih mendahului arahan politik semacam kepimpinan utama PDRM sudah cenderung kepada satu pihak sahaja semata-mata. Dari apa yang saya lihat dan ketahui, malang bagi rakyat Malaysia bilamana PDRM sudah mencemar institusi mereka dengan condong berpihak kepada UMNO/BN.

Tan Sri KPN pernah menjadi anak murid saya satu masa dahulu ketika saya masih lagi didalam perkhidmatan. Dikala itu beliau saya rasakan lebih bersikap dan bertindak professional malah tidak bias. Namun kebelakangan ini saya berasa sedih bilamana beliau saya lihat sudah jauh berubah sikap tidak seperti 20 tahun dahulu. Sungguh jauh berbeza.

Apa pun ini bukannya salah Tan Sri KPN semata-mata. Ini kerana indoktrinasi Melayu yang kuat dimainkan oleh pihak BTN yang dikuasai oleh UMNO sepenuhnya telah berjaya sedikit sebanyak mengubah sikap dan perangai seorang “mata-mata” yang baik kepada mengikut acuan BTN. BTN yang penuh dengan sentimen “Ketuanan Melayu” dan elemen menghasut.

Pada pandangan peribadi saya, tindakan akhir-akhir ini oleh pihak PDRM yang dikepalai oleh Ketua Polis Negara walaupun nampak berjaya menakut-nakutkan rakyat marhaen dengan menggunakan pelbagai akta “drakonian” dan ugutan soal-siasat, tidak dapat tidak berjaya membenihkan satu sikap kebencian “total” kepada UMNO/BN. Benih ini nampaknya tidak akan dapat dibendung dengan ugutan, akta dan undang-undang tetapi secara realistiknya akan membiakkan penentang senyap.

Revolusi Bolshevik bermula secara bawah tanah sepuluh tahun lebih awal daripada tarikh kejadian revolusi. Ianya dibentuk dengan jayanya oleh golongan kiri yang berjaya mengindoktrinasikan rakyat marhaen menjadi penentang senyap. Malah penentang senyap ini bukan sahaja bakal mencetuskan revolusi secara hakiki namun berkemungkinannya akan menyebabkan “public disobedient”

Tindakan PDRM kepada PPS di Pulau Pinang bukanlah akan memberikan satu lonjakan kepada UMNO/BN untuk dapat menguasai Pulau Pinang pada PRU14 namun saya jangkakan Pulau Pinang akan terus kekal ditangan Pakatan Rakyat untuk satu jangkamasa yang lama. Walaupun kita tahu Pakatan Rakyat nampak tidak bersungguh untuk mengekalkan kesepakatan mereka, namun penentang senyap yang telah diujudkan oleh tindakan pilih kasih PDRM akan menyebabkan susah bagi UMNO/BN untuk mengekalkan kuasa mereka.

Saya juga berpandangan jika DUN Selangor dibubarkan oleh Sultan Selangor, berkemungkinan besar UMNO tidak akan dapat menguasai Selangor dengan mudah hanya kerana ramainya kumpulan penentang senyap ini yang tidak berparti tapi tidak akan mahu memberikan UMNO/BN kuasa mudah untuk memenangi Pilihanraya Negeri.

Kesimpulannya, tindakan PDRM yang berat sebelah dan bias kepada UMNO/BN sebenarnya adalah satu rahmat kepada rakyat Marhaen agar tidak akan memberikan UMNO/BN kuasa dengan mudah. Fikir-fikirkanlah.

Khas buat Tan Sri KPN, anda adalah salah seorang bekas pelajar saya yang saya fikir boleh bertindak lebih rasional dan tidak bias. Harap jangan hampakan harapan saya.

 

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

18 December, 2013

Puteri UMNO Yang Masih Lena

Posted in Bajet, Barisan Nasional, Bloggers-United, Ekonomi, Malaysia, Malaysia Baru, PEMANDU, Pendidikan, Pentadbiran, Reformasi, Swasta, UMNO at 2:47 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Saya ingin mengambil peluang untuk mengulas serba sedikit mengenai hujah yang dikemukakan oleh Pergerakan Puteri UMNO yang diketuai oleh Mas Ermieyati Samsudin. Hujah ini saya baca di dalam portal berita Sinar Harian Online.

Saya beranggapan bahawa semasa Mas Ermieyati Samsudin mengeluarkan idea-idea yang menyarankan 3 cara untuk meningkatkan keupayaan mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup, beliau mungkin masih mamai selepas bangun dari tidur yang lena ataupun beliau sebenarnya masih lena,

Untuk saranan pertama beliau dimana dicadangkan supaya berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan, saya rasa beliau tidak berpijak dibumi yang nyata. Untuk pengetahuan Mas Ermieyati Samsudin, hampir semua warga marhaen memang mengamalkan sifat berjimat cermat malah terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian. Ada warga marhaen yang akan menghidupkan kipas angin hanya sewaktu tengahari sahaja manakala jika waktu malam yang panas pula hampir semua tingkap dibuka untuk memastikan suasana menjadi dingin.

Warga marhaen ramai yang terbeban dengan bil elektrik yang mencecah RM50 sebulan hanya kerana menggunakan cerek elektrik, seterika elektrik, periuk nasi elektrik, televisyen dan peti sejuk. Warga marhaen yang terbeban dengan bil elektrik sebanyak ini tidak menggunakan pendingin hawa. Tapi masih terbeban kerana pendapatan bulanan mereka biasanya dibawah paras gaji minima yang ditetapkan kerajaan. Jika Mas Ermieyati Samsudin pergi ke Pantai Timur atau ke Malaysia Timur, pastinya beliau boleh berjumpa dengan warga marhaen yang mempunyai pendapatan bulanan serendah ini atau lebih rendah lagi.

Warga marhaen ini tidaklah mendapat bil elektrik sebanyak lebih RM160 ribu sebulan seperti mana Perdana Menteri Malaysia. Malah warga marhaen ini membayar semua bil mereka dengan wang mereka sendiri dan bukannya dari kutipan cukai rakyat Malaysia. Jadi sebelum Mas Ermieyati Samsudin mencadangkan berjimat cermat kepada semua, sila nasihatkan dahulu Perdana Menteri Malaysia.

Bagi menjawab saranan kedua Mas Ermieyati Samsudin berkaitan dengan “kaedah hijau” atau “teknologi hijau” serta kitar semula, saya berpendapat saranan ini agak kurang relevan kepada warga marhaen. Ini kerana warga marhaen memang mengamalkan kitar semula dan teknologi hijau dalam banyak perkara. Ini perkara biasa. Bukan satu perkara baru. Malah seingat saya, ibu saya pernah menggunakan kotak rokok untuk dianyam menjadikan tudung saji. Malah ibu saya juga memanfaatkan pokok mengkuang yang merimbun disekitar rumah saya di kampung untuk dianyam menjadikan tikar, bekas beras mahupun sebagai beg atau raga.

Tetapi, Perdana Menteri Malaysia cuma sekadar mengitar semula Menteri-Menteri yang tidak “perform” dan diberikan jawatan pengerusi pelbagai GLC seperti SPAD dan lain-lainnya. Ini satu teknik kitar semula yang pada dasarnya kurang sesuai. Malah boleh dikatakan inilah tindakan paling bangang yang dibuat oleh Perdana Menteri. Kita jangan lupa akan tindakan Perdana Menteri yang meng”endorsed” seorang Menteri yang tidak “perform” sebagai Presiden UIAM. Jadi Mas Ermieyati Samsudin saya nasihatkan supaya dapat memanjangkan saranan ini kepada Perdana Menteri,

Bagi saranan Mas Ermieyati Samsudin yang ketiga pula iaitu supaya memantau syarikat monopoli berkepentingan awam, saya rasa Mas Ermieyati Samsudin memang menghidap satu sindrom nyanyuk. Kesemua syarikat monopoli berkepentingan awam ini ada terdapatnya saham yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia. Tapi tiada satu tindakan pun yang berani diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan bahawa warga marhaen tidak terbeban dengan kenaikan caj atau tariff.

Sebagai contoh, setiap kali syarikat konsesi lebuhraya ingin menaikkan kadar tol, Kerajaan Malaysia seperti tiada kuasa untuk menahannya ataupun memastikan syarikat ini tidak membebankan masyarakat, Sebaliknya Kerajaan Malaysia pula yang “lebih sudu dari kuah” dalam isu ini. Kita boleh ambil contoh siaran TV Pendidikan yang dahulunya dikendalikan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Dahulunya siaran ini adalah percuma dan boleh ditonton oleh seluruh pelajar melalui siaran “free to air”.

Tetapi dengan kreativiti Mahathir Mohamed yang mahu menolong kerabat sekapal keturunannya, maka program TV Pendidikan ini diserahkan kepada syarikat ASTRO. Semua sekolah diarahkan untuk menggunakan ASTRO demi untuk mendapatkan siaran TV Pendidikan. Dan semua ini adalah berbayar dan bukannya percuma. Tapi kini tiada lagi siaran TV Pendidikan akan tetapi ASTRO telah menggunakan kemudahan ini untuk menerbitkan siaran pendidikan mereka sendiri yang menjanakan ratusan ribu keuntungan melalui tajaan iklan. Akan tetapi sekolah yang ingin mendapatkan siaran pendidikan ini terpaksa pula membayar dengan satu kadar yang agak membeban sekolah.

Jadi, saya tetap berpendapat bagi saranan ketiga ini, Mas Ermieyati Samsudin memang amat naif. Malah jangan marah jika saya klasifikasikan Mas Ermieyati Samsudin sebagai seorang Ketua Puteri UMNO yang dungu serta tidak berpijak dibumi yang nyata. Sedarlah dan lihatlah.

Tolong jangan keluarkan saranan sebegini yang sebenarnya lebih banyak menunjukkan kepincangan UMNO dan Barisan Nasional dalam menerajui Malaysia. Malah tolong jangan mengeluarkan kenyataan yang lebih memperlihatkan kebejatan Kerajaan Barisan Nasional dalam mentadbir negara dari sudut ekonomi dan pentadbiran.

Sila bangun dari tidur yang lena.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

17 December, 2013

UMNO Pasca PRU13

Posted in Barisan Nasional, Bloggers-United, Malaysia, Malaysia Baru, Pakatan Rakyat, Pilihanraya, Reformasi, UMNO at 3:19 pm by Ketua Perusuh

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.

Ramai rakan-rakan saya yang masih lagi berkhidmat dalam perkhidmatan awam cuba mencungkil pandangan saya mengenai UMNO Pasca PRU13. Semua mereka mahu tahu apa pandangan dan analisis saya mengenai UMNO.

Sepertimana ramai yang tahu, saya tidak berkecenderungan kepada UMNO mahupun PAS ataupun PKR. Ini kerana saya lebih suka melihat politik Malaysia dari perspektif warga marhaen yang diatas pagar. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, setelah sekian lama saya berkhidmat dalam perkhidmatan awam hanya satu sahaja masalah yang saya dapat lihat.

Masalah ini adalah UMNO selaku parti politik Pro-Melayu yang memegang pengaruh besar dalam Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara parti dan perkhidmatan awam. UMNO amat kerap memperkudakan perkhidmatan awam dengan menggunakan pengaruh para Menteri dan Timbalan Menteri yang berkiblatkan parti UMNO. Malah beberapa tindak tanduk perkhidmatan awam lebih tunduk kepada desakan dari UMNO.

Selagi mana UMNO masih bertindak sebegini, saya pasti orang awam terutamanya pengundi berdaftar yang tidak pro kepada mana-mana cabang parti politik akan memandang sinis malah merasakan benci kepada UMNO. Sepatutnya UMNO mengambil iktibar atas kekalahan mereka untuk mendapatkan sokongan dan majoriti besar orang Melayu mengundi mereka pada PRU12 dan PRU13. Tetapi seperti biasa UMNO masih kekal berperasan bagus dan rasa hebat. Keegoan UMNO memang terserlah,

Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana UMNO menggunakan kuasa mereka dalam menentukan Naib Canselor sesebuah Universiti Awam. Malah bukan sahaja pentadbiran dan akademik sesebuah Universiti Awam diganggu kacau oleh orang-orang UMNO, tapi termasuk juga urusan pilihanraya kampus yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar.

Kita boleh lihat bagaimana UMNO telah menentukan siapa yang akan menjadi peneraju dan Naib Canselor di UITM yang mana “ranking” UITM adalah pada paras 800 dalam penilaian QS. Sepatutnya jika UITM diterajui oleh Naib Canselor yang bebas tanpa pengaruh parti politik, saya berani jamin UITM boleh mendapat nilai “ranking” sekurang-kurangnya pada paras 500 atau lebih baik.

Berbalik kepada persoalan halatuju UMNO Pasca PRU13, saya lihat UMNO akan menghadapi masalah yang lebih besar pada PRU14 jika sekiranya pandangan dan luahan hari warga belia dan muda tidak didengari dan dianggap enteng. Silap gaya UMNO mungkin bungkus pada PRU14. UMNO perlukan satu idea yang dapat menarik perhatian golongan muda untuk dekat dengan UMNO. UMNO kena ingat, golongan muda yang jenis kaki fiesta dan pesta, belum tentu menjadi pengundi berdaftar. Pemuda dan Pemudi K-Pop biasanya bukanlah telah mendaftar sebagai pengundi. Malah ada yang tidak mahu ambil bahagian dalam proses menentukan hala tuju negara.

Jadi kesimpulannya UMNO perlu berubah. Begitu juga dengan PAS dan PKR jika ingin pergi jauh dan berjaya selepas PRU13 dan pada PRU14.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Next page

%d bloggers like this: