3 March, 2009

Bila Perut Menjadi Raja

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 12:59 am by Ketua Perusuh

Krisis Perlembagaan di Negeri Perak Darul Ridzuan kini nampaknya semakin kusut. Ianya terlalu kusut sehinggakan adanya usul supaya Speaker DUN dikenakan tindakan. Bagaimana pula jika satu masa nanti Speaker Parlimen Malaysia juga diusul untuk dikenakan tindakan.

Tindakan kebudak-budakan yang dibuat menunjukkan bahawa Barisan Nasional semakin celaru arah. Malah tindakan menutup Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri pada hari ini (3 Mac 2009) adalah seperti tindakan membuang tiang gol oleh Manchester United apabila mereka semakin hampir menuju kekalahan dalam Liga Inggeris ketika perlawanan dengan Liverpool.

Mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh FIFA, gol hanya dikira jika ianya disumbatkan kedalam gawang gol, namun jika gawang tidak kelihatan (dibuang) maka tidak akan dikira gol walaupun bola tersebut melewati kawasan sebenar gol sepatutnya berada.

Kemelut di Perak ini semua berpunca apabila Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bertindak tidak membenarkan pembubaran DUN bagi membolehkan rakyat Perak membuat pilihan mereka sendiri. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebenarnya telah terkhilaf dalam mentafsirkan keperluan dan situasi sehinggakan baginda seakan diikat hidungnya oleh pihak-pihak tertentu.

Bagi para pembaca setia laman blog ini, anda pasti tentunya pernah membaca komentar saya mengenai siapakah dalang sebenar Kudeta di Negeri Perak Darul Ridzuan. Tidak lain tidak bukan semua rakyat Perak sedar bahawa Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sememangnya jauh hati bilamana Barisan Nasional kalah di Negeri Perak pada PRU12. Malah Mufti Perak telah disuruh untuk berbincang dengan Pakatan Rakyat (PAS) mengenai usaha untuk mengekalkan Barisan Nasional menguasai Perak dengan membuat kerajaan campuran UMNO dan PAS.

Tindakan berkepentingan peribadi (perniagaan dan hasil masyhul negeri) ini dapat dibaca oleh pimpinan Pakatan Rakyat yahg tetap bertegas bahawa mereka tidak akan membenarkan “perut menjadi raja” dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Akhirnya maka ujudlah Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Akan tetapi tindakan “Bila Perut Menjadi Raja” sememangnya menjadi darah daging sebilangan orang (di pihak istana mahupun dalam Barisan Nasional) sehinggakan mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti rakyat Perak telah menolak mereka, lalu mereka merancangkan satu KUDETA untuk merampas hak memerintah Perak.

“Bila Perut Menjadi Raja” maka semua tindakan tidak lagi bertunjangkan lunas undang-undang dan perlembagaan. Malah “bila perut menjadi raja”, pasukan keselamatan dan pentadbiran negeri (awam) pun akan diperkudakan demi memastikan kepentingan mereka. Rakyat dianggap sampah dan undang-undang pula dianggap hanyalah kertas kosong yang boleh ditulis kembali mengikut persepsi “perut”.

Telah terbukti sekarang ini didepan mata semua rakyat Perak “yang mana kaca, yang mana permata”. Bagi mana-mana rakyat Negeri Perak yang percaya undang-undang dan perlembagaan itu masih ujud dan relevan, ambillah tindakan untuk mengembalikan kuasa melantik pentadbir negeri kepada rakyat melalui pilihanraya. Jangan biarkan kumpulan manusia yang bertunjangkan “bila perut menjadi raja” melacurkan undang-undang dan perlembagaan untuk kepentingan mereka sendiri waima sekalipun yang melakukan itu seorang Raja atau Sultan.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

26 February, 2009

Laporan Polis?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , , at 1:00 am by Ketua Perusuh

Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa pada dasarnya saya amat bersetuju jika mana-mana aduan untuk mana-mana pihak dibuat dan disiasat oleh Polis. Namun pihak Polis perlulah lebih professional dengan tidak membuat siasatan terpilih atas mana-mana aduan ini.

Sebagai contoh jika seorang petani membuat aduan mengenai JKKK yang disyaki melakukan salahguna kuasa, maka perlulah pihak Polis membuat siasatan walaupun pihak JKKK tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Polis sekalipun.

Amatlah tidak wajar sekiranya pihak Polis tidak mengambil tindakan untuk membuat siasatan mahupun tangkapan hanya kerana JKKK tersebut adalah saudara kepada Ketua Polis. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa terdapatnya unsur-unsur siasatan terpilih yang boleh juga diklasifikasikan sebagai satu salahguna kuasa.

Namun apa yang kita semua sedia maklum, pihak Polis di Malaysia sememangnya senantiasa melakukan siasatan terpilih. Sejak bertahun kita sendiri boleh lihat bahawa jika ada mana-mana aduan atau laporan yang berkait dengan pihak yang berkuasa, maka biasanya pihak Polis tidak akan memulakan apa-apa siasatan walaupun berlori-lori aduan dan laporan polis dibuat di merata tempat.

Malah kita boleh melihat senario ini menjadi tidak terkawal sejak akhir-akhir ini hanya kerana pihak Polis ditekan oleh pemerintah. Sepatutnya pihak polis berkecuali dalam segala hal, namun demi kepentingan beberapa pihak (didalam ataupun diluar institusi Polis itu sendiri) maka ianya menjadi semakin parah.

Dalam seminggu dua ini kita boleh lihat beratus-ratus laporan Polis yang dibuat oleh beberapa pihak (tidak kira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang), namun laporan Polis yang dibuat oleh pihak Pembangkang nyatanya tidak diambil tindakan oleh pihak Polis ataupun sengaja dilengah-lengahkan. Akan tetapi jika terdapatnya laporan Polis yang dibuat oleh parti pemerintah, maka dengan pantasnya pihak Polis akan mengambil tindakan.

Walaupun sesetengah laporan Polis tersebut tidak wajar disiasat atas kapasiti pengasingan kuasa (seperti contoh laporan Polis terhadap Speaker DUN Perak). Disini kita wajar mempersoalkan status kuasa yang ada pada pihak Polis yang membolehkan mereka menyiasat setiap keputusan muktamad yang dibuat oleh mana-mana Speaker DUN/Parlimen.

Mengikut perlembagaan Malaysia, status Speaker mana-mana DUN/Parlimen adalah kebal dari mana-mana tindakan sivil atau jenayah bagi setiap urusan atau keputusan yang berkaitan dengan DUN/Parlimen. begitu juga mana-mana Ahli DUN/Parlimen semasa sidang DUN/Parlimen. Speaker DUN/Parlimen adalah dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh ditahan, didakwa atau dipenjara sama ada melalui prosiding sivil atau jenayah bagi semua Negara Komanwel

Oleh yang demikian, tindakan Polis yang menyiasat Speaker DUN Perak berasaskan kepada laporan Polis yang dibuat oleh agen-agen Barisan Nasional adalah bersalahan dengan kuasa yang ada padanya. Jika pihak Polis dibenarkan berterusan membuat siasatan keatas kuasa Speaker, maka tidak mustahil sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia akan runtuh.

Tindakan pihak Polis ini sebenarnya boleh dicabar di Mahkamah atas dasar mencabuli hak-hak dan status dalam Perlembangaan Malaysia. Perkara yang sama juga boleh dilakukan terhadap SPRM (dahulunya dikenali sebagai BPR) yang khabarnya sedang menyiasat keputusan Speaker DUN Perak. Tindakan Polis dan SPRM ini nampaknya seperti mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kuasa “absolute” kepada Speaker DUN/Parlimen dalam membuat keputusan yang dikira muktamad.

Jika ini dibenarkan berterusan dilakukan (Siasatan Polis dan SPRM terhadap Speaker), maka sudah pastinya selepas ini kita boleh lihat akan ada banyak lagi laporan polis terhadap keputusan Speaker di DUN-DUN yang lain ataupun Parlimen. Namun jika siasatan terpilih dilakukan (hanya terhadap Speaker DUN/Parlimen dari pihak Pakatan Rakyat), maka sewajarnya kita (Rakyat Malaysia yang prihatin) mengambil tindakan menyaman ataupun membubarkan sahaja PDRM dan SPRM.

Bola ada dikaki semua rakyat Malaysia yang prihatin.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

18 December, 2008

Swasta Sana Sini?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , , at 5:13 pm by Ketua Perusuh

Dasar Persyarikatan Malaysia yang diperkenalkan sejak pertengahan 80’an terlah berjaya memacu ekonomi Malaysia menjadi sebuah negara yang terkenal sebagai Harimau Asia. Dengan pembentukan Dasar Persyarikatan Malaysia, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah berjaya dikorporatkan menjadi entiti perniagaan yang mantap hasil daripada monopoli yang telah diunjurkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Antara entiti perniagaan yang berjaya dalam menggunapakai Dasar Persyarikatan Malaysia adalah Tenaga Nasional. Seperti yang kita sedia maklum, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dahulunya lebih dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) iaitu satu cabang khidmat dalam Kerajaan Malaysia yang menyediakan sumber tenaga elektrik untuk kegunaan domestik dan industri. Semasa LLN memberikan perkhidmatan, harga bayaran caj tenaga elektrik amatlah rendah dan berpatutan. Ini kerana ianya adalah satu khidmat sosial yang disediakan dengan dana daripada cukai-cukai yang dikutip oleh Kerajaan Malaysia.

Namun apabila TNB mengambilalih kuasa pembekalan dan perkhidmatan tenaga elektrik (secara monopoli), maka harga bayaran caj tenaga elektrik telah naik mendadak yang perlu dibayar oleh setiap pengguna. Kemana agaknya Ringgit Malaysia (RM) nilai cukai yang dahulunya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan operasi LLN kerana kini TNB telah menjana dananya sendiri tanpa bantuan wang dari cukai. Berapakah agaknya jutaan ringgit dan kemana ianya diagihkan?

Kini Institut Jantung Negara (IJN) pula sedang bersiap sedia untuk diswastakan atas alasan Kerajaan Malaysia tidak mampu untuk menanggung kos pengurusan dan operasinya dengan dana dari kutipan cukai, dan perlukan sokongan dari Sime Darby Berhad (Synergy Drive?) untuk menyelamatkannya daripada terpaksa ditutup.

Persoalannya sekarang ini ialah, jika semua jabatan dan institusi Kerajaan ingin diswastakan (demi untuk mengaut keuntungan segara) adakah boleh para pembayar cukai mengurangkan bayaran cukai mereka kepada Kerajaan Malaysia kerana pihak Kerajaan Malaysia (Lembaga Hasil Dalam Negeri – LHDN) tidak perlu untuk menyediakan dana (dari hasil cukai) bagi mengoperasikan jabatan dan institusi Kerajaan ini?

Dasar Persyarikatan Malaysia diujudkan atas sebab untuk menjimatkan kos pengurusan yang digunakan oleh Kerajaan Malaysia yang mana dengannya dapatlah cukai-cukai yang dikutip diagihkan kepada keperluan yang lain. Kadar cukai yang perlu dibayar oleh setiap warganegara dan juga sesiapa sahaja yang berada di Malaysia adalah tetap dan tidak berubah sejak sebelum dan sesudah Dasar Persyarikatan Malaysia dimulakan.

Pada pandangan saya, kita membayar cukai yang tinggi hanyalah untuk mendapatkan kemudahan daripada pihak kerajaan, namun sekiranya kemudahan itu disediakan oleh pihak swasta, maka kita sewajarnya tidak perlu untuk membayar nilai cukai yang tinggi kepada kerajaan (perlu ada rebet kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan ini).

Namun apa yang berlaku di Malaysia ialah, rakyat diketuk (diperah) dua kali oleh kerajaan dan swasta bagi perkhidmatan yang sepatunya diberikan percuma bagi pembayar cukai.

Oleh itu dengan tercetusnya perkara ini, maka saya dengan ini amat berharap agar rakyat Malaysia membuka mata dan minda mereka untuk membuat keputusan sama ada perlu untuk terus membayar cukai kepada Kerajaan Malaysia (walaupun perkhidmatan bukan disediakan oleh pihak Kerajaan Malaysia) ataupun menuntut bayaran cukai direbetkan (diberikan diskaun). Amatlah malang sekiranya rakyat Malaysia sanggup untuk diperah habis-habisan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan juga oleh pihak kroni (Barisan Nasional) yang mendapat lubuk emas (monopoli projek pengswastaan).

Bagi diri saya dan keluarga, kami tidak redha wang kami diperah dua kali hanya untuk satu perkhidmatan.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS
https://ketuaperusuh.wordpress.com/

%d bloggers like this: