14 June, 2007

Agensi Kelayakan Malaysia (AKM)?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:14 am by Ketua Perusuh

Logo LANSetelah bertahun intitusi pendidikan tinggi tempatan dikawalselia dan ditentusahkan secara piawai oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) kini Menteri Pengajian Tinggi (Mustapa Muhamed) telah mendapatkan kelulusan kabinet untuk menubuhkan satu lagi agensi untuk menggantikan fungsi LAN.

Agensi yang dimaksudkan itu ialah Agensi Kelayakan Malaysia (AKM). Apa yang menarik disini untuk kita (warga Malaysia yang prihatin) bahaskan ialah bagaimana AKM akan dapat menyelesaikan beberapa masalah besar yang selama ini menghantui Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Banyak IPTA dan IPTS begitu susah untuk mendapatkan kelulusan LAN malah ada beberapa kursus telah ditarikbalik akreditasinya atas sebab-sebab tertentu.

Malah terdapat juga beberapa IPTS yang menipu para pelanggannya (pelajar dan ibubapa pelajar) dengan cara membuat hebahan kononnya mereka mendapat pengiktirafan LAN. Kes akreditasi ini hampir menyamai kes piawaian halal oleh JAKIM. Bayangkan dalam kes logo tanda halal pun banyak pihak yang mengambil kesempatan membuat pemalsuan, bagaimana pula dengan sijil akreditasi dari LAN dan kini AKM pula.

Setelah AKM diujudkan, apa pula yang akan terjadi dengan LAN. Adakah lembaga ini akan dibubarkan (ditutup operasinya) ataupun ianya diserap kedalam AKM. Jika diserap, maka alangkah baiknya. Namun jika LAN dibiarkan beroperasi, maka rugilah wang pembayar cukai digunakan untuk operasi LAN yang tidak manfaatkan lagi.

Akreditasi LAN sedikit sebanyak tidak juga memberi makna pada mana-mana pemegang sijil/diploma/ijazah IPTA dan IPTS tempatan. Ini kerana walaupun sijil/diploma/ijazah mereka diakreditasikan oleh LAN dibawah piawaiannya namun jika Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) tidak mengesahkannya, maka sijil-sijil tersebut masih lagi sia-sia dalam konteks untuk mendapatkan tempat dalam perkhidmatan awam.

Adakah anda ingat lagi akan kes JPA yang tidak mahu mengiktiraf satu kursus di Universiti Malaya yang dikendalikan oleh Dr Chandra Muzaffar. Jika anda masih ingat baguslah. Ini kerana kursus tersebut telahpun mendapat kelulusan akreditasi dari LAN dan pentadbiran Universiti Malaya.

Oleh itu apakah perlu kita menubuhkan satu lagi agensi atau jabatan sedangkan agensi atau jabatan sedia ada masih tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan operasinya masih caca-marba. Malah kini saya lihat terdapatnya beberapa kecenderungan banyak kementerian yang tidak mengambil tahu akan pandangan umum melainkan hanya pandangan sebelah pihak mereka sahaja.

Adalah lebih baik jika LAN diperkemaskan dan diberikan kuasa yang mutlak dan diseiringkan operasinya dengan JPA demi untuk memperbaiki mutu dan piawaian akreditasi pendidikan tempatan. Janganlah demi untuk mempromosikan diri sendiri (dalam mood pilihanraya bagi Menteri Pengajian Tinggi) pelbagai cadangan setengah masak dibuat yang akhirnya akan merugikan pelajar sendiri.

Oleh itu kesimpulannya, “Janganlah menimbus lubang dengan cara mengorek lubang yang lain“.