4 June, 2007

Apa Sebenarnya Isu Lina Joy?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:44 am by Ketua Perusuh

Maaf kata, saya sebenarnya bukanlah mendapat pendidikan secara formal dalam bidang agama Islam. Malah saya sendiri pun bersekolah di sekolah mubaligh Kristian. Namun walaupun begitu, pandangan tentang Islam itu jelas pada saya. Begitu juga pandangan tentang agama Kristian juga jelas pada saya.

Oleh itu saya tidaklah juga mahu berdebat atas isu Lina Joy ini, namun saya terpanggil untuk membicarakan berkenaan konsep pematuhan kita sebagai rakyat Malaysia yang bertamadun dan berpendidikan kepada perundangan Malaysia. Apakah sebenarnya yang berbangkit atas isu Lina Joy ini? Adakah ianya berkaitan dengan isu akidah atau isu berkaitan dengan dokumentasi?

Semua ini kita kena tanya Lina Joy. Dia perlu menegaskan dari bahagian manakah isu ini sepatutnya digembar-gemburkan. Walaupun saya seorang yang beragama Islam, namun saya masih lagi menghormati agama-agama yang lain.

Berbalik kepada isu Lina Joy,

1. Jika ianya disebabkan masalah dokumentasi (MyKAD) maka sewajarnya Lina Joy mengesahkan dahulu yang dia telah keluar dari agama Islam dengan mengfailkan kes di mana-mana Mahkamah Syariah. Ini kerana jika dia telah disahkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah sebagai telah keluar dari Islam, maka barulah perkataan Islam boleh dikeluarkan daripada MyKAD.

2. Jika Lina Joy tidak ingin mengesahkan dirinya keluar dari Islam di mana-mana Mahkamah Syariah, maka bagaimana pula satu warta akan dikeluarkan yang mengesahkannya telah keluar meninggalkan agama Islam.

3. Adakah isu Lina Joy ini sebenarnya digunakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu medium untuk mencabar undang-undang negara? Jika inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh Lina Joy, maka sewajarnya dia tidak perlu membangkitkan isu ini sejak dari awal lagi dan pihak Mahkamah tidak perlu membuang wang rakyat untuk membicarakan kes yang tidak berfaedah ini.

Oleh yang demikian, saya dengan ini mencadangkan bahawa perkataan “Murtad” digantikan kepada perkataan Islam dalam MyKAD bagi mana-mana pihak yang ingin keluar dari Islam. Kita mudahkan mereka menukar perkataan Islam ini dengan perkataan “Murtad”. Ini akan memudahkan apa-apa sahaja urusan yang berkaitan dengan agama dan juga untuk memudahkan Lina Joy dan sesiapa sahaja daripada ditangkap makan disiang hari pada bulan Ramadhan.

Dengan adanya perkataan “Murtad” menggantikan perkataan “Islam” dalam MyKAD, secara tidak langsung ianya akan membolehkan pengenalpastian status agama bagi pembawa MyKAD yang telah murtad. Malah ianya juga membolehkan kita mempunyai satu senarai data berapa ramaikah orang Islam yang telah murtad.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sewajarnya meletakkan perkataan “Murtad” bagi menggantikan perkataan “Islam” bagi mana-mana pemegang MyKAD yang telah murtad dan tidak menggantikannya dengan perkataan “Kristian”, “Hindu”, “Buddha” atau sebagainya melainkan hanya perkataan “Murtad” untuk memudahkan pengklasifikasian.

Itupun jika isu sebenar kes Lina Joy ini hanyalah isu berkaitan masalah dokumentasi. Namun jika ianya isu lain (politik dan sebagainya), anda tafsirkanlah sendiri. Sekian.