5 June, 2008

Minyak Oh Minyak!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 1:47 am by Ketua Perusuh

Sesungguhnya saya tidak mampu untuk menahan diri daripada ketawa besar petang semalam sewaktu mendapat berita mengenai kenaikan harga bahan bakar (minyak petrol dan diesel) yang dinaikkan sehingga 41%. Jangan pula anda semua salah sangka. Saya ketawa kerana telahan (ramalan) mengenai kenaikan harga minyak yang pernah saya buat nampaknya hampir tepat daripada apa yang diumumkan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Saya cuma menjangkakan kenaikan setinggi RM2.60 seliter bagi minyak petrol namun Abdullah Ahmad Badawi berjaya menaikkan harga minyak petrol sehingga RM2.70. Nampak gayanya Abdullah Ahmad Badawi mungkin ada membaca (bolehkah anda percaya Abdullah Ahmad Badawi suka membaca?) artikel di laman ini.

Cuma apa yang saya terlepas pandang adalah tarikh sebenar kenaikan harga minyak dimana saya pernah menjangkakan ianya naik sebelum suku kedua 2009. Nampaknya harga minyak dinaikkan lebih awal (12 bulan awal). Efek dari kenaikan harga minyak pastinya anda semua boleh jangkakan. Kos sara hidup akan naik dan yang pastinya yang tertekan adalah semua rakyat Malaysia tidak kira yang kaya mahupun yang miskin.

Yang miskin pastinya akan lebih sengsara manakala yang dahulunya kaya mungkin sudah turun tarafnya kepada sederhana. Teori domino tidak dapat dielak bagi mana-mana elemen ekonomi. Jika kos bahan bakar naik, maka kos operasi akan naik dan tentunya harga pengeluaran akan naik dan sekaligus menaikkan semua harga barangan dipasaran.

Kepada semua rakyat Malaysia, saya amat berharap anda semua jangan terkejut apabila Kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi akan menaikkan harga minyak petrol sekali lagi sekitar Ogos ini pada kadar RM0.30 seliter. Ini adalah bagi menampung kekurangan nilaian yang perlu untuk meletakkan harga minyak hanya sedikit dibawah harga pasaran dunia iaitu RM3.80 seliter (jangkaan).

Saya jangkakan teknik yang sama juga akan digunapakai bagi mengesahkan kenaikan harga minyak petrol pada Ogos 2008 ini. Teknik dan manipulasi yang sama dengan bantuan semua akhbar-akhbar harian tempatan.

Tahniah juga saya ingin ucapkan bagi anda (sesiapa pun) yang telah memberikan kemenangan mutlak kepada Barisan Nasional yang mana telah membalas jasa anda dengan menaikkan harga bahan bakar dan seterusnya akan menaikkan harga barangan keperluan asas.

Jangan risau kerana jika anda terus menerus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui Malaysia, harga minyak pasti akan naik terutamanya minyak petrol yang pastinya akan mencecah RM5 seliter (seawal 2012).

%d bloggers like this: