4 March, 2009

Demokrasi Yang Hilang?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , , at 2:40 am by Ketua Perusuh

Kemelut Politik di Negeri Perak Darul Ridzuan berkemungkinan tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat. Malah usul yang diluluskan oleh DUN Perak yang bersidang pagi tadi nampaknya tidak mungkin akan diterima oleh pihak Barisan Nasional. Walau apa pun yang dicanangkan oleh media elektronik (tv dan radio) serta akhbar harian tempatan, ianya tidak sama sekali dapat memadamkan catatan sejarah yang mana memperlihatkan satu pihak (Pakatan Rakyat) yang bersedia meneruskan demokrasi di Malaysia dengan mengadakan sidang DUN tergempar seperti yang termaktub hak-haknya didalam Perlembagaan.

Pertama kali juga dalam sejarah Malaysia, kita dapat lihat bagaimana Mahkamah (badan kehakiman @ judiciary) dipergunakan untuk satu injunksi menyekat sidang DUN daripada diadakan. Untuk pengetahuan semua, injunksi ini akan menjadi satu “precedence” (duluan kes) yang mana boleh juga dipergunakan di lain masa oleh pihak Pakatan Rakyat untuk menyekat sidang Parlimen atau mana-mana DUN didalam Malaysia daripada bersidang. Lorongan sudah disediakan oleh pihak Barisan Nasional.

Pertama sekali juga didalam sejarah Malaysia (dan dunia), kita boleh lihat bagaimana seorang Speaker yang dituduh melakukan salahguna kuasa dan yang terlibat didalam membuat pertuduhan tersebut adalah pegawai yang sepatutnya mewakili Speaker bagi mana-mana kes mahkamah. Sebahagian pertuduhan daripada injunksi mahkamah yang Barisan Nasional menang petang tadi dibuat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh (Ridwan Ibrahim) pula telah menetapkan bahawa Speaker DUN Perak mestilah diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak bagi injunksi tersebut. Saya berasa amat pelik akan tindakan ini namun setelah berfikir panjang maka saya dapati ini semua adalah hasil dari meletakkan Ketua Hakim Negara (Zaki Azmi yang korup lagi bermasalah).

Kita juga dapat menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia (dan dunia) bahawa pihak pentadbiran bangunan DUN mengunci pintu pagar dan menyekat Wakil Rakyat untuk bersidang didalam Dewan yang Mulia. Tindakan ini amatlah tidak wajar dan diklasifikasikan sebagai menghina Dewan Undangan Negeri dan sesiapa yang memberikan arahan menutup dan mengunci pagar bangunan yang menempatkan DUN boleh dikenakan tindakan penjara dibawah undang-undang. Adakah mungkin pada satu masa nanti jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya didalam pilihanraya Malaysia dan seterusnya berhak untuk menerajui pentadbiran Malaysia, akan ada pihak yang membuat tindakan serupa dengan menutup bangunan Parlimen serta menguncinya?

Kita juga berjaya melihat bagaimana pihak Istana menikus dan berdiam diri bila rakyat jelata menuntut hak-hak mereka sepertimana yang termaktub didalam perlembagaan sesudah pihak Istana membuat keputusan yang tidak mengambil kira pandangan rakyat. Bayangkan bagaimana semua kerajaan dapat terus berkuasa jika tiada rakyat yang ingin bernaung dibawahnya. Walaupun dikhabarkan pihak Istana mempunyai kuasa dalam membuat pembubaran DUN atau tidak, namun kemelut yang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan bertitik-tolak daripada kekhilafan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (bekas Ketua Hakim Negara) mentafsirkan undang-undang tubuh Negeri Perak dan perlembagaan negeri.

Pihak Keselamatan (terutamanya PDRM @ Polis) diperkudakan sekali lagi oleh Barisan Nasional demi untuk membolehkan mereka mengekalkan kuasa. Walaupun adanya Akta Polis namun dari segi kuasa, Perlembagaan adalah satu kuasa yang utama. Secara otomatiknya adalah salah jika pihak Polis menyekat pihak yang berwajib daripada menjalankan hak-hak dan tuntutan Perlembagaan itu sendiri. Malah tindakan Ketua Polis Perak yang melangkaui kuasa Speaker DUN dalam sebab-sebab berkaitan dengan badan legislatif boleh dikenakan tindakan sama ada menghina DUN ataupun dibawah “Penal Code” yang membolehkan seseorang itu dipenjarakan. Pihak Polis sepatutnya dikerahkan untuk menangani isu keselamatan awam, namun kini merekalah juga yang tidak memberikan perasaan selamat kepada orang awam.

Dari apa yang dapat dilihat dan disimpulkan, demokrasi di Malaysia telah mati seawal pukul 10 pagi 3 haribulan Mac 2009 di Ipoh, Perak yang akan kekal dalam sejarah tanahair ini. Yang ujud ketika ini adalah kuasa “autokrasi” dan kuku besi yang sekaligus memperlihatkan bahawa Malaysia kini dipimpin oleh Diktator dan kuncu-kuncunya.

Marilah kita semua pendokong demokrasi membina sebanyak mungkin tugu (batu nisan) yang menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia telah hilang. Apa yang tinggal cuma sisa-sisa sejarah demokrasi yang malu rasanya untuk kita ceritakan kepada cucu-cicit kita dimasa akan datang. Bertitik tolak daripada kejadian hari ini, kita boleh lihat bahawa mungkin akan berlakunya beberapa helah yang kotor dibuat oleh Barisan Nasional bagi menunjukkan bahawa mereka mendapat sokongan rakyat pada pilihanraya kecil DUN Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau yang pastinya akan dimenangi oleh mereka dengan majoriti besar.

Bagi semua pendokong Pakatan Rakyat, saya berharap anda semua dapat bertenang dan tidak dengan mudah menerima provokasi daripada penyokong Barisan Nasional. Biarkan mereka menyalak, memaki hamun dan sebagainya kepada kita semua. Penyokong Barisan Nasional sememangnya lebih hina daripada khinzir yang memakan benda yang kotor, busuk dan rosak.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

%d bloggers like this: