30 June, 2008

Siapa Yang Kena?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 4:17 am by Ketua Perusuh

Nampak gayanya skrip lama diolah dan dikitar semua sekali lagi. Kalau dahulu skrip adalah lengkap dengan segala macam idea dan pelakon pembantu. Kini nampaknya skrip masih lagi caca-marba. Penulis skrip pun masih lagi meninjau-ninjau idea dan jalan cerita yang akan diolah mengikut keadaan.

Bila kita kenangkan kembali kes 1997 dahulu, mungkin kita boleh lihat ianya satu skrip yang mantap dan diolah dengan begitu sempurna sehinggakan ramai dikalangan “penonton” terpaku dengan tayangan yang dipertontonkan. Walaupun skrip tersebut mantap, namun akhirnya ada juga ruang-ruang ralat yang telah dikenalpasti dan seterusnya menyebabkan tayangan tersebut ditamatkan. Namun tayangan tersebut masih lagi kekal menjadi “box office”.

Kini kita diberi peluang untuk menonton satu lagi episod “sekuel” (sambungan) bagi tayangan tahun 1997 dahulu. Watak utama masih lagi melibatkan pelakon yang sama, namun beberapa watak sampingan baru telah ditampilkan untuk meninggikan “rating” tayangan ini. Skrip dan pengarahan pula berkemungkinan diolah oleh orang lain namun masih bersandarkan daripada skrip asal 1997.

Apa yang pasti, para “penonton” sedang mengagak-agak apakah kesudahan tayangan 2008 ini. Bagaimanakah ianya diolah? Siapakah pengarahnya? Adakah watak tambahan ini kekal atau akan ditambah bilangannya diseparuh masa kedua tayangan ini? Mungkinkah ada watak yang akan ditamatkan secara paksa?

Nampak gayanya para penerbit filem sama ada di Hollywood, Bollywood atau Greenwood perlu mengkaji skrip lakonan yang kini ditayangkan di Malaysia demi untuk mencari percambahan idea menerbitkan satu filem berskala mega untuk tayangan seluruh dunia. Bak kata orang muda-muda “Apa kelas skrip Telenovela Latin, Malaysia ada lebih dari itu”. Semua elemen ada tidak kira seks, pembunuhan, politik, rasuah, salahguna kuasa, perniagaan, perbankan, dendam dan pelbagai lagi. “Macam-macam ada”

Bayangkanlah skrip yang sedang ditayangkan ini lebih bersifat global melibatkan banyak negara seperti Singapura, Itali, Russia, Peranchis, Hong Kong/China, Mongolia, England, Amerika Syarikat, Libya, Iraq, Indonesia, Cayman Island, India, Switzerland, Israel, Arab Saudi, Jepun dan mungkin juga Thailand. Apa yang pasti tentu ramai pelakon tambahan diperlukan (warga negara asing) demi untuk menjayakan skrip bertahap “mega” ini.

Berapakah agaknya modal biaya untuk menerbitkan tayangan ini? Adakah lebih dari RM1 bilion? Siapakah yang akan untung dari tayangan ini? Bila agaknya tayangan ini akan ditamatkan? Akan adakah “sekuel” dimasa akan datang?

Walau bagaimana pun, kita rakyat biasa sudah agak bosan melihatkan idea skrip lama dijadikan tayangan umum. Kalau begini bagai mana industri filem di Malaysia akan dapat berkembang. Tolonglah jangan biarkan rakyat termuntah hijau melihatkan tayangan yang meloyakan ini. Hentikanlah. Buatlah satu tayangan yang lebih patriotik ataupun lebih mencambahkan minda rakyat. Jangan buat kami (rakyat) seperti patung. Kami (rakyat) semua yang mengeluarkan biaya membayar tayangan ini dalam bentuk cukai dan sebagainya. Jangan ingat kami (rakyat) semua bodoh.

Nampak gayanya semua hasil pemotongan subsidi minyak akan habis digunakan untuk menampung kos penerbitan tayangan “BANGANG” ini.

%d bloggers like this: