3 March, 2009

Bila Perut Menjadi Raja

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi tagged , , at 12:59 am by Ketua Perusuh

Krisis Perlembagaan di Negeri Perak Darul Ridzuan kini nampaknya semakin kusut. Ianya terlalu kusut sehinggakan adanya usul supaya Speaker DUN dikenakan tindakan. Bagaimana pula jika satu masa nanti Speaker Parlimen Malaysia juga diusul untuk dikenakan tindakan.

Tindakan kebudak-budakan yang dibuat menunjukkan bahawa Barisan Nasional semakin celaru arah. Malah tindakan menutup Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri pada hari ini (3 Mac 2009) adalah seperti tindakan membuang tiang gol oleh Manchester United apabila mereka semakin hampir menuju kekalahan dalam Liga Inggeris ketika perlawanan dengan Liverpool.

Mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh FIFA, gol hanya dikira jika ianya disumbatkan kedalam gawang gol, namun jika gawang tidak kelihatan (dibuang) maka tidak akan dikira gol walaupun bola tersebut melewati kawasan sebenar gol sepatutnya berada.

Kemelut di Perak ini semua berpunca apabila Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bertindak tidak membenarkan pembubaran DUN bagi membolehkan rakyat Perak membuat pilihan mereka sendiri. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebenarnya telah terkhilaf dalam mentafsirkan keperluan dan situasi sehinggakan baginda seakan diikat hidungnya oleh pihak-pihak tertentu.

Bagi para pembaca setia laman blog ini, anda pasti tentunya pernah membaca komentar saya mengenai siapakah dalang sebenar Kudeta di Negeri Perak Darul Ridzuan. Tidak lain tidak bukan semua rakyat Perak sedar bahawa Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sememangnya jauh hati bilamana Barisan Nasional kalah di Negeri Perak pada PRU12. Malah Mufti Perak telah disuruh untuk berbincang dengan Pakatan Rakyat (PAS) mengenai usaha untuk mengekalkan Barisan Nasional menguasai Perak dengan membuat kerajaan campuran UMNO dan PAS.

Tindakan berkepentingan peribadi (perniagaan dan hasil masyhul negeri) ini dapat dibaca oleh pimpinan Pakatan Rakyat yahg tetap bertegas bahawa mereka tidak akan membenarkan “perut menjadi raja” dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Akhirnya maka ujudlah Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Akan tetapi tindakan “Bila Perut Menjadi Raja” sememangnya menjadi darah daging sebilangan orang (di pihak istana mahupun dalam Barisan Nasional) sehinggakan mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti rakyat Perak telah menolak mereka, lalu mereka merancangkan satu KUDETA untuk merampas hak memerintah Perak.

“Bila Perut Menjadi Raja” maka semua tindakan tidak lagi bertunjangkan lunas undang-undang dan perlembagaan. Malah “bila perut menjadi raja”, pasukan keselamatan dan pentadbiran negeri (awam) pun akan diperkudakan demi memastikan kepentingan mereka. Rakyat dianggap sampah dan undang-undang pula dianggap hanyalah kertas kosong yang boleh ditulis kembali mengikut persepsi “perut”.

Telah terbukti sekarang ini didepan mata semua rakyat Perak “yang mana kaca, yang mana permata”. Bagi mana-mana rakyat Negeri Perak yang percaya undang-undang dan perlembagaan itu masih ujud dan relevan, ambillah tindakan untuk mengembalikan kuasa melantik pentadbir negeri kepada rakyat melalui pilihanraya. Jangan biarkan kumpulan manusia yang bertunjangkan “bila perut menjadi raja” melacurkan undang-undang dan perlembagaan untuk kepentingan mereka sendiri waima sekalipun yang melakukan itu seorang Raja atau Sultan.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

%d bloggers like this: