15 January, 2008

Jual, Jangan Tak Jual!

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 12:49 am by Ketua Perusuh

Malaysia Airline System (MAS) telah mengalami beberapa kerugian dalam perniagaannya. Malah nilai kerugiannya mencecah ratusan juta ringgit. Namun sebagai jalan singkat untuk menunjukkan sedikit keuntungan dalam penyata kewangan tahunan syarikat tersebut (MAS), pihak pengurusan telah mengambil satu jalan singkat untuk mengatasi kemelut kewangan tersebut. Jalan singkat ini kita boleh lihat dengan penjualan aset hartanah utama MAS yang berada didalam kawasan segitiga emas (Jalan Sultan Ismail) Kuala Lumpur.

Dengan penjualan aset utama ini (ibu pejabat MAS) maka penyata kewangan MAS dapat menunjukkan sedikit peningkatan dari segi keuntungan. Memanglan ianya sesuatu yang menguntungkan namun dari segi masa panjang ianya tidak berbaloi. Perusahan Otomobil Nasional (PROTON) pula pernah mencadangkan untuk menjual aset hartanah yang mereka miliki semata-mata untuk mendapatkan sedikit keuntungan agar penyata kewangan mereka juga menunjukkan aliran positif. Namun setakat ini ianya belum berlaku lagi atas desakan beberapa pihak yang prihatin.

Kini satu lagi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sedang berusaha untuk menyakinkan Kerajaan Malaysia agar membenarkan mereka menjual saham syarikat tersebut kepada pihak asing. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini mungkin tidak mempunyai aset hartanah yang besar sehinggakan mereka boleh menjualkannya agar membolehkan unjuran pendapatan mereka menunjukkan aliran positif, namun begitu nilai saham syarikat ini amatlah tidak wajar dijadikan pilihan kedua mereka untuk mendapatkan keuntungan.

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dimaksudkan ini adalah Bursa Malaysia. Bursa Malaysia adalah satu bursa yang tidak bergerak secara “independent” kerana Bursa Malaysia selalunya mengikut arah aliran pasaran serantau terutamanya Hang Seng dan STI.

Namun begitu tindakan yang mungkin diambil oleh Bursa Malaysia dengan menjual sahamnya kepada pihak asing amatlah tidak patriotik dan boleh menyebabkan Bursa Malaysia terdedah dengan spekulatif dan mainan pasaran oleh pihak asing. Setakat ini belum pernah kita mendengar mana-mana Bursa saham negara serantau yang dijual kepentingan sahamnya kepada pihak ketiga atas dasar keselamatan.

Episod kejatuhan dan manipulatif saham yang berlaku pada 1985 dan 1997 perlulah diambil iktibar oleh semua pihak. Kesan yang timbul dari dua insiden ini hampir-hampir melumpuhkan institusi kewangan dan perniagaan tempatan. Jika pihak Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi mengambil tindakan membenarkan penjualan saham Bursa Malaysia kepada pihak ketiga, kemungkinan besar negara kita akan mengalami beberapa kesan spekulatif terhadap pasaran yang sekaligus mungkin akan meranapkan ekonomi negara.

Beberapa sumber dalaman memberitahu bahawa terdapat beberapa pihak yang menjadi proksi negara tertentu sedang bersedia membida pembelian saham Bursa Malaysia pada satu nilai yang agak besar. Dan usaha ini khabarnya dimainkan oleh beberapa pihak tertentu didalam Malaysia yang ingin mengaut keuntungan segera.

Sebagai satu negara yang bebas dan berdaulat, amatlah tidak wajar sekiranya Bursa Malaysia (BSKL) dijual kepentingan sahamnya kepada pihak asing. Dan jika ianya berlaku maka kita pastinya tidak akan dapat mengawal kesan langsung daripada mana-mana spekulatif pasaran yang berniat untuk menjajah negara ini (Malaysia) dengan menggunakan kuasa modal.

Abdullah Ahmad Badawi sememangnya bukan seorang yang mahir dalam selok belok perniagaan dan pentadbiran, namun sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan, maka sewajarnya beliau tidak membenarkan penjualan saham Bursa Malaysia kepada pihak asing. Akan tetapi kita (warga Malaysia) akan amat musykil sekiranya Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu langsung atas perkara ini.

Dan jika Abdullah Ahmad Badawi membenarkan penjualan saham Bursa Malaysia ini, maka wajarlah kita melabelkan beliau sebagai satu pengkhianat negara (dimana hukuman paling wajar untuk pengkhianat negara adalah dihukum tembak sampai mati).

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berpakat untuk tidak membenarkan penjualan saham Bursa Malaysia kepada pihak asing ataupun pihak tempatan yang menjadi proksi kepada pihak asing. Biarlah Bursa Malaysia bergerak sebagai satu entiti tempatan selamanya demi untuk menyelamatkannya daripada kesan spekulatif kuasa asing pada bila-bila masa.

%d bloggers like this: