7 January, 2008

Harga Petrol, Naik Atau Tidak?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:47 am by Ketua Perusuh

Kadang-kadang kita boleh ketawa besar bilamana setiap ramalan yang kita buat menjadi kenyataan. Walaupun ramalan tidak sepatutnya dibuat namun sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari membuat beberapa ramalan. Tahun 2008 ini penuh dengan ramalan-ramalan yang muluk-muluk belaka. Namun jangan lupa ada juga ramalan-ramalan yang mungkin perit untuk kita hadamkan.

Diawal ambang 2008, ramai yang menjangkakan bahawa harga petrol dan diesel akan dinaikkan oleh pihak Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co. Malah telah ada cakap-cakap peringkat tinggi yang menunjukkan kecenderungan kearah meningkatkan harga minyak petrol dan diesel seiring dengan kenaikan harga bahan bakar tersebut dipasaran dunia.

Pada 2 Januari 2008, harga minyak mentah dunia telah cecah paras tertinggi USD$100 setong. Bila kita nilaikan USD$100 setong ini pada Ringgit Malaysia, kita dapati ianya mencecah RM350 setong. Maka bukanlah terlalu mahal harga minyak mentah ini. Namun jangan terpedaya kerana harga ini hanyalah untuk minyak yang belum diproses.

Umum sedia maklum bahawa minyak petrol yang kita gunakan untuk kegunaan kenderaan kita selama ini adalah hasil daripada minyak yang diproses dari minyak mentah yang kita beli dari Timur Tengah. Minyak hasil daripada pelantar minyak (lapangan minyak) tempatan pula kita jual kepada negara asing kerana minyak yang kita miliki adalah berkualiti tinggi (rendah kandungan sulfurnya) berbanding dengan minyak dari Indonesia dan Thailand.

Jadi sewajarnya harga minyak yang kita jual kepada negara asing adalah lebih tinggi daripada harga minyak yang kita beli dari Timur Tengah. Namun itulah keuntungan kasar yang diperolehi oleh Petronas sebagai pemegang monopoli pasaran minyak di Malaysia.

Kini berbalik kepada persoalan utama iaitu adakah harga petrol dan diesel tempatan akan dinaikkan oleh pihak Kerajaan Malaysia setaraf dengan harga minyak mentah dipasaran dunia. Ramai diantara kita yang beranggapan kerajaan Malaysia akan menaikkan harga bahan bakar ini seberapa segera.

Pandangan ini saya bantah kerana;

Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co memang tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel dalam jangkamasa yang terdekat ini kerana ianya akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat lebih dari 10% walaupun kenaikan harga bahan bakar ini tidak mencecah 2%.

Abdullah Ahmad Badawi tidak akan menaikkan harga bahan bakar ini sehingga selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun 2008 kerana elemen Pilihanraya Umum yang memungkinkan Barisan Nasional akan kecundang lebih dari 45% kawasan mereka jika Kerajaan Malaysia bertindak menaikkan harga bahan bakar.

Oleh yang demikian, adalah dijangkakan bahawa harga minyak petrol dan diesel serta barangan keperluan dan perkhidmatan tidak akan dinaikkan sebelum Pilihanraya Umum dijalankan. Namun jika keputusan Pilihanraya Umum menyebelahi Barisan Nasional dengan mandat yang besar maka kemungkinan harga petrol dan diesel pastinya akan dinaikkan lebih dari 10%.

Jangan terkejut jika anda dapati bahawa kenaikan harga petrol boleh mencecah RM2.60 sebelum suku kedua tahun 2009. Jadi kepada semua, apa kata kita gunakan basikal dan papan lungsur (skate board) sebagai medium pengangkutan kita seharian. Ianya boleh menyihatkan badan dan seterusnya boleh menyelamatkan alam sekitar daripada bahaya “Global Warming” dan efek rumah hijau.

%d bloggers like this: