31 July, 2007

NCER

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 1:17 am by Ketua Perusuh

Umum sedia mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co sedang rancak mempromosikan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara). Setiap malam di semua stesen televisyen sejak awal bulan Julai ada memaparkan isu NCER ini. Malah boleh dikatakan semua yang muluk-muluk belaka dihidangkan untuk tatapan umum agar NCER dipandang elok oleh semua rakyat.

NCER pada dasarnya memanglah satu inisiatif pembangunan ekonomi yang baik sementelah dengan pergerakan Rancangan Malaysia Kesembilan yang sepatutnya memangkinkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan lebih dari 30%. Namun banyak teka-teki mengenai NCER yang bermain difikiran saya ketika ini. Bukanlah tujuan saya menulis komentar ini untuk merendahkah (discredit) pembangunan NCER, cuma sekadar untuk memberikan satu pandangan alternatif terhadap NCER. Itupun jika pembaca dapat memahami isi komentar saya ini.

Semalam sewaktu menonton Buletin Utama (waktu saya makan malam bersama keluarga), saya hampir tersedak kerana terkejut akan nilai pelaburan yang diperlukan oleh NCER. Sebelum ini saya ada menulis mengenai kemungkinan nilai pelaburan bagi NCER yang mencecah ratusan bilion ringgit. Nampaknya kemungkinan tersebut menjadi asas kepada pelaburan NCER.

Persoalan pertama yang bermain diminda saya ketika itu ialah bagaimana pihak kerajaan dapat menyediakan modal untuk membiayai pelaburan tersebut. Dikatakan bahawa pihak kerajaan akan menyediakan 1/3 daripada nilai pelaburan tersebut.

Jika dilihat dari kedudukan kewangan sedia ada, adalah mustahil kerajaan mampu untuk menyediakan modal untuk pelaburan tersebut. Ini kerana pada masa yang sama WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) juga sedang giat dibangunkan. WPI juga memerlukan satu peruntukan pelaburan yang besar dari pihak kerajaan. Jika kita mencampurkan kedua-dua kos koridor tersebut yang akan ditanggung oleh Kerajaan Malaysia, ianya pasti mencecah nilai ratusan bilion ringgit.

Setiap tahun apabila Kerajaan Malaysia memperincikan belanjawan negara (bajet), kita akan dapat lihat bahawa Kerajaan Malaysia hanya mampu menjanakan kewangan pada sekitar 30 ~ 80 bilion ringgit itupun setelah dikira sekali royalti dari industri minyak dan gas. Nilai ini belum ditolak dari segala macam belanja pengurusan dan sebagainya. Oleh yang demikian dari manakah modal untuk dua koridor tersebut dapat dikenalpasti.

Persoalan kedua yang bermain difikiran saya ialah mengenai kesan sosio ekonomi terhadap penduduk dikawasan NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara). Apa yang pasti ianya akan meningkatkan kos sara hidup pada jangka masa panjang bagi semua penduduk dikawasan tersebut. Nilai hartanah dijangka akan meningkat. Oleh yang demikian, pastinya ada penduduk (terutamanya bumiputera dan melayu) yang akan menjual tanah mereka demi untuk mengaut keuntungan dengan kadar segera.

Umum mengetahui bahawa Koridor Utara ini mempunyai banyak tanah yang masih dimiliki oleh bumiputera dan melayu. Malah terlalu banyak tanah rezab Melayu yang ada dikawasan ini. Yang pasti akan ada beberapa inisiatif daripada pihak swasta (atau agen asing) yang akan membeli dan seterusnya menguasai tanah tersebut. Ini akan menyebabkan orang Melayu khususnya yang akan menjadi mangsa dan seterusnya terpinggir sepertimana yang berlaku di WPI, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kemungkinan tanah-tanah ini akan dibeli oleh Sime Darby Berhad adalah tinggi. Sime Darby Berhad pula adalah satu entiti dalam Synergy Drive yang dikenalpasti sedang dalam proses pembelian kepentingan oleh pihak Temasek Group melalui beberapa proksi yang dikenalpasti. Persoalan kenapa Sime Darby diberikan kuasa mutlak untuk membangunkan NCER juga menimbulkan tanda tanya. Kenapa perlu Sime Darby Berhad menguasai NCER sedangkan bukankah lebih baik ianya diberikan kepada Synergy Drive secara langsung. Atau ianya adalah sebahagian daripada perancangan untuk mengaburi mata rakyat.

Persoalan ketiga yang bermain difikiran saya adalah bagaimana mungkin kita membangunkan NCER sedangkan pada masa yang sama banyak syarikat bertaraf multinasional yang melabur di Pulau Pinang sedang dan telah bersedia untuk berpindah keluar dari Pulau Pinang atas sebab kos pengeluaran yang meningkat dan iklim pelaburan yang tidak menyenangkan. Syarikat-syarikat ini kebanyakannya terlibat dalam industri elektronik dan kini menumpukan untuk memindahkan sayap organisasi mereka ke negara lain seperti Thailand, China, Taiwan dan Vietnam.

Jika pelabur sedia ada di kawasan NCER telah dan bersedia untuk berpindah, bagaimana kita dapat memastikan ianya tidak akan berlaku. Antara perkara yang disuarakan oleh syarikat tersebut adalah seperti kos penggajian yang tinggi, karenah birokrasi dan imigresen, kadar cukai dan insentif serta kos logistik. Apakah tindakan pantas yang akan dilakukan NCER untuk memastikan pelaburan asing ini tidak berpindah keluar dari Malaysia?

Banyak lagi perkara yang lain yang bermain difikiran saya, namun apa yang pastinya saya ingin melihat NCER ditadbir dengan baik oleh Malaysia dan tidak sama sekali terjual dalam senyap kepada pihak asing seperti Temasek Group. Tapi dari pemerhatian saya, saya dapati kemungkinan besar NCER akan menjadi seperti WPI adalah tinggi.

Akhir kata, adakah penubuhan NCER sebenarnya adalah sebagai pengalih minda rakyat akan isu WPI yang pastinya terjual secara terang-terangan kepada Singapura melalui sayap pelaburan mereka iaitu Temasek Group? Saya pasti NCER cuma “mind diversion” bagi kes WPI.

Kita tungu dan lihat.

6 Comments »

  1. Buyong said,

    macam main-main aje nampaknya pengumuman demi pengumuman, berbillion2, yang dibuat. Kita andaikan dulu semua ni benar belaka ………maka kita sedang berada dipuncak dunia!!! Tapi kalau menyimpang ditengah jalan, elok baca sajak Dato Ron!

  2. Sheik ali said,

    Saya berpandangan bahawa segala perancangan pembambangunan bandar dan wilayah mempunyai kesan yang mendalam kepada pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut. Ianya sangat baik kepada para penduduk kawasan terbabit, yang mana tahu apa yang harus dilakukan dalam tempuh perancangan itu, cuma pada pAda pendapat saya perancangan pembandaran ini harus dibuat 20 tahun lepas.

    sya yang benar
    Sr. Sheik Ali

  3. Tumbi Umbi said,

    Umumlah…apa nak dihairankan cakap saja. Tapi buat tak semestinya.
    Kita jangan lupa dulu nak bagi buku teks free lepas tu tarik balik. Apa kah semua ni….lakonan Pak Lah.

    Satu hari seorang tua datang ke Kelantan, dia complaint, dia tentang keretapi dan stesen keretapi buruk di Kelantan. Jawapan saya dia tak ingat yang buat landasan dan stesen tu British dulu. Kita merdeka dah 50 tahun tapi keretapi di Kelantan dan pantai timur masih lagi warisan British. Jika British tak buat gamaknya tak adalah keretapi di Kelantan. Terbukti sampai sekarang Terengganu tak ada keretapi. Hasil minyaknya diguna oleh kroni-kroni UMNO. Hasilnya rakyat Terengganu mampu melihat sahaja, buat bangunan banyak-banyak, masjid semua untuk kroni UMNO.

    Lepas ni Pak Lah Umum Wilay Ekonomi Wilayah Timur pulak…selepas 2025. Dia aka kata wilayah timur tidak maju. Macam mana nak maju jika semua projek menghala ke sebelah Selangor, Wilayah dan sedikit di lain-lain negeri di pantai barat.

    Inilah hasilnya apabila pemimpin yang dipilih tidak boleh ditegur dan diajar oleh rakyat.

  4. pena tajam said,

    Ape lar komen yang korang bagi tu..actually NCER tu byk faedah… cuba lar lihat dari segi positif…korang ni sumenyer asal dari mana..? kala ader yg datang dari kedah & perlis cube ler lihat nasib mak ayah kita yang tinggal di kampung sedangkan kita merantau di bandar2 besar spt KL dan jarang balik tgk mereka…cube bygkan kalau taraf hidup dibwh projek NCER ni dapat ditingkatkan bukan kah mudah untuk kita tidak pergi merantau dan boleh bersama dgn keluarga…
    FIKIRKAN LAH…..
    Saya menyokong penubuhan NCER dan ttg Sime Darby Berhad untuk dibeli oleh Temasik Group dr S’pura tu bukan lah isu yang benar hanya propaganda sahaja …tiada sykt Malaysia akan dijual kpd Singapura…Setelah 50tahun kita Merdeka ingat senang ke nak jual sykt Malaysia ke megara lain…FIKIRKAN LAH……

    okey lah…FIKIRKAN LAH….

  5. Terima kasih atas komentar saudara/i semua.

    Saya memang menyetujui penubuhan NCER sepertimana yang telah saya tuliskan dalam komentar saya diatas, namun persoalan-persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh Kementerian Kewangan yang merisaukan saya.

    Pena Tajam,

    Pandangan anda memang saya terima, namun pembangunan perlulah seimbang dan menepati semua sasaran. Malah NCER sepatutnya tidak hanya menumpukan kepada golongan yang kaya (yang mana pastinya akan mengaut untung berlebihan atas pembangunan NCER). NCER juga diharapkan tidak akan menjadi “Menang Sorak Kampung Tergadai” kepada semua masyarakat kampung terutamanya orang Melayu.

    Mengenai pandangan anda bahawa tiada syarikat Malaysia yang terjual kepada asing, anda boleh lihat beberapa contoh ini,

    1. Maxis Berhad
    2. Westport
    3. Proton
    4. Pantai Holding

    dan banyak lagi… anda boleh semak semua akhbar harian Malaysia sejak dari tahun 2003 lagi.

  6. napy8gen said,

    saya setuju benda ni utk mengalih perhatian umum dr masalah WPI sekarang dan saya juga setuju dgn logik yg saudara bentangkan..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: