24 July, 2007

Operasi Lalang 3 (Ops Blogger)

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 11:08 am by Ketua Perusuh

Kesibukan dalam seminggu dua ini menyebabkan saya tidak mempunyai masa terluang untuk menulis komentar saya berkenaan isu-isu dalaman negara sama ada yang berkaitan dengan ekonomi, korporat, legislatif dan eksekutif. Walaupun begitu saya masih berkesempatan melihat dan membaca isu-isu yang dilontarkan sama ada di media cetak atau elektronik.

Kesibukan menguruskan perniagaan serta khidmat rundingcara menjadikan saya kesempitan waktu. Tapi atas dasar ingin memperjuangkan hak rakyat serta hak warganegara, saya terpaksa mengambil sedikit waktu untuk menulis.

Beberapa hari lepas seorang blogger tempatan telah ditangkap oleh pihak PDRM atas Akta Rahsia Rasmi. Selepas itu satu laporan polis telah dibuat kepada sebuah lagi laman blog politik (Malaysia Today). Mungkin lepas ini saya pula akan dijadikan sasaran. Kita tunggu dan lihat.

Persoalannya, memang dari satu segi, PDRM berhak untuk membuat siasatan jika terdapat laporan polis yang dibuat serta jika boleh dalam pada masa yang sama pihak polis boleh membuat tangkapan reman untuk memudahkan siasatan. Namun ini tidak bermakna pihak polis boleh membuat tangkapan sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh.

Anda berhak untuk mendapatkan khidmat guaman apabila anda ditangkap oleh polis. Anda juga berhak untuk tidak menjawab mana-mana soalan polis terhadap anda jika anda tidak mendapat akses kepada khidmat guaman. Anda juga berhak mendapatkan kepastian atas tuduhan yang dikenakan keatas anda. Malah anda berhak meminta untuk tidak digari (jika tujuan tangkapan keatas anda cuma atas arahan membantu siasatan semata-mata). Anda juga berhak untuk membuat panggilan telefon kepada peguam anda dan juga kepada ahli keluarga anda pada masa tangkapan dilakukan. Pihak Polis mestilah memaklumkan kepada ahli keluarga anda mengenai situasi anda.

Oleh yang demikian, dari apa yang saya lihat berlaku dalam seminggu dua ini lebih menjurus kepada tindakan tangkap muat (tanpa bukti kukuh – sekadar “hearsay” sahaja) telah dilakukan oleh pihak polis. Kecelaruan pihak polis menjalankan tugasan serta arahan tangkap memperlihatkan sikap tidak professional polis. Malah ada beberapa senator serta ahli Parlimen yang memperlihatkan kelemahan serta kekurang tahap akademik yang mereka miliki.

Malah senator dan ahli Parlimen ini dilihat bercakap tanpa membuat kajian mendalam sehinggakan ujudnya ucapan “jenayah siber” yang kononnya dilakukan oleh pihak yang dituduh (Nat dan Raja Petra). Adakah senator dan ahli Parlimen ini mengetahui akan makna asal “jenayah siber”? Jika mereka tidak tahu, saya ingin nasihatkan kepada mereka agar mendapatkan maklumat yang lebih lanjut serta lengkap dari mana-mana IPTA atau “GOOGLE”.

Berbalik kepada tajuk diatas, apa yang saya lihat adalah tindakan yang telah dilakukan oleh pihak polis seumpama satu operasi yang pernah dilakukan pada tahun 1987 dahulu yang dikenali sebagai Operasi Lalang (27 October 1987). Ianya dilakukan adalah untuk mengekang maklumat penting sampai kepada orang awam. Malah tindakan ini diyakini hanyalah sebagai satu usaha untuk memastikan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan mendatang.

Jika ianya benar berlaku (Operasi Lalang 3) maka anda akan dapat lihat berbondong-bondong blogger dan yang seangkatan dengannya ditangkap dan dipaksa menghuni beberapa lokasi tahanan politik terutamanya di Kamunting, Taiping. Jangan terkejut jika anda dapat menyaksikan bahawa episod ini akan menjadi tatapan harian kita dalam masa yang terdekat ini.

Malah beberapa tindakan susulan sedang dalam pelan kajian dan akan dilaksanakan oleh pihak Bukit Aman dalam usaha mengekang maklumat bocor kepada awam dan menggugat kepimpinan kerajaan sedia ada dan seterusnya melondehkan seluar beberapa pimpinan besar dalam Barisan Nasional.

Jangan pula anda terkejut jika tiba-tiba episod seperti Al-Maunah ditayangkan dimuka semua akhbar dalam sedikit masa lagi. Apa yang pasti, semua tindakan nampaknya tidak lagi bersandarkan kepada realiti tetapi lebih kepada untuk memastikan kepentingan dan pengukuhan kekuasaan Barisan Nasional terhadap negara Malaysia.

Kepada blogger yang menulis artikel yang melawan arus, anda perlu bersedia dengan pelan tindakan (Pelan B) sekiranya pihak PDRM datang melawat anda bila-bila masa sahaja. Kepada pihak PDRM, pastikanlah anda jangan menjadi pak turut yang diperbodohkan oleh mereka-mereka yang berada ditampuk kuasa. Kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sila gunakan akal fikiran anda yang waras dan bukannya menurut perintah membabi-buta semata-mata.

Akhir kata, semoga Malaysia berjaya dan bebas dari semua korupsi, kronisma, nepotisma serta salah guna kuasa dalam semua segi. Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang maju dari sudut ekonomi, kepimpinan dan akhlak.

Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia Yang Kelima Puluh. Merdeka-Merdeka-Merdeka.

5 Comments »

  1. […] BBC dalam laporannya mengatakan bahawa ini adalah satu “crackdown” kepada blogger di Malaysia. Sila klik disini. Husam Musa mengatakan yang kerajaan BN mahu “membersihkan” segala unsur media alternatif sebelum pilihanraya umum ke 12. Ketua Perusuh mengatakan bahawa ini adalah Operasi Lalang ke 3. Sila klik disini. […]

  2. Ramasamy said,

    What is happening to this country and its leaders? The ruling government promised not to censor the internet including ponography which is widely available at the click of the mouse. Then why bloggers should be censored? Does bloggers commit a more serious offense by writing their personal views online then those submitting ponography in the net. Mass media is blocked by the ruling government with gag orders but technology had its advances and Malaysians are an educated lot who make use of the net to make their views known. Sorry Malaysia, you are in a sorry state.

  3. Terima kasih atas komentar saudara/i.

    Jika Kerajaan Malaysia beroperasi secara telus, jujur dan amanah, tentunya para “bloggers” akan kurang mengkritik melalui blog. Namun kritik adalah perlu sebagai satu bentuk “check and balance” yang diperlukan dalam semua negara yang mengamalkan demokrasi.

  4. FarishFarhan said,

    Saya turut berdoa semoga rakyat malaysia diberi kekuatan untuk bertahan menghadapi tekanan dari pemerintah yang belum memahami pentingnya sebuah kritikan untuk kemajuan bangsa malaysia sendiri terutama dalam hal mengamalkan demokrasi.Semoga para Blogger yang tulus ini tetap diberi kekuatan untuk selalu menulis dan memberikan sumbangannya untuk semua rakyat malaysia di jagat maya ini.

  5. muxisme said,

    jika ditahan, itu adalah ujian.
    drp ujian, kita kembali dekat kpd tuhan.
    ingatlah perjuangan para anbiya`,sahabat dan pejuang terdahulu.
    hanya kpd Allah swt tempat kita bergantung harap.
    Allah swt akan sentiasa memperkenankan doa orang-orang yang dizalimi.
    Doa adalah senjata mukmin.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: