02.02.09
Strategi Tahi Kucing?
Kali ini saya ingin memberikan sedikit pandangan peribadi saya mengenai isu yang khabarnya sedang menggegarkan suasana politik di Negeri kelahiran saya iaitu Perak Darul Ridzuan.
Beberapa hari yang lepas, kita dapati Adun Bota telah pun bertindak keluar dari Parti UMNO dan menganggotai PKR. Alasan yang diberikan olehnya adalah kerana UMNO telah lari dari perjuangan asal.
Kini Adun Behrang dan Changkat Jering dari Parti PKR khabarnya berminat untuk menganggotai UMNO. Malah usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan kedua-dua Adun PKR ini dapat diserap kedalam UMNO demi untuk menguatkan bilangan keanggotaan supaya UMNO (BN) dapat menguasai dan mengambilalih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri di Perak.
Khabarnya juga terdapat imbuhan tumbuk rusuk yang lebih dari 7 angka ditawarkan kepada pihak-pihak tertentu oleh pihak yang mempunyai jumlah wang tumbuk rusuk yang besar. Ini semua kita sedia maklum. Wang bukanlah halangan bagi pihak ini kerana mereka mempunyai terlalu banyak wang hasil salahguna kuasa sekian lama.
Tindakan melompat parti ini pada pandangan saya amatlah tidak bermoral dan wajar ditentang (atau dihukum). Malah sewajarnya rakyat (para pengundi dikawasan DUN atau PARLIMEN) yang melompat parti perlu mengambil tindakan memulaukan ataupun mendakwa pihak yang melompat parti ini sebagai “Breach Of Contract” dengan rakyat hasil daripada kertas undi pada pilihanraya.
Oleh yang demikian, ingin saya syorkan agar semua pihak yang melompat parti supaya mengosongkan kerusi yang diduduki agar satu pilihanraya kecil boleh dijalankan supaya mandat rakyat diutamakan.
Rakyat Malaysia perlu memulakan satu “proceding case” bagi tujuan memaksa Perlembagaan dan Parlimen meminda Akta SPR agar membolehkan setiap wakil rakyat yang melompat parti digugurkan kerusinya dan satu pilihanraya kecil diadakan.
Ini boleh dilakukan dengan satu pungutan suara rakyat yang sahih dan boleh diaudit. Ianya hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah agar tindakan segera boleh diambil oleh SPR yang akhirnya menetapkan bahawa bagi setiap kes Wakil Rakyat melompat parti, perlulah dikosongkan kerusi yang diduduki.
Dengan ini saya mencadangkan agar semua rakyat (tanpa mengira parti politik yang mereka anggotai) bersama-sama berusaha memastikan bahawa dimulakan satu pungutan suara rakyat bagi membatalkan kerusi yang disandang oleh mana-mana Wakil Rakyat yang melompat parti agar membolehkan pilihanraya kecil diadakan.
Mandat kerusi Wakil Rakyat perlulah dikembalikan kepada rakyat. Ayuh kita segerakan pungutan suara ini.
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS
