02.26.09
Laporan Polis?
Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa pada dasarnya saya amat bersetuju jika mana-mana aduan untuk mana-mana pihak dibuat dan disiasat oleh Polis. Namun pihak Polis perlulah lebih professional dengan tidak membuat siasatan terpilih atas mana-mana aduan ini.
Sebagai contoh jika seorang petani membuat aduan mengenai JKKK yang disyaki melakukan salahguna kuasa, maka perlulah pihak Polis membuat siasatan walaupun pihak JKKK tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Polis sekalipun.
Amatlah tidak wajar sekiranya pihak Polis tidak mengambil tindakan untuk membuat siasatan mahupun tangkapan hanya kerana JKKK tersebut adalah saudara kepada Ketua Polis. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa terdapatnya unsur-unsur siasatan terpilih yang boleh juga diklasifikasikan sebagai satu salahguna kuasa.
Namun apa yang kita semua sedia maklum, pihak Polis di Malaysia sememangnya senantiasa melakukan siasatan terpilih. Sejak bertahun kita sendiri boleh lihat bahawa jika ada mana-mana aduan atau laporan yang berkait dengan pihak yang berkuasa, maka biasanya pihak Polis tidak akan memulakan apa-apa siasatan walaupun berlori-lori aduan dan laporan polis dibuat di merata tempat.
Malah kita boleh melihat senario ini menjadi tidak terkawal sejak akhir-akhir ini hanya kerana pihak Polis ditekan oleh pemerintah. Sepatutnya pihak polis berkecuali dalam segala hal, namun demi kepentingan beberapa pihak (didalam ataupun diluar institusi Polis itu sendiri) maka ianya menjadi semakin parah.
Dalam seminggu dua ini kita boleh lihat beratus-ratus laporan Polis yang dibuat oleh beberapa pihak (tidak kira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang), namun laporan Polis yang dibuat oleh pihak Pembangkang nyatanya tidak diambil tindakan oleh pihak Polis ataupun sengaja dilengah-lengahkan. Akan tetapi jika terdapatnya laporan Polis yang dibuat oleh parti pemerintah, maka dengan pantasnya pihak Polis akan mengambil tindakan.
Walaupun sesetengah laporan Polis tersebut tidak wajar disiasat atas kapasiti pengasingan kuasa (seperti contoh laporan Polis terhadap Speaker DUN Perak). Disini kita wajar mempersoalkan status kuasa yang ada pada pihak Polis yang membolehkan mereka menyiasat setiap keputusan muktamad yang dibuat oleh mana-mana Speaker DUN/Parlimen.
Mengikut perlembagaan Malaysia, status Speaker mana-mana DUN/Parlimen adalah kebal dari mana-mana tindakan sivil atau jenayah bagi setiap urusan atau keputusan yang berkaitan dengan DUN/Parlimen. begitu juga mana-mana Ahli DUN/Parlimen semasa sidang DUN/Parlimen. Speaker DUN/Parlimen adalah dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh ditahan, didakwa atau dipenjara sama ada melalui prosiding sivil atau jenayah bagi semua Negara Komanwel
Oleh yang demikian, tindakan Polis yang menyiasat Speaker DUN Perak berasaskan kepada laporan Polis yang dibuat oleh agen-agen Barisan Nasional adalah bersalahan dengan kuasa yang ada padanya. Jika pihak Polis dibenarkan berterusan membuat siasatan keatas kuasa Speaker, maka tidak mustahil sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia akan runtuh.
Tindakan pihak Polis ini sebenarnya boleh dicabar di Mahkamah atas dasar mencabuli hak-hak dan status dalam Perlembangaan Malaysia. Perkara yang sama juga boleh dilakukan terhadap SPRM (dahulunya dikenali sebagai BPR) yang khabarnya sedang menyiasat keputusan Speaker DUN Perak. Tindakan Polis dan SPRM ini nampaknya seperti mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kuasa “absolute” kepada Speaker DUN/Parlimen dalam membuat keputusan yang dikira muktamad.
Jika ini dibenarkan berterusan dilakukan (Siasatan Polis dan SPRM terhadap Speaker), maka sudah pastinya selepas ini kita boleh lihat akan ada banyak lagi laporan polis terhadap keputusan Speaker di DUN-DUN yang lain ataupun Parlimen. Namun jika siasatan terpilih dilakukan (hanya terhadap Speaker DUN/Parlimen dari pihak Pakatan Rakyat), maka sewajarnya kita (Rakyat Malaysia yang prihatin) mengambil tindakan menyaman ataupun membubarkan sahaja PDRM dan SPRM.
Bola ada dikaki semua rakyat Malaysia yang prihatin.
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS
02.24.09
Besar Kepala?
Nampaknya makin hari makin ramai wakil rakyat kita (yang mengumumkan menjadi Wakil Rakyat Bebas) mengeluarkan pandangan mereka yang jauh berbeza dengan majoriti rakyat yang diwakilinya. Kalau dulu sebelum ini wakil rakyat tersebut mendapat kerusi yang didudukinya daripada beberapa parti politik yang berdaftar namun kini mereka telah tidak sehaluan dengan parti politik tersebut.
Malah ada terdapat Wakil Rakyat Bebas (menang atas tiket parti politik) yang bertindak “Lebih kuah daripada sudu”, “Gunting didalam lipatan”, “Kacang lupakan kulit” dan “Melepaskan anjing tersepit”.
Penyakit “Besar Kepala” yang dihidapi oleh Wakil Rakyat Bebas ini adalah kerana mereka merasakan kemenangan mereka dahulu didalam pilihanraya adalah atas kapasiti serta pengaruh mereka dan bukannya dari undi-undi penyokong parti politik yang memberikan mereka tiket untuk bertanding dahulu.
Jika benar Wakil Rakyat Bebas ini berpengaruh dikalangan rakyat yang diwakilinya, adalah lebih wajar (dan bermaruah) jika sekiranya mereka meletakkan jawatan mereka dan seterusnya dilakukan satu pilihanraya kecil semula ataupun diadakan satu pungutan suara bagi rakyat yang diwakilinya.
Itu pun jika beliau berani mempertaruhkan reputasi dan pengaruhnya. Persoalannya sekarang ini ialah adakah beliau mempunyai pengaruh seperti yang beliau rasakan masih ada itu ataupun ianya sekadar penyedap hatinya sendiri?
Kepada Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Pasir Mas), Osman Jailu (ADUN Changkat Jering), Jamaluddin Radzi (ADUN Behrang) dan Hee Yit Fong (Adun Jelapang), sila buat satu pungutan suara atau letak sahaja jawatan anda supaya rakyat dikawasan anda dapat menentukan status (pengaruh) anda.
Jika anda tidak berani untuk melakukan salah satu daripada perkara yang saya sebutkan diatas, maka anda sebenarnya tidak layak untuk menjadi Wakil Rakyat kerana sebenarnya anda cuma adalah Wakil Diri Anda sendiri. Anda juga sewajarnya tidak layak (walau satu sen pun) untuk menerima elaun sebagai Wakil Rakyat kerana wang elaun itu datangnya daripada cukai yang dikutip daripada rakyat.
Jika anda masih lagi menerima wang elaun Wakil Rakyat tersebut, maka anda sebenarnya memakan wang haram (iaitu tidak diizinkan oleh rakyat yang anda wakili). Ingin saya tegaskan sekali lagi iaitu anda tidak berhak untuk menerima apa-apa imbuhan sebagai Wakil Rakyat selagi mana anda tidak mewakili rakyat dikawasan anda.
02.12.09
Bila Penyamun Berkuasa
Abdullah Ahmad Badawi nampaknya masih lagi tidak mahu sedar (atau pun sengaja tidak mahu sedar) bahawa setiap tindakan yang beliau lakukan mengundang seribu satu masalah dikemudian hari. Tindakan terkini beliau iaitu melantik Ketua Hakim Negara (Zaki Azmi) sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah tidak bertepatan.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah satu suruhanjaya yang mempunyai kuasa penuh untuk melantik hakim-hakim (setelah merampas kuasa ini daripada Majlis Raja-Raja Melayu) bagi semua cabang mahkamah di Malaysia.
Zaki Azmi terkenal sebagai satu hakim yang tidak sewajarnya menjadi Ketua Hakim Negara kerana terdapatnya kes-kes peribadi beliau yang jelek. Malah tindakan beliau melepaskan tertuduh bagi kes rogol kanak-kanak sehingga mati oleh pengawal keselamatan sub-stesen TNB di Johor juga menjadi perdebatan didalam dunia perundangan.
Cara beliau naik dari peguam jalanan biasa (peguam UMNO) sehingga kepada menjadi Ketua Hakim Negara juga dipertikaikan oleh banyak pihak. Kini beliau diberikan satu kuasa mutlak yang membolehkannya menempatkan lebih ramai hakim-hakim yang korup, rasuah dan mempunyai salahlaku menjadi Ketua Hakim dalam cabang-cabang Mahkamah Malaysia.
Sewajarnya pelantikan Zaki Azmi ini ditolak oleh semua rakyat yang memandang tinggi institusi perundangan dan kehakiman. Jika dibiarkan seorang penyamun (menjadi hakim) dan kemudian berkuasa pula melantik rakan-rakan sejenayahnya menjadi Hakim-Hakim juga, maka bersedialah kita untuk melihat kehancuran keluhuran dan integriti institusi perundangan dan kehakiman di Malaysia.
Sebagai rakyat yang perihatin, adalah sewajarnya kita semua menolak pelantikan Zaki Azmi ini demi kepentingan rakyat dan institusi kehakiman itu sendiri. Marilah kita semua bersama-sama membuat tindakan (gerak utama) untuk membatalkan perlantikan ini.
