09.29.08
Jalan Jalan Hujung Minggu
Pastinya ramai dikalangan warga Malaysia yang berasal dari Semenanjung Malaysia tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki mereka ke Sabah atau Sarawak. Kalau ada yang pernah pergi ke Sabah atau Sarawak, pastinya mereka akan dapat melihat perbezaan yang nyata di dua negeri (berstatus negara sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963) dari segi sosio ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
Sabah dan Sarawak walaupun telah lama bersama dalam Malaysia, namun kemudahan infrastruktur mereka adalah ditahap yang amat menyedihkan. Kita hanya dapat melihat kemudahan infrastruktuk yang agak baik hanya tertumpu dikawasan bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Seri Aman, Sibu, Kota Kinabalu, Kudat dan sebagainya namun hampir 70% kawasan lain di Sabah dan Sarawak masih lagi jauh daripada pembangunan.
Barisan Nasional telah lama memegang tampuk kuasa di kedua-dua negeri ini namun nampaknya tidak perubahan yang dilakukan oleh mereka melainkan semua hasil masyhul bumi tercinta ini dikeringkan untuk memenuhkan poket mereka dan rakan taulan mereka.
Malah terdapat ramai pemimpin Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang acapkali mempergunakan undang-undang dan POLIS demi untuk memastikan bahawa semua keuntungan dari hasil bumi mengalir ke akaun bank pemimpin tersebut. Tanah adat dan tanah asal kaum pribumi sewenang-wenangnya ditukarmilik kepada mereka malah pembalakan haram yang dilakukan oleh mereka ini terlepas pandang oleh badan penguatkuasa.
Kaum Penan dan lain-lainnya telah menjadi mangsa atas sikap rakus yang ditunjukkan oleh para pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroni mereka. Mungkin satu masa dahulu maklumat mengenai salahguna kuasa oleh para pemimpin Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak tidak sampai kepengetahuan media namun kini kita boleh mendapatkannya di semua media alternatif.
Kepada rakyat Sabah dan Sarawak, apakah yang anda semua tunggu lagi? Adakah anda mahu menunggu sehingga licin dan gondol tanah subur Sabah dan Sarawak dikerjakan oleh para pemimpin Barisan Nasional dan kroni mereka?
Setelah lebih 45 tahun bersama dalam Malaysia, masih tidak ada perubahan lagi yang boleh dibanggakan. Malah jalanraya dari Kudat ke Kota Kinabalu masih lagi berstatus jalan kampung (satu lorong sebelah) walhal sewajarnya sudah ada satu lebuh raya yang menyambungkan dua bandar utama ini. Jarak perjalanan empat (4) jam menaiki kereta dari Kudat ke Kota Kinabalu sewajarnya boleh disingkatkan kepada dua (2) jam atau kurang.
Begitu juga di Sarawak yang masih tidak dilengkapi dengan jaluran landasan keretapi yang baik walhal jika diperbuat satu landasan keretapi berkembar yang boleh menyambungkan Bandar Pontianak di Kalimantan dengan Kuching dan seterusnya disambungkan ke Bandar Seri Begawan serta melalui Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan berakhir di Semporna tentulah lebih baik. Ianya secara tidak langsung mampu mengubah landskap sosio ekonomi dan pembangunan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh keretapi tersebut.
Saya telah lama mencadangkan bahawa sewajarnya diujudkan satu sistem landasan keretapi rentas borneo yang diseiringkan dengan satu jalinan lebuhraya “Trans Borneo” yang mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) lorong sepertimana yang kita boleh lihat pada projek Lebuhraya Utara-Selatan. Kemudahan perubatan seperti pembinaan Hospital dan klinik awam perlu juga diperbanyakkan dan akses kepadanya perlu diberi perhatian.
Rakyat Sabah dan Sarawak berhak untuk mendapat kemudahan infrastruktur yang baik dan teratur kerana telah lama menyumbang pemerolehan kepada Kerajaan Barisan Nasional. Dalam senario politik semasa yang sedang hangat diperbincangkan dewasa ini, saya rasakan amat bertepatan jika semua warga Sabah dan Sarawak menuntut hak mereka daripada Barisan Nasional. Jika Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia mengambil sikap menutup telinga dari mendengar rintihan rakyat di Sabah dan Sarawak, adalah wajar dijatuhkan sahaja pimpinan Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang sedia ada dalam Pilihanraya Negeri yang akan datang tidak lama lagi.
“Kearah Malaysia Baru” dan “Selamat Menyambut Aidilfitri“
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS
09.28.08
Nak Cakap Salah Tak Cakap Salah!
Pertama sekali ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan menghiraukan apa komen pembaca terhadap setiap artikel yang saya terbitkan. Sebab adalah menjadi hak semua orang untuk memberikan komen. Ada komen yang baik, ada pula yang mengancam malah ada pula yang menghina. Setiap pembaca berhak untuk memberikan komen mereka dan sebagai seorang yang mengamalkan “Free Speech” saya membenarkan ianya dilakukan diblog saya.
Satu perkara yang saya nampak semakin hari semakin menjadi-jadi berlaku didalam Pakatan Rakyat adalah bilamana ramai dikalangan anggotanya yang semakin condong untuk bersikap seperti Barisan Nasional. Penuh dengan hasad dengki, khianat, korup, rasuah, meminta-minta malah ada yang lebih teruk perangainya daripada ahli Barisan Nasional.
Boleh dikatakan saban hari saya dihujani pertanyaan mengenai sikap, perangai dan tindakan ahli Pakatan rakyat yang khabarnya menyeleweng dari matlamat asal. Bukan setakat ahli diperingkat bawahan namun ada maklumat yang sampai ketangan saya menunjukkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang teruk menyeleweng.
Sikap sebegini secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat akan menjadi goyah jika tidak diambil peduli oleh Pimpinan Atasan Pakatan Rakyat. Yang paling ditakuti adalah terdapat juga beberapa pimpinan tertinggi yang bersikap lebih teruk dari pemimpin peringkat bahagian Barisan Nasional.
Budaya rasuah dan meminta projek telah dikhabarkan menular sehingga keparas yang boleh dikatakan teruk. Ingin saya nasihatkan anda supaya cepat-cepat berubah sebelum saya paparkan nama-nama anda dilaman ini. Saya tahu jika saya dedahkan nama-nama ini tentunya akan ada para penyokong mereka ini yang akan melenting dan seterusnya akan menuduh saya berniat untuk menjatuhkan mereka.
Demi Allah, Tuhan Semesta Alam, saya tidak berniat untuk menjatuhkan anda melainkan anda sendiri yang sebenarnya meletakkan diri anda ditebing jurang kebinasaan. Sebelum Pakatan Rakyat ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia, adalah lebih baik anda dijatuhkan terlebih dahulu.
Kepada Pemimpin Pakatan Rakyat diperingkat atasan, sila gunakan akal dan ilmu sebelum mengeluarkan arahan, tindakan serta komentar sama ada di media tempatan atau luar negara. Jika tidak semakin hari semakin banyak kerosakan yang akan anda lakukan (seperti contoh apa yang Teressa Kok lakukan) yang secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan rakyat berubah.
Kepada Anwar Ibrahim, sila nyatakan fakta serta dokumentasi untuk menyokong setiap idea atau ucapan anda terutamanya mengenai kemasukan FDI ke Malaysia (sebanyak 1 Trilion) jika anda ingin terus mendapat sokongan dari ramai para professional tempatan.
“Kearah Malaysia Baru“
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS
09.23.08
Inilah Masanya?
Beberapa pihak yang kini sedang bersaing untuk mengambilalih tampuk kuasa yang utama didalam UMNO kini nampaknya sedang berusaha untuk menunjukkan taring mereka. Walaupun ramai yang menjangkakan bahawa Abdullah Ahmad Badawi hanya disaingi oleh Najib Razak dan Tengku Razaleigh, namun dalam diam khabarnya beberapa lagi nama khabarnya sedang melobi diperingkat akar umbi untuk mendapatkan pencalonan yang cukup agar boleh mencabar kuasa Abdullah Ahmad Badawi.
Walaupun mesyuarat bahagian UMNO masih belum dilaksanakan, namun beberapa pelobi telah mula berjumpa (bermesyuarat) dengan akar umbi untuk memastikan bahawa tuan mereka berjaya mendapat pencalonan yang cukup. Agen-agen pelobi Muhyidin Yassin diberitakan telah mula menggerakkan aktiviti sejak dua minggu ini.
Ramai dikalangan akar umbi mungkin tidak mengetahui bahawa gerakan untuk memastikan Abdullah Ahmad Badawi menang besar dan kekal ditampuk kuasa telah pun digerakkan seawal bulan Februari 2008 dan kini khabarnya ianya sedang memasuki fasa ketiga dimana imbuhan-imbuhan sedang diagih-agihkan kepada cawangan dan bahagian yang terlibat.
Nilai imbuhan yang diberikan kali ini agak besar yang menjangkau lebih lima angka bagi setiap penerima. Imbuhan kali ini nampaknya tidak mampu dikesan oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana ianya beredar di akaun luar negara. Bagi para pelobi, nilai imbuhan ini adalah kecil berbanding dengan jika Abdullah Ahmad Badawi dapat terus mengekalkan kuasa memerintah. Secara tepat peralihan kuasa ini mungkin tidak akan terjadi kerana ramai pelobi telah mengeluarkan dana yang besar untuk memastikan Abdullah Ahmad Badawi kekal.
Bagi para pelobi Abdullah Ahmad Badawi, bantuan kewangan untuk memastikan imbuhan boleh terus disediakan tidak perlu digusarkan kerana ianya telah dan akan disalurkan melalui beberapa entiti yang telah ditugaskan dimana dalang disebalik penyediaan dana ini adalah dari Singapura.
Hasil maklumat dipihak akar umbi, peratusan ahli UMNO yang menolak Abdullah Ahmad Badawi kini mencecah 60% namun ianya boleh berubah sebelum Persidangan UMNO yang akan datang. Mengikut kajian para pelobi Abdullah Ahmad Badawi akan berjaya menurunkan peratusan ini kepada sekitar 40% ~ 45% dengan kemampuan dana yang sedia ada. Namun dengan tambahan dana imbuhan untuk kegunaan lobi, kemungkinan peratusan ini akan kekal dibawah 30% adalah lebih tinggi.
Jadi jika Abdullah Ahmad Badawi ingin terus membuktikan bahawa beliau masih realistik dalam memimpin UMNO, beliau perlulah mengambil tindakan proaktif dalam usaha lobi disegenap peringkat. Masanya semakin singkat dan Abdullah Ahmad Badawi masih perlu menyekat Najib Razak, Tengku Razaleigh dan Muhyiddin Yassin dari merentap tampuk kekuasaan beliau.
Jika Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat mengekalkan kuasa, bagaimana pula Singapura ingin mendapat laba? Najib Razak, Tengku Razaleigh bukan proksi Singapura. Singapura hanya boleh mengharapkan kepada Muhyiddin Yassin sahaja.
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS
