03.29.08
Masihkah Ada Maruah?
22 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (rata-ratanya ahli UMNO) pernah menegaskan bahawa mereka akan memboikot majlis perlantikan dan angkat sumpah MB Terengganu jika bukan Idris Jusoh yang dilantik. Malah mereka mengugut mahu meletak jawatan kerana kononnya bersetia dengan kepimpinan Idris Jusoh.
Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid telah menjadi jurucakap dan ketua bagi kumpulan ADUN yang bertelagah ini. Malah merekalah juga yang beriya-iya membantah malah menderhaka kepada Paduka Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) yang melalui Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) membuat keputusan melantik Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu.
Malah tindakan mereka ini dilihat telah mendapat sokongan Abdullah Ahmad Badawi dan juga Peguam Negara Malaysia (Abdul Gani Patail) menyebabkan mereka berasa besar kepala sehingga ada dikalangan penyokong mereka telah terang-terangan mempamerkan kain rentang yang bersifat fitnah dan menghina.
Kini setelah Abdullah Ahmad Badawi dipanggil mengadap YDP Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, maka dikhabarkan pula melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) bahawa MT UMNO telah menerima keputusan YDP Agong itu. Hasilnya 22 ADUN Terengganu tersebut nampaknya telah berubah sikap dan kini menerima keputusan Istana dalam menentukan jawatan Menteri Besar Terengganu ini.
Apa yang dapat disimpulkan dari episod ini adalah sikap “Mulut Tiada Insuran” dan “Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya” yang dilakukan oleh pimpinan UMNO disegenap peringkat yang rata-rata menghina dan boleh diklasifikasikan menderhaka Raja. Umum mengetahui bahawa biasanya orang Melayu tidak akan menderhaka kepada Rajanya namun UMNO telah membuktikan bahawa merekalah Raja yang sebenarnya dan mereka boleh (mendapat lesen besar) menghina Raja Yang Berdaulat.
Kini rakyat Terengganu rata-rata sedang menunggu tindakan 22 ADUN BN Terengganu untuk beramai-ramai meletak jawatan ADUN mereka bagi melunaskan apa yang pernah mereka katakan. Itupun kalau mereka (22 ADUN Terengganu) berani atau ada “TELUR” dalam melaksanakan motto yang mereka pernah gunakan pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu “Bukan Cakap, Kami Buat”
Tapi apa yang pastinya kesemua 22 ADUN Terengganu ini yang diketuai oleh Rosol Wahid memang terkenal sebagai pengecut dan “TIADA TELUR” malah selalu “Cakap Tak Serupa Bikin”. Kalau beginilah sikap mereka ini, maka pada pandangan saya adalah sia-sia sahaja rakyat Terengganu mengundi mereka pada PRU12 dahulu. ADUN sebegini memang hanya tahu mementingkan “perut” mereka sahaja dan tidak akan ambil peduli rakyat yang telah memilih mereka.
Oleh itu disini ingin saya cabar kesemua 22 ADUN Terengganu tersebut beserta Idris Jusoh supaya meletak jawatan dengan kadar segera supaya anda semua tidak akan dilabel selamanya sebagai orang yang “TIADA TELUR“.
Eksperimen 2008
Menteri Pelajaran Malaysia masih dikekalkan kepada pundak Hishamuddin Hussein. Setelah memenangi kerusi parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) di Johor (dinegeri yang biasanya kalau kita letak seketul berhala berlambang Barisan Nasional @ BN pun pastinya akan menang) beliau diangkat menjadi Menteri Pelajaran sekali lagi.
Hishamuddin Hussein memang terkenal sebagai orang yang mudah berubah pendirian (seperti sesumpah) hanya untuk memastikan beliau mengekalkan kuasa, malah banyak pihak telah memberikan pelbagai gelaran kepada beliau. Beliau juga dikenalpasti mudah dipergunakan oleh isterinya untuk kepentingan peribadi dan rakan-rakan isterinya. Malah ianya bukan lagi rahsia bilamana pelbagai arahan (yang selalunya berbaur kepentingan) datang dari pejabat Menteri Pelajaran terus kepada bahagian pertadbiran dan pengurusan Kementerian Pelajaran.
Semenjak Hishamuddin Hussein menduduki kerusi Menteri Pelajaran, kita dapat lihat beberapa eksperimen yang tidak matang telah dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan dijayakan oleh pelbagai “balachi” di Kementerian tersebut. Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana idea Sekolah Kluster dicadangkan dan dilaksanakan tanpa ada apa-apa kajian mendalam terhadapnya terlebih dahulu. Malah tiada input yang pernah diminta dari kalangan ibubapa mengenai idea Sekolah Kluster dan ramai guru-guru yang terpinga-pinga akan apakah sebenarnya Sekolah Kluster.
Kita juga boleh lihat eksperimen yang nyata tidak menepati kehendak pendidikan nasional seperti penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang akhirnya telah menjadikan ramai pelajar kita yang makin bertambah kurang pengetahuan dalam ketiga-tiga subjek tersebut. Saya nasihatkan semua pihak agar meluangkan masa melawat dan perhatikan mana-mana sekolah diluar bandar terutamanya dikawasan nelayan yang rata-rata murid-muridnya kurang mampu untuk belajar Sains dan Matematik didalam Bahasa Inggeris. Saya telah pergi melawat lebih dari 30 sekolah dan saya dapati idea ini tidak mampu dijayakan dikalangan pelajar terutamannya Melayu dan Orang Asli. Oleh itu saya masih lagi berpegang kepada pengajaran Sains dan Matematik sewajarnya dikendalikan dalam bahasa ibunda para pelajar untuk memantapkan lagi ilmu mereka.
Malah isu melambakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) didalam cabang pendidikan juga tidak mengambilkira pandangan dan teguran warga pendidik dan pentadbir institusi pendidikan. Dan tindakan seperti menukarkan perkataan “YURAN” kepada “PAKEJ A, B dan C” semata-mata untuk memastikan kata-kata Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan bahawa pada tahun 2008 yuran sekolah dimansuhkan menampakkan ketidakmatangan pentadbiran Kementerian Pelajaran. Tindakan menipu inilah yang menjadi barah bertahap kronik kepada sistem pendidikan negara. Walaupun ramai dikalangan pegawai atasan di Kementerian Pelajaran terdiri daripada kalangan bekas guru dan pentadbir sekolah yang berkelulusan tinggi, namun idea “bangang” yang datang dari Menteri Pelajaran (Hishamuddin Hussein) masih lagi ditatang dan dijunjung dengan penuh hormat.
Ini menunjukkan bahawa telah hilang sikap kritis dan elemen kajian mendalam dari hati dan kepala para pegawai di Kementerian Pelajaran. Malah ianya juga menampakkan sikap berlepas tangan dan “mandom” yang ketara dikalangan pegawai di Kementerian Pelajaran.
Kita juga pernah mendengar cadangan bertahap “bangang” yang dikemukakan oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk memulakan persekolahan satu sesi (waktu persekolahan dipanjangkan sehingga pukul 5) sedangkan umum mengetahui bahawa prasarana sekolah tidak mampu memenuhi cadangan tersebut. Cadangan Abdullah Ahmad Badawi (bukan seorang yang dikenali sebagai intelek) ini cepat-cepat mendapat sokongan Hishamuddin Hussein walaupun rakyat sedia maklum bahawa tiada sebarang kajian mendalam pernah dibuat mengenai cadangan tersebut.
Bagi mana-mana pihak yang percaya ianya boleh dilakukan (sekolah satu sesi) disini saya unjurkan anda membuat kajian ilmiah dan terperinci disebuah sekolah di pinggir Bandaraya Shah Alam iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang yang mana bilangan murid-muridnya adalah paling ramai bagi sebuah sekolah sepertinya di Malaysia. Dengan kapasiti murid lebih dari 45 orang murid bagi satu-satu kelas tentunya idea sekolah satu sesi tidak mungkin boleh dijalankan disini. Buatlah lawatan dan kaji sendiri. Jangan jadi tunggul kayu dan percaya bulat-bulat idea “tergesa-gesa” Abdullah Ahmad Badawi ini.
Semenjak lebih 40 tahun kita dapat lihat beberapa eksperimen dilakukan kepada sistem pendidikan kita yang hampir kesemuanya gagal dan tidak mendapat respon yang baik darinya. Malah eksperimen ini lebih bertujuan untuk menguntungkan beberapa pihak yang rapat dengan Menteri Pelajaran @ Pendidikan dan mengabaikan kepentingan kepada para pelajar. Sudah lebih 40 tahun tiada satu suruhanjaya atau penyata awam yang ditubuhkan untuk mengkaji mana-mana cadangan eksperimen pada para pelajar peringkat rendah, menengah mahupun tinggi.
Apa yang ada cuma keputusan segera yang tidak mencapai kehendak “konsensus” dalam ertikata sebenarnya. Kini dengan berkuasanya Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Pelajaran sekali lagi, kita semua boleh andaikan terdapat beberapa eksperiment berskala besar bermula pada tahun 2008 yang pastinya tidak akan dapat meningkatkan tahap pelajaran, pendidikan, sahsiah dan sebagainya seperti yang kita kehendaki.
Sebagai bapa dan bekas pelajar, maka saya amat berharap agar eksperimen 2008 dan seterusnya tidaklah dilakukan tergesa-gesa demi keuntungan kewangan dan politik Menteri Pelajaran (Hishamuddin Hussein) dan juak-juaknya. Jika ianya masih lagi dilakukan tanpa kajian mendalam maka kesan buruk yang akan didapati akan kekal dan tidak mampu diperbaiki dimasa akan datang. Jelas beberapa eksperimen yang telah, sedang dan akan dilakukan menyebabkan sistem pendidikan negara tidak dapat bergerak pada landasan yang betul. Semuanya seperti peribahasa “seperti tikus membaiki labu”.
Kepada para pengawai di Kementerian Pelajaran, sila buka minda dan hati anda bilamana terdapat cadangan dari pihak Menteri Pelajaran dan juak-juaknya demi untuk kepentingan para pelajar semua. Janganlah anda semua menjadi pengecut (bacul) yang biasanya dikaitkan dengan “pondan”. Hidupkan kembali pandangan kritis setiap kali anda menjalankan tugas anda sebagai kakitangan Kerajaan Malaysia. Ingatlah bahawa anda bekerja dengan Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia dan bukannya dengan Barisan Nasional.
