03.27.08
Strategi Ahmad Said?
Waktu makan tengahari adalah satu waktu yang paling saya suka bila mana saya dapat berjumpa dengan ramai rakan-rakan yang “satu kepala”. Maklumlah waktu ini sahaja tiada fahaman politik dapat memisahkan rakan taulan dan sahabat handai. Tidak kira pro pembangkang mahupun pro kerajaan, semuanya boleh duduk semeja sambil bergelak ketawa waktu menjamah hidangan.
Tengahari tadi saya dapat berjumpa dengan enam orang rakan (berlainan fahaman politik) dan bersama-sama makan nasi kandar ala penang. Memang sedap makan kari kepala ikan dengan papadam. Bukan selalu dapat makan nasi kandar, paling banyak cuma sekali seminggu.
Baiklah berbalik kepada tajuk komentar saya kali ini, ianya berkisar kepada perbincangan bersama rakan-rakan waktu makan tengahari tadi. Dari apa yang saya dapat simpulkan rata-rata rakan-rakan saya bersetuju akan satu hujah berkaitan dengan strategi Ahmad Said dalam meneruskan kepimpinan beliau di jawatan Menteri Besar Terengganu.
Hujah yang saya ingin terangkan disini adalah datangnya dari tiga orang rakan saya (seorang Ahli UMNO, seorang Ahli DAP, seorang lagi Ahli PAS).
Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu pastinya akan dicabar (undi tidak percaya) pada sidang dewan undangan negeri (DUN) bilamana ianya berlangsung kelak. Namun sebagai seorang Menteri Besar beliau mempunyai kuasa untuk menempatkan sebilangan wakil rakyat (ADUN) menjadi ahli EXCO Kerajaan Negeri Terengganu.
Dikhabarkan seramai 22 (tidak termasuk Idris Jusoh) telah bertindak tidak mahu menyokong beliau (Ahmad Said) dan bersetia dengan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.
Oleh yang demikian sebelum sidang DUN dijalankan Ahmad Said boleh pada bila-bila masa mengumumkan senarai Ahli EXCO yang dikehendaki oleh beliau. Mengikut undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, bilangan Ahli EXCO yang diperuntukkan hanyalah 10 orang. Maka jika 10 jawatan ini diberikan kepada 22 orang ADUN BN yang bersetia kepada Idris Jusoh maknanya hanya tinggal 12 orang sahaja yang pasti akan kekal dengan Idris Jusoh.
Katakanlah satu jawatan Timbalan Menteri Besar diujudkan, maka tentulah berkurangan seorang lagi penyokong Idris Jusoh menjadikannya cuma 11 orang sahaja. Ahmad Said pula boleh melantik 2 orang lagi sebagai Speaker dan Timbalan Speaker DUN dari kalangan ADUN yang masih lagi bersetia dengan Idris Jusoh. Dengan ini maka yang tinggal cuma 9 orang sahaja tidak termasuk Idris Jusoh.
Oleh yang demikian, pastinya Ahmad Said akan mendapat sokongan majoriti ADUN BN (UMNO) sebelum persidangan DUN Negeri Terengganu dijalankan. Dengan ini maka tindakan undi tidak percaya yang mungkin anda dan saya jangkakan akan terjadi, tidak akan terjadi sama sekali kerana Idris Jusoh tidak mendapat mandat majoriti ADUN.
Bagaimana ini boleh berlaku. Jangan terkejut bahawa semua ini boleh berlaku kerana ADUN-ADUN BN (UMNO) biasanya “kelapaq” jawatan, pangkat dan wang. Maka jika mereka ditawarkan jawatan, pangkat dan wang pastinya bila-bila masa sahaja mereka boleh berubah fikiran dan ber”baiah” dengan ketua yang baru.
Apa yang ada pada Idris Jusoh dan tidak ada pada Ahmad Said? Memang Abdullah Ahmad Badawi amat suka jika Idris Jusoh menjadi MB Terengganu, tapi apa yang Abdullah Ahmad Badawi boleh buat. Kuasa negeri terletak kepada Sultan dan diwakilkan kepada MPPR. Kuasa Persekutuan tidak boleh melangkaui apa yang diperuntukkan kepadanya.
Kini Ahmad Said dan juak-juaknya pasti boleh bergelak ketawa mengenangkan nasib Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam dalam kemelut Menteri Besar Terengganu.
Walau apa pun, kita amat berharap agar Ahmad Said berubah dan tidak menjadi lebih teruk dari perangai dan feel Idris Jusoh dalam mentadbir Negeri Terengganu. Ingat, bahawa rakyat Terengganu dan Sultan memerhatikan apa sahaja yang anda lakukan.
