03.22.08
Beli, Jangan Tak Beli!
Murah sungguh maruah dan harga diri ramai dikalangan bakal wakil rakyat atau wakil rakyat yang terpilih. Ada yang semurah RM500 ribu, ada yang RM1 juta. Malah kini harganya dikatakan bernilai mencecah RM10 juta. Banyak sungguh wang yang berlegar-legar mencari mangsa (untuk dibeli maruahnya).
Katakanlah ada yang berjaya dibeli dengan harga RM10 juta, bagaimanakah pemindahan wang itu dilakukan. Adakah ianya menggunakan akaun bank dalam negara atau ianya melalui satu akaun bank asing (mungkin bank yang beroperasi di Cayman Island, Belize atau Switzerland). Apa yang pasti pemindahan wang sebanyak itu sepatutnya boleh dikesan jika melalui bank dalam Malaysia. Namun jika melalui negara asing, tentunya agak sukar mengesan “transaksi” tersebut.
Kalaupun wakil rakyat tersebut dibeli, tentulah akan berlaku episod “berpaling tadah” wakil rakyat tersebut. Susah untuk melihat wakil rakyat yang telah dibeli (maruahnya oleh syaitan) tidak melakukan tindakan berpaling tadah. Jika wang sudah diterima dan tiada tindakan berpaling tadah dilakukan, maka biasanya nyawa jadi taruhan. Itulah akibatnya berpakat dengan syaitan.
Tidak kira siapa pun yang melakukan pembelian wakil rakyat, saya tidak bersetuju. Ini kerana semua ini adalah contoh-contoh tindakan yang boleh mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Malah tindakan membeli wakil rakyat ini (walau apa pun tujuannya) seumpama tindakan syaitan yang membeli roh dan jiwa manusia. Adakah anda mahu menjadi syaitan? Kalau itulah pilihan anda, teruskanlah.
Pada pandangan saya, barangsiapa yang melakukan rasuah (walau bagaimana bentuknya) maka merekalah wakil kepada syaitan dimuka bumi ini. Jika tindakan ini dilakukan oleh Azzazil (Lucifer) kita semua pasti akan mengutuknya, harapnya begitu juga jika ianya dilakukan oleh orang-orang tertentu.
Ini kerana orang yang menjual maruah dirinya tidak sesuai dijadikan pemimpin begitu juga dengan orang yang membuat pembelian. Kedua-duanya memang menjadi hamba syaitan dan yang layak bagi mereka adalah menjadi bahan bakar api neraka jahanam.
Kesimpulannya disini ialah saya amat berharap bahawa tidak akan berlaku episod pembelian wakil rakyat dilakukan oleh mana-mana pihak didalam gagasan Barisan Rakyat. Jika ada maka saya pastinya akan “mufaraqah” dengan gagasan Barisan Rakyat dan saya akan menjadikan Barisan Rakyat sebagai musuh nombor dua saya selepas Barisan Nasional.
“JANGAN JADI SYAITAN”
