03.20.08
Berpaling Tadah?
Kedengaran khabar-khabar angin mengatakan bahawa beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak (Komponen Barisan Nasional) telah bersedia untuk berpaling tadah. Malah boleh dikatakan ianya mungkin disebabkan beberapa sentimen. Satu daripada sentimen tersebut adalah isu jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang sewajarnya mereka terima (atas sebab mereka memberikan 54 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional).
Namun apa yang boleh diperkatakan kini adalah tindakan Abdullah Ahmad Badawi yang sebenarnya menjerat dirinya sendiri dengan senarai ahli kabinet baru yang telah diumumkan oleh beliau. Dari senarai tersebut amat kecil bilangan wakil dari Sabah dan Sarawak yang mendapat tempat dalam kabinet. Ini sekaligus menyemarakkan lagi perasaan tidak puas hati Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Jika inilah caranya Abdullah Ahmad Badawi menghargai sokongan dan mandat dari Sabah dan Sarawak, maka tidak mustahil wakil dari Sabah dan Sarawak ini akan berpaling tadah dan menyertai gabungan Barisan Rakyat. Jika ini berlaku maka tamatlah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.
Rakyat di Sabah dan Sarawak terkenal amat patriotik malah sanggup bersama-sama susah dan senang dalam pembentukan Malaysia. Namun sehingga kini Sabah dan Sarawak boleh dikatakan dianaktirikan dalam pelan pembangunan. Malah Koridor Pembangunan yang dicadangkan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya lebih memberi peluang dan menguntungkan orang luar. Setelah hampir 50 tahun Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian dari Malaysia, namun pembangunan masih tidak berjalan pada paras yang dikehendaki.
Memanglah kita boleh salahkan kepada pembelot-pembelot di Sabah atau Sarawak sendiri yang menjadi lintah darat menghisap kemewahan hasil bumi dan negeri, namun Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan proaktif menaiktarafkan infrastruktur, pembangunan dan sebagainya di Sabah dan Sarawak.
Apa yang diperlukan oleh Sabah dan Sarawak kini adalah satu Kerajaan Pusat yang boleh memberikan bantuan dan sokongan dalam usaha Sabah dan Sarawak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh itu jika Kerajaan Pusat sedia ada tidak mampu untuk memberikan atau menunaikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, adalah tidak mustahil rakyat Sabah dan Sarawak akan mengarahkan Ahli Parlimen mereka berpaling tadah dan bersama-sama dengan gagasan Barisan Rakyat demi untuk perubahan.
Kiranya Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak berpaling tadah dan memilih untuk bersama-sama dengan Barisan Rakyat, wajarlah semua ahli gabungan gagasan Barisan Rakyat memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka dan pastikan Sabah dan Sarawak tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan dan ekonomi. Tindakan berpaling tadah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak wajarlah tidak dijadikan isu besar kerana apa yang mereka lakukan adalah demi untuk kepentingan rakyat dan negeri mereka.
