03.17.08
Mahu Selamat?
Ada banyak cara untuk Abdullah Ahmad Badawi selamat dalam situasi sekarang ini dan terus menjadi Perdana Menteri Malaysia. Cuma tindakan yang akan saya senaraikan dibawah ini boleh dikatakan sebagai pengecut malah boleh menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia.
Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk membuat satu lelucon kepada Abdullah Ahmad Badawi, namun sebagai rakyat yang dipimpin, saya berhak mengunjurkan satu laluan untuk Abdullah Ahmad Badawi. Pandangan peribadi saya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi (kepimpinan haprak) masih lagi tidak berubah.
Berbalik kepada tajuk komentar kali ini maka saya perturunkan beberapa cadangan kepada Abdullah Ahmad Badawi.
1. Beri jawatan menteri kepada mana-mana pihak yang lantang mengkritik Abdullah Ahmad Badawi (contoh: Mukriz diberi jawatan Menteri Penerangan atau Menteri Pelajaran atau Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan). Dengan cara ini ianya dapat menutup mulut mereka-mereka ini.
2. Jangan lantik Khairy Jamaluddin sebagai menteri. Cukuplah hanya sebagai setiausaha politik di Jabatan Perdana Menteri sahaja. Lebih selamat kalau Khairy Jamaluddin kekal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO sahaja. Atau boleh juga lantik Khairy Jamaluddin sebagai duta di Kuwait.
3. Lantik lebih ramai kaum India menganggotai kabinet.
4. Lantik juga ramai wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.
5. Kurangkan harga minyak sebanyak RM0.05 buat permulaan dan kemudian kurangkan lagi pada hujung tahun ini.
6. Gunakan mana-mana fail korupsi, salahguna kuasa dan sebagainya dari Badan Pencegah Rasuah untuk mengugut mana-mana ahli UMNO atau Barisan Nasional supaya tidak menggugat kuasa Perdana Menteri.
7. Gunakan media untuk melaga-lagakan antara pimpinan lain dalam UMNO atau Barisan Nasional sehingga ahli lupa akan masalah yang melanda Perdana Menteri.
8. Gunakan Akta Hasutan, OSA serta ISA kepada semua yang membantah atau menyeru Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
9. Gunakan POLIS dan FRU untuk menghalang mana-mana pimpinan dalam UMNO atau Barisan Nasional daripada menganjurkan apa-apa majlis, perhimpunan atau lain-lainnya.
10. Tunjukkan sikap berbaik-baik dengan Barisan Rakyat.
Sebenarnya banyak lagi cara yang boleh Abdullah Ahmad Badawi gunakan untuk menyelamatkan diri beliau dari jatuh atau dijatuhkan oleh mana-mana pihak sama ada dalam UMNO atau Barisan Nasional.
Cara paling terbaik adalah dengan meletakkan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) kali ini kepada bahu Pengerusi SPR. Dengan cara ini pastinya semua pihak akan menuding jari dan menyalahkan Pengerusi SPR. Ini sekaligus dapat menyelamatkan Abdullah Ahmad Badawi dari dipersalahkan.
Namun, kalau Allah S.W.T berkehendakkan Abdullah Ahmad Badawi tidak menjadi Perdana Menteri, tiada apa yang dapat melengah-lengahkannya. “Sayonara Buat Abdullah Ahmad Badawi”
