03.15.08

Belum Pun 100 Hari

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:27 am by Ketua Perusuh

Barisan Rakyat adalah satu gagasan besar yang dicita-citakan oleh rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa kekayaan dan kemakmuran negara dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira pangkat, agama, keturunan mahupun bangsa. Rata-rata rakyat yang membuat pilihan terbaik pada Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) kali ini mahukan gagasan Barisan Rakyat ini berjaya.

Namun dari apa yang boleh dilihat pada Barisan Rakyat adalah belum pun 100 hari berjaya memerintah empat (4) negeri baru dan satu (1) Wilayah Persekutuan, telah ujud beberapa kemelut dalaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan.

DAP dengan caranya, PKR pula dengan caranya. Cuma setakat ini nampaknya PAS berjaya bersikap neutral dalam menangani kemelut yang timbul malah bersedia untuk bertolak ansur demi kesepakatan Barisan Rakyat dan rakyat Malaysia umumnya.

DAP dengan terang-terangannya mencetuskan beberapa polemik yang pada pandangan saya tidak wajar diketengahkan pada masa ini secara umum (perlulah dibuat secara perbincangan dengan semua komposisi Barisan Rakyat). Kita boleh lihat ianya dalam isu perlantikan exco di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Malah DAP juga nampaknya tidak pandai bertolak ansur dalam beberapa perkara sehinggakan menjadi sebab Paduka Sultan murka di Perak.

PKR pula nampak gayanya masih terawang-awang keseronokan dalam mendapat mandat besar daripada pengundi sehinggakan sanggup bertelagah sesama komposisi Barisan Rakyat hanya kerana ingin mendapatkan kuasa lebih dalam pentadbiran kerajaan Negeri Perak. Malah tindakan yang dilakukan mencerminkan ketidakmatangan pimpinan PKR.

Persefahaman dalam semua aspek adalah perlu untuk menentukan kejayaan Barisan Rakyat. Jika Barisan Rakyat ingin meneruskan pengusaan dalam iklim politik di Malaysia, maka adalah perlu Barisan Rakyat kembali semula kepada pakatan asal (sebelum pilihanraya). Jika tidak pastinya Barisan Rakyat akan terkubur sepenuhnya menjelang PRU13 nanti.

Sikap “chauvinis” yang telah ditonjolkan oleh pimpinan atasan DAP perlulah dihakis (dibuang sepenuhnya) jika DAP ingin relevan kepada iklim politik Malaysia. Sikap berebut jawatan (tinggalan dari UMNO dan BN) perlu juga dibuang sepenuhnya oleh PKR. Memang tidak dinafikan ramai dikalangan pimpinan PKR datangnya dari Barisan Nasional, namun adalah tidak wajar sikap yang sama dibawa bersama kedalam PKR. Jika masih lagi dibawa, tidak mustahil PKR juga akan terkubur pada PRU13.

Pada pandangan saya, jika pertelagahan ini masih terus berlaku (sama ada secara terang-terangan mahupun secara senyap) dalam tempoh 100 hari ini, maka tidak mustahil Barisan Rakyat akan ditolak sepenuhnya oleh para pengundi (rakyat) selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2009.

Barisan Nasional memang menunggu peluang untuk memenangi hati rakyat dan kini sedang berusaha untuk berlembut dengan rakyat. Malah dijangkakan akan ujud beberapa inisiatif (termasuk mengurangkan harga minyak dan sebagainya) oleh Barisan Nasional demi untuk mendapat kepercayaan rakyat.

Kesimpulannya, Barisan Rakyat mungkin akan tinggal PAS sahaja didalamnya jika DAP dan PKR masih lagi bertelagah dan menunjukkan belang mereka mentadbir negeri-negeri yang dibawah kuasa mereka. Jika PAS boleh memberi ruang kepada DAP di Kedah, kenapa pula DAP tidak boleh memberi ruang kepada PAS di Pulau Pinang. Jika PAS boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP di Selangor, kenapa pula PKR dan DAP tidak boleh bekerjasama dengan PAS di Perak.

Kepada semua pimpinan Barisan Rakyat,

PENTINGKANLAH KEHENDAK RAKYAT DAN BUKANNYA KEPENTINGAN ANDA SEMATA-MATA.