03.10.08

Kejatuhan IKKL Yang Disengajakan?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:24 am by Ketua Perusuh

Hari ini kita dapat lihat penggantungan keseluruhan kaunter-kaunter saham di Bursa Malaysia dari urus niaga untuk tempoh sejam hari ini bermula pada pukul 2.58 petang ini ekoran kejatuhan teruk pasaran saham. Pengendali pasaran saham Kuala Lumpur, Bursa Malaysia Bhd. telah melaksanakan langkah `Penampan Kejatuhan atau Circuit Breaker’ berikutan kejatuhan penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) yang melebihi 10 peratus hari ini.

“Ini pertama kali IKKL susut lebih 10 peratus dalam tempoh tak sampai satu hari dan ini juga merupakan kali pertama pelaksanaan `Penampan Kejatuhan’ ini dibuat oleh Bursa Malaysia sejak ia diperkenalkan 10 tahun lalu” kata mereka.

Untuk pengetahuan semua yang kurang mahir mengenai ekonomi, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) ditadbirkan dan dikendalikan oleh Bursa Malaysia Berhad. Walaupun begitu segala tindak tanduknya dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti yang akan memantau pergerakan harian setiap masa.

Saya beranggapan bahawa penggantungan kaunter-kaunter saham ini adalah bukan disebabkan oleh perlaksanaan “Penampan Kejatuhan” yang kononnya mengawal agar kejatuhan tidak boleh melebihi dari 10 peratus tetapi lebih kepada arahan Menteri Kewangan agar dibentuk satu penggantungan sementara pasaran. Menteri Kewangan mempunyai kuasa yang membolehkan beliau mengarahkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) meminta Bursa Malaysia Berhad menggantung sementara semua kaunter.

Ini membolehkan Menteri Kewangan menjadikan alasan ini untuk menyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa tindakan menukar 4 negeri di Malaysia kepada pimpinan Barisan Rakyat telah menyebabkan kejatuhan pasaran saham (kononnya para pelabur tidak yakin lagi melabur di Malaysia).

Dari maklumat yang saya terima, para pelabur runcit tiada masalah akan peralihan kuasa ini namun terdapat petunjuk bahawa kejatuhan ini disebabkan oleh penjualan besar-besaran oleh pelabur besar dan pelabur sindiket (syndicate investor) seperti Synergy Drive, KWSP, KWAP, Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pelabur sindiket tempatan inilah yang menjadi punca kejatuhan lebih 100 mata hari ini dimana dari maklumat yang saya dapati adanya arahan dari Menteri Kewangan supaya penjualan besar-besaran ini dilakukan.

Kita semua berhak mendapatkan penjelasan terperinci dari Bursa Malaysia Berhad atau Suruhanjaya Sekuriti mengenai perkara ini. Sila berikan maklumat pelabur mana yang lari dari pasaran (pelabur runcit ataupun pelabur sindiket).

Inilah taktik-taktik Barisan Nasional yang diterajui oleh Abdullah Ahmad Badawi yang nampaknya ketandusan idea untuk menyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional masih lagi relevan memimpin Malaysia. Idea bodoh ini tentunya dicadangkan oleh Khairy Jamaluddin hasil kerjasama “mangkuk-mangkuk’ di Tingkat Empat Jabatan Perdana Menteri.

Masihkah Terlena?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 6:35 am by Ketua Perusuh

Ramai rakan-rakan dalam dunia perniagaan rata-rata menghentam saya kerana kuat menyokong pembaharuan yang dibawa oleh Barisan Rakyat. Malah ada yang mencadangkan saya agar pada PRU13 mendaftar menjadi calon. Ketawa besar saya atas cadangan tersebut. Saya ingin tegaskan disini bahawa saya sama sekali tidak akan menjadi calon mana-mana parti dalam mana-mana pilihanraya sama ada kecil mahupun umum.

Berbalik kepada tajuk yang saya kemukakan diatas, nampaknya pihak Barisan Nasional (terutamanya calon-calon yang masih menang) masih lagi terlena dibuai mimpi yang panjang. Manakan tidak, sehingga kesaat ini mereka masih lagi terpinga-pinga mencari titik punca yang menyebabkan kekalahan besar Barisan Nasional kepada Barisan Rakyat sehinggakan kehilangan 4 negeri (1 Wilayah Persekutuan) dan nyaris-nyaris hilang beberapa lagi negeri seperti Negeri Sembilan dan Melaka.

Malah akhbar harian seperti Berita Harian dan lain-lain lagi (yang dikuasai oleh UMNO dan rakan sekutu mereka) nampaknya masih lagi tidak mahu mengambil iktibar atas apa yang berlaku malah menghangatkan suasana sehinggakan terserlah ke”bodoh”an wartawan dan para editor mereka. Nasihat saya kepada mereka ialah “Belajarlah Berpijak Di Bumi Yang Nyata”. Belajar-belajarlah dari wartawan internet mahupun dari penulis blog.

Pimpinan atasan Barisan Nasional rata-rata masih lagi tercari-cari apakah sebabnya yang telah mencetuskan “Tsunami Politik” yang sekarang ini telah melanda empat negeri dan satu wilayah persekutuan. Pelik sungguh rasanya melihat mereka tercari-cari sesuatu sedangkan semuanya telah terhidang didepan mata mereka sejak sekian lama. Adakah mata mereka telah dikaburkan oleh salahlaku, tumbuk rusuk atau maksiat yang selama ini terpalit dengan mereka. Mungkin juga Allah S.W.T telah menggelapkan hati nurani mereka untuk melihat cahaya.

Cahaya terang yang menunjukkan satu arah yang dikehendaki oleh sekalian rakyat marhaen tidak apa peringkat, usia mahupun bangsa. Bangsa Malaysia kini telah menolak Barisan Nasional dan beralih arah kepada Barisan Rakyat. Tidak mustahil jika Barisan Rakyat ini bersepakat dan menunjukkan sikap kepimpinan dan pentadbiran yang amanah, telus dan berhemat, maka pada PRU13 nanti pastinya mereka akan menguasai lebih banyak lagi kawasan (negeri) di Malaysia dan akhirnya boleh membentuk Kerajaan Malaysia yang baharu.

Jika Pimpinan Barisan Nasional dan para penyokongnya masih lagi terlena, kita (Bangsa Malaysia) biarkan sahaja mereka terus dibuai mimpi-mimpi. Jangan kita kejutkan mereka kerana jika mereka dikejutkan nanti mungkin mereka akan pengsan sekali lagi atau terus “JALAN @ PADAM”.

Kepada mereka-mereka (Pimpinan Barisan Nasional dan para penyokongnya) yang bersekongkol melakukan penipuan dalam pilihanraya kali ini, maka inilah balasan yang Allah S.W.T telah janjikan dimana Allah S.W.T sahaja yang sebaik-baik pembalas penipuan.