07.02.07
Penulis Blog Untuk Disewa?
Jarang saya dapat ketawa besar ketika membaca mana-mana akhbar harian di Malaysia. Kalau ada pun sesekali saya ketawa ialah apabila membaca perkara lucu (spontan atau disengajakan) dan sebagainya.
Hari ini kelucuan terpapar dihalaman akhbar Utusan Malaysia yang membawa tajuk “MT UMNO lantik penulis tangkis fitnah laman blog“. Apa yang menarik adalah ianya telah diarahkan secara terus oleh Abdullah Ahmad Badawi dan unit ini akan dipengerusikan oleh Azalina Othman Said.
Persoalannya disini,
1. Berapakah gaji/elaun yang ditawarkan oleh MT UMNO sebagai bayaran kepada lantikan ini?
2. Berapa ramaikan kakitangan yang diperlukan?
3. Siapakah yang akan membekalkan pekakasan dan perisian komputer?
4. Siapakah yang akan membekalkan maklumat?
Pada pandangan saya, adalah lebih baik jika Azalina Othman Said mempergunakan perkhidmatan www.PayPerPost.com, www.bloggerwave.com, www.sponsoredreviews.com atau www.reviewme.com sebagai medium untuk memudahkan mereka melantik dan membuat pembayaran kepada mana-mana blogger dalam dan luar negara demi untuk menjayakan misi “turning back” komentar yang disuarakan oleh blogger prihatin seperti Malaysia Today, Penarik Beca, Rocky’s Bru, Roslan SMS, Kuda Kepang dan sebagainya.
Dengan cara ini ianya lebih menjimatkan masa dan tenaga malah kos pekakasan dan perisian komputer pun dapat dijimatkan.
Untuk perhatian Azalina Othman Said dan MT UMNO, kami sebagai bloggers prihatin memang tidak mendapat apa-apa bayaran atas usaha kami ini, hanyalah sikap patriotisma kami sahaja yang menjadi pemangkin usaha kami.
Oleh itu adakah anda rasakan bahawa penulis blog yang disewa ini mampu untuk menangkis semua komentar, maklumat serta pandangan yang kami kemukakan? Pastinya ianya agak jauh dari berjaya. Namun anda (Azalina Othman Said, Abdullah Ahmad Badawi & Co serta MT UMNO) bolehlah menggunakan khidmat lebih 60.000 tenaga kerja lepasan diploma dan ijazah yang masih menggangur di Malaysia.
Gunakanlah khidmat mereka ini (60.000 lebih penggangur) yang mana dapatlah mereka mempergunakan wang yang dijanakan untuk membayar balik pinjaman PTPTN mereka. Ini sekaligus akan menyelamatkan dana PTPTN daripada kering tanpa digantikan semula.
Kepada semua penulis blog, adakah anda boleh disewa?
