05.29.07

Tipu Menipu?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 9:58 am by Ketua Perusuh

Kebelakangan ini isu yang digembar-gemburkan oleh mana-mana media tempatan rata-rata berkisar kepada isu peguam yang menipu pelanggannya. Memang tidak dinafikan ada sebilangan peguam yang melanggari etika profesionalisma mereka. Malah ada yang sanggup menipu pelanggan atas isu harta wasiat.

Dahulu peguam adalah satu jawatan yang boleh dianggap mulia. Rata-rata ahli masyarakat kita memandang tinggi akan kerjaya peguam ini. Malah ada ramai yang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit sebagai pelaburan untuk menghantar anak-anak mereka belajar dalam bidang guaman di dalam dan di luar negara terutamanya ke England.

Kini terdapat ramai peguam yang menyalahgunakan pengetahuan mereka dalam undang-undang demi untuk kepentingan wang ringgit yang bernilai mencecah jutaan ringgit secara segera. Memang tidak dapat dinafikan peluang untuk melakukan penipuan itu amatlah tinggi jika anda mengetahui selok belok undang-undang.

Berbalik kepada kes penipuan ini, pihak Polis sedang giat mengesan peguam-peguam yang melakukan salah laku ini selepas terdapatnya laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pelanggan yang ditipu oleh peguam ini. Begitu cepatnya pihak Polis mengambil tindakan sehinggakan kurang dari 24 jam berita ini tersebar, pihak Polis dapat menahan seorang daripada suspek tersebut. Tahniah kepada pihak Polis.

Bagaimana pula jika terdapatnya laporan Polis bagi mana-mana penipuan yang dilakukan oleh ahli politik atau orang yang berkuasa tinggi. Bilakah agaknya Polis akan membuat siasatan dan tangkapan. Cuba anda lihat akan kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan kes Menteri Besar Sabah. Berapa banyakkah laporan Polis yang telah dibuat atas kes penipuan yang mereka lakukan. Tentunya terlalu banyak. Oleh itu manakah tindakan yang telah dan akan dilakukan oleh Polis.

Anda jangan terkejut apabila melihat ikan bilis akan ditangkap bila ada laporan penipuan dilakukan kepada mereka dengan cepat akan tetapi ikan jerung tidak akan diambil tindakan walaupun seluas samudera sekalipun laporan polis terhadap mereka. Semua ini bolehlah ditafsirkan sebagai satu wayang semata-mana untuk menjadikan halwa telinga semua rakyat jelata.

Peguam-peguam ini pastinya akan dijadikan kambing hitam untuk menutup kes Menteri Besar Selangor, Sabah dan lain-lain yang menipu dalam pengisytiharan harta mereka. Malah penipuan yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co juga akan ditenggelamkan sama oleh cerita peguam-peguam ini.

Jadi, kesimpulannya ialah sampai bila isu tipu menipu ini akan selesai. Sampai kiamatkah? Mana perginya Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam isu ini?

05.24.07

Siapa Disebalik Tabir?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 2:35 am by Ketua Perusuh

T Ananda Krishnan bercadang mencari rakan kongsi baru untuk memajukan lagi Maxis Communications Bhd. Setelah dia berusaha memilik peribadikan Maxis Communication Berhad, kini usaha-usaha penjualan pemilikan saham sekali lagi sedang dalam proses untuk dimulakan.

Siapakah agaknya yang akan menjadi rakan kongsi baru bagi Maxis Communication Berhad. Anda mungkin akan dapat lihat satu nama (individu @ syarikat) yang akan membeli saham tersebut pada kadar lebih dari RM15.60 seunit saham. Tapi anda jangan terkejut jika mendapati bahawa nama tersebut adalah hanya satu “proksi” bagi satu entiti lain.

Entiti yang berminat untuk menguasai Maxis Communication Berhad memang ramai, namun pastinya anda akan dapat lihat bahawa yang akan menang dalam percaturan untuk menjadi rakan kongsi tersebut adalah “proksi” kepada satu sayap pelaburan utama Asia Tenggara iaitu Temasek Group.

Mereka (Temasek Group) pastinya akan menidakkan penguasaan mereka pada “proksi” tersebut tetapi merekalah sebenarnya yang menjadi Tok Dalang dibalik tabir. Ada banyak sebab mengapa mereka berminat untuk menguasai Maxis Communication Berhad, yang paling utama selain daripada keuntungan dari sudut ekonomi ialah penguasaan dari segi perkhidmatan utiliti.

Malah dengan memperkudakan Maxis Communication Berhad, ianya akan memudahkan mereka untuk membuat pemantauan secara digital terhadap saluran komunikasi dalam Malaysia tanpa had. Malah dengan memperkudakan sayap pelaburan mereka itu (Temasek Group) maka mereka boleh menguasai bukan sahaja perkhidmatan utiliti, namun perkhidmatan hartana pula akan mereka kuasai dengan termetrainya perjanjian persefahaman Jawatankuasa Peringkat Menteri bagi pembangunan WPI.

Jadi secara tidak langsung, mereka (Singapura) akan dapat menguasai segala keputusan yang akan dibuat oleh Malaysia memihak kepada mereka. Setakat ini segala keputusan yang dilakukan oleh Malaysia memang banyak yang menguntungkan Singapura.

Malah Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Bank Negara Malaysia semacam membiarkan sahaja urusan berkaitan dengan ekonomi, pelaburan dan kewangan menjadi caca-marba. Tindakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mendiamkan diri dan membiarkan Maxis Communication Berhad dimilik-peribadikan dan sesudah itu dijual kepada pihak ketiga telah menyebabkan integriti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia jatuh.

Ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia mudah dipermainkan dan tidak mempunyai kuasa yang luas untuk memperakukan undang-undang berkaitan dengan ekonomi, pelaburan dan kewangan malah ianya juga memperlihatkan SC dan Bursa Malaysia kini dijadikan lelucon oleh “mangkuk-mangkuk” di tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri.

Kesimpulannya ialah dalam masa terdekat ini anda akan dapat tahu siapakah disebalik tabir menggerakkan usaha untuk memilik-peribadikan beberapa syarikat utama dan GLC di Malaysia dan siapa pula yang menyuntikkan dana untuk memilik-peribadikan syarikat tersebut. Saya berani mengatakan bahawa semua ini digerakkan oleh Temasek Group melalui “proksi-proksi” mereka dan Temasek Group pula dibiayai oleh dana-dana dari Amerika Syarikat dan Israel.

05.23.07

Betapa Bangangnya Dia?

Posted in Bloggers-United, Malaysia, Reformasi at 10:31 am by Ketua Perusuh

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Malaysia nampaknya seorang yang kurang cerdik. Biasanya jika seseorang itu kurang cerdik, dia akan mendapatkan pandangan orang lain sebelum di mengeluarkan apa-apa hujah. Jika tidak, ianya hanyalah akan menyebabkan semua orang akan tahu kekurangan kecerdikan pada dirinya.

Contohnya, jika seorang yang kurang cerdik dalam matapelajaran Matematik, biasanya sebelum dia mengeluarkan pandangan atau jawapan, dia akan bertanya kepada mana-mana rakan-rakan atau guru yang mahir dalam bidang tersebut. Biasalah semua orang akan takut malu memberikan pandangan, jawapan atau hujah.

Namun Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak segan-silu untuk mengeluarkan satu arahan, hujah atau pandangan yang dia sendiri kurang arif mengenainya. Cuba anda lihat apa yang disuarakan olehnya yang diberitakan didalam Utusan Malaysia.

Disini anda akan dapati bahawa memang memalukan bahawasanya Malaysia memiliki Timbalan Menteri yang ber “IQ” pada tahap yang agak rendah. Bayangkanlah jika senario ini berlaku.

1. Pemilik harta akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya hartanya dicuri akibat daripada kecuaiannya.
2. Suami akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya isterinya hilang (menghilangkan diri) akibat dari kecuaiannya.
3. Penternak akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya ternakannya mati akibat dari kecuaiannya.
4. Tenaga Nasional Berhad akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya bekalan elektrik dicuri atas sebab kecuaiannya.
5. Angkatan Tentera Malaysia akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya berlaku kecuaian yang menyebabkan musuh menyerang Malaysia.
6. Suruhanjaya Sekuriti akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya kecuaiannya menyebabkan banyak syarikat awam menjadi milik peribadi dan dijual kepada asing.
7. Sultan akan dikenakan tindakan oleh Polis sekiranya kecuaiannya menyebabkan Menteri Besar membolot dan menguasai negerinya.

dan banyak lagi yang anda dan saya boleh fikirkan.

Jika beginilah idea yang boleh diberikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, maka jangan terkejut satu hari nanti tiada siapa yang akan membuat laporan polis atas kehilangan saudara-mara, binatang ternakan dan sebagainya kerana takut akan tindakan yang mungkin dikenakan kepada mereka.

Ini bermakna pihak Polis tidak akan mengambil hirau akan perkara orang hilang dan sebagainya dan lebih menumpukan kepada mengutip saman dan membawa orang yang melaporkan kehilangan atas sebab kecuaian ke mana-mana mahkamah harian (malam).

Ini bermakna Polis Malaysia akan terlebih kehadapan dalam semua institusi kepolisan dunia kerana mempunyai kuasa mengambil tindakan kepada pelapor kehilangan orang (atau harta benda) yang disebabkan kepada kecuaian.

Bukanlah tujuan saya menulis komentar ini untuk menghina anggota Polis kerana saya sendiri mempunyai saudara mara yang menjawat jawatan ini, namun idea dan arahan tidak rasional oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menyebabkan saya menulis.

Kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri tersebut, sila jangan memalukan diri sendiri. Cukuplah sudah kebangangan yang terserlah pada kes-kes yang bersangkut paut dengan anda dalam masa terdekat ini. Jika anda berterusan memberikan pandangan bangang ini, maka sewajarnya kami (pengundi) tidak akan memilih anda sebagai wakil rakyat kami kerana kami dapati anda kurang cerdik (malah boleh diklasifikasikan sebagai bangang).

Maafkanlah saya atas komentar kali ini.

Next page