03.28.07
Persijilan Halal?
Isu halal dan haram makanan bukanlah satu isu yang boleh dipandang ringan oleh kita terutamanya yang mengamalkan agama Islam. Malah orang Yahudi Ortodok pun masih lagi “rigid” isu yang sama. Halal lagi bersih (Halalan Tayyiban) adalah satu keperluan yang dituntut.
Dulu heboh diseluruh Malaysia akan isu makanan yang dikhuatiri tidak halal akibat dari proses dan bahan yang digunakan tidak halal malah meragukan. Isu yang paling ketara sekali ialah isu sosej dan sembelihan ayam di pasaraya besar (hypermarket).
Pengendali persijilan halal sedia ada iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai kuasa untuk mengendalikan persijilan ini, namun yang menjadi masalah ialah bilamana JAKIM tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan. Malah pihak Jabatan Agama peringkat negeri pun tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk mengendalikan urusan ini.
Ianya menyebabkan terdapatnya isu logo halal yang palsu, sijil tamat tempoh, cuai dan sembelihan tidak mengikut syarak. Ada terdapat beberapa syarikat utama yang menyediakan khidmat restoran yang menggunakan persijilan halal mereka sendiri dengan disahkan oleh jawatankuasa penasihat syariah mereka. Sistem yang ada tidak seragam malah menyusahkan serta mengelirukan pengguna.
Pengguna agak susah untuk mendapatkan pengesahan halal sesuatu makanan atau barangan dipasaran. Talian “hotline” dan SMS tidak berupaya malah pincang daripada menyediakan penyelesaian.
Kini ada pula ura-ura untuk memindahkan tanggungjawab persijilan halal kepada pihak ketiga. Dikhuatiri pihak ketiga ini pun akan menghadapi masalah yang sama malah mungkin lebih teruk. Kita tunggu apa hasil daripada perpindahan ini.
Utusan Malaysia memetik “Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) tidak lama lagi akan mengemukakan satu kertas Kabinet untuk mengambil alih fungsi-fungsi pengesahan halal yang kini dikendalikan bersama oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jamil Bidin berkata, terdapat keperluan untuk mempercepatkan proses persijilan kepada enam bulan daripada sembilan bulan.”
Jangan biarkan isu halal menjadi mainan sehinggakan makanan kita tercemar dengan benda-benda yang haram.
03.27.07
Pekerja Separa Mahir?
Mahukah mana-mana negara serantau (ASEAN) mengambil pekerja separuh mahir atau tidak mahir? Tentunya tidak. Ini kerana didalam negara mereka sendiri pun berlambak pekerja separuh mahir atau tidak mahir yang masih tidak mendapat pekerjaan atas kelembapan ekonomi serantau.
Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar mungkin tidak akan sama sekali mengambil pekerja separuh mahir atau tidak mahir dari negara kita Malaysia. Ini kerana dinegara mereka masih berlambak lagi tenaga buruh yang murah.
Mungkin Singapura dan Brunei akan mengambil pekerja kita. Tapi sebanyak mana? Satu ribu? Sepuluh ribu? Seratus ribu?. Mungkin kalau ambil pun sekadar dalam lingkungan kurang dari 10000 orang. Ini kerana ramai lagi dari negara serantau yang ingin mengambil peluang yang sama.
Tapi atas dasar ke”bangang”an yang sedia ada didalam kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co ini, ada terdengar saranan agar pekerja separuh mahir perlu mencuba nasib di negara lain. Apa kata kalau kita (rakyat Malaysia) menyuruh Abdullah Ahmad Badawi & Co pergi mencuba nasib bekerja di negara orang.
Semua sedia maklum bahawa tenaga kerja dari Malaysia agak mahal kosnya kerana kos sara hidup yang memang tinggi di Malaysia. Bayangkan jika mereka bekerja di Malaysia mendapat gaji sebanyak RM1500 sebulan? Tentunya nilai yang sama (setimpal) tidak mungkin dapat diberikan di negara seperti Myanmar, Thailand, Vietnam atau Indonesia.
Jadi bagaimana anda dapat bayangkan kata-kata yang dimuatkan didalam Utusan Malaysia yang menyebut “Galakan supaya siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mendapatkan pekerjaan di negara lain cuma untuk sektor tertentu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Beliau berkata, galakan itu hanya melibatkan sektor separa mahir yang telah kukuh seperti perkhidmatan, pengangkutan, perladangan dan pembinaan.
Katanya, pekerja sektor kritikal seperti perubatan, geologi dan perundangan tidak digalakkan mencari kerja di negara lain kerana Malaysia masih kekurangan pekerja dalam bidang-bidang itu.
‘‘Lebih 300,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara pada masa ini. Walaupun siswazah sektor tertentu digalakkan bekerja di negara lain, kerajaan berharap mereka tidak akan menetap terus di sana,” kata Abdul Rahman kepada pemberita selepas melawat Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini, hari ini.
Menurut beliau, dengan bekerja di luar negara, rakyat Malaysia boleh mendapat banyak pengalaman di samping membawa masuk mata wang asing ke Malaysia.”
Tentunya anda boleh menilai sendiri ke”bangang”an yang tercetus dari kata-kata seperti diatas.
03.26.07
Aku Penganggur?
Bila bercerita mengenai isu kerja kosong ini, teringat saya sewaktu dalam tahun 80′an dahulu. Dikala itu rata-rata pelajar kita mempunyai kelulusan peringkat HSC atau STPM. Ramai juga yang memohon kerja kosong di segala pelusuk negara melalui surat permohonan. Tapi ramai yang mendapat surat balasan yang rata-rata berbunyi “Didalam Perhatian Kami”.
Pertengahan tahun 80′an, Kerajaan Malaysia telah memulakan konsep Pengswastaan dan Perindustrian. Maka berbondong-bondonglah syarikat luar negara datang ke Malaysia dan membuka syarikat, kilang dan industri mereka disini. Ini semua kerana kempen yang dijalankan oleh Kerajaan serta kos buruh (pekerja) yang agak murah. Pelabur asing diingatkan agar menyediakan kuota pekerjaan sebanyak 90% untuk warga Malaysia.
Namun kini Kerajaan yang sama pula telah memulakan langkah kebelakang dengan membuka ruang agar syarikat asing boleh menggajikan 100% pekerja asing didalam organisasinya. Semua ini diterajui oleh Abdullah Ahmad Badawi & Co. Permulaan projek ini dibuat di WPI atau SJER. Malah tiada sekatan dikenakan jika pelabur asing ingin membawa masuk pekerja dari negara Israel sekalipun.
Kadar pengangguran dikalangan warga tempatan (graduan) adalah dalam sekitar 60 ribu (mengikut perangkaan Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi). Namun kini graduan ini berdepan dengan masalah mendapatkan pekerjaan yang setimpal dan sesuai dengan pendidikan mereka.
Malah Utusan Malaysia melaporkan bahawa “Lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia perlu bersedia untuk bekerja di negara-negara ASEAN bagi mengurangkan pengangguran di kalangan mereka yang kini meningkat kepada 59,000 orang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said berkata, sudah sampai masanya lepasan IPT mencari pekerjaan di luar Malaysia selaras dengan program melampaui sempadan.“
Ini menunjukkan bahawa Kerajaan sememangnya tidak meletakkan kepentingan warga tempatan dalam usaha mereka menarik pelabur asing. Graduan disuruh bersedia bekerja dinegara asing sedangkan semua sedia maklum Malaysia agak terkehadapan dalam perindustrian dan ekonomi. Nampaknya akal para menteri kita dibawah seliaan Abdullah Ahmad Badawi & Co amatlah singkat dan boleh diklasifikasikan sebagai bodoh atau bangang.
Jika kita berterusan membiarkan Abdullah Badawi & Co meneruskan agenda mereka memberikan peluang kepada warga asing, maka bersedialah kita untuk melihat kadar pengangguran di kalangan graduan Malaysia meningkat kepada 300% atau 400% dalam tempoh kurang 5 tahun. Benar seperti kata pepatah “Seperti Kacang Lupakan Kulit” dan “Kera dihutan disusukan, Anak dirumah mati kelaparan”.
